Pada usia 31 tahun, figura bernama Dyana Roslan sudah mengecap cita-citanya untuk bergelar jutawan. Membina empayar perniagaan yang kini tular, DYXY Cosmetics, ibu kepada tiga orang cahaya mata ini antara wajah-wajah pengasas produk mekap tempatan yang wajar dibanggakan. Perjalanan yang dilalui selama ini mencipta haluan kejayaan sekaligus memasang layar untuk menuju ke destinasi cemerlang seterusnya.
“Alhamdulillah, produk DYXY kini kian dikenali dan diterima ramai. Saya amat bersyukur dengan sokongan berterusan yang diberikan oleh orang ramai dalam memastikan DYXY terus relevan di pasaran. Mungkin ada yang masih belum mengenali label DYXY. Jadi baru-baru ini kami ada mengadakan showcase di beberapa buah negeri di Malaysia,” cerita Dyana memulakan bicara.
Setiap perniagaan pasti ada cabaran tersendiri. Akui Dyana, cabaran yang dilalui cukup mencabar.
Ads
“Sejujurnya terdapat banyak cabaran yang kami hadapi di DYXY. Antaranya ialah wujud produk tiruan DYXY. Hampir kesemua produk yang kami keluarkan kini sudah mempunyai yang palsu. Produk fake ini dijual dengan harga jauh lebih murah dan memberi kesan buruk pada kulit wajah. Namun ada cara mudah untuk mengenal pasti sama ada produk DYXY yang dibeli adalah asli ataupun tiruan.
Ads
Setiap produk originaL DYXY akan memaparkan laman sesawang www.dyxycosmetic.com setiap kali anda imbas barcode yang terdapat pada packaging. Jika sebaliknya, ia adalah produk tiruan. Untuk membanteras hal ini, kami di DYXY telah membuat laporan kepada pihak berkuasa dan berharap produk tiruan berkenaan dapat dihapuskan”, tegas Dyana.
Ads
Kejayaan yang ditempa Dyana dalam menguruskan perniagaan miliknya membuktikan kebolehan wanita untuk menggapai impian. Sebelum mengakhiri perbualan, Dyana sempat memberikan nasihat buat wanita yang ingin menceburi bidang perniagaan.
“Perasaan takut pasti timbul saat ingin memulakan sesuatu bisnes. Namun tidak salah jika kita memberi peluang pada diri untuk mencuba perkara baharu. Paling penting ialah niat kita untuk belajar dan menjadi wanita yang lebih berjaya. Tidak semestinya sesuatu perniagaan itu harus bermula dengan bajet yang besar. Selagi ia mampu menjana pendapatan, why not! Bagi saya, sekarang ialah masa terbaik untuk wanita di luar sana untuk berjinak-jinak dalam bidang perniagaan,” bicara Dyana penuh semangat.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap kegigihan dan ketekunan itu pasti akan berbayar. Selagi kita punya usaha yang tinggi untuk memperbaiki diri, InsyaAllah akan berhasil dengan rezeki sempurna. Namun setelah sukses digenggam, fokus kita cuma satu untuk menjadi seorang yang bernilai di dunia serta akhirat.
Roslinda binti Muhamad Yusof, 34 tahun, seorang ibu tunggal yang gigih mencari rezeki untuk membesarkan dua orang anaknya, Lisa Amanda, 9 tahun dan Rayyan Isaac, 8 tahun. Impiannya kini tercapai bila berjaya membuka spa kecantikan.
“Saya akui dalam keadaan pandemik sebelum ini, bisnes banyak terjejas terutamanya dalam bidang spa facial. Sepanjang COVID melanda, kami diarahkan tutup sehingga kes menurun. Namun sewa kedai tetap berjalan dan perlu dibayar seperti biasa. Banyak benda yang terpaksa dikawal termasuk perbelanjaan harian untuk menyara kedua-dua anak saya serta komitmen yang lain,” jelas Roslinda tenang.
