Kagum semangat Eyqa Sulaiman dalam mengusahakan perniagaan. Selain berani mengambil risiko, ciri-ciri usahawan berjaya juga ialah tidak malu berniaga dan enggan berputus asa. Itulah yang dilakukan pengasas Sugarscarf yang menyaksikan produk jenamanya sudah bertapak di pasaran selama 13 tahun! Bukan tempoh singkat tu.
Bermula dengan bisnes tudung, Sugarscarf kemudian mengembangkan sayap perniagaan hingga menembusi pasaran luar negara dengan rangkaian produk Muslimah termasuk pakaian dan kosmetik.
Menguruskan perniagaan bersama suami tercinta, Muhammad Zulkarnaen Mohd Ali, empayar Sugarscarf yang dahulunya dijalankan secara dalam talian kini diangkat sebagai salah satu jenama hijab premium.
Mengimbas kejayaan usahawan wanita ini yang pernah ditemu bual Nona kira-kira empat tahun lalu, Eyqa terbuka berkongsi pengalaman. Berasal dari keluarga susah telah mendorong usahawan wanita ini untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan.
Enggan membebankan kedua-dua ibu bapa dan mahu mendapat duit sendiri, Pengarah Pengurusan Sugarscarf International, Nur Atiqah Sulaiman tidak segan berniaga di kalangan rakan-rakan ketika zaman persekolahan.
“Sebenarnya saya sudah mula berniaga semasa di sekolah menengah lagi. Oleh sebab saya sukakan benda yang kreatif dan unik, saya sanggup bersengkang mata menghasilkan beberapa keping kad untuk dijual kepada rakan sekelas.
Duit hasil jualan itu pula saya gunakan untuk beli keperluan diri. Mungkin sudah terbiasa pegang duit sendiri dan tak mahu susahkan mak ayah, saya bawa minat berniaga itu sehingga ke universiti.
Sewaktu jadi pelajar universiti, macam-macam barang yang saya jual. Salah satu daripadanya adalah kasut kerana saya peminat kasut termasuk baju dan aksesori wanita. Saya juga pernah masak nasi lemak ayam dan menjualnya ke setiap bilik hostel. Alhamdulillah, ramai yang membeli.
Memang seronok kalau ingat kembali detik itu dan tak timbul langsung perasaan malu sebab saya perlukan duit untuk tampung bayaran pengajian dan kos sara hidup di universiti.
Kerana tak mahu bergantung pada bisnes yang sama saja, saya cuba menjual tudung pula. Dari satu bilik ke satu bilik hostel saya ketuk selain turut menjual tudung di blog,” telus Eyqa.
Siapa sangka perniagaan sambilan ketika menuntut di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pada tahun 2006 membuahkan hasil apabila pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Multimedia ini aktif mengorak langkah meluaskan perniagaan secara dalam talian.
Tanpa memohon pinjaman wang daripada mana-mana institusi perbankan, Eyqa yang ketika itu sudah berumah tangga memutuskan untuk mempunyai label tudung sendiri.
“Seingat saya waktu itu bulan Jun 2008 dan saya dan suami hanya bermodalkan RM800 untuk uruskan perniagaan ini. Kami bermula semuanya dari bawah. Mak dan ayah pada mulanya agak bimbang tetapi selepas melihat kesungguhan dan kejayaan bisnes ini akhirnya mereka akur dan sentiasa menjadi tulang belakang kami hingga ke hari ini.”
Demi memenuhi kehendak pelanggan yang sering dahagakan keluaran terbaharu, Eyqa yang tidak lepas dilanda segala macam ujian mengakui belajar tentang pasaran dan sasaran produknya melalui buku dan pengalaman.
Beliau percaya jika mahu berjaya dalam industri ini, seseorang itu tidak harus terikut-ikut dengan trend sebaliknya berusaha mencipta kelainan.
“Sejujurnya cabaran paling besar dalam bisnes adalah memastikan aliran keluar masuk wang dipantau dan terjaga. Kena tahu ke mana hala duit tersebut dan bajet yang diperlukan untuk projek seterusnya. Tak boleh sedikit pun berlaku kebocoran kerana ia menjadi salah satu punca kejatuhan perniagaan.
Sebab itu saya amat menitikberatkan soal cash flow. Cabaran lain yang kami kena kawal adalah komitmen para pekerja. Walau sesibuk mana pun majikan misalnya saya perlu ambil tahu tentang kebajikan mereka supaya kekal konsisten dengan tugas yang diberi. Ada ketika saya akan hantar staf ke bengkel keusahawanan untuk menaikkan motivasi diri mereka.
Saya tidak anggap semua ini perkara sukar kerana apa yang paling utama sebenarnya mengekalkan matlamat Sugarscarf. Memang tak dinafikan ada di kalangan peniaga yang cuba untuk meniru produk peniaga lain. Benda ini sudah jadi lumrah.
Saya sendiri sudah mendaftarkan rekaan Sugarscarf dan sepatutnya peniaga yang meniru boleh dikenakan saman. Bila difikirkan balik, semua ini duniawi dan tak perlu bergaduh. Lagipun ia melibatkan proses yang panjang. Takkan sebab fesyen kita hendak naik turun mahkamah. Siapa yang bekerja keras dan bijak mengatur strategi, pada akhirnya akan menang.”