Siapa yang tidak kenal dengan Pemenang Tempat Ketiga, Pencarian Dewi Remaja 1987, Che’ Puan Datin Mimi Wahedah. Sejak remaja lagi sudah menghiasi dada majalah memperagakan fesyen terkini dan hebat di pentas fesyen dengan gaya yang memukau. Sehingga kini pesona wanita ini masih terserlah dan menarik setiap mata yang memandang.
Che’ Puan Datin Mimi Wahedah telah mengikat ikatan perkahwinan dengan YM Tunku Dato’ Adj. Prof Sr Dr Fauzi Tunku Dato’ Abdul Malek Al Haj, kerabat diraja Kedah. Pasangan ini telah dikurniakan seorang anak gadis, Tunku Affie Rania Tunku Fauzi yang turut bertanding di Pertandingan akhir Pencarian Dewi Remaja 2018/19.
Menurut Che’ Puan Datin Mimi Wahedah, beliau tidak merancang untuk memiliki seorang anak sahaja tetapi telah diduga dengan fibroid. Berkongsi tentang perkembangan kesihatannya, Che’ Puan Datin Mimi Wahedah baharu sahaja menjalani pembedahan membuang uterus dan ovarinya akibat fibroid.
“Setelah melalui beberapa kali rawatan membuang fibroid, akhirnya saya membuat keputusan untuk membuang uterus dan ovari ini. Ramai juga wanita yang berubah selepas membuang organ wanita mereka.
Ads
Namun bagi saya itu semua adalah mind set masing-masing. Apa yang saya lakukan adalah menjadi positif dan gembira selalu. Selepas pembedahan saya banyak mengamalkan makanan yang sihat dan bersenam dengan berjalan di dalam kolam renang.
Berjalan di dalam kolam renang ini membantu melancarkan peredaran darah. Saya tidak boleh melakukan senaman yang berat-berat lantaran pembedahan tersebut, jadi saya memilih cara untuk mengaktifkan diri,” tutur wanita yang berusia 50 tahun ini.
Ads
Tambah Naib Presiden II PENIAGAWATI ini, “Selain sibuk dengan tugas sebagai isteri dan ibu, saya telah melancarkan Ready-to-Wear Turban. Perjalanan perniagaan ini banyak melibatkan bekas pesakit kanser. Bagi saya apa yang saya lakukan ini adalah untuk kepuasan diri sendiri,” bicara Che’ Puan Datin Mimi Wahedah.
Ads
Ketika diajukan tentang pengalamannya menyertai Pertandingan Dewi Remaja dahulu, jawabnya, “Menyertai pertandingan ini boleh membantu mendisiplinkan diri dan menempuh pelbagai cabaran yang berbeza. Sewaktu saya menyertai pertandingan Dewi Remaja dahulu, corak pemarkahannya bukan seperti sekarang.
Bagi saya pertandingan Dewi Remaja kini lebih mencabar apatah lagi bersiaran di televisyen sejak pencarian awal lagi. Namun, apabila anak saya, Rania sudah berada di peringkat akhir, saya sudah cukup berbangga dengan pencapaiannya.
Apa yang boleh saya katakan kepada Rania adalah setiap pertandingan ada kalah dan menang. Apa yang penting jangan memaksa diri and just be yourself,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sepasukan jurutera lengkap coveralls kuning seperti biasa sibuk di bilik kawalan. Dalam kesibukan itu, tumpuan Nona terarah kepada Wan Afiedatul Syamimi Wan Ishak atau Fieda, satu-satunya Jurutera Sistem Kawalan wanita yang bertugas di sana.
Bahang Hari Wanita Sedunia masih terasa kehangatannya. Peranan kaum wanita zaman ini dalam mendepani era dwi-kerjaya menemukan Nona dengan Fieda, wanita jelita berusia 32 tahun yang kini berkhidmat di syarikat minyak dan gas multinasional di Kerteh, Terengganu.
Persis model, anak jati Kelantan berkulit putih bersih itu begitu lemah-lembut orangnya. Namun di sebalik kelembutan, Fieda sering mengetuai pelbagai projek besar serta memberi arahan kepada ahli pasukan lain yang majoritinya lelaki.
Fieda di bilik kawalan
“Bekerja di loji petrokimia kadangkala menguji ketahanan dan kesabaran diri kita sebagai wanita. Tugas di sistem kawalan sangat penting kerana ia ibarat ‘otak’ kepada loji ini. Saya pula bertanggungjawab di bahagian Distributed Control System (DCS), Emergency Shutdown System (ESD), Programmable Logic Controllers (PLC) serta sistem fire and gas secara keseluruhan.
