
Terpesona menatap kecantikan gadis Papar, Carol Abbey Gail yang baru dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2023 terbaharu. Bukan saja cantik jelita, malah pintar serta sesuai dijadikan inspirasi gadis muda yang berkebolehan.
Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Unduk Ngadau mungkin hanya satu lagi pertandingan ratu cantik namun ia sebenarnya diadakan pada Mei setiap tahun sempena meraikan perayaan Tadau Kaamatan yang menjadi tradisi rakyat Sabah bagi mengenang kisah legenda pengorbanan Huminodun.
Tampil dengan pakaian tradisional daerah masing-masing, ratusan wanita bersaing mewakili kawasan masing-masing bagi merebut gelaran Unduk Ngadau. Unduk Ngadau berasal dari perkataan Runduk Tadau yang bermaksud ‘gadis dinobatkan sebagai sinar cahaya matahari’.





Pertandingan kecantikan ini adalah sinonim dengan Sabah, kerana ia merupakan pertandingan kecantikan paling terkenal di negeri ini, yang menonjolkan wanita cantik dan cerdas dari semua daerah di Sabah. Paling penting, setiap peserta harus fasih bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing.
Kemenangan Carol mewakili daerah Papar sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2023 pada sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada 31 Mei lepas, sudah dapat dijangka.
Berusia 24 tahun, gadis yang merupakan graduan ekonomi kewangan daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu melambangkan jati diri gadis Sabah yang kental dan berilmu.


Selain berjaya menewaskan 49 peserta lain, Carol yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu turut membawa pulang hadiah wang tunai RM16,000 beserta beberapa hadiah iringan termasuk biasiswa pendidikan dari Universiti Kolej North Borneo.
Artikel berkaitan:
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Tak Payah Mekap Mengarut, Solekan Natural Saja Lebih Evergreen Dan Simple” – DATIN SAIDATULNISA

35 tahun lalu, Datin Saidatulnisa Aminuddin atau mesra dengan sapaan Kak Sai hanya menjadi jurusolek amatur yang suka menyolek teman seperjuangan. Namun kini, Kak Sai diletakkan sebaris jurusolek kelas A dan sering mendapat tempahan bukan sahaja dari golongan orang biasa dan selebriti malah kerabat diraja. Layangan jemarinya bagaikan sentuhan magis yang mengindahkan wajah polos mereka.
Begitu lembut bertutur dan serius saat menjalankan tugas menyolek individu, Kak Sai meletakkan displin sebagai teras untuk terus mencipta kejayaan. Setiap pelanggan diberi sentuhan berbeza dan mengikut citarasa mereka di samping idea yang hadir dari Kak Sai sendiri. Mengenali Kak Sai, tentunya memberi inspirasi kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang solekan.
Permulaan kerjaya anda dan berapa tahun berada dalam dunia solekan?
Sejak zaman remaja lagi saya sudah mula belajar teknik solekan. Ketika itu rakan-rakan yang aktif dalam tarian kebudayaan adalah ‘mangsa’ saya. Dari situ, apa yang saya lakukan menjadi buah mulut rakan-rakan yang suka hasil kerjatangan saya. Selepas itu saya mula berjinak-jinak membuat solekan untuk pengantin dan aktif juga menyolek untuk iklan-iklan. Ketika itu saya baru berusia 20 tahun, kira-kira 35 tahun lalu.


Bagaimana minat bermula sebagai jurusolek?
Saya suka mencantikkan orang dan melihat mereka cantik pada pandangan mata saya. Bermula dari solekan pada adik-beradik, minat itu semakin menebal. Kebetulan Ella pula sedang bergiat aktif dalam bidang nyanyian di sekolah jadi selalu jugalah saya makeup Ella.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Tiada masalah kerana nenda saya dulu juga adalah seorang pendandan, tukang jahit dan menggubah hantaran untuk perkahwinan kerabat diraja. Barangkali kedua ibu bapa saya juga sudah biasa dengan situasi ini dan mereka menerima dengan hati terbuka apa yang ingin saya lakukan. Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka akan mengikut jejak langkah nenek.