Terus bercerita tentang pengalaman berniaga, Roslinda senang berkongsi kisah yang dilaluinya, “Pada tahun 2015 saya mula berniaga dengan membuka jualan carboot di pasar raya. Saya menjual pelbagai pakaian fesyen wanita selama 2 tahun. Inilah cara saya mula bertapak berniaga secara kecil-kecilan, demi mencari rezeki yang halal. Untung tak banyak tapi cukup untuk kami anak-beranak.
Sehinggalah pada tahun 2017, saya diperkenalkan dengan perniagaan mobile spa networking oleh seorang rakan. Kerana minat yang mendalam terhadap bidang kecantikan, saya belajar ilmu tentang penjagaan kulit dan wajah.
Maka bermulalah perjalanan saya membuat rawatan wajah dari rumah ke rumah, alhamdulillah permintaan sentiasa ada dan ramai yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Sehinggalah saya mencipta kejayaan dalam bidang tersebut sehingga diberi peluang melancong ke luar negara secara percuma oleh pihak syarikat produk kecantikan yang saya gunakan.
Saya sering dilantik menjadi speaker tentang ilmu kecantikan dan berjaya membimbing hampir 100 orang pemilik spa Malaysia di bawah saya.
Pada tahun 2019, saya pernah cuba untuk membuat produk sendiri, tetapi sayangnya bukan rezeki saya. Perniagaan tersebut mampu bertahan selama setahun sahaja. Mungkin disebabkan kekurangan ilmu dalam menguruskan perniagaan yang betul menyebabkan saya gagal.
Namun, saya tidak sama sekali berputus asa. Dengan pengalaman dan rintangan kehidupan peribadi yang saya lalui, kini saya telah memiliki spa kecantikan sendiri atas hasil usaha saya selama ini. Setiap kali memandang kedua-dua wajah anak saya, mereka adalah sumber kekuatan untuk saya bangkit dan terus berusaha tanpa berputus-asa,” ujar Roslinda.
Kala mengimbas kenangan lalu, terlalu banyak pengalaman air mata yang dilalui untuk diceritakan. “Saya teringat suatu ketika dulu sewaktu mengumpul modal untuk berniaga, setiap hari saya menabung demi mengambil stok pakaian untuk dijual di carboot.
Ada satu ketika dalam keadaan cuaca yang tidak baik, hujat lebat-selebatnya. Saya tak sempat untuk menyimpan pakaian tersebut dengan selamat, lalu semua pakaian itu telah rosak dan tidak dapat dijual.
Saya mengalami kerugian dan terpaksa berhenti niaga kerana telah kehabisan modal untuk membeli stok baru. Namun apa yang menyuntik kembali semangat buat saya apabila melihat kedua-dua anak yang menaruh harapan besar kepada saya sebagai seorang ibu untuk membesarkan mereka dengan sempurna. Saya terus bangkit berusaha tanpa menoleh ke belakang lagi.”
Dugaan itu adalah proses untuk mencapai kejayaan, “Bagi saya setiap ujian yang datang pasti ada hikmahnya. Apa yang perlu dan seharusnya kita lakukan adalah bersabar dan tetap berusaha untuk mencapai apa yang diimpikan.
Kita perlu berada dalam circle kawan-kawan yang positif supaya mereka dapat memberi aura yang positif dan selalu meniup rasa semangat untuk majukan diri kita sendiri. Yang membezakan kegagalan dan kejayaan adalah TINDAKAN. Tindakan yang tidak pernah habis dan sentiasa menggali ilmu baru, insyaAllah akan ada sinar menanti,” ujar Roslinda.
Harapan Roslinda kini untuk menjadi seorang ibu dan individu yang lebih baik daripada dulu dan hasratnya untuk memperluaskan lagi cawangan spa yang dimiliki ke Kuantan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rambut menyempurnakan keindahan bentuk wajah setiap insan. Setiap helaian penting, melengkapi penampilan dan keperibadian seseorang. Namun buat Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Qrera Sdn. Bhd. Farah Nadhirah Ibrahim (Ferra), rambut bukan sekadar persis mahkota yang harus dilindungi sebaiknya, tetapi kini ‘nyawa’ buat dirinya. Dari obsesinya terhadap alunan dan keindahan rambut sehinggalah trik dan tip dalam penjagaannya, terhasilah produk unggul penjagaan rambut, kulit dan kuku berjenama, Le’HairBoss.