Saya perlu memastikan agar semua sistem perisian dan perkakasan telah diperiksa serta berfungsi dengan baik demi kelestarian loji ini. Selain itu, saya harus terlibat dengan pelbagai projek, rekaan, merangka strategi penyelenggaraan dan juga mengkaji inisiatif atau teknologi baru tentang sistem kawalan kami.”
Sebagai jurutera, Fieda perlu sentiasa bersedia untuk bekerja pada hujung minggu atau syif malam, terutamanya ketika unplanned shutdown. Tekanan pasti lebih meningkat apabila berlakunya kerugian dalam produksi.
Masa yang diambil untuk menyelesaikan sesuatu masalah pula amat singkat dan mereka perlu menepati garis masa yang ditetapkan.
Dengan stres yang tinggi, tertanya-tanya juga… Mengapa Fieda memilih bidang ini, bukankah kebanyakan wanita lebih suka bidang fesyen dan kecantikan?
Kecantikan Fieda persis model Muslimah
“I love challenges! Memikirkan setiap hari saya bertemu cabaran baru dan kepuasan apabila berjaya menyelesaikannya dengan ilmu kejuruteraan, betul-betul mengujakan saya. Bidang ini juga melibatkan ilmu menyelesaikan masalah, komunikasi dan semangat berpasukan yang tinggi.
Sebenarnya saya pernah bercita-cita mahu terjun ke dunia korporat. Mungkin bekerja di KLCC, tak perlu bergelumang dengan equipments walaupun belajar tentang kejuruteraan.
Tapi jalan hidup saya rupanya telah disusun lebih indah oleh-Nya. Saya ditawarkan posisi terbaik di sini,” cerita Fieda yang berkelulusan Bachelor of Engineering (Hons) – Electrical and Electronics Engineering dari Universiti Teknologi Petronas.
Lumrah ibu berkerjaya, Fieda tidak menafikan kadang-kadang perlu bertugas lebih masa, selalu standby dan memberi tumpuan lebih di tempat kerja. Mungkinkah gaya hidup sebegini mengurangkan masa berkualitinya dengan keluarga?
“Jujurnya, yes! Di sebalik cita-cita untuk meningkatkan kemahiran dan menjadi aset syarikat, meluaskan network ke peringkat profesional, menginspirasikan golongan muda serta menjadi seseorang yang didengari, saya juga mencari keseimbangan hidup sebagai seorang ibu dan isteri.
Keluarga kecil Fieda
Saya merupakan ibu kepada dua cahaya mata, Zara Aesha, 6 tahun, dan Zayn Omar, 3 tahun. Rasa bersalah pasti mencengkam jika saya terpaksa menumpukan perhatian pada kerjaya. Tambahan lagi kalau mereka tidak sihat atau saya perlu meninggalkan mereka pada pengasuh.
Untuk mengatasi perasaan bersalah, biasanya saya akan fokus pada waktu makan malam dan rancang aktiviti hujung minggu yang menyeronokkan dengan anak-anak.
Mempunyai suami yang berprinsip ‘kita kongsi tanggungjawab’ juga sangat bermakna kerana kami akan sama-sama bergilir menggalas peranan ibu bapa sebaik mungkin ketika salah seorang perlu bekerja,” terang Fieda sambil memaklumkan bahawa suaminya juga seorang jurutera.
KESAMARATAAN
Banyak perkara positif dapat diserap apabila bekerja dikelilingi rakan sekerja lelaki. Ulas Fieda, dia bertuah kerana mereka bukan saja berpengalaman tapi sanggup menjadi coach dan melatih dirinya sebagai pelapis.
“Pesan mereka, every difficulties come with solution and it is just a matter of ways to get to the solution. Mereka juga ajar supaya jangan terburu-buru buat keputusan dan dapatkan nasihat kalau buntu. Belajar bertenang ketika cemas dan semua inilah yang mengajar saya agar lebih matang dan berpengalaman.
Tidak dinafikan bahawa bukan mudah menyesuaikan diri dengan bidang ini. Ada ketikanya saya begitu penat tapi dalam waktu yang sama, saya mahu buktikan kemampuan diri setaraf dengan lelaki.
Pernah saya rasakan begitu susah untuk membuat suara saya didengari. Saya hanya minoriti dan masih muda dalam posisi teknikal. Tapi pada akhirnya, saya sedar bahawa satu-satunya orang yang mencabar adalah diri saya sendiri,” akhiri Fieda dengan positif.
Akibat tidak tahan menanggung sakit, isteri kepada selebriti chef terkenal Dato’ Fazley Yaakob bersyukur telah selamat menjalani pembedahan membuang cyst yang dikesan membesar di bahagian belakang badannya. Tak disangka, rupa-rupanya kesakitan yang mula dirasai pada hujung minggu adalah cyst.
Kongsi Datin Azrene Ahmad di laman media sosialnya, “Satu pengalaman mengerikan pada hujung minggu lalu apabila satu benjolan membesar di belakang badan dalam tempoh 48 jam. Sakitnya sukar digambarkan! Pada pagi Isnin, saya tak dapat menahan daripada kesakitan walau lima minit sehingga menggigil,” coret wanita yang gemar tersenyum ini.
Walau bagaimanapun Datin Azrene telah membuat keputusan yang tepat, tidak berlengah membiarkan kesakitan menghantui dirinya. “Sekarang saya dah lega selepas menjalani pembedahan kecil. 10 hari tanpa hiking atau aktiviti berat, 10 hari tanpa perlu hadap tekanan kerja. Badan saya memerlukan tempoh berehat yang cukup untuk baik-pulih sepenuhnya, doakan saya,” kata Datin Azrene yang mengharapkan doa agar segera sembuh.
Sebelum ini Datin Azrene pernah berkongsi kisahnya yang mengalami 10 kali keguguran sebelum mendapat puteri bongsunya. “Alayna Selma merupakan puteri sulung dan anak bongsu kami kerana saya mengalami keguguran sebanyak 10 kali. Kelahiran kali ini juga melalui kaedah pembedahan demi usaha mendapatkan cahaya mata perempuan.
Ini bermakna keempat-empat anak saya dilahirkan melalui pembedahan dan dinasihatkan oleh doktor pakar untuk tidak hamil lagi. Bagi saya kehadiran empat orang cahaya mata ini sudah cukup untuk melengkapkan kebahagiaan kami suami isteri. Bukan serik untuk mengandung lagi tetapi boleh dikatakan setiap kali saya mengandung saya mengalami pengalaman pahit yang berbeza-beza.
Sebelum mengandungkan anak pertama, saya mengalami keguguran sebanyak empat kali. Fariedz, anak sulung kami sepatutnya mempunyai adik kembar tetapi kembarnya tidak dapat diselamatkan. Fieradz pula terpaksa dilahirkan pada usia 34 minggu dan akibatnya mengalami laryngomalacia kronik dan alahan.
Fierudz pula saya mengalami alahan teruk di trimester pertama dan pada usia kandungan 28 minggu terpaksa ulang alik ke hospital kerana hampir bersalin awal. Di bilik pembedahan pula saya mengalami penumpahan darah yang teruk dan hampir meninggalkan suami dan anak-anak buat selama-lamanya.
Di antara Fierudz dan Alayna saya gugur sebanyak 10 kali dan paling teruk adalah keguguran anak kembar pada usia kandungan 20 minggu dan terpaksa bersalin secara normal,” jelas Datin Azrene yang mendirikan rumahtangga pada tahun 2007.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Naluri memiliki barang kemas sentiasa bersarang dalam diri wanita kerana mampu menterjemahkan kebahagiaan yang abadi. Malah barang kemas menzahirkan rasa sayang dan cinta yang tidak berbelah-bahagi sama ada barangan kemas diperbuat daripada emas kuning, putih atau batu permata.
Pasangan pemilik jenama barang kemas dan permata terkemuka negara, Datin Sri Zarida Noordin dan Dato’ Sri Meer Sadiq Habib terus komited dan berjaya menempatkan diri kelasnya yang tersendiri dalam industri ini.
Selama hampir 60 tahun Habib Jewels menawarkan emas permata kepada pelanggan sudah tentu mempunyai resipi tersendiri dalam mengekalkan namanya di kalangan peminat barangan kemas.
“Syarikat kami mempunyai warisan dan membina reputasi yang tersendiri. Mencari pelanggan tidak sukar tetapi memiliki pelanggan yang setia merupakan suatu cabaran. Oleh itu membina hubungan dan kepercayaan terhadap pelanggan sangat penting.
Kami sangat menekankan jualan selepas perkhidmatan. Selepas membuat pembelian, pelanggan bebas untuk datang kembali jika terdapat sebarang ketidakpuasan hati pembelian tersebut.
Apa sahaja yang dipersoalkan pelanggan kami akan cuba menangani dengan sebaik mungkin. Dalam masa yang sama kita membina kepercayaan di antara syarikat dan pelanggan,” jelas Datin Sri Zarida.
Membawa masuk jenama antarabangsa Pandora ke tanah air merupakan percaturan yang bijak buat pasangan ini. Berjaya menjadi outlet yang pertama di Asia bukan suatu tugas yang mudah.
“Jenama Pandora sudah tidak perlu diperkenalkan lagi ketika kami bermula pada tahun 2010. Saya masih ingat ketika di awal pembukaan dahulu ramai yang teruja apabila akhirnya terdapat sebuah concept store Pandora di Malaysia.