Apakah cabaran pernah anda hadapi ketika menyolek bakal pengantin?
Salah satu cabarannya adalah apabila pengantin dan ibu pengantin mempunyai cita rasa berbeza. Ketika itulah peranan seorang jurusolek menjadi ‘orang tengah’ yang tidak berat sebelah. Semua ini kita belajar dari pengalaman menguruskan fiil orang.
Nama anda begitu dikenali dan sering menjadi pilihan bakal pengantin. Bagaimana anda mampu terus kekal menjadi jurusolek pilihan bakal pengantin?
Saya selalu berpegang teguh pada punctuality dan consistency. Bagi saya, itu salah satu perkara penting dalam hidup saya. Ketegasan disiplin itu sangat penting dan mungkin kerana itu saya masih dikenali dan menjadi pilihan sehingga kini.



Siapakah idola anda dalam kehidupan?
Jika dalam bidang solekan, idola saya adalah Pat McGarth. Sama seperti saya, dia memulakan kerjayanya tanpa sebarang latihan formal. Dia lebih dikenali dengan hasil kerja menarik dan kreativiti yang tidak ada pada orang lain.
Bukan sahaja terkenal dengan hasil solekan yang indah malah Pat McGarth juga berjaya mengeluarkan produk kecantikannya tersendiri. Melihat kepada kejayaannya, saya sendiri menyimpan hasrat untuk mempunyai jenama sendiri dan ia menjadi impian yang belum kesampaian. InsyaAllah jika diizinkan, dalam waktu terdekat ini nanti.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Jaga displin diri kerana ia menjadi asas kejayaan sesiapa sahaja, bukan hanya untuk seorang jurusolek. Pendekatan yang saya gunakan dalam setiap solekan adalah kesegaran dalam look yang dipilih. Pastikan juga penggunaan produk terkini dan tidak hanya terhad kepada satu jenama.
Paling penting, kebersihan perlu dijaga kerana apa yang saya lakukan melibatkan bahagian paling penting pada tubuh seseorang dan menjadi titik tumpuan orang ramai.
Sebagai jurusolek professional, sentiasa belajar teknik terkini dan tahu jenis-jenis solekan semasa supaya tidak ketinggalan zaman.


Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Saya sentiasa menyolek mengikut cara saya sendiri, tidak terikut-ikut trend terkini secara keterlaluan kerana bagi saya, trend terkini yang melampau akan pudar satu hari nanti. Saya lebih gemar menitikberatkan kecantikan semula jadi mereka kerana saya mahu mereka melihat semula gambar perkahwinan dengan hati yang berbunga-bunga. Solekan evergreen sentiasa menjadi keutamaan kerana ia semula jadi dan segar. Saya percaya solekkan natural, berseri dan segar adalah yang terbaik.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan?
Jika untuk saya, tiada lagi istilah cabaran atau saingan. Kak Sai telah melalui pelbagai pahit manis bergelar jurusolek. Kak Sai telah merasa gilang gemilangnya perjalanan kerjaya saya sehingga kini. Perasaan untuk bersaing itu sudah tidak ada. Cukup sekadar mengekalkan apa yang kita miliki kini. Jujurnya, kerjaya saya ini lebih banyak manis dari pahit dan saya sangat bersyukur dengan kedudukan saya sekarang.
Saya bangga kerana ramai yang menunjukkan minat dalam bidang solekan, kerana jika dulu sangat sukar mencari jurusolek terutama jurusolek perempuan dalam industri. Kata orang, lagi ramai, lebih meriah! Cuma untuk menjadi yang terbaik, kerja mereka itu biarlah berkualiti.

Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Be consistent, cari stail dan gaya tersendiri. Hasil kerja biar bersesuaian dengan keadaan, majlis, masa dan tempat. Jangan syok sendiri pula!
Kredit foto: Instagram Datin Saidatulnisa
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Draupadi Murmu Kini Presiden Terbaharu India, Wanita Kedua Pegang Jawatan Tertinggi Pada Usia 64

Nama Draupadi Murmu kini menjadi perhatian dunia apabila menjadi Presiden wanita kedua di negara India. Ahli politik wanita daripada komuniti puak di negeri timur Odisha bakal menggantikan Ram Nath Kovind yang akan tamat penggal lima tahunnya 24 Julai ini.
Dilahirkan pada 20 Jun 1958 dan kini berusia 64 tahun, Murmu yang dicalonkan oleh parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) menewaskan calon pembangkang Yashwant Sinha, 84.
Kemenangan ini menjadikan beliau sebagai Presiden India ke-15 dan wanita kedua pernah memegang jawatan ini selepas Pratibha Patil (Presiden India ke-12, 2007-2012).


