
Kemesraan hubungan antara aktres jelita, Fasha Sandha bersama suami, Aidil Aziz yang dipaparkan di media sosial, sememangya merupakan refleksi kehidupan nyata perkahwinan mereka yang sering diulit rasa cinta dan bahagia di samping keluarga.
Menurut Fasha, dia berbesar hati selain mengakui bahawa untuk menjamin gaya hidup yang baik, dia sebagai wanita dan juga ibu perlukan suatu energi terbaik demi keluarga tersayang.
Fasha Sandha Akui Tak Mudah Jadi Wanita ‘Serba Boleh’

“Bukan mudah untuk menjadi isteri, ibu dan pada masa sama wanita berkerjaya. Saya perlu mengimbangkan kehidupan harian saya.
“Saya juga perlu menjaga hubungan bersama suami. Alhamdulillah Beunita banyak membantu saya dalam memberi tenaga maksima menjadi wanita yang serba boleh.
“Sebagai duta Beunita, saya mahu membantu ramai para para wanita yang mempunyai masalah masalah yang membuatkan mereka hilang keyakinan diri,” katanya.
Bintang drama Scammer ini berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Beunita di Willow Hall, Forest Valley, Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur.
Terlalu ‘Fokus’ Dengan Kerjaya, Punca Hubungan Suami Isteri Hambar!

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Inayah Beauty, Dini Qistina binti Latifi tidak menafikan masalah kebanyakan suami isteri sekarang yang sentiasa sibuk dengan kerjaya membuatkan ramai yang berdepan dengan kehambaran dalam perkahwinan.
“Nak bercinta, mudah. Nak kahwin pun mudah. Tapi nak menjaga keharmonian rumah tangga memerlukan usaha dan kesungguhan daripada pihak suami dan isteri.
“Dan pihak Inayah melihat Fasha antara selebriti yang masih ada ‘spark’ dengan suaminya Aidil. Dan itu perkara yang sangat bagus kerana tidak semua pasangan yang sudah lama berkahwin mempunyai rasa itu.
“Beunita merupakan salah satu konsep produk kami juga, iaitu merapatkan hubungan intim antara suami isteri. Paling penting, kami juga memilih atas dasar Fasha seorang yang sangat komited,” katanya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Penampilan Macam Anak Dara Di Usia 52 Tahun, Juhi Chawla Kongsi Rahsia Awet Muda

Nama heroin filem Bollywood ini begitu popular dan sering digandingkan dengan pelakon-pelakon hebat dari India termasuk Dato’ Shah Rukh Khan. Antara gandingan hebat Juhi Chawla bersama Dato’ Shah Rukh Khan adalah filem Yes Boss. Filem yang terbit pada tahun 1997 ini merupakan filem keempat gandingan mereka berdua.

Memiliki rupa paras yang menawan Juhi Cahwla juga pernah dinobatkan sebagai Miss India tahun 1984. Kini walaupun pelakon wanita ini sudah menjangkau usia 52 tahun tetapi masih kelihatan cantik menawan seperti zaman kegemilangannya dahulu. Tidak lokek berkongsi rahsia awet mudanya, Juhi Chawla sudi berkongsi amalan kecantikannya dengan seluruh peminatnya.

Mulakan hari dengan minuman detoks
Juhi Chawla mulakan harinya dengan segelas air lemon yang dicampurkan dengan madu. Minuman ini adalah amalan yang terbaik untuk detoks dan membantu dirinya meneruskan tugas seharian. Seperti ramai yang tahu, kombinasi lemon dan madu berkhasiat untuk membuang toksin dalam tubuh, menyingkirkan kotoran akibat pencemaran dan membersihkan dalaman tubuh. Selain itu kehebatan lemon dan madu ini juga mampu meningkatkan metabolisme tubuh.

Jaga Mata
Ramai orang menitikberatkan penjagaan wajah dan sering mengabaikan penjagaan mata. Penjagaan mata terutama kulit di sekitar daerah mata sangat penting bagi menghindarkan kedut atau garis halus apatah lagi kulit kusam di bawah mata. Juhi Chawla begitu menjaga kesihatan kulit matanya. Apa yang diamalkan oleh wanita ini adalah sapu krim mata setiap malam secara konsisten. Krim mata ini membantu melembapkan kulit di sekitar daerah mata lantas menganjalkannya. Selain itu Juhi Chawla menggunakan kentang untuk menjaga matanya. Caranya adalah dengan menghiris nipis kentang dan biarkan seketika di dalam peti sejuk. Kemudian letak kentang yang telah disejukkan tadi di atas mata selama 20 minit untuk menyegarkan kulit di sekitarnya.

Guna kosmetik berkualiti
Juhi Chawla tak pernah berkompromi dengan kualiti. Pelakon cantik ini sering memilih produk yang berkualiti di samping yang terbaik untuk kulitnya. Fungsi utama produk yang dipilihnya adalah untuk mengekalkan kelembapan kulitnya. Juhi Chawla sentiasa elak kulit dehidrat dan kering. Kata Juhi Chawla, kalau harga produk menjadi isu, lebih baik guna bahan-bahan yang boleh di ambil di dapur daripada menggunakan produk yang tidak berkualiti.

