Susah untuk mencari produk kecantikan jenama tempatan yang halal, apatah lagi yang selamat dan berkualiti tinggi. Hendak menambat kepercayaan orang pun susah juga kerana produk tempatan asyik dikaitkan dengan produk timbang kilo. Tekad dan kesungguhan pengasas Haus Cosmetics ini untuk menawarkan produk berkualiti antarabangsa harus dipuji. Beruntunglah kerana dia mempunyai kilang sendiri. Setiap apa yang dihasilkan dapat dipantau di depan mata.
Rasa cinta mendalam terhadap kecantikan membuatkan pengasas Haus Cosmetics, Norazimah Abd Jalil atau Eiyma Jalil menukar arah panduan dari kerjaya sebagai juruaudit IT (teknologi maklumat) di sebuah bank terjun ke dunia kecantikan. Tidak pernah lari dari minat itu, ketika masih bekerja di bank, Eiyma juga membina nama sebagai jurusolek separuh masa selama hampir lima tahun.
“Sejak tahun 2014 lagi saya sudah memulakan perniagaan dengan kilang kosmetik saya sendiri melalui perkhidmatan OEM kosmetik untuk pengasas-pengasas di Malaysia. Sehinggalah 2019, saya mengeluarkan produk dari jenama saya sendiri iaitu Haus Cosmetics.
Bila kita letakkan minat di tangga utama, ia mendorong kita untuk lebih fokus lagi. Itulah langkah utama saya keluar dari kerjaya di bank sedangkan ketika itu kedudukan saya di sana agak tinggi. Di saat orang luar mengatakan bidang kecantikan tiada masa depan, saya teruskan niat kerana saya dapat mencapai kepuasan maksimum sekiranya dapat menjadikan seorang wanita itu cantik. Saya sanggup memulakan perniagaan kecantikan sungguhpun ia tidak menjanjikan apa-apa kejayaan pun.
Melalui pengalaman penghasilan produk kosmetik dari kilang sendiri, tidak dinafikan Eiyma berjaya meraih kepercayaan dari pengasas lain dengan hasil produk yang cukup berkualiti.
“Sewaktu saya menyediakan servis OEM kepada mereka, saya berbangga kerana air tangan dari kilang saya sendiri dapat menembusi stor Sephora Malaysia, Guardian, Jusco, Isetan dan banyak lagi farmasi serta drugstore di Malaysia. Dan kini saya turut berbangga kerana Haus Cosmetics diterima umum dengan sambutan luar biasa.
Setiap bulan, secara keseluruhan lebih daripada 30,000 botol produk terjual walaupun kami baharu setahun di pasaran. Pengguna sangat berpuas hati dengan formulasi Haus Cosmetics dan mereka sendiri memperkenalkan jenama ini kepada orang lain. It’s a spread of mouth. Kita juga mempunyai sole distributor di Singapura dan mereka sangat berpuas hati dengan kualiti produk kami.
Saya yakin kekuatan produk Haus Cosmetics adalah pada formulanya. Saya sendiri mengetuai bahagian Kajian dan Pembangunan Produk (R&D) di kilang kosmetik GIM Cosmetic Industries. Sebelum sesuatu produk itu dikeluarkan, kami telah mengkaji dan proses menghasilkan formula yang terbaik itu bukanlah sekelip mata, ada produk yang makan masa bertahun untuk kami dapat tune percentage ramuan yang terbaik untuk pengguna.
Walaupun Haus mempunyai kilang sendiri, tetapi formulasi dalam setiap produk adalah jalinan kerjasama daripada ahli kimia (chemist) luar negara serta menggunakan teknologi dari luar negara. Setiap formula yang dihasilkan adalah hasil perbincangan bersama pasukan R&D yang lain dimana kebiasaannya saya suka menjemput para saintis dari Korea, Japan, Itali dan Taiwan sebab teknologi mereka jauh lebih baik dari kita. Itulah kekuatan sebenar Haus Cosmetics,”ujarnya.
Bila ditanya soal cabaran, Eiyma menjelaskan…“Cabaran sentiasa ada dan saya memang seorang yang sukakan cabaran. Apa yang orang tak boleh buat, itu yang saya nak buat. Untuk Haus Cosmetics, saya tidak mahu menjadikan cabaran itu sebagai tembok penghalang untuk jenama ini terus mendaki.
Secara jujur, cabaran utama dalam memasarkan produk Haus Cosmetics ini adalah untuk meyakinkan pelanggan mengenai kualiti tinggi tahap international yang ada dalam setiap produknya. Pasaran kecantikan tempatan telahpun dirosakkan dengan produk tempatan yang mengandungi merkuri dan hydroquinone sehingga mampu merosakkan wajah. Dek kerana ini, pelanggan takut untuk membeli produk tempatan sedangkan Haus Cosmetics sangat selamat digunakan dan dijamin halal.
Haus Cosmetics sangat berbeza, dimana saya ada kilang kosmetik sendiri yang mengawal pengeluaran, kualiti produk, buat R&D dengan pakar kimia dari luar negara serta membuat ujian mengikut SOP yang di tetapkan KKM dan JAKIM,”tegasnya.
Meletakkan Bobbi Brown sebagai ‘panduan’ dalam berniaga, Eiyma melihat kredibiliti Bobbi Brown yang jelas dengan prinsip perniagaan kecantikan serta menghasilkan formulasi makeup treatment dengan bahan berkualiti tinggi agar produk dihasilkan dapat memuaskan hati sebagai kayu pengukur kejayaannya.
“Konsep makeup natural beauty yang dibawa Bobbi Brown sangat diterima baik masyarakat. Dia sendiri turun padang untuk membuat makeup tutorial dan menghasilkan content menarik. Bagi saya, dia adalah sifu kosmetik terbaik buat saya.
Sebagai wanita yang ingin memulakan perniagaan, niat sangat penting. niat utama saya adalah untuk membantu menyelesaikan masalah orang. Jenama Haus Cosmetics ini adalah untuk membantu lebih ramai wanita di luar sana mendapatkan produk kosmetik lebih diyakini halal dan berkualiti sama seperti jenama antarabangsa pada harga mampu milik.
Dengan niat ini, saya berharap setiap wanita dapat memakai produk yang diyakini selamat dan memberi kesan positif kepada wajah mereka dalam jangka masa panjang. Lagi lama mereka menggunakan produk Haus Cosmetics, lagi cantik tekstur kulit mereka.
Keuntungan akan datang kemudian setelah kita berjaya membantu lebih ramai orang. Selain itu, jangan mudah putus asa dalam melakukan sesuatu, sekiranya gagal, cepat-cepat bangkit dan perbaiki kegagalan diri kita.”katanya mengakhiri perbualan. Layari www.hauscosmetics.com untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk Haus Cosmetics.