Merupakan seorang graduan seni dari Rama Devi Women’s College, Murmu mendirikan rumah tangga dengan pegawai bank, Shyam Charan Murmu yang telah pun meninggal dunia pada tahun 2014.
Pasangan itu memiliki dua anak lelaki, yang kedua-duanya juga telah meninggal dunia, serta seorang anak perempuan bernama Itishri Murmu.
Kecintaan Murmu terhadap masyarakat bermula sejak beliau mengajar di sekolah lagi. Pernah menjadi guru dan pembantu profesor di Shri Aurobindo Integral Education and Research Institute, Rairangpur, kerjaya wanita ini terus cemerlang sebelum mengambil keputusan menceburi politik.
Membesar dengan nama asal Draupadi Tudu, kampung Murmu terletak di pedalaman sejauh 1650km daripada Delhi. Bapanya seorang petani dan Murmu mempunyai 3 adik-beradik. Selepas berkahwin dengan mendiang Shyam, wanita ini menukar nama akhirnya sebagai Murmu.
Menyingkap memori perkenalan, mereka saling mengenali ketika masing-masing menuntut di Bhubaneswar, sebelum persahabatan ini dijalin dengan hubungan serius iaitu perkahwinan.
LAYAK
Meskipun tewas, bekas Menteri Kewangan India iaitu Sinha yang meletak jawatan daripada BJP pada 2018 kerana berbeza pandangan politik turut mengucapkan tahniah kepada Murmu.
“India berharap sebagai presiden ke-15 republik itu beliau dapat berfungsi sebagai penjaga Perlembagaan tanpa rasa takut atau pilih kasih.” Sinha


Pengundian Presiden ini diadakan pada Isnin dan pengiraan undi selesai pada Khamis. Presiden India dipilih secara tidak langsung oleh anggota dewan secara undi elektoral.
Murmu, yang berasal daripada puak Santhal di daerah Mayurbhanj Odisha dan pernah menjadi guru sekolah sebelum menyertai politik dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Odisha. Murmu bersara sebagai Gabenor Jharkhand pada 2021.
“Beliau mempunyai tempoh yang sangat baik sebagai Gabenor Jharkhand. Saya pasti beliau akan menjadi Presiden yang cemerlang, memimpin India terus maju ke hadapan dan mengukuhkan perjalanan pembangunan India.” Perdana Menteri Narendra Modi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Allah Hadirkan Orang Yang Baik-Baik” Rezeki Kian Bertambah, PUTERI SARAH LIYANA Bangkit Demi Anak-Anak

Disakiti dan dilukai pasti akan meninggalkan bekas yang mendalam. Itulah yang dialami oleh pelakon dan modell jelita, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin.
Kalau dulu kehidupannya sehari-hari hanyalah suami dan anak-anak namun sejak rumah tangganya bersama pengarah terkenal, Shamsul Yusof diganggu oleh pihak ketiga, Puteri Sarah mula bangkit demi mempertahankan haknya dan anak-anak.

Ibu kepada Syaikul Islam Mohd Shamsul dan Sumayyah Mohd Shamsul ini kembali aktif dalam dunia lakonan.
Rezekinya kian mencurah-curah berkat kesungguhan dan niat kerana Allah SWT. Kita selami isi hati wanita kelahiran London ini bagaimana dia berdepan dengan depresi dan akhirnya bangkit menjadi Puteri Sarah yang ‘baru’.

“Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT kehidupan saya dan anak-anak sekarang semakin baik.
“Selain lebih bahagia, saya kembali menjadi Puteri Sarah yang dulu, lebih fokus dan tegas dalam membuat sebarang tindakan mahupun keputusan dalam kehidupan.
6 tahun Puteri Sarah Liyana menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Bahagia menjaga dan menguruskan keperluan anak-anak serta suami. Namun langit tak selalunya cerah. Kita tidak akan tahu apa yang bakal berlaku di kemudian hari tetapi yakinlah dengan perancangan Ilahi.
Pesan Puteri Sarah, wanita usah terlalu selesa dengan apa yang ada sekarang kerana kita tak akan tahu apa yang akan jadi kemudian hari. Bekerjalah dan niat kerana Allah SWT. Insha-Allah rezeki sentiasa murah dan berkah.
Dengarkan luahan hati seorang isteri dan ibu yang sangat kental memperjuangkan hak wanita teraniaya.
#majalahnona
#inspirasinona
#nonasuperwoman
#puterisarahliyana
#coverdigital” />
“Saya juga bersyukur kerana Allah SWT telah hadirkan orang yang baik-baik di sekeliling saya Antaranya keluarga, keluarga mentua termasuk pembantu peribadi saya.
“Mereka adalah insan-insan yang sentiasa memberi sokongan dan ada di sisi saya saat susah senang,” kongsi Puteri Sarah yang kini berusia 36 tahun.