Siapa menyangka minatnya meniaga dan mencari duit poket sendiri dari kecil menjadi titik tolak dalam mengemudi sebuah empayar perniagaan. Ferra yang juga graduan Diploma Rambut dan Rekaan di Universiti Lim Kok Wing berkata sejak dari zaman kanak-kanak lagi dirinya sudah mula berniaga. “Dulu di usia 7 tahun saya dan kawan dah jual macam-macam barang, dari gelang, baju sehingga perkhidmatan rawatan muka dengan harga RM1,” ujar Ferra membuka bicara.
Dek minat dalam bidang perniagaan serta mahkota wanita khususnya, Ferra membuat keputusan untuk terjun dalam bidang perniagaan selepas beberapa tahun bergelar pramugari. Niatnya hanya satu, iaitu berkongsi rezeki. “Saya berniaga bukan semata-mata nak kaya, tetapi bagi saya rezeki itu perlu dikongsi.”
Menurut penerima anugerah penghargaan NONA Best Hair Care Award ini, perniagaan yang diusahakan sejak tiga tahun lalu kini telah mendapat sambutan menggalakkan di pasaran termasuk para usahawan yang kini menjadi stokis dan pengedarnya.
“Selepas beberapa bulan melancarkan makanan tambahan pertama di Malaysia untuk rambut, kuku dan kulit, perniagaan semakin aktif, lantas kami perkenalkan rangkaian produk lain seperti syampu, tonik dan perapi. Produk ini dihasilkan daripada formulasi dan hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama setahun bertujuan dalam menghasilkan produk berkualiti dan memberikan manfaat kepada pelanggan,” katanya.
Jelas Ferra lagi, produk Le’hairboss memang dicipta khas untuk membantu orang yang mengalami masalah rambut atau ingin mengekalkan rambut yang sihat. “Pelanggan kami tidak perlu berbelanja banyak untuk mendapatkan rambut yang sihat. Mujurlah setakat ini kami telah menerima banyak maklum balas positif dan testimoni yang jujur daripada pelanggan kami.
Ferra juga mengakui dalam perniagaan apa yang penting selain pelan pemasaran yang mantap, bagi dirinya ialah kelestarian produk. “Produk pertama yang menaikkan jenama kami ialah makanan tambahan (supplement) untuk rambut, kulit dan kuku yang pertama di Malaysia, dan setahun kemudian barulah kami keluarkan tonik rambut.
Kenapa saya keluarkan tonik sebab ia dapat melengkapkan penggunaan vitamin. Vitamin untuk dalaman dan tonik untuk luaran. Kemudian baru kami keluarkan syampu dan perapi (conditioner) untuk penjagaan. Le’hairboss tak akan keluarkan produk baru dengan cepat kerana kami menjalankan R&D yang benar-benar sistematik demi menghasilkan produk yang berkesan untuk semua pengguna.”
Siapa wanita inspirasi Ferra dalam bidang perniagaan, “Inspirasi saya adalah Kylie Jenner. Saya cukup memandang tinggi keazaman Kylie yang mahu diingati menerusi produknya. Seperti jenama ciptaannya, iaitu Kylie Cosmetics dan Kylie Skin, beliau mahu mencipta sesuatu untuk orang mengingatinya sampai bila-bila. Samalah seperti saya, saya mengimpikan jenama Le’Hair ini untuk digunakan walaupun bila saya sudah tiada nanti. Saya mahukan legasi produk saya untuk terus hidup dan boleh menjadi legenda suatu hari nanti.”
Baca artikel penuh penerima NONA Best Hair Care Award di majalah NONA edisi Januari 2023 yang sudah pun berada di pasaran.
Teks: Wan Mohd Firdaus
Foto: Remy Othman
Penata Gaya: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rezeki tidak pernah salah alamat, di mana sahaja kita berada di bumi Allah, insyaAllah rezeki itu pasti ada buat mereka yang rajin berusaha. Sama ada lambat atau cepat, sikit atau banyak itu semuanya bergantung kepada usaha serta tentunya dengan izin Maha Pemberi Rezeki.
