Dari pentas ajang ratu cantik, wanita berparas jelita ini selesa mengembangkan kerjayanya sebagai entrepreneur. Dari sekadar hobi suka-suka mengayuh basikal, Crissty Chiang Liyean dan suami tekad mengusahakan Cyclists & Co, sebuah kedai basikal high-end yang baru dirasmikan di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.
Ruang pameran Cyclists & Co diberi sentuhan maskulin. Siling dan kerangka rak hitam diterangi lampu pemantul, menyerlahkan himpunan basikal mewah yang diterbangkan khas dari Itali.
Kata Crissty, selain basikal untuk pelbagai kegunaan, kedainya turut menawarkan servis membaiki basikal, komponen teknikal, aksesori dan pakaian untuk lelaki mahupun wanita.
Jika jelitawan lain asyik bercerita soal fesyen dan kecantikan, Crissty pula fasih menerangkan koleksi jenama basikal di kedainya. Cannondale, Colnago, Pinarello dan Sworks antara basikal berprestasi tinggi yang diterbangkan jauh dari Itali.
Kata Crissty sambil menerangkan satu-persatu model basikal di situ, kebanyakan model ini digilai oleh ramai pencinta sukan basikal, khususnya golongan atasan yang mementingkan mutu kayuhan.
Pengetahuan Crissty dalam bidang sukan berbasikal jelas menjadi kelebihan ratu cantik yang juga bekas juara Miss Selangor 2004 ini, selain pernah menjadi model catwalk dan komersial selama 12 tahun.
“Sebenarnya suami saya, Ken Lim, sangat aktif berbasikal pada waktu lapang. Malah dia juga pernah menyertai beberapa tournament dan mempunyai ramai kenalan dalam sukan ini. Dari situlah juga tercetusnya minat saya dalam bidang ini.
Selain bagus untuk kesihatan, hobi berbasikal juga membuka ruang bersosial sesama wanita dan membolehkan peminatnya berkumpul tanpa mengira kaum.
Ads
Menjelang musim PKP, saya mula mendalami bidang perniagaan basikal secara serius. Selepas meneliti permintaan, kami pilih Publika kerana lokasinya yang strategik dan mula membawa masuk jenama-jenama basikal serta aksesori terbaik dari luar negara untuk pasaran Malaysia.” Crissty Chiang
Ads
Berusia 30-an, wanita lulusan ijazah kesetiausahaan perniagaan ini mula memberi fokus terhadap operasi Cyclists & Co sejak dibuka pada Julai lepas.
“Sebelum ini saya menjalankan bisnes makanan fusion Jepun dari rumah iaitu Wasushi. Perniagaan berkonsepkan delivery ini dijalankan bersama adik dan adik ipar saya sewaktu PKP.
Saya juga pernah bertugas sebagai setiausaha di sebuah firma hiasan dalaman. Selepas berkahwin, tumpuan saya lebih kepada keluarga namun pada kebanyakan masa, saya senang membantu suami menguruskan bisnes seperti membuat kertas kerja.
Ads
Jadi ada kalanya saya di rumah dan ada kalanya saya hadiri mesyuarat atau majlis-majlis penting bersama suami.” Crissty Chiang
********************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
********************
Ditanya apakah persediaan untuk wanita yang baru mula berjinak-jinak dengan sukan ini, Crissty yang merupakan ibu kepada sepasang cahaya mata bingkas memberi penerangan.
“Mudah saja. Pertama sekali anda perlu mempunyai basikal. Di Cyclists & Co, kami menawarkan basikal bermula dari harga RM10,000 dan ke atas.
Kemudian anda juga memerlukan topi keledar serta peralatan keselamatan yang baik sebagai perlindungan di atas jalan raya.”
Siapa sebenarnya Crissty Chiang? Baca artikel lengkap mengenai wanita hebat ini dalam naskhah khas Nona Superwoman Award tidak lama lagi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terinspirasi dengan pencapaian hos dan selebriti cantik, Nana Mahazan. Dalam kesibukan mengacara dan menguruskan suami serta dua anak… masih ada lagi masa untuk mengusahakan bisnes kosmetik sendiri. Memang betul-betul superwoman ni!
Dah jadi lumrah, kecantikan dan wanita memang tak dapat dipisahkan. Pesona Nana atau nama sebenarnya Nurul Hana Che Mahazan mula bersinar sejak dia menyertai program realiti TV Akademi Fantasia musim pertama kira-kira 16 tahun yang lalu. Bermula dari detik itu, perjalanan seni Nana semakin menyerlah. Daripada seorang penyanyi, deejay radio, pelakon dan pengacara… hari ini satu lagi profesion diceburinya iaitu menjadi ahli perniagaan.
Nana di samping keluarga tersayang
Bermula dengan hanya menjual berus mekap keluaran sendiri sekitar dua tahun lalu, kini Nana mampu tersenyum puas apabila berjaya memiliki rangkaian produk kosmetik miliknya ‘by Nana Mahazan’. Daripada berus, bedak asas, span muka, makeup remover, beg mekap sampailah gincu bibir… semuanya ada dalam koleksi label kosmetik Nana Mahazan.
Awal Disember tahun lalu, lipstick DUAbyNanaMahazan dilancarkan dan seperti keluaran sebelum ini, sambutan cukup memberangsangkan. Kongsi Nana, “It’s finally here. DUAbyNanaMahazan. 5 sets of 2. A combination to complete your day & night look!
Tak tahu nak cakap excited macam mana. Dari packaging, nama, shades, segalalah. This is from my heart to yours.”
Bukan je laku keras, produk Nana Mahazan ini pun ada dijual dalam website sendiri. Bagi mudahkan orang ramai membeli dan menggunakan ‘item wajib’ wanita ini, produk Nana Mahazan turut dijual di platform beli-belah terkenal, Shoppe.
Pandai Nana mengatur strategi bisnes dan mengeluarkan produk kosmetik yang memenuhi cita rasa wanita masa kini. Bahkan harga setiap barang pun berpatutan dan ada macam-macam promosi ditawarkan buat penggemar mekap.
Sebagai wanita, Nona bangga dengan kejayaan yang dikecapi Nana Mahazan hari ini. Dia bukan hanya berjaya menjadi isteri dan ibu malah sentiasa mencari peluang untuk berjaya dalam lapangan kerjaya yang diceburi. Moga kerja keras dan usaha Nana mampu memberi suntikan inspirasi kepada semua kaum wanita.
Kredit : Instagram Nana Mahazan
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Siapa sangka, wanita berjiwa cekal yang dahulunya seorang suri rumah dan tiada pendapatan kini bergelar usahawan kosmetik berjaya. Lebih membanggakan, Afzalizah Nizam Azizan bukan hanya menjadi sumber inspirasi wanita bahkan dia juga meraih keuntungan mencecah tujuh angka!
Bermodalkan RM10,000 hasil wang pencen arwah bapa sebagai pesara polis yang dipinjam daripada ibu tersayang menjadi titik permulaan empayar kosmetik Cubre Mi. Menyedari ‘nilai’ wang berkenaan cukup bermakna bagi ibunya yang hilang tempat bergantung, anak sulung daripada empat beradik ini nekad mengemudi Cubre Mi dengan sepenuh hati.
“Nama Cubre Mi sebenarnya berasal dari perkataan Sepanyol yang bermaksud ‘cover me’. Istilah itu sesuai dengan produk kami sebab salah satu fungsi mekap juga adalah untuk melindungi cela di wajah dan memberi keyakinan kepada pemakai. Jadi, produk pertama yang kami hasilkan pada tahun 2017 ialah Cubre Mi Matte Full Coverage Foundation yang merupakan pencetus utama populariti Cubre Mi.
Atas sokongan rakan niaga dan pembeli setia, Cubre Mi berjaya menambah produk keluarannya saban tahun. Dikenali sebagai produk yang bertemakan warna ceria dan lembut, ia amat sesuai untuk golongan remaja dan dewasa yang suka kelihatan sweet and adorable.