“Untuk berhadapan dengan situasi ini bukannya mudah. Bagi saya, cara terbaik untuk seorang wanita itu bangkit ialah dengan mengambil tindak sewajarnya.
“Berkata-kata memang mudah tetapi orang tidak berada di tempat saya, apa yang berlaku dan sebagainya. Masalah masing-masing tidak sama.


Kalau dulu saya berhenti kerja kerana memilih untuk berkahwin. Selama enam tahun saya menjadi suri rumahtangga sepenuh masa.
“Niat saya untuk menjadi isteri dan ibu yang terbaik untuk anak-anak. Waktu itu saya bergantung sepenuhnya dengan nafkah suami.
“Bila perkara empat tahun itu berlaku, saya sudah mula berfikir ke depan kerana tidak mahu menyesal di kemudian hari.
“Waktu itu saya terfikir hendak buat bisnes secara kecil-kecilan sahaja. Dengan wang simpanan yang ada, saya buat bisnes produk penjagaan kulit, kosmetik serta tudung.

“Waktu itu kebetulan saya mengandungkan Sumayyah. Satu keajaiban berlaku di mana waktu itu saya baru saja sebulan memulakan bisnes kosmetik.
“Dengan izin Allah SWT rangkaian kosmetik saya itu berjaya memasuki AEON Wellness seluruh Malaysia selama dua tahun.
“Bagi saya, sentiasa rajin bersedekah walaupun merasa tidak cukup duit. Bersedekah dengan seikhlas hati. Gembirakan ibu bapa. Alhamdulillah, rezeki Syaikhul dan Sumayyah juga.

“Anak-anak saya sudah mulakan sejak mereka bayi lagi ternasuk insuran serta simpanan haji. Itu semua persediaan awal untuk kegunaan masa depan mereka.
“Saya juga sudah merancang untuk menghantar mereka ke sekolah terbaik agar cemerlang daam akademik, Insha-Allah.
SOKONGAN KELUARGA & MENTUA
“Mentua pun selalu layan saya seperti anak mereka sendiri, bukan macam menantu.
“Sebelum ini, saya sangat takut untuk move on, takut untuk bertindak. Saya juga takut hendak keluar rumah. Atas naihat mereka saya menjadi berani dan yakin.

DULU RASA TAK CANTIK, DOWN TERUK
“Saya rasa saya tidak cantik, buruk, rasa sangat down dan tidak menjaga diri. Berat badan susut secara mendadak.
“Kurus kering sangat dan saya merasakan diri ini umpama batang mop, skeleton pun ya. Saya langsung tiada confident
“Sehinggalah suatu hari, bapa mertua menyuruh saya keluar bekerja. Katanya, you need to do that sebab bila bekerja kita tidak akan stres.”



“Sekarang bila dah mula bekerja, saya berjaya membina keyakinan diri. Saya juga kembali memiliki berat badan ideal.
“Saya juga nak anak-anak hidup dalam suasana positif dan tak mahu lagi anak-anak lihat saya sebagai seorang yang pemarah dan negatif.
“Saya gembira Semuanya sudah kembali seperti sediakala, dapat bergelak ketawa.
“Nasihat saya buat para isteri sayangi diri dan hargai diri dahulu kemudian barulah anda boleh menjaga keluarga.
“Jika apa-apa berlaku, tanya diri sendiri apa yang harus anda buat. Penting untuk fikirkan kesihatan mental kita dulu.
“Selain itu, wanita juga kena ada kerjaya. Jangan rasa selesa dengan apa yang anda ada sekarang. Buat para suami, sayangilah isteri anda.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


