Pemergian pelakon terkenal, Allahyarham Ridzuan Hashim telah menggemparkan industri seni tanah air.
Arwah meninggal dunia secara mengejut pada usia 62 tahun akibat serangan jantung. Arwah rebah ketika bersarapan bersama anaknya di rumah.
Apa yang dapat disimpulkan, kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit ini kelihatan sihat dan cergas ketika melakukan rutin harian namun berisiko tinggi untuk berhadapan dengan serangan jantung.
Jantung adalah organ penting yang bertanggungjawab untuk mengepam darah ke seluruh tubuh. Jika jantung dan saluran bermasalah, boleh mengakibatkan terjadinya pelbagai penyakit jantung termasuk gejala. Lebih teruk jika jantung kehilangan fungsinya, kematian mengejut boleh berlaku.
Perlu diketahui, serangan jantung dan jantung terhenti merupakan dua keadaan berbeza yang menyebabkan jantung tidak berfungsi secara normal.
Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Samhan Awang menjelaskan perbezaan antara serangan jantung dan jantung terhenti di akaun media sosialnya.
Serangan jantung (heart attack) dan jantung terhenti (cardiac arrest) adalah masalah jantung yang umum sering tertukar penggunaan terma kedua-dua terma ini
SERANGAN JANTUNG
Serangan jantung atau infark miokardium berlaku apabila aliran darah ke sebahagian otot jantung terjejas atau terhenti akibat penyumbatan dalam saluran arteri koronari.
Penyumbatan ini biasanya disebabkan oleh pembentukan plak aterosklerosis atau penggumpalan darah yang menghalang aliran darah.
Sel-sel otot jantung yang tidak mendapat bekalan darah dan oksigen yang mencukupi akan rosak dan mati.
“Gejala-gejala umum serangan jantung termasuk sakit dada, sesak nafas, kebas tangan, mual, dan berkeringat.
JANTUNG TERHENTI
Jantung terhenti adalah keadaan apabila jantung berhenti berfungsi secara tiba-tiba dan tidak lagi mengepam darah ke seluruh tubuh.
Ini biasanya berlaku akibat masalah dengan sistem elektri jantung yang mengakibatkan irama jantung yang tidak normal (aritmia) seperti fibrilasi ventrikular atau asistol.
Jantung terhenti menyebabkan individu tak sedarkan diri dan nadi terhenti serta berhenti bernafas.
Tanpa rawatan segera seperti resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan defibrilasi, jantung berhenti boleh menyebabkan kematian dalam beberapa minit.
Bagi mengelakkan risiko penyakit jantung, ini nasihat Dr Samhan: –
- Berhentilah merokok.
- Ambil diet seimbang dan kawal berat badan.
- Lakukan senaman sekurang-kurang tiga kali seminggu.
- Buat pemeriksaan kesihatan setiap tahun.
- Jangan lupa makan ubat dan dapatkan nasihat doktor.
Sumber: Dr. Ahmad Samhan Awang, Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur