Dua pereka fesyen ini sememangnya terkenal di kalangan orang kenamaan. Banyak menghasilkan busana-busana made to measure untuk golongan VIP mereka mencipta nama tersendiri menerusi rekaan busana yang feminin dan mewah dengan perincian yang teliti. Koleksi perkahwinan yang dihasilkan juga menterjemahkan gaya moden namun masih berpaksi kepada gaya klasik Melayu serta Inggeris.
APAKAH SIMBOLIK SEBUAH GAUN PERKAHWINAN BAGI ANDA SEBAGAI SEORANG PEREKA FESYEN?
Bagi kami gaun perkahwinan merupakan sebuah mahakarya agung yang dicipta khusus untuk bakal ratu sehari. Mencipta gaun perkahwinan memerlukan emosi dan juga sebagai pereka kami perlu memahami personaliti orang yang bakal memakai busana tersebut.
APAKAH WARNA YANG PALING SESUAI DIGUNAKAN DALAM MENCIPTA BUSANA PERKAHWINAN?
Semestinya warna putih adalah warna yang cukup ikonik dijadikan sebagai busana perkahwinan terutama sekali untuk rekaan busana pernikahan. Namun begitu pengantin tidak terikat dengan warna ini sahaja, penggunaan warna-warna pastel yang lembut juga sesuai dijadikan warna tema perkahwinan. Akhir kata, semua bergantung kepada kegemaran dan cita rasa bakal ratu sehari itu sendiri.
BAGAIMANA PULA DENGAN PILIHAN FABRIK? JENIS APAKAH YANG PALING SESUAI?
Bagi saya untuk perkahwinan fabrik les merupakan pilihan yang paling sesuai kerana fabrik ini memiliki aura feminin, romantik lantas menampakkan gaya pengantin lebih mewah. Tambahan pula fabrik ini tidak akan lapuk dek zaman dan akan kekal relevan 10 hingga 20 tahun yang akan datang.
APAKAH PERKARA YANG PERLU SEORANG PENGANTIN TAHU SEBELUM MENEMPAH BUSANA PERKAHWINAN?
Bakal pengantin perlu tahu apa yang mereka mahukan dan juga kenal bentuk tubuh mereka. Sebelum berjumpa pereka fesyen mereka perlu mencari apakah gaya yang disukai dan ini akan menyenangkan proses konsultasi kerana pereka tahu apa yang mereka sukai. Selain itu pengantin perlu tahu bentuk tubuh agar tidak menilai busana pada tubuh orang lain. Tidak semestinya sesetengah rekaan itu cantik di tubuh orang lain akan cantik di tubuh anda.
ANTARA MAHKOTA, LAYAH DAN BUNGA SEGAR. APAKAH HIASAN YANG PALING SESUAI DIJADIKAN HIASAN KEPALA?
Ketiga-tiga aksesori ini memiliki keistimewaannya tersendiri. Tidak ada istilah yang mana yang lebih atau yang kurang. Cuma setiap satu memiliki kekuatan sebagai contoh layah sangat sesuai untuk melembutkan gaya dan ia memberikan efek yang dramatik. Penggunaan bunga segar pula sesuai untuk majlis-majlis dalam taman atau akad nikah dan juga jika motif busana terdapat corak bunga. Pilihan mahkota pula perlu dilihat kepada bagaimana busana yang dipakai. Tidak salah untuk menggabungkan mahkota dan layah cuma mahkota tersebut harus yang bersesuaian dan tidak terlalu besar bentuknya.
APAKAH SILUET GAUN PERKAHWINAN YANG MENJADI KEGEMARAN ANDA?
Semestinya siluet kegemaran kami adalah siluet duyung yang mampu menyerlahkan bentuk tubuh pengantin dengan lebih baik. Lagipun rekaan siluet duyung ini sangat timeless dan tidak akan lapuk dek zaman.
DARI KACA MATA SEORANG PEREKA FESYEN. APAKAH TREND YANG DIJANGKA POPULAR UNTUK TAHUN 2018?
Untuk meramal trend saya cuba lihat daripada perspektif pelanggan-pelanggan yang mendapatkan khidmat kami. Saya dapat rasakan untuk tahun 2018 bakal ratu sehari lebih gemar rekaan yang dramatik penuh perincian seperti gabungan fabrik songket dan juga renda yang mewah. Namun begitu tidak juga boleh dilupakan kepada stail yang lebih minimal namun digantikan dengan siluet peplum dan juga leretan kain yang panjang.
Jangan lupa dapatkan majalah Nona edisi November 2017 di pasaran sekarang dan dapatkan borang penyertaan untuk memenangi sepasang busana pernikahan! Siapakah agaknya yang bertuah menyarung busana hasil sentuhan jemari emas duo pereka ini. Mungkinkah anda orangnya…