Nurleen Binti Ibrahim, 35 tahun, merupakan pemilik kepada Leenzy Ibrahim Kitchen yang didaftarkan di bawah syarikat Leenzy Ibrahim Enterprise. Menjalankan perniagaan secara ‘online’ melalui Facebook dan Instagram. Diusahakan sepenuhnya dari rumah, Nurleen memfokuskan bidang pembuatan kuih-muih, kek, kek lapis Sarawak, pastri dan makanan bagi katering kecil-kecilan.
Wanita ini juga merupakan pelajar terbaik untuk kursus Masakan dan Pramusaji Giatmara, Stampin Kuching. Dia pernah mengikuti Kursus Pembangunan Rancangan Perniagaan RBC dibawah kelolaaan MARA dan Penerima Geran Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) melalui SME CORP.
“Saya akui pandemik ini menjejaskan banyak perniagaan termasuk saya sendiri. Namun bagi saya ia tidak harus dilihat sebagai satu masalah besar, sebaliknya fokus harus diberikan untuk untuk mencari jalan agar perniagaan dapat diteruskan dalam apa jua keadaan.
Kalau dulu saya akui tempahan bukan hanya tinggi pada hari-hari perayaan sahaja tetapi hari-hari biasa juga. Namun semenjak pandemik, kesan kekurangan tempahan itu dapat dirasai setiap hari malahan terjejas apabila hari demi hari tiada tempahan,” jelas anak Bintulu, Sarawak itu.
Namun keadaan ini tidak mematahkan semangat beliau untuk bertahan dalam perniagaan. “Sebagai orang Islam apa saja yang kita buat dalam kehidupan, jalinan ukhuwah sesama manusia dan perniagaan perlu dilaksanakan dengan reda Allah. InsyaAllah rezeki itu pasti ada jika kita sentiasa menjaga perkara ini.
Rezeki dan hubungan baik dengan keluarga, adik-beradik serta masyarakat luar akan seiring jalan, ditambah dengan kualiti produk yang mesti dijaga agar semua berpuas hati dengan perkhidmatan kita.
Saya selalu pesan kepada diri dan anak-anak, jika dalam keadaan apa sekalipun kita perlu sentiasa jaga hubungan dengan Allah, solat dan sebagainya.
InsyaAllah kalau kita jaga semua tu, Allah akan jaga benda-benda lain untuk kita. Percayalah rezeki dan kesenangan itu datang dari Allah sebab kita baik pada orang lain dan keluarga,” ujar Nurleen sambil tersenyum manis.
“Kita perlu punya perancangan perniagaan yang baik. Jika gagal plan A, perlu ada plan B dan seterusnya. Kuncinya kena terus usaha, banyak mengkaji permintaan pasaran. Cuba lihat apa kekurangan perniagaan yang kita ada sekarang dan berusaha untuk memperbaiki diri.
Jangan meniru hasil kerja orang lain, tapi jadikan apa yang kita lihat itu sebagai satu inspirasi dan cuba untuk jadi lebih baik daripada itu. Jangan lihat satu masalah itu sebagai beban, jadikan ia sebagai semangat untuk bangkit kerana jikalau kita berusaha setiap kesusahan itu akan ada kemanisan di hujungnya, insyaAllah.”
Mengimbas kembali kisah bagaimana Nurleen mula bertapak, bukan mudah perjalanan dilaluinya. “Saya dilahirkan dalam keluarga besar yang memang suka berniaga. Semenjak arwah ayah tamat perkhidmatan beliau di satu syarikat pelantar minyak di Miri, ibu dan ayah balik ke kampung halaman di Bintulu dan membuat keputusan untuk berniaga.
Dari kecil saya membantu mereka. Membungkus dan mengangkat kuih-muih hingga lama-kelamaan ianya menjadi kebiasaan buat saya. Pengalaman inilah membawa saya memulakan perniaga secara serius pada tahun 2012.
Produk pertama yang dihasilkan ialah biskut makmur dan brownies. Niat saya buat hanya untuk suka-suka, tapi tanpa disangka jadi bahan mulut ke mulut pelanggan saya.
Boleh dikatakan setiap hari ada tempahan. Saya tidak hanya fokus pada 2 produk itu sahaja, saya juga menjalankan perniagaan katering untuk syarikat swasta dan juga badan-badan kerajaan dan masa itu pekerja saya adalah di kalangan lepasan GiatMARA, kawan-kawan saya dan juga adik-beradik.
Pada tahun 2016, saya berkahwin dan kemudian saya berpindah ikut suami ke Negeri Sembilan. Hijrah saya ini menjadi satu cabaran besar bagi saya untuk membuat rangkaian baru di Semenanjung Malaysia. Ia memerlukan perhubungan yang lebih terbuka dan persaingan agak sengit di kalangan para peniaga.
Perlu lebih komitmen tinggi dari segi masa dan tenaga serta usaha. Memang mencabar di awalnya kerana tiada orang yang mengenali saya.
Namun dengan adanya Instagram, Facebook dan rangkaian di media sosial, saya teruskan membuat promosi memperkenalkan produk saya di seluruh kawasan Negeri Sembilan, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor.
Alhamdulillah berkat usaha itu, pelanggan saya bertambah dari hari ke hari,” ujar Nurleen sambil menyatakan biskut makmur air tangannya merupakan salah satu biskut kegemaran Dato’ Rizalman Ibrahim.
Banyak suka duka dalam berniaga yang dilalui…. “Terlalu banyak sebab setelah ayah saya diberhentikan kerja, sememangnya dari kecil saya tahu ayat ‘berusaha’ dan pada tahun 2006 saya pernah melalui keperitan hidup apabila menjadi ibu tunggal kepada seorang anak lelaki.
Pada masa itu, anak sulung saya inilah menjadi kekuatan saya. Memang lama saya nak bangkit balik daripada kekecewaan itu, tapi orang cakap ‘life must go on’ kalau saya tak buat sesuatu tiada siapa yang boleh bantu melainkan diri saya sendiri
Saya ingat ada satu masa itu saya berniaga di tepi jalan, anak sulung saya sentiasa menemani saya sampai tertidur di bawah meja jualan saya.
Tapi anak tak pernah merungut, dia seronok bersama saya. Alhamdulilah saya dikurniakan anak yang sangat baik dan tak menyusahkan.
Kami pernah melalui keadaan dalam hujan lebat basah kuyup sambil angkat barang katering penuh dalam kereta. Saya amat bersyukur Allah memberikan kudrat dan kekuatan yang sangat besar buat saya. Semua pengalaman inilah, menjadi cikgu sebenar untuk saya terus maju dalam bidang perniagaan.
Saya percaya selagi kita rajin berusaha takkan ada benda yang menjadi penghalang. Kita perlu positif dan elakkan diri daripada meminta-minta. Saya kena usaha sendiri demi membesarkan anak saya masa itu. Alhamdulillah saya tak menyusahkan sesiapa, saya mampu bagi kesenangan menyekolahkan anak saya sendiri.
Pengalaman tersebut sangat berharga bagi saya. Kalau dulu saya sedih dan anggap itu semua beban, sekarang saya bangga sebab saya pernah berada dalam situasi tersebut tapi saya berjaya melepasinya,” cerita Nurleen mengimbas kembali perjalanan hidupnya sebelum ini.
Sekarang kebahagiaan mengiringi kehidupan Nurleen bersama suami dan tiga orang anaknya. Nurleen banyak mengikuti kelas online seperti kelas food photography, kelas perniagaan dan kelas Bahasa Inggeris. Ini semua merupakan satu pelaburan untuk perniagaannya di masa hadapan.
“Suatu hari nanti dengan izin Allah saya ingin membuka small café yang menjual pelbagai jenis produk kek, pastries dan kek lapis Sarawak. Saya berharap perniagaan saya ini nanti dapat membantu lebih banyak golongan yang susah dari segi kewangan dan pekerjaan.
Niat saya ingin menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda atau kepada sesiapa yang ingin bekerja secara sambilan. InsyaAllah.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Zizi Kirana Sambut Ramadan di Syria apabila penyanyi itu menyertai misi bantuan kemanusiaan menyampaikan makanan, kit ibadah dan bantuan kepada keluarga serta kanak-kanak yang berpuasa di kawasan perang.