Jaga pemakanan
Rahsia kecantikan Juhi Chawla juga adalah melalui pemakanan. Katanya, penjagaan kecantikan bermula dengan apa yang kita makan. Jika wanita nak kekal cantik dan awet muda, kena bijak mengatur pola pemakanannya. Amalan pemakanan Juhi Chawla adalah makan makanan yang dibakar dan direbus. Juhi Chawla elak makan makanan yang digoreng, pedas dan bergula. Sekali lagi tentang dehidrasi, Juhi Chawla minum 8 gelas air sehari dan tak pernah miss makan yogurt. Juhi Chawla percaya secawan yogurt penyumbang terbaik untuk memberi kelembapan dan hidrasi.

Amalan kecantikan Juhi Chawla ni nampak mudah tapi kena konsisten. Tak ada jalan mudah nak cantik tanpa usaha yang gigih dan pengorbanan!
Sumber: femina.in
Foto: Facebook Juhi Chawla
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rahsia Dato’ Sheila Majid Ini Bukan Main-Main. Tengoklah STAMINA Beliau, Masih MANTAP DI USIA 50-AN!

Dato’ Sheila Majid tampil bertenaga di hadapan 4,000 jumlah peminatnya di Stadium Negara dalam Sheila Majid: The Concert Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini.
Konsert yang berlangsung selama 2 jam tersebut menyaksikan artis legenda berusia 52 tahun ini tidak pernah gagal mempesona penonton dengan persembahan hebat dan cukup bertenaga tanpa henti di sepanjang persembahan.
Apakah rahsia selain latihan vokal? Semestinya penjagaan kesihatan yang baik menjadi teraju utama yang diberi perhatian oleh Dato’ Sheila Majid.
Dato’ Sheila Majid berkata, “Bukan mudah untuk kekal aktif setelah 32 tahun berkecimpung dalam industri muzik dan pada masa yang sama, memberi perhatian kepada keluarga saya, terutamanya dua orang anak saya yang aktif dan masih bersekolah.
Untuk terus melakukan apa yang saya gemari, saya harus kekal aktif dan amalkan diet yang seimbang untuk kesihatan dan kesejahteraan diri saya.
Oleh itu saya menyeru agar rakyat Malaysia, tua atau muda untuk mula menjaga kesihatan jantung mereka. Lakukan senaman secara kerap, amalkan diet yang seimbang dan minum dua gelas Anlene Heart-Plus™ setiap hari, anda akan terus melakukan apa yang anda gemari!” tambah Dato’ Sheila lagi.

Profesor Dr. Chee Kok Han, Pakar Kardiologi Hospital Universiti Malaya turut bersetuju dengan pendekatan Dato’ Sheila untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dan menasihatkan mereka yang ingin mengekalkan jantung yang sihat.
“Untuk mengekalkan kesihatan jantung yang baik, lakukan pemeriksaan jantung tahunan untuk menjaga tahap kolesterol, tekanan darah dan gula dalam darah,” kata Dr. Chee.
Menurut Profesor Dr. Chee Kok Han lagi, kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi serta tahap gula darah yang tinggi adalah faktor risiko utama untuk penyakit tidak berjangkit, malah merupakan punca kematian lebih kurang 73% rakyat Malaysia.
Karen Ong, Pengarah Pemasaran Fonterra Brands Malaysia berkata, demi memenuhi keperluan gaya hidup sihat pengguna Malaysia, syarikat tersebut telah berinovasi untuk menghasilkan formulasi terbaharu bagi membantu menjaga kesihatan jantung serta menganjurkan kempen untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan jantung.

“Di Fonterra, kami fokus dalam menghasilkan produk tenusu yang bukan sahaja lazat tetapi meningkatkan tahap kesihatan pengguna. Sejajar dengan misi ini, peningkatan usaha kami beberapa tahun kebelakangan ini, membawa Anlene® menjangkau lebih daripada aspek pemakanan untuk tulang.
Bermula dari tahun lepas, kami telah menambah MoveMax™ ke dalam formulasi Anlene® untuk menjaga bukan sahaja tulang, tetapi membantu menjaga aspek pergerakan seperti sendi dan otot.
Tahun ini, produk terbaharu kami Anlene HeartPlus™ mengandungi MoveMax™ dan HeartMax™, yang mengandungi gabungan nutrien bagi membantu menjaga kesihatan jantung disamping juga menyokong pergerakan,” tambahnya lagi.
“Oleh itu Anlene® memilih untuk bekerjasama dengan ratu jazz kesayangan Malaysia, Dato’ Sheila Majid, untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesihatan jantung dan gaya hidup yang sihat,” kata Karen.
Jom kita sama-sama menjaga kesihatan! Sambil-sambil itu kita layan video yang sempat Nona rakamkan sewaktu hadir menyaksikan konsert Dato’ Sheila Majid di Stadium Negara. Enjoy! KR
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Erti Merdeka, Kekejaman Penjajah Pernah Buat Tan Sri Zaleha Ismail Menyorok Dalam Hutan!

Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ini, yang jatuhnya pada tahun penuh dugaan, dengan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonominya, ayuh kita bangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sehebat mungkin.
Siapa lagi yang lebih layak mengimbau besarnya nilai kemerdekaan di negara kita, jika bukan mereka yang pernah melalui sendiri peritnya kehidupan pada zaman penjajahan.
Ya, saban kali tibanya tanggal 31 Ogos, nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.
Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.

Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.
Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.
“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.

“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.
Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.
Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.
Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.
SEKOLAH INGGERIS
Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.
Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.
“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.
Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.
Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.
Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.
Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.
Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”
KEMERDEKAAN

Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.
Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.
Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”
Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.
Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.
Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.
EVOLUSI
Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.
Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.

Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.
Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.
Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.
Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.
“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.
Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


