Sudah menjadi kebiasaan pengguna media sosial untuk memuat naik status yang berkaitan perasaannya. Tujuannya bagi mendapatkan maklum balas rakan-rakan atau berharap mereka memberikan LIKE terhadap status tersebut.
Ungkapan status pun ada pelbagai. Ada yang sarkastik, memberi motivasi, melucukan dan sebagainya. Selain itu ada juga yang gemar menggunakan Bahasa Inggeris meskipun kerap bercakap Bahasa Melayu pada zahirnya.
Menggunakan Bahasa Inggeris mungkin dilihat lebih bergaya tapi ia juga sebenarnya mengungkap keperibadian kita secara rambang. Cuba lihat tekaan ini, tepat atau tak?
(a) Nampak bijak
Menggunakan Bahasa Inggeris tak semestinya melambangkan anda seorang yang handal atau fasih pada realitinya. Boleh jadi anda terpaksa menggunakan Google Translate semata-mata untuk nampak lebih bijak?
(b) Suka meniru orang lain
Mungkin anda suka melihat artis menggunakan Bahasa Inggeris atau seseorang yang disukai melakukan hal yang sama. Jadi seperti terikut-ikut pula. Lebih-lebih lagi jika komuniti atau rakan-rakan anda adalah mereka yang terpelajar dan selalu bercakap Bahasa Inggeris, takkanlah kita nak cakap Bahasa Melayu.
(c) Sengaja melupakan budaya
Anda menganggap Bahasa Inggeris lebih hebat daripada bahasa kebangsaan sendiri. Tapi orang yang mengagungkan bahasa ibundanya sudah tentu berbangga menggunakan Bahasa Melayu bukan?
(d) Mahu dipandang hebat
Benarkah mereka yang selalu berbahasa Inggeris ini mahu dipandang tinggi, sempurna dan mengagumkan di mata orang lain? Ini mungkin menjelaskan sikap anda yang tak mungkin keluar rumah tanpa bersiap, bermekap atau berpakaian sempurna?
(e) Keyakinan diri yang tinggi
Anda juga mungkin seorang yang memiliki keyakinan diri yang tinggi. Kerana sikap ini, anda tidak kisah pun jika status yang dimuat naik dalam Bahasa Inggeris itu betul atau salah ejaannya.
(f) Suka perhatian
Dengan memuat naik status berbahasa Inggeris, anda berharap banyak orang yang bertanya akan maksudnya sehingga merasa selalu diperhatikan. Dalam kata lain, anda adalah seorang yang suka mencari perhatian.
Ada tekaan yang mengena? Apa pendapat anda tentang pemerhatian ini, mungkinkah wujud maksud lain yang lebih tepat terhadap sikap suka menggunakan Bahasa Inggeris di media sosial? Norzalina Mohd Alias