“Semasa jadi atlet kehidupan penuh dengan tekanan walau dilayan dengan penuh kesenangan gaji yang besar insentif yang tinggi. Akan tetapi kebahagiaan hidup saya tiada. Saya kena tinggalkan anak tidak dapat beraya sama.
Kejayaan yang dilakar oleh bekas jaguh silat negara, Mohd Al Jufferi Jamari memberi seribu kemanisan di pentas silat dalam mengharumkan nama negara dan warisan bangsa Melayu. Al Jufferi namanya begitu gah dalam dunia persilatan dan juga pernah merangkul pingat emas empat kali pada Kejuaraan Pencak Silat Dunia.
Anak kelahiran Pahang yang berusia 31 tahun ini, sememangnya sangat dikagumi. Kejayaan demi kejayaan yang dirangkul menjadikan dirinya antara atlet yang dipandang tinggi.
Namun kejayaan yang diraih Al Jufferi tidak datang bergolek, pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu telah menempuh fasa bersusah-susah dahulu supaya mendapat kesenangan dan berjaya di penghujungnya, sebagaimana yang diharunginya selama 15 tahun dalam arena persilatan.
“Zaman sekarang bukan seperti zaman saya dahulu, dahulu cara hendak berjaya kena usaha sendiri, sebab dahulu kita belajar dari susah dan senang kemudian.
“Saya berlatih empat tahun, tidak pergi mana-mana pertandingan hanya untuk menjadi seorang juara yang terus berkekalan. Selama empat tahun berlatih dan 15 tahun dalam dunia silat untuk wakili negara, jadi jumlah 19 tahun saya buat persediaan yang sangat panjang,” ungkap Al Jufferi yang juga penerima Darjah Kebesaran Peringkat Ketiga Setia Ahmad Shah Pahang (SAP).
Sambung Legasi Arwah Ayah
Mengimbas kembali permulaan ceburi bidang persilatan, Al Jufferi menerangkan pada awalnya dia merupakan seorang atlet perenang. Namun dek kerana sekitar usia tujuh tahun, dirinya mengalami kecederaan pada lutut terus bertukar kepada sukan silat.
“Silat bukannya minat. Arwah ayah Jamari Dirun, merupakan cikgu silat dan saya sambung legasinya. Dari situ terus datang minat yang luar biasa,” kongsi Al Jufferi.
Jati Diri Orang Melayu
Sepanjang berada dalam arena persilatan seribu kemanisan yang dilalui, sewaktu bertandang ke studio, beliau berkongsi pengalaman tersebut. Menurut suami kepada Nurul Farhana Abdul Majid dan juga bapa kepada empat orang anak itu dirinya sangat gembira apabila putera sulung sudah memahami erti perjuangan beliau.
Ads
“2022 merupakan tahun terakhir saya dalam arena sukan silat. Pada waktu itu, saya dapat fahamkan anak sulung saya apa erti perjuangan. Ia bukan sekadar kesukanan kemudian meraih kemenangan atau kekalahan. Akan tetapi mengenai maruah dan jati diri kita sebagai orang Melayu.
“Paling gembira, apabila anak sulung memahami erti semangat juang saya. Sejak usianya empat tahun secara tak langsung dia membesar dengan baik,” kongsi Al Jufferi yang sebelum ini pernah berkongsi mengenai anak sulungnya yang menderita sakit kanser. Kini Furqan Al Haq sudah disahkan bebas kanser. Ketabahan anak tersayangnya itu menjadi pembakar semangat juang buat atlet hebat ini.
Kalah Walau Dua Tahun Berhempas Pulas Jalani Latihan
Disebalik kemanisan pasti ada terselit kepahitan, Al Jufferi tidak dapat melupakan kekalahan yang dialami selepas berhempas pulas berlatih selama dua tahun.
“Pada 2018 iaitu Sukan Asia Indonesia, di mana saya telah berlatih selama dua tahun tanpa henti, namun akur alami kekalahan. Terpaksa melalui latihan intensif yang tinggi di luar negara. Waktu itu saya terpaksa lakukan pengorbanan yang sangat besar kerana meninggalkan keluarga saya selama dua tahun sehingga tak sambut hari raya dengan mereka.
“Fikiran saya hanya terbayangkan pengorbanan isteri. Ketika itu, saya dan isteri baru saja kahwin dan terpaksa tinggalkan dia selama dua tahun.
“Malah saya juga tak sempat bawa isteri ke mana-mana untuk berbulan madu dan bercuti. Alhamdulillah isteri amat mehamai kerjaya saya,” kongsi Al Jufferi lagi.
Luangkan Masa Bersama Keluarga
Sewaktu kejayaan sedang memuncak, Al-Jufferi telah mengumumkan persaraannya secara rasmi, Ogos tahu lalu. Beliau terpaksa berundur dari arena persilatan dek kerana faktor kesihatan terutama kecederaan pada bahu kanan yang dihadapinya selama ini yang memerlukan tumpuan untuk dipulihkan.
Ads
Kini dirinya meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selepas gagal berbuat demikian sebelum ini disebabkan komitmennya sebagai seorang atlet.
“Tahun 2022 selepas bersara paling bahagia dalam hidup. Saya jalani kehidupan seperti orang biasa. Alhamdulillah kehidupan lebih baik berbanding masa jadi atlet.
“Semasa jadi atlet kehidupan penuh dengan tekanan walau dilayan dengan penuh kesenangan gaji yang besar insentif yang tinggi. Akan tetapi kebahagiaan hidup saya tiada. Saya kena tinggalkan anak tidak dapat beraya sama.
“Malah selama hampir 13 tahun jalani latihan dan berada di luar negara sejak zaman remaja, saya tidak pernah rasai pengalaman sambut raya di negara sendiri. Kiranya tahun lepas paling bahagia di mana saya baru tahu pengalaman beraya di Malaysia mengadap kesesakan lalu lintas sewaktu pulang ke kampung dan solat raya bersama keluarga tersayang,” luah beliau.
Superhero Di Mata Al Jufferi
Ditebak siapakah superhero di mata beliau, Al Jufferi mengidolakan Ahmad Shahril Zailudin dan juga guru silat beliau, Datuk Osman Nok.
Ads
“Sudah tentu Ahmad Shahril Zailudin yang juga merupakan pesilat negara. Kedua, guru saya Datuk Osman Nok, beliau terapkan jati diri pada saya.
“Malah menerusi beliau juga saya tahu erti tujuan hidup. Alhamdulillah, saya tahu tentang perjalanan hidup yang sangat baik. Mereka berdua tonggak utama dalam kerjaya saya dan beri inspirasi sangat luar biasa,” kongsi beliau.
Senjata Paling Mahal Hati & Fikiran
Al Jufferi juga menyambung Datuk Osman juga mengajar erti jati diri yang kuat. Malah ketika mengalami kecederaan di bahu kanan Al Jufferi tetap meneruskan perjuangan dalam perlawanan.
“Fikiran sentiasa positif mengenai negatif. Tahun 2022 saya mengalami kecederaan di bahu kanan, keajaiban berlaku apabila kite terus berjuang kerana Allah dan negara.
“Saya tak dapat gambarkan bagaimana semangat yang saya alami ketika itu, kecederaan serius yang saya alami di bahu yang serius, waktu itu saya ambik keputusan teruskan perlawanan. Ikutkan jurulatih suruh undur diri saja.
“Namun waktu itu tidak mahu mengalah kerana waktu itu PKP dan mengalami gaji yang sikit. Malah masa berlatih pun tak jumpa keluarga. Macam dalam penjara jadi apabila dapat keluar dan berjuang untuk negara apabila kecederaan tercabut bahu yang sikit takkan saya tak teruskan.
“Saya masih ada tiga anggota yang boleh saya lawan iaitu kedua kaki dan tangan kiri saya. Senjata paling mahal adalah hati dan fikiran saya. Pilihan itu Allah beri pada manusia sahaja. Jadi saya mempunyai hak untuk saya pilih samaada saya teruskan atau tarik diri. Apabila saya teruskan alhamdulillah kemenangan saya buat permulaan,” ujar Al Jufferi yang juga turut menyatakan semangat yang hadir juga dek kerana pengalaman menjaga anak di hospital lebih sebulan dan menyaksikan ada kanak-kanak yang menderita kanser meninggal di depan mata beliau. Malah perjuangan yang diterapkan dalam diri juga demi anak kesayanga. Dirinya juga menasihati kepada mereka yang menghadapi kesukaran dalam hidup, semangat akan mengatasi segala masalah yang kita hadapi.
Pemilik Al Jufferi Silat Academy ini juga turut menasihati anak muda yang berada dalam arena persilatan agar jangan malu jika kalah dalam pertandingan.
Sangat Bertuah
Berkongsi perasaan apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah Nona Superhero Award 2023, Nona Men’s Active Award Al Jufferi berasa sangat bertuah.
“Satu peluang yang sangat baik untuk saya kerana dipilih. Tak terkata. Terkejut, layak ke untuk saya dapat? Namun saya terima seadanya mungkin ini pilihan panel Nona atau sokongan daripada Nona. Saya sangat bertuah. Saya bukanlah superhero mana pun. Hanya memartabatkan silat di persada dunia dan sangat syukur apabila dihargai,” akhiri beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kemampuan usahawan muda wanita dalam menggemudi empayar perniagaan kini tidak dapat dinafikan lagi. Kemunculan pelbagai jenis produk sama ada secara online mahupun offline membuktikan golongan ini mampu bersaing sekaligus merancakkan lagi industri perniagaan.
Penerima Nona Superwoman Award 2020 kategori Nona Excellence Bird’s Nest Brand Award, Sahi Sarang Burung diterajui dua anak muda iaitu Amy Yusuff dan Norelissa Idayu. Sahi Sarang Burung merupakan tablet kunyah berasaskan sarang burung pertama di Malaysia berperisa laici sarat dengan khasiat khususnya untuk kesihatan dan kecantikan kulit.
Pengasas Sahi Sarang Burung, Norelissa Idayu (kiri) dan Amy Yusuff.
PERMULAAN
“Sahi Sarang Burung diperkenalkan pada awal tahun 2017. Permulaannya, masing-masing pernah melalui pengalaman perit dalam perniagaan disebabkan oleh individu yang sama. Individu terbabit ‘meninggalkan’ kami separuh jalan. Setelah menemui jalan buntu, berbekalkan kepercayaan kami bersetuju meneruskan perniagaan berdua memandangkan saat itu kami baru saja saling mengenali.
Bersama Nora Danish (Kredit foto: Instagram @amyyusuff)
Disebabkan Amy penggemar dan pengamal sarang burung sejak turun temurun, Amy yakinkan saya bahawa sarang burung banyak kebaikannya dan boleh pergi jauh dalam pasaran masyarakat Melayu. Ketika itu pasaran sarang burung masih skeptikal hanya dalam masyarakat Cina. Setelah berbincang dengan pakar kimia makanan yang dilantik khas untuk syarikat kami, saya amat berpuas hati dengan hasil dan kesan dialami sendiri. Saya betul-betul teruja dengan produk pertama kami itu.
Kami mula mengatur strategi. Di awal perniagaan agak mencabar kerana Amy masih belajar di Ipoh, saya pula baru melahirkan bayi. Kebiasaaan kami ketika itu ialah bertemu di kafe di mana Amy akan turun ke Kuala Lumpur menaiki tren KTM dan pulang waktu petang dengan tren juga. Selebihnya, kami berkomunikasi melalui telefon saja. Saya menguruskan bahagian pemasaran dan Amy menguruskan bahagian pengeluaran.
Norelissa Idayu bersama suami dan anak-anak. (Kredit foto: Instagram @norelissa)Kredit foto: Instagram @norelissa
Kami menambah baik kebaikan di dalam Sahi bukan hanya dari sarang burung saja bahkan makanan sunnah seperti kurma, kismis, madu dan buah tin. Kami juga pastikan produk ini bebas kolagen. Dalam tempoh setahun, syarikat kami berkembang pantas. Kini kami mempunyai 7 produk berasaskan sarang burung. Bukan hanya suplemen malah terdapat produk penjagaan kulit. Terbaharu, Sahi Sarang Burung berperisa strawberi. Kami juga mempunyai 5 pekerja termasuk ejen-ejen seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
MENDIDIK PENGGUNA
Cara menguruskan sarang burung sangat rumit kerana perlu dicuci bersih dan dimasak dahulu. Harga juga agak mahal dan rasanya kurang sedap jika diminum terus. Justeru, kami mahu mendidik pengguna tentang kebaikan sarang burung dengan menyediakan produk yang sangat mudah diamalkan iaitu secara kunyah selain sedap dan mampu milik. Kami juga mendidik pengguna agar sentiasa menjaga kesihatan dan kecantikan kulit secara natural.
SAHI SARANG BURUNG tablet kunyah berasaskan sarang burung pertama di Malaysia. (Kredit foto: Instagram @amyyusuff)
Perbaiki masalah kulit bermula dari dalam, jangan ambil jalan pintas. Sebab itulah, kami gantikan kolagen dengan bran beras bagi penghasilan kolagen semula jadi dari tubuh. Kolagen tambahan tidak sesuai untuk penghidap penyakit dalaman wanita. Maka pentingnya mereka mendapatkan khidmat nasihat percuma daripada kami,” kongsi Norelissa Idayu.
CABARAN
“Untuk permulaan bisnes, kami hanya menggunakan wang simpanan sendiri tanpa membuat sebarang pinjaman. Apabila produk mula diterima ramai dan mendapat sambutan yang sangat baik, kami laburkan pula jumlah wang yang lebih besar untuk bahagian pemasaran.
Bersama pelakon terkenal, Ben Amir ketika ‘Dinner Team Sahi’ pada September lalu. (Kredit foto: Instagram @amyyusuff)
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, stok amat terhad kerana pengeluar tidak beroperasi sepenuhnya. Pun begitu, kami berjaya lalui dengan melonjakkan jumlah jualan sebanyak dua kali ganda. Kami menawarkan pelbagai peraduan termasuk cabutan bertuah bagi menambah hasil jualan walaupun stok agak lambat sampai ke ibu pejabat kerana terpaksa menunggu giliran produk siap.
Kredit foto: Instagram @amyyusuffAmy Yusuff bersama ibu dan ayahnya di majlis graduasi tahun lalu. (Kredit foto: Instagram @amyyusuff)
Cabaran lain, kemunculan pesaing-pesaing baru yang mengeluarkan produk berasaskan sarang burung. Namun, kami amat yakin dengan kualiti sarang burung kami kerana hanya menggunakan sarang burung premium dan terpilih saja. Kandungan sarang burung dalam produk-produk kami juga tinggi iaitu lebih 50%. Sebab itu pengguna setia bersama Sahi selepas alami sendiri keberkesanannya.
Selain serasi, bersikap terbuka dan jujur faktor utama mereka berjaya meledakkan perniagaan Sahi Sarang Burung.
SERASI
Percanggahan pendapat itu normal kerana masing-masing ada pendapat tersendiri. Namun kami sentiasa berpegang kepada objektif syarikat dan berusaha ke arah target yang dipersetujui bersama. Saling menghormati adalah tunggak hubungan kami di mana apa-apa keputusan perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Kami juga lebih terbuka dan berterus-terang serta tidak memendam dalam hati. Kami hanya mahu yang terbaik buat syarikat,” akhiri Amy Yusuff.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sekarang cuaca panas yang tak menentu mengundang bermacam masalah kesihatan antaranya selesema, demam dan batuk. Bukan saja anak-anak yang menderita dengan gejala ini bahkan dewasa juga. Biasanya batuklah yang paling memakan masa yang lama untuk sembuh.
Batuk merupakan tindak balas semula jadi badan bagi menyingkirkan berbagai zat penyebab iritasi di saluran pernafasan. Jenis batuk ialah berkahak bercampur lendir dan batuk kering. Kedua-duanya cukup mengganggu terutama waktu malam sehingga menjejaskan kualiti tidur.
Salah satu punca batuk ialah merokok atau berada di tempat berudara kering. Batuk juga boleh menjadi gejala kepada mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti asma. Banyak cara yang boleh diikhtiarkan untuk meredakan gangguan batuk.
MINUM BANYAK AIR KOSONG
Ini cara paling mudah boleh dilakukan. Sebaiknya ambil yang suam kerana ia dapat membantu mencairkan lendir yang kental sekaligus membersihkan saluran pernafasan.
PILIH MINUMAN YANG MELEGAKAN
Selain air kosong, boleh juga memilih minuman panas yang lain bagi melegakan sakit tekak akibat batuk. Contohnya secawan teh madu panas bersama hirisan lemon yang dapat membantu melegakan hidung tersumbat dan sakit tekak. Anda juga boleh menghirup jus nanas segar yang membantu menghilangkan lendir di tekak.
BERENDAM ATAU MANDI AIR PANAS
Sama manfaatnya seperti meminum air suam. Wap yang terhasil dapat membantu melegakan hidung tersumbat sekaligus mengurangkan batuk. Namun begitu ingat, jangan mandi atau berendam terlalu lama kerana boleh menyebabkan kulit kering.
JAGA KEBERSIHAN & KELEMBAPAN UDARA
Udara yang kering boleh menyebabkan batuk. Salah satu cara untuk anda menjaga kelembapan dan kebersihan udara ialah dengan menggunakan humidifier. Asap rokok juga boleh menyebabkan penghasilan lendir yang berlebihan sehingga mengakibatkan batuk menjadi lebih parah.
MAKAN UBAT BATUK
Jika batuk masih belum reda setelah mencuba cara-cara tadi beralihlah kepada ubat batuk. Anda boleh membelinya di farmasi berdaftar. Namun pastikan dulu, jenis batuk kering atau berkahak bagi memastikan anda membeli ubat yang betul. Salah satu ubatnya Dextromethrophan yang membantu mengurangkan rasa hendak batuk. Jika anda sering batuk pada waktu malam dan tanpa kahak boleh pilih ubat jenis ini.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kelmarin bersamaan Khamis 17 November, Puteri sulung Yang di-Pertuan Agong Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah telah dianugerahkan Ijazah kehormat “Doktor Universiti” oleh Universiti Heriot-Watt Malaysia (HWUM) bertempat di Hotel Marriott, Putrajaya.
Penganugerahan Ijazah Kehormat ‘Doctor of the University’ adalah merupakan pengiktirafan atas sumbangan dan usaha Tengku Puteri Iman Afzan memperjuangkan kesihatan mental di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.
Tengku Puteri Iman Afzan, yang juga merupakan penaung antarabangsa Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020, juga telah menghantar delegasi Malaysia ke Kongres Kesihatan Mental Persekutuan Dunia ke-23 di Westminster, London, di United Kingdom, tahun ini.
Hadir sama YAM Tengku Puteri Raja Tengkup Puteri Ilisha Ameera dan YAM Tengku Puteria Raja Tengku Puteri Ilyana.
Majlis Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Pro Canselor Heriot-Watt University Malaysia, Professor Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Beliau juga merupakan pengasas dan presiden Green Ribbon Group (GRG) yang bertujuan memperkasa pihak berkepentingan dalam meningkatkan kesedaran tentang isu kesihatan mental dan mencipta penyelesaian yang berdaya maju melalui advokasi, pengumpulan dana dan kerjasama.
Penganugerahan darjah kebesaran ini berlangsung pada istiadat graduasi HWUM turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.