Saya bersyukur kerana segala aturan kami dipermudahkan dengan masa yang tepat dan peluang tapak perniagaan yang sangat strategik. Ini adalah antara faktor kejayaan Pandora dan telah dinobatkan sebagai salah satu francais terbaik Pandora di Asia,” terang Pengarah Urusan Pandora Malaysia & Brunei ini.
Sebagai wanita, mengemudi sebuah syarikat yang terkenal memerlukan komitmen dan ketegasan yang padu. “Sebagai seorang ketua, peranan saya adalah untuk membangunkan team atau pasukan baru yang telah terbina. Saya tidak akan boleh berjaya tanpa sokongan daripada pasukan.
Kami perlu bekerjasama demi mencapai matlamat dalam perniagaan ini. Saya selalu menekankan kepada pasukan saya untuk meletakkan diri sendiri sebagai pelanggan.
Sebagai pelanggan apa yang kita harapkan daripada jurujual dan selalu menggembirakan hati pelanggan. Khidmat pelanggan sangat penting dan saya banyak menganjurkan kursus khidmat pelanggan di kalangan pasukan saya.
Saya tidak pernah meletakkan diri sebagai seorang ketua dan mengamalkan dasar terbuka di kalangan pekerja. Mereka boleh datang berjumpa dengan saya bila-bila masa sahaja dan boleh berbual tentang apa sahaja isu.
Saya tidak mempunyai sebarang hierarki dan menganggap semua pekerja adalah sama. Saya berharap dapat memotivasikan pasukan menjadi seorang yang lebih baik.
Apabila mereka mencapai sasaran secara tidak langsung saya mencapai peranan saya sebagai seorang ketua,” tegas wanita kelahiran Pulau Pinang ini.
Menurut ibu kepada Mirzan, Marissa, dan Mirsham ini, nilai teras yang sering diterapkan dalam diri pasukannya adalah kejujuran dan keikhlasan. Tambah Datin Sri Zarida kedua-dua nilai ini sangat dalam setiap aspek kehidupan.
Satu lagi nilai utama yang dipegang oleh wanita ini adalah setiap orang adalah usahawan. Anggap kerjaya yang diceburi merupakan perniagaan sendiri baharu semua orang boleh berjaya.
Keadaan kewangan global yang tidak menentu turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. Pasaran emas juga mengalami pasang dan surut, namun Habib Jewels tetap berdiri kukuh tidak gentar dengan cabaran yang mendatang.
Dato’ Sri Meer yang memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd berkata, “Barang kemas adalah sesuatu yang diinginkan walaupun berada dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Kalau wanita lebih mahukan perhiasan dan lelaki pula sebagai pelaburan untuk masa depan.
Kami bukan sahaja menjual barang-barang kemas tetapi membuat sendiri barangan kemas tersebut. Kelebihan yang ada pada kami diselaraskan dengan keperluan semasa. Jika harga emas melambung tinggi kami akan membuat rekaan yang menarik tetapi lebih ringan sedikit, begitu juga sebaliknya. Percaturan ini akan membuat orang ramai mampu membeli emas walau dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
Lebih daripada 3 dekad berkecimpung dalam perniagaan emas ini saya boleh kenal pelanggan dari dulu hingga sekarang. Kami juga menyediakan platform yang mudah kepada para pelanggan.
Misalnya setelah membeli emas daripada kami, tiba-tiba mahu menggunakan wang dalam jumlah yang besar dengan segera. Pelanggan boleh berurusan dengan Ar-Rahnu Express milik Habib Jewel sebuah pusat pajak gadai yang berteraskan prinsip Syariah Islam,” jelas Dato’ Sri Meer yang menerajui Habib Group ini.
Dato’ Sri Meer turut menzahirkan rasa bangga apabila Habib Jewels menjadi syarikat barang kemas pertama di Malaysia tersenarai dalam Bursa Saham, pada tahun 1998. Menurutkan tersenarai dalam bursa saham ketika ekonomi sedang gawat adalah cabaran tersebar.
“Jika sebelum tersenarai untung rugi perniagaan ditanggung syarikat sendiri. Tetapi apabila sudah tersenarai saya perlu menjaga pelaburan yang telah dilaburkan oleh orang yang mempercayai kepakaran kita.
Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi keadaan yang mencabar itu dan seterusnya melakar nama di papan pertama pasaran Bursa Saham. Pada saya pencapaian ini lebih kepada menunjukkan kepada ibu dan bapa serta membuat mereka merasa bangga kerana mampu melakukan sesuatu yang berbeza selain daripada menjual barang kemas semata-mata,” terang Dato’ Sri Meer.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!