Pesona dan aura primadona, Ogy Ahmad Daud masih memukau. Meskipun mempunyai nama besar dalam industri seni tanah air namun figura ini cukup merendah diri.
Saat ramai yang memuji kecantikan dan bakat lakonan yang dimiliki, Ogy hanya tersenyum manis dan mengungkap kata syukur. Jauh sekali, melihat dia mendabik dada dengan segala kejayaan dan kurniaan yang diraih selama ini.
Bersandarkan peribadi yang menyenangkan tersebut, tidak hairanlah pada usia mencecah 61 tahun Ogy atau nama sebenarnya Fauziah Dato’ Ahmad Daud masih menjadi perhatian dan kesayangan peminat.
Lebih bertuah, anak kepada seniman Dato’ Ahmad Daud dan seniwati Datin Saadiah ini turut dikurniakan cahaya mata perempuan yang makin menginjak usia remaja.
View this post on Instagram
9 November lepas, permata hati Ogy yang diberi nama Nur Aminah Aishah genap berumur 16 tahun. Biarpun bergelar anak selebriti, namun Aminah enggan meraih populariti dan selesa hidup jauh daripada dunia glamor ibu tersayang.
Daripada perkongsian Ogy mengenai Aminah di media sosial sebelum ini, gadis berkenaan disifatkan seorang yang pemalu dan sangat disayangi bintang Filem Azura tersebut.
Mengulas peribadi anak tersayang, Ogy mendedahkan Aminah seorang anak yang baik dan rajin belajar. “Alhamdulillah, dia jump kelas dua tahun. Syukur alhamdulillah. Saya sangat strict seperti arwah ayah dari segi pelajaran.
Education is very important sebab ilmu itu sangat penting. Saya bersyukur dia tak terlibat dalam bidang seni. Dia tak meminati langsung dan tiada social media.
Dia bukan seorang introvert tapi terus-terang dia ialah anak yang tidak suka mengikuti saya ke lokasi penggambaran. Dia tak suka sangat. Dia lebih suka buku, belajar.
Saya pernah test, tak payahlah pergi sekolah. Tapi dia suka belajar. Saya syukur sangat-sangat. Impian saya nak dia melanjutkan pembelajaran ke luar negara.”
Sementara itu bercerita mengenai perwatakan dirinya yang sentiasa tampil ceria dan bertenaga, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia 1985 dan 1986 ini sambil ketawa menyusun bicara.
“Saya tak pernah mewujudkan dinding bahawa bila naik usia lima atau enam angka you dah masuk golongan tua-tua. Saya tidak pernah ada stigma sebegitu dalam kehidupan. Selagi Allah bagi nafas dan nyawa, just go with the flow.
Saya ialah orang yang penuh positivity vibes dalam diri saya. Ada masalah, saya hadap masalah itu saya tidak akan sembunyi. Saya memang orang yang suka bekerja. Saya kalau tak bekerja satu hari macam tepu otak.”
Tambahnya lagi, “Saya seorang yang suka berfikir but not overthinking. Berfikir dari sudut explore ilmu. Benda-benda itu buat saya jadi energetik dan saya tak suka flash back kisah silam.”
Antara lakonan Ogy yang masih menjadi bualan sampai hari ini termasuklah filem Azura, Ali Setan dan Suara Kekasih.
Jelitawan ini juga pernah mendirikan rumah tangga pada tahun 1990 bersama seniman, Eman Manan selama 13 tahun namun berpisah pada tahun 2003.
Selain masih aktif mewarnai dunia seni lakonan, Ogy juga ligat mengusahakan bisnes Ogy’s Food Biz yang menjual Sambal Goreng Saadiah dan Sambal Kurau Masin Berlado.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/pejuang-kanser-jelita-usia-47-jiwa-kental-shafnie-besarkan-anak-anak-cetus-inspirasi/