Sebelum mengusahakan Cubre Mi saya tidak bekerja dan hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Tapi demi mahu membantu suami dan jana duit sendiri, saya berusaha mempelajari cara pengurusan perniagaan dan kewangan. Sedikit demi sedikit Cubre Mi telah mencuri perhatian ramai pelanggan dan rakan niaga.
Permintaan yang tinggi dari pelanggan juga telah mengubah dan menambah pendapatan rakan niaga saya, terutamanya suri rumah sepenuh masa. Saya melihat suri rumah yang dahulunya bermula dengan dropship kini lebih berkeyakinan dan sesetengahnya telah upgrade menjadi ejen dan stokis Cubre Mi.
Awal bisnes dahulu saya bermula dengan sejumlah minimum foundation menggunakan duit arwah ayah sebagai modal. Sekarang, alhamdulillah jualan semakin meningkat. Untuk Cubre Mi dikenali dalam industri, saya boleh katakan ia tak terlalu cepat dan juga tak terlalu lambat. Namun dalam masa setahun kami berjaya raih pulangan tujuh angka. Tahun lalu menyaksikan jenama Cubre Mi melonjak naik dan untuk mengekalkan momentum itu pastinya saya memerlukan perancangan rapi,” jelas ibu kepada tiga anak ini.
Bercerita mengenai keistimewaan Cubre Mi berbanding lambakan kosmetik yang ada di pasaran, Afzalizah meluahkan keyakinan tinggi terhadap produk yang dihasilkan. Ujarnya, “Saya memahami kesukaran yang dialami para suri rumah untuk membeli barang kosmetik yang kebanyakannya dijual dengan harga mahal. Disebabkan itu misi dan visi utama saya mengusahakan Cubre Mi adalah untuk menghasilkan produk mampu milik yang berkualiti antarabangsa.
Semua rangkaian produk kami dijual dengan harga bawah 50 ringgit. Walau kos tinggi tapi seboleh-bolehkan kami jual dengan harga tidak melebihi amaun tersebut. Selain harga, saya juga akan memastikan kualiti terjaga. Saya amat teliti dalam pengunaan bahan kandungan Cubre Mi.
Sebelum produk dipasarkan saya akan pastikan pihak chemist menjalankan penyelidikan terhadap bahan dan produk. Menerusi penyelidikan ini, produk yang akan dipasarkan perlu selamat digunakan dan mengeluarkan tekstur yang sempurna dan pilihan warna yang diminati ramai,” ungkapnya yang selamat melahirkan anak ketiga pada 22 November lepas.
Sepanjang tiga tahun berada di pasaran, Cubre Mi sudah menghasilkan lima produk iaitu bedak asas, penggaris kening, lip matte, pemerah pipi dan terbaharu, pembayang mata. Daripada kelima-lima produk tersebut, jualan paling laris ialah bedak asas dan penggaris kening.
Mengulas lanjut matlamat utama Cubre Mi, Afzalizah berkata dia mahu melihat lebih ramai wanita khususnya suri rumah menjana pendapatan sendiri. Di samping berhasrat membuka cawangan Cubre Mi di setiap negeri di Malaysia. Buat masa ini Ibu Pejabat Cubre Mi terletak di Sungai Petani, Kedah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Melangkah masuk ke galeri seni milik YM Sharifah Bahiyah Jamalullail yang terletak di Desa Sri Hartamas, mata terpaku dengan hasil kerja tangannya yang penuh berseni. Elemen alam semulajadi menjadi elemen utama yang diketengahkan di dalam koleksinya. Tema flora seperti bunga mawar menjadikan ianya nampak begitu hidup dan menyerikan segenap ruang.
Berpeluang melihat dan menghayati hasil karya artis berdarah keturunan diraja ini antara pengalaman menarik buat diri penulis yang sememangnya kurang kemahiran dalam menilai sesuatu hasil seni. Ini kerana, setiap lukisan yang digantung pada dinding ruang pameran milik Sharifah bahiyah yang terletak di Desa sri hartamas ini seakan-akan ‘hidup’ dan penuh penceritaan.
