
Lama tak dengar khabar penyanyi popular era 1990an, Ruhil Amani Hussain. Biarpun tidak seaktif dulu tapi lagu-lagu dendangan selebriti ini masih ‘melekat’ di ingatan peminat. Terutamanya lagu ‘Kawan’ yang menjadi kegilaan ramai sekitar tahun 1988. Aura dan pesona Ruhil sebagai anak seni memikat halwa telinga pendengar!
Menginjak usia 50 tahun pada 13 April lalu, kehidupan Ruhil kini lebih bermakna dengan kehadiran dua cahaya mata tersayang yang kian meningkat usia dewasa.
Kalau dulu nama Ruhil seakan ‘sepi’ dari dunia hiburan kerana memberi sepenuh tumpuan kepada keluarga namun hari ini dia kembali aktif memenuhi undangan nyanyian. Apatah lagi, anak-anak pun dah besar.
Ruhil Amani Kembali Aktif Nyanyi
Ruhil Amani yang merupakan adik kepada personaliti televisyen Ruhil Shafinaz ini juga gemar berkongsi rutin dan aktiviti bersama keluarga di media sosial. Sekurang-kurangnya mengubati kerinduan peminat terhadap pelantun lagu ‘Jaga-Jaga’ tersebut.
Pada 2023, Ruhil membuat pengumuman bahawa dia dan suami iaitu Jamil Wilson sah bercerai pada Mei 2019. Dia mengambil masa kira-kira empat tahun untuk mendedahkan perkara tersebut kepada umum demi menjaga kebaikan anak-anak.
Kongsinya, “Memandangkan semakin ramai yang bertanya tentang situasi rumah tangga saya dan setelah berbincang dengan anak-anak kerana situasi ini melibatkan kehidupan mereka juga, tujuan saya memberi kenyataan kerana untuk mengelakkan sebarang tanda tanya dan salah faham yang boleh menimbulkan fitnah.”
Hasil perkongsian hidup Ruhil dan Jamil Wilson yang juga pemuzik Australia itu sejak 2003, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Ruhil Ariana Wilson dan Raayan Alexander Wilson.
Ruhil Amani Tabah Besarkan 2 Anak
Raayan kini berusia 14 tahun. Manakala Ariana pula meniti usia 21 tahun pada 28 Mei lalu. Menariknya, anak gadis Ruhil ini mengikut jejak langkah ibu ayah dalam dunia seni. Malah Ariana berpeluang menunjukkan bakat seninya pada Mei tahun lalu apabila menjadi salah seorang daripada 15 peserta program Generasi DFP.
Dedah Ruhil, “28 Mei 2025, genap setahun semenjak Ariana menerima mesej daripada Dewan Filharmonik Petronas (DFP) memaklumkan bahawa beliau terpilih untuk membuat persembahan dalam Konsert Generasi DFP.”
View this post on Instagram
Dalam konsert itu, anak sulung Ruhil ini mendendangkan tiga lagu hasil gubahan sendiri termasuk lirik dan susunan muzik diiringi alunan piano oleh dirinya sendiri.
Tidak terkecuali, Raayan yang turut menunjukkan bakat bermain piano dan memperoleh anugerah Trinity High Scorer dalam peperiksaan piano pada tahun lalu.
Ternyata darah seni mengalir ‘laju’ dalam diri Ariana dan adiknya, Raayan. Moga Ruhil Amani tabah dan bersemangat membesarkan dua permata hati kesayangan ini.