Ruang stadium tertutup bagaikan dibanjiri lautan manusia yang berpusu-pusu masuk untuk ‘melabur’ wang. Lama dahulu, wanita berhijab dianggap kolot tetapi kini, trend berhiijab mengalahkan busana dedah.

IKLAN

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ia satu fenomena baru dan sihat. Bukan sahaja golongan dewasa sibuk memilih malah si kecil juga sudah pandai demand tudung apa yang ingin digayakan. Malah, tidak keterlaluan jika penulis katakan mereka lebih arif mengenai dunia fesyen!

Hijab… apabila seorang wanita Islam mula berhijab, hampir bergembira seluruh dunia. Bukan diminta oleh mereka tetapi orang sekeliling seakan gembira. Kebanyakan ungkapan tahniah akan dikaitkan dengan ‘penghijrahan’. Wanita Islam yang berhijab bukan berhijrah, tetapi mereka sebenarnya kembali kepada Islam.

Tidak berniat untuk bercakap seperti ustazah kerana kita masih banyak kekhilafan di dalam diri. Namun, sekadar untuk membiaskan pandangan dari sudut hati kecil. Sudah tertulis di dalam Al-Quran bahawa setiap wanita yang lahir di muka bumi wajib menutup aurat. Siapa kita untuk menafikan, apalagi membahaskan hukum Allah.

Namun apabila berbicara soal hijab, ramai sangat yang suka menjatuhkan hukum. Selak sahaja laman Facebook masing-masing, lihat komen-komen yang disampaikan, cukup mendukacitakan!

Kalau hendak membaca hasil penulisan yang lebih sadis dan jujur penulis katakan… menunjukkan kebodohan diri, intailah laman Instagram atau Facebook selebriti (yang berhijab).

Masyarakat kini adalah Tuhan, kerana mereka menjatuhkan hukum yang entah dari mana datangnya dalil.

Kita perlu kembali kepada akar. Siapa kita? Asal usul kita? Agama kita? Tidak diajar dalam Islam bersifat biadab apalagi mengaibkan orang lain. Soal hijab ini, kita sampaikanlah nasihat dengan baik.

Sewaktu Nabi Muhamad SAW menyampaikan dakwah, Baginda diuji dengan ujian yang seberat-beratnya. Dikeji, diludah, dicampak dengan najis dan macam-macam lagi. Dengan kelembutan, Islam disebarkan dan akhirnya, Islam diterima dengan baik.

Orang yang memberi teguran juga memainkan peranan yang sangat penting terhadap apa yang ditegurnya, jangan dilabel sebagai “Cakap tidak serupa bikin”.

IKLAN

Biasanya, orang akan menilai keperibadian orang yang memberi teguran, takut dikecam bak kata pepatah, “bagai ketam mengajar anak berjalan lurus”. Jadi, orang yang menegur perlu berwaspada terhadap kata-katanya.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit. Islam telah menyediakan garis panduan dalam membuat teguran.

Niat kita menegur seseorang itu mestilah betul, demi kebaikan orang itu dan bukannya bertujuan menjatuhkannya, menghina, menunjukkan keaiban atau apa-apa jua niat buruk. Elakkan memilih bulu apabila ingin menegur; jika orang itu kita tidak suka, jangan pula kita biarkan sahaja walaupun dia patut ditegur.

IKLAN

Sebelum kita membuat teguran atas apa jua alasan, tiga faktor tersebut perlu diambil kira.

  1. Tidak merendah-rendahkan orang yang ditegur.
  2. Waktu yang sesuai untuk menegur.
  3. Memahami kedudukan orang yang ditegur.

Cara kita menegur juga perlu berhikmah. Kita bukan sengaja mencari-cari kelemahan dan menegur seseorang. Teguran mestilah kena pada tempat dan masanya.

Buat para suami, tanggungjawab yang digalas sebaik melafazkan akad nikah semakin berat. Paling hampir, tegurlah isterimu andai mereka masih tidak menutup aurat.

Aurat mereka adalah keaiban dan dosa yang kamu perlu tanggung andai ia dilihat orang lain. Selepas itu, didiklah pula anak-anak perempuanmu agar mereka tidak menjerumuskan diri mu ke lembah api neraka. Serta, panjangkan nasihatmu kepada saudara perempuanmu. KR

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI