Sedang sibuk menyelesaikan tugasan, tiba-tiba mata terasa pedih. Air mata seperti tidak dapat ditahan-tahan merembes laju dan merecik-recik pada lensa kaca mata. Ia benar-benar merimaskan.
Tahukah anda, gejala mata pedih sekaligus merembeskan air yang banyak sebenarnya merupakan petanda awal masalah kekeringan mata. Ia boleh terjadi apabila mata gagal mengawal air mata yang cukup dan acap kali dialami oleh individu yang berusia 40-an ke atas khususnya wanita.
Gejala mata kering dan pedih ini bukan sahaja merimaskan, tetapi turut menjejaskan beberapa aktiviti seperti ketika menggunakan komputer atau membaca untuk tempoh masa yang panjang.
Jenis-Jenis
Lapisan air mata terdiri daripada tiga lapisan lain. Ini termasuk lapisan air mata sebenar (bahagian tengah), lapisan lemak (paling luar) dan lapisan mukus (paling dalam). Apabila masalah mata kering berlaku, ini bermakna ada yang kurang pada salah satu daripada komponen tersebut.
Ketiga-tiga lapisan ini memiliki kelenjarnya sendiri dan kebanyakannya berada pada kelopak mata. Lapisan lemak merembes oleh kelenjar meibomian. Air mata pula oleh kelenjar lacrimal.
Manakala lapisan mukus dikeluarkan oleh sel goblet. Jika salah satu daripada kelenjar ini rosak ataupun tercedera, fungsinya untuk merembeskan lapisan tersebut akan terjejas dan terhenti.
Kekurangan pada lapisan lemak dan mukus jarang berlaku. Selalunya kerosakan berlaku pada kelenjar lacrimal yang mengeluarkan air mata yang sebenar. Ia mudah rosak disebabkan kemalangan serta infeksi mata yang teruk dan lama. Semua kelenjar pada mata adalah sensitif.
Penyebab Mata Kering
- Radang permukaan mata, kelenjar lacrimal atau konjunktiva.
- Mana-mana proses penyakit yang mengubah komponen air mata.
- Peningkatan dalam permukaan mata seperti dalam penyakit tiroid apabila mata menonjol ke hadapan.
- Penyakit kulit pada atau sekitar kelopak mata.
- Pembedahan kosmetik, jika kelopak mata dibuka terlalu meluas.
Simptom Awal
- Rasa pedih atau panas.
- Terasa seperti berpasir atau seolah-olah ada sesuatu di dalam mata.
- Air mata merembes berlebihan dalam tempoh berterusan.
- Sakit dan mata kemerahan.
- Penglihatan kabur.
- Kelopak mata terasa berat.
- Gatal.
- Banyak mengeluarkan tahi mata.
Rawatan
Dari segi rawatan, ia bergantung pada punca-punca mata kering. Biasanya doktor akan menggunakan pelbagai pendekatan untuk melegakan gejala ini.
Terdapat pelbagai kaedah untuk mengenal pasti mata kering. Antaranya termasuk menggunakan pewarna. Apabila pewarna dititiskan ke dalam mata, warna air mata akan berubah. Menerusi warna biru, lapisan mata akan kelihatan. Pesakit biasanya diminta mengerdipkan mata beberapa kali agar doktor dapat melihat berapa lama tempoh lapisan air mata itu tidak pecah. Ini dikenali sebagai tear breakup time.
Selain itu, ujian Schirmer juga boleh dilakukan. Dua helai kertas kecil akan diletakkan pada bucu mata. Masalah mata kering dapat dilihat menerusi berapa jauh kertas itu basah. Kertas tersebut hanya basah sedikit sahaja kalau individu terbabit berhadapan dengan masalah mata kering.
Jika menggunakan ujian ‘marginal tear strip’, akan nampak ada satu lapisan air mata macam bertakung. Jadi, kena lihat ketebalannya. Kalau air mata kering, ia akan nampak nipis. Masalah mata kering boleh dikenal pasti menerusi ujian-ujian tersebut serta simptom yang kelihatan.
Tidak ada banyak kaedah untuk merawat mata kering. Individu yang bermasalah akan diberikan ‘air mata palsu’ berbentuk ubat titis. Ia boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk kepekatan. Ada yang begitu likat dan ada yang amat cair. Ia akan diberikan kepada pesakit berdasarkan keperluannya.
Air mata palsu ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti jeli. Biasanya ia diberikan secara kombinasi. Pesakit juga akan sentiasa bergantung dengan ubat. Pembedahan boleh dilakukan seandainya tahap kekeringan mata kritikal. Jika air mata terlampau kering, saluran keluar air mata (drainage duct) boleh ditutup menerusi pembedahan.
Selain itu, memakai cermin mata atau cermin mata hitam yang sesuai berhampiran dengan muka atau yang mempunyai perisai sisi, boleh membantu memperlahankan penyejatan air mata daripada permukaan mata. Elakkan keadaan kering bagi membolehkan mata anda berehat apabila melakukan aktiviti yang memerlukan anda menggunakan mata untuk jangka masa yang lama. Rosmah Idayu Abu Samah