Terhasil daripada terjemahan rasa dan ekspresi artis di atas kanvas, lukisan abstrak ekspresionis yang ditampilkan bukan saja menampilkan nilai estetika tersendiri malah turut mengajak anda untuk berfikir lebih jauh. Malah tidak salah jika dikatakan, koleksi lukisan yang ditampilkan oleh YM Sharifah Bahiyah memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan karya bermula daripada karya awal ketika pembabitannya.
Terkenal dengan lukisan bermotif flora, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan unsur bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni. Sambil berkongsi beberapa lukisan yang pernah dihasilkan, YM Sharifah Bahiyah sememangnya menggemari keindahan flora sebagai elemen utama lukisannya selain kini berjinak menghasilkan lukisan dalam bentuk abstrak selaras dengan perkembangan hasil seninya.
Menurut wanita berketurunan diraja Perlis dan Negeri Sembilan ini, motif flora sering menjadi pilihan di awal pembabitannya dalam dunia lukisan kerana gemarkan keindahan bunga yang membawa maksud kecantikan dan keceriaan.
“Sememangnya motif bunga amat sinonim dalam kehidupan sehari-hari. Bayangkan bagaimana gembiranya seseorang sekiranya menerima jambangan bunga sebagai hadiah daripada yang tersayang. Ia sekaligus dapat menceriakan seseorang terutamanya untuk hari-hari istimewa seorang wanita. Jadi, saya mengabadikan signifikasi bunga dan wanita dalam lukisan yang dihasilkan kerana bunga melambangkan kebahagiaan untuk setiap wanita,” jelas Sharifah Bahiyah yang anggun dengan solekan oleh Vee Muhammad dan persalinan menawan dari Syomirizwa Gupta.
BERMULA DARI HOBI
Sambil membelek beberapa koleksi yang dipamerkan di ruang pameran, penulis sempat diberi kesempatan untuk melihat sendiri ruang kerja di mana Sharifah Bahiyah menghabiskan masa menghasilkan karya seninya. Aroma cat akrilik, pelbagai jenis berus dan kanvas menjadi teman setia Sharifah Bahiyah menterjemahkan sesuatu melalui lukisan cat yang dihasilkannya.
Selain memilih motif bunga-bungaan, kini Sharifah Bahiyah turut menampilkan unsur abstrak dan sebagainya sebagai elemen utama hasil seninya. Tidak hairanlah mengapa hasil seninya amat halus memandangkan dirinya mengabadikan sepenuh minat dalam seni lukisan sejak kecil lagi.
Ketika ditanya mengenai bagaimana minat dalam dunia lukisan mula bercambah di dalam dirinya, wanita anggun ini berkata sejak zaman kanak-kanak lagi dia sudah didedahkan dengan minat melukis dan mewarna oleh bonda tersayang, Almarhum YAM Tunku Mudziah bte Tuanku Munawir.
“Sejak kecil saya mempunyai hobi melukis dan mewarna. Ketika itu, di tangan pasti akan ada scatch book untuk membolehkan saya melukis apa juga yang dilihat seperti melukis pokok, bunga dan apa sahaja yang menarik untuk dilukis. Hanya kira-kira sepuluh tahun kebelakangan ini saya mula mengambil serius mengenai seni lukisan ini dengan mengambil peluang mendaftarkan diri di kelas-kelas lukisan.
Selain itu, mungkin dek kerana minat terhadap bidang ini terlalu mendalam, saya banyak belajar sendiri melalui latihan dan pembacaan mengenai hasil karya pelukis-pelukis ternama yang boleh dijadikan sumber inspirasi,” ujar Sharifah Bahiyah yang menghargai karya agung Monet dan Van Gogh.
Ditanya mengenai pandangannya mengenai industri seni terutamanya lukisan di Malaysia, beliau berpendapat Malaysia telah berjaya melahirkan ramai pelukis yang mempunyai bakat yang besar dan boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Namun jika diberi ruang yang lebih untuk masyarakat Malaysia lebih menghargai keindahan seni, sudah tentu hasil kerja artis tempatan mampu setanding dengan karya antarabangsa.
“Hasil seni sebenarnya adalah salah satu bentuk pelaburan untuk sampai ke pemikiran dan hati seseorang manusia. Bayangkan jika sebuah kediaman tanpa sebarang lukisan, sudah tentu ia akan terasa kosong dan tidak bermaya. Hasil seni ini memberikan anda satu dimensi baru dan suasana yang lebih nyaman. Jadi, saya melihat konteks ini sebagai salah satu kombinasi kehidupan yang memberikan sumber ketenangan buat seseorang,” ujar Sharifah Bahiyah lagi.
Hampir 10 tahun berada dalam industri, karya terbarunya banyak memperlihatkan kematangan dari segi penghasilan dan nyata berbeza daripada karya ketika awal pembabitan.Secara peribadi, karya yang dihasilkan olehnya kini adalah penanda aras bagi perjalanan kerjaya seni sejak 10 tahun yang lalu sehingga kini. Sisi kematangan bukan saja menjelaskan pengalaman dan perjalanan karya seni tapi turut diterjemahkan dari sudut penghasilan karya itu sendiri.
Terkenal dengan lukisan campuran media cat minyak di atas kanvas, Sharifah Bahiyah berkata dia kerap bereksperimen selain banyak mengetengahkan warna-warni dalam karyanya ketika mula bertapak sebagai anak seni.
Menyentuh pula mengenai kedatangan Ramadan yang sememangnya amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam, anakanda kepada YAM Tengku Syarif Bendahara Perlis Syed Badarudin Jamalullail ini tidak terkecuali dari merasai keseronokan menyambut kedatangan Ramadan kerana ia merupakan antara momen indah yang dikenang sepanjang hayat.
Menurutnya, setiap kali kedatangan Ramadan, dia dan keluarga akan mengambil kesempatan sepenuhnya untuk sama-sama menyertai umat Islam mengerjakan solat sunat terawih di masjid ataupun di kediaman saudara-mara terdekat untuk mengeratkan ukhwah persaudaraan.
“Namun begitu, malam ke 20 Ramadan lebih istimewa kerana seluruh keluarga akan berkumpul di Istana Besar Seri Menanti dan menunaikan solat sunat terawih bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dan kerabat diraja yang lain,” ujar YM Sharifah Bahiyah yang juga merupakan anakanda saudara kepada Yang di Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Selain menunaikan solat sunat terawih, Ramadhan merupakan bulan yang istimewa untuk melihat refleksi diri dan muhasabah diri serta bersyukur dengan nikmat kehidupan yang diperolehi. Selain itu, Sharifah Bahiyah juga menjadikan bulan istimewa ini untuk lebih bertenang dan sumber ketenangan tersebut membolehkan dirinya menghasilkan hasil seni yang lebih dekat di hatinya.
Selain menantikan kedatangan Ramadan, bulan Syawal juga menjadi momen yang ditunggu olehnya memandangkan ia membolehkan kebanyakan kaum kerabat berkumpul. Kesibukan dengan tugas seharian pastinya membataskan waktu untuk bertanya khabar.
“Sememangnya sambutan Hari Raya merupakan saat paling dinantikan kerana ia merupakan momen untuk berkumpul bersama keluarga. Kebiasaannya, saya akan mengambil giliran menyambut Hari Raya sama ada di Perlis dan Negeri Sembilan. Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid, seluruh kaum kerabat akan berkunjung ke Makam Diraja sebelum meneruskan tradisi memenuhi jemputan rumah terbuka di istana.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesanan supaya masyarakat Malaysia lebih berhati-hati dalam memilih juadah untuk berbuka puasa agar pembaziran tidak berlaku. Tambahnya lagi, Ramadan sewajarnya menjadi bulan untuk setiap insan bersyukur dengan nikmat yang diberikan dan soal pembaziran dari segi makanan tidak seharusnya berlaku.
“Ramadan adalah saat yang istimewa kerana nikmat dan syukur seharusnya melebihi dari segalanya. Usah terlebih berbelanja, ingat kepada umat islam lain yang berpuasa dalam keadaan serba kekurangan. Semoga Ramadan dan Syawal ini lebih diberkati untuk setiap umat Islam,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak imigran dan tak selesai pengajian, kini Lucy Guo tersenarai sebagai antara wanita termuda dalam senarai America's Richest Self-Made Women pada usia 30 tahun!