Ketika ini tular kisah penderaan tragis seorang anak istimewa bernama Bella sehingga tercetusnya tanda pagar #JusticeForBella tanda sokongan agar pihak bertanggungjawab segera diheret ke muka pengadilan. Segalanya bermula apabila ikon usahawan terkenal, Mona Din nekad menularkan isu ini di Facebook peribadinya pada 5 Julai 2021 demi membela nasib anak syurga itu.
Sumber: Facebook Mona Din.
Memetik kata-katanya dalam sesi temu bual ekslusif bersama Mona Din di FB Live Majalah Nona pada 9 Julai 2021, Mona menyatakan dia berjuang kerana Allah SWT. Betapa luluh hatinya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Beliau pernah kehilangan anak kandung yang juga seorang anak Down Syndrome. Kini Mona Din mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira yang juga anak Down Syndrome. Jelas menunjukkan betapa hebatnya naluri keibuan yang dimiliki Mona Din.
“Saya dulu ada anak Down Syndrome sendiri dan dia sebenarnya anak sulung saya. Seorang puteri yang lebih dikenali sebagai Kak Mar. Dia meninggal ketika berumur 12 tahun pada tahun 2004. Kalaulah arwah masih ada sekarang ni umurnya 29 tahun. Maknanya arwah telah pergi meninggalkan saya selama 17 tahun.
Memandangkan arwah adalah anak sulung dia adalah satu ‘kejutan’ pada saya. Masa tu saya baru berumur 26 tahun. Anak Down Syndrome ini sering terjadi kepada elderly couple. So, saya sangat terkejut dapat anak Down Syndrome. Namun alhamdulillah saya tetap bersyukur dengan anugerah Allah SWT. Kehadiran Kak Mar disambut seluruh keluarga terutama oleh saya dan suami. Kami menerimanya dengan sangat ikhlas.
Anak-anak Mona Din.
Kak Mar ada masalah jantung berlubang, 2 di jantung dan 2 di injap. Antara kenangan paling memberi kesan yang mungkin boleh dikatakan manis bercampur pahit ialah sepanjang 12 tahun hidupnya dia bermalam di hospital lebih banyak bermalam di rumah sendiri. Sepanjang arwah duduk di hospital selama 12 tahun itu tidak pernah walaupun satu malam saya tidak bersama dia. Maknanya dalam tempoh 12 tahun Kak Mar hidup tu saya juga tidur di hospital bersama dia lebih banyak dari saya tidur di rumah. Dalam masa yang sama saya juga bekerja. Walaupun arwah kerap masuk hospital dan bermalam di sana tetapi saya tak pernah ambil cuti sakit.
Malam-malam saya tidur di hospital, sebelah pagi suami datang bawa baju dan saya mandi di bilik air hospital. Kemudian saya pergi kerja. Bila malam saya balik semula ke hospital. Begitulah hidup saya dengan Kak Mar selama 12 tahun. Sehinggalah Disember 2004, Kak Mar meninggal dunia di pelukan saya. Kak Mar kata “Amma (Mama) nak yalan (nak jalan)” Masa tu saya kata, Kak Mar nak pergi pergilah. Nak pergi mana pun Mama kasi. Nak pergi bila pun Mama kasi.
Arwah anak istimewa Mona Din yang dikenali sebagai Kak Mar.
Bila saya jawab begitu suami di sebelah terkejut. Kak Mar berpusing pada suami dan cakap “Abah, Kak Mar nak pergi.” Suami masa itu dah menggigil bila dengar saya cakap begitu. Dia tak boleh menjawab lalu saya tolong jawab untuknya. Saya cakap “Abah pun OK kalau Kak Mar nak pergi.” Lepas tu dia buka oksigen dan cakap sesuatu tetapi tak berapa jelas. Saya tanya Kak Mar nak minum air Milo ke? Dia angguk dan saya minta suami belikan.
Setelah suami bergerak beberapa langkah, Kak Mar pegang tangan saya dan cakap “Mama, Kak Mar sayang Mama.” Saya peluk dia dan kata “Mama pun sayang Kak Mar” Masa itu tangannya terus terkulai lalu saya menjerit memanggil doktor. Bila doktor datang dan lihat, katanya “Itulah nafas terakhirnya” Dia pergi dalam pelukan saya. Pemergiannya di Syawal terakhir 12 Disember 2004.
Bagi saya, Kak Mar menjadi satu perkara yang sangat besar dalam hidup kami. Walau pemergiannya sudah 17 tahun tetapi setiap tahun tidak kiralah tarikh birthday atau tarikh kematiannya saya akan catat di Facebook (FB). Dulu tak ada FB saya tulis dalam diari. Tapi bila ada FB, setiap tahun nama Kak Mar sentiasa disebut sampai sekarang.
KEHADIRAN NADIRA
Semasa Kak Mar meninggal dunia, saya baru setahun memulakan bisnes Leesa Formula. Ketika pemergiannya saya dalam fasa sangat sibuk sebab baru membina bisnes. Ingatan pada Kak Mar sentiasa kekal. Setelah saya bersara 5 tahun yang sudah, pada Julai 2017 saya menulis di FB bertajuk “Mencari Anak Syurga Down Syndrome” Saya tulis saya dah bersara dan rindu Kak Mar. Saya ingin memiliki anak angkat Down Syndrome. Bukan niat saya nak ambil terus sebab tahu susah nak dapat. Kalau boleh saya nak yang berumur 8-10 tahun. Saya cuma nak membela saja dan berkongsi kasih sayang. Ada dalam 2-3 orang yang respon tapi bila sampai masa untuk berjumpa mereka tak sampai hati. Saya sangat faham dan anggap hasrat saya itu tak kesampaian.
Ads
Anak angkat Mona Din, Nadira yang sangat comel dan bijak.
Setahun selepas itu, pada 25 Mei 2018 Presiden Bunga-Bunga Syurga Down Syndrome Malaysia hantar mesej di FB dan menyatakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada anak Down Syndrome perempuan berumur 10 tahun. Mereka sedang mencari keluarga angkat jika saya berminat. Saya kata saya nak anak itu dan beliau bersetuju untuk uruskan. Cuma satu permintaan saya supaya anak itu boleh berjalan, tidak kisah bagaimana tahap Down Syndrome yang dialami. Sebab saya fikir saya makin berusia, mungkin tidak mampu untuk mengangkat dan sebagainya.
Keluarga bahagia.
Esoknya beliau menyuruh saya ke Mahkamah Majistret untuk lafaz ikrar pengambilan anak angkat. Sebenarnya, perkara ini suami saya tidak tahu. Sebab saya tahu kalau minta permission dia tidak akan benarkan. Sampailah petang tu, saya berdoa dan hantar mesej di WhatsApp. Saya jelaskan semuanya dan minta maaf. Jika dia setuju saya nak ajak suami untuk pergi ambil anak angkat tersebut.
Lewat petang barulah suami balas mesej saya itu. Balik saja rumah suami diam membisu. Lama kelamaan suami pun bersuara dan ajak kami pergi sesudah Subuh esoknya, alhamdulillah. Esoknya saya mendapat surat dari Mahkamah Majistret kemudian terus ke Taman Sinar Harapan di Seremban. Kami bersyukur perjalanan dipermudahkan.
Ketika pertama kali memeluk Nadira saya merasakan yang saya sedang memeluk anak kandung sendiri. Seolah-olah memeluk seorang bayi yang baru lahir. Saya ada 6 orang anak kandung dan Nadira adalah anak yang ke-7. Saya memeluknya lama dan dia terus duduk di sebelah saya.
Anak-anak dimaklumkan pada sebelah malam tu. Mereka memang menunggu kehadiran Nadira dan sudah pun tahu yang saya memang nak ambil anak angkat Down Syndrome. Mereka tahu saya nak cari anak angkat ni dah lama. Suami pun sebenarnya dah lama berikan saya keizinan dari awal saya tulis di FB dulu. Syarat supaya anak itu boleh berjalan tu pun dari suami sebenarnya.
Nadira seorang anak yang sangat aktif, suka bercakap dan mudah sensitif. Kalau bercakap tu memang sangat kuat. Berbeza dengan arwah Kak Mar dulu. Mungkin arwah Kak Mar kami bela sejak kecil, mengikut acuan adik beradiknya. Sangat behave dan polite. Nadira berlawanan sikapnya dan lebih cerdik.
Ads
Mona Din bersama suami tersayang.
Semasa mengambil Nadira saya dimaklumkan keluarganya tidak pernah datang melawat walaupun sekali. Tetapi semasa umurya setahun ibunya diminta untuk datang ambil. Atas sebab tertentu mereka tidak dapat ambil kerana ibunya sudah memiliki beberapa orang anak. Mereka juga telah membuat surat akur sumpah dan menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada JKM.
Saya rasa sangat sedih, 10 tahun dalam hidup Nadira dia telah kehilangan haknya sebagai seorang anak. Saya mesej ibunya yang saya ambil Nadira dari JKM dan minta berjumpa di Pesuruhjaya Sumpah di tempatnya. Akhirnya kami bertemu. Pada mulanya ada rasa marah tetapi dia menjelaskan dia sebenarnya rasa sedih, takut dan malu nak berjumpa saya. Itulah juga pertemuan pertama Nadira dengan ibunya. Tetapi itu juga bukanlah yang terakhir kerana ia menyusul ke Hari Raya, Nadira dijemput ke rumah mereka. Saya bersyukur bila ambil Nadira saya berjaya ‘memulangkan’ semula Nadira kepada keluarganya.
Sepanjang memiliki anak syurga ini saya sangat bersyukur kerana dikelilingi orang-orang yang sangat baik termasuk keluarga, rakan-rakan dan pengikut-pengikut di FB. Sejak ada Nadira, saya terima banyak penghargaan dan sokongan daripada mereka.
Bagi saya anak kandung atau anak angkat harus diberi kasih sayang sama rata. Anak angkat memerlukan kasih sayang lebih berbanding anak kandung. Kerana mereka adalah amanah yang sangat besar kepada kita. Saya juga amanah daripada JKM yang telah membenarkan saya membuat pengangkatan tehadap Nadira. Secara tak langsung, saya juga ada tanggungjawab terhadap keluarganya.
Untuk masa depan Nadira, saya ada berpesan kepada beberapa orang andai ditakdirkan saya atau suami pergi dulu. Diharapkan anak sulung yang sangat rapat dengan Nadira dapat menjaganya dengan baik. Selain itu, saya ada juga membuat hibah untuk anak-anak termasuk rumah untuk setiap seorang. Saya turut menghibahkan sebuah kondo buat Nadira. Diharapkan esok kalau saya dah tiada, adalah sedikit harta untuknya.
Ads
KES PENDERAAN BELLA
Disebabkan saya ada anak angkat Down Syndrome, saya ada sekumpulan group WhatsApp yang terdiri daripada ibu-ibu kepada anak Down Syndrome. Suatu malam tu ada seorang text saya memaklumkan di hospital ada satu kes anak Down Syndrome didera. Badannya dikatakan disiram air panas dengan kesan terbakar stage 3 atau 4. Masa tu saya tak tau siapa dia. Kemudian saya dikongsi satu video dari sebuah rumah kebajikan di mana JKM datang untuk ambil anak-anak di rumah tersebut yang dibawah JKM.
Saya buat sedikit homework dari beberapa tempat. Saya dapat tahu dia daripada Seremban dan berumur 13 tahun. Saya sangat terkejut kerana Nadira pun saya ambil dari Seremban. Selepas itu saya terima banyak gambar dan video tentang Bella. Saya tunjuk pada Nadira dan beritahu itu Bella. Kemudian saya dapat lagi gambar-gambar Bella yang sebelum didera. Saya tunjuk lagi pada Nadira dan dia terus kenal.
Bila saya lihat Bella saya membayangkan itu adalah arwah Kak Mar dan Nadira. Saya rasa macam separuh nyawa ini dibawa pergi dan masa itu saya berkata ‘I am going to viral this” Semua kata tak boleh, jangan. Tapi saya nak buat dengan risiko sendiri dan tidak akan melibatkan sesiapa termasuk sumbernya sampailah ke saat akhir seseorang itu reveal sumber oleh mahkamah. Saya cakap jangan susah hati kerana saya sendiri akan tanggung risikonya. Pada 5 Julai saya viralkan di FB saya.
Sebelum viral saya dan group dah buat homework dan memantau berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi. Laporan polis dibuat pada 24 Jun. Saya dapat tahu pada 5 Julai. Jarak masa tu sudah 12 hari. Bagi saya kes penderaan itu sangat teruk. Kalau orang tidak jumpa dia sebelum tu mungkin dia boleh mati. Saya menjadi lebih beremosi. Banyak faktor yang menyebabkan saya sangat ralat dan perkara ini perlu diambil serius. Bukan hanya kes penderaan Bella tetapi lebih daripada itu. Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan? Maka isu ini sangat besar, melebihi kes penderaan Bella.
Saya menjadi serius apabila melihat perkara yang perlu diambil serius. Itulah saya, mungkin disebabkan sikap peribadi dan memiliki 2 anak Down Syndrome ia benar-benar memberi kesan yang sangat besar. Saya nak menyampaikan mesej itu kepada orang lain yang mungkin tidak ada anak Down Syndrome tetapi kena ambil berat.
Bella tiada sesiapa dalam hidupnya. Hanya ada kita yang bersimpati dan berjuang untuk #JusticeForBella, seorang anak Down Syndrome yang didera sebegitu rupa. Marilah kita ambil berat kes Bella ini sebagai satu benchmark atau permulaan untuk semua orang memastikan ia tidak berlaku lagi. Mereka ini adalah anak-anak yang tidak berupaya.
Nasihat saya, bagi sesiapa yang berhasrat untuk mengambil anak-anak Down Syndrome sebagai anak angkat hendaklah betul-betul ikhlas untuk menerimanya. Bersedia untuk menerima yang buruk kerana ia lebih banyak daripada yang baik. Pastikan anda mampu untuk memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu.
Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga. Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada NGO, JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya.”
Kredit Foto: Facebook Mona Din
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita kecil molek dari Kota Bharu, Kelantan ini bukan calang-calang orangnya. Bukan sahaja sentuhan solekannya menjadi rebutan selebriti dan bakal raja sehari, tetapi lontaran komentarnya memberikan ‘bisa’ untuk seseorang itu terus belajar dari kesilapan. Tidak hairanlah mengapa Robaeha Ramza Ramli, 33, atau lebih dikenali sebagai Bee Ramza begitu disenangi ramai.
Diberikan kelebihan untuk menata rias wajah serta membuat penggayaan tudung buat mereka yang berhijab, Bee Ramza memulakan kerjaya sebagai jurusolek hanya bermula apabila dia menyolek rakan baiknya di universiti.
Sebagai pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (Biologi) di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Bee Ramza lebih mendekati dunia solekan selepas aktif menyerati aktiviti kebudayaan dan teater di sana. Dia dianggap pemecah tradisi kerana menjadi pelajar biologi pertama yang ‘terjebak’ dalam aktiviti seni yang biasanya dimonopoli pelajar jurusan seni.
Permulaan kerjaya anda dan berapa tahun berada dalam dunia solekan?
Pengantin pertama pernah saya solek adalah sahabat baik saya semasa belajar di Universiti Sains Malaysia, pada tahun 2009. Sejak dari itu saya mula mengambil tempahan untuk menyolek pengantin yang terdiri daripada rakan-rakan terdekat dan ahli keluarga sebagai permulaan tapak.
Saya mula menjadi jurusolek sepenuh masa bermula pada tahun 2013 selepas kerja terakhir saya sebagai Make Up Artist di MAC cawangan KLCC selama setahun. Tahun 2020, saya sudah memasuki tahun ke 11 sebagai jurusolek.
Bagaimana minat bermula sebagai jurusolek?
Minat ini bermula apabila saya aktif menyertai aktiviti kebudayaan dan teater di USM Pulau Pinang. Sebagai seorang pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (Biology) saya memecah tradisi kerana sentiasa menyertai dan mewakili aktiviti kebudayaan yang biasanya dimonopoli pelajar Seni.
Untuk membawa watak yang berbeza-beza semasa berlakon teater saya mula mengeksperimentasi menggunakan produk-produk yang boleh didapati di drugstore. Bermula dari itu, rakan-rakan mula memberi kepercayaan untuk menyolek mereka untuk setiap persembahan.
Sebaik sahaja tamat pengajian, saya diberi kepercayaan pula menjadi jurusolek kepada salah seorang rakan untuk majlis pertunangan, akad nikah dan persandingan. Sejak itu, saya mulai serius mengambil tempahan solekan pengantin.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Alhamdulillah, keluarga saya menerima dengan baik pilihan kerjaya saya walaupun pada mulanya majoriti menyuruh saya menyambung pelajaran supaya saya tak meneruskan niat menjadi jurusolek. Pada awalnya saya menjadi jurusolek cuma pada hari minggu dan bekerja sepenuh masa pada hari biasa sehingga saya mengambil keputusan untuk menjadi jurusolek sepenuh masa selepas mendirikan rumahtangga.
Pengalaman mula-mula menyolek bakal pengantin?
Mendebarkan dan teruja! Nasib baik kebanyakan pengantin yang disolek pada awalnya adalah kenalan rapat atau sedara mara yang sudah dikenali jadi proses menyiapkan pengantin lebih mudah dan lancar.
Nama anda begitu dikenali dan sering menjadi pilihan bakal pengantin. Bagaimana anda terus mampu terus kekal menjadi jurusolek pilihan bakal pengantin?
Alhamdulillah walaupun jauh disudut hati saya rasa perjalanan saya masih jauh lagi. Terus konsisten dan jangan mudah mengalah. Saya percaya kepada rezeki Allah dan pastinya orang yang sentiasa bersangka baik, positif dan kuat berusaha akan dipermudahkan rezekiNya.
Menjadi seorang jurusolek pada zaman sekarang bukan sekadar memberi servis yang baik, tapi perlu juga up-to-date dalam menyampaikan hasil kerja di medium media sosial. Produk yang digunakan harus sentiasa upgrade dan kualiti servis perlu ditingkatkan mengikut trend dan peredaran masa.
Siapakah idola anda dalam kehidupan? My ultimate idol adalah arwah ayah saya, Dr Hj Ramli bin Hj Idris. Seorang yang saya percaya berjaya dalam membangunkan keluarga dan kerjaya beliau. Ayah saya sentiasa memberikan semangat kepada anak-anak dan ahli keluarga. Menjadi tulang belakang dan pembakar semangat untuk anak-anak terus bersemangat mengejar cita-cita. He didn’t get to see me where I am now, but I’m so sure he’d be proud of me, InsyaAllah.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Tetapkan target anda. Konsisten dan sentiasa merendah diri. Bidang servis bukan tempat perlumbaan skills semata-mata, bagi saya both soft skills dan hasil kerja akan memberi impak kepada seseorang jurusolek. Sentiasa up to date dan upgrade supaya kita menjadi trend, bukan mengikut trend.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Saya masih ada banyak kekurangan. Tapi saya melihat kelebihan saya yang boleh memenuhi pelbagai permintaan dan mempunyai hasil solekan timeless sebagai bonus di dalam industri ini. Kepelbagaian dan variasi teknik solekan yang mampu mengubah atau mengekalkan wajah asal orang yang disolek.
Kadang-kadang saya berasa bangga apabila hasil solekan saya boleh dicam oleh orang ramai tanpa perlu diberitahu, maksudnya kita sudah berjaya mengunci satu signature look yang sudah dikenali ramai. Alhamdulillah.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan? It is expected. Dengan kemudahan dan kepantasan dunia moden ini. Tapi saya melihatnya sebagai satu persaingan yang boleh digunakan untuk boost forward. Kita akan rasa down kalau melihat situasi ini sebagai cabaran. Seeloknya cuba blend in dan sama-sama melalui proses itu. Jurusolek ‘instant’ biasanya mempunyai fokus dan matlamat yang berbeza dengan jurusolek yang menjadikan solekan sebagai kerjaya.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Sentiasa bersedia dan bersabar. Proses pembelajaran tanpa henti, so don’t stop learning.Stay humble dan sentiasa percaya pada diri sendiri dan rezeki Allah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Semalam, genap 4 tahun usia perkahwinan pereka fesyen tersohor tanah air, Dato’ Jovian Mandagie dan isteri, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri. Manisnya ulang tahun perkahwinan mereka tahun ini kerana hadirnya seorang cahaya mata perempuan comel diberi nama Jeanelle Nika Mandagie pada tanggal 1 November lalu. Lengkap sudah episod bahagia rumah tangga Dato’ Jovian dan Datin Nina!
Seperti kebanyakan pasangan yang baru melahirkan anak, mereka juga menikmati momen indah bergelar ibu bapa. Setiap hari pasti ada saja foto kenangan bersama Jeanelle dimuatnaik Dato’ Jovian dan Datin Nina dalam laman sosial mereka. Dan terbaru, ibu muda ini sempat berkongsi pengalaman dan situasi yang dialaminya selepas melahirkan bayi sulung.
Terang anak perempuan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini, kenangan melahirkan Jeanelle secara pembedahan cesarean atau C section tidak mungkin dilupakan sepanjang hayat. Agak lama menyimpan hasrat untuk berkongsi kisah bersama pengikutnya di Instagram ekoran kesibukan menjaga Jeanelle dan suami tercinta, akhirnya Datin Nina berpeluang menitipkan pesanan berikut.
“Sebaik saja melahirkan anak, jangan terkejut atau sedih bila melihat diri sendiri di depan cermin. Memang mudah untuk katakan, tapi saya sendiri rasa seperti mahu menangis apabila melihat diri saya sendiri depan cermin. Your skin will stretch and your uterus will still be swollen so you will look like you are about 2 months pregnant. Tapi tak mengapa sebab uterus akan kembali mengecut ke saiz normal dalam masa 4 hingga 6 minggu, begitu juga perut anda. Just do sesi urut dan senaman.
Bagi yang menjalani C section seperti saya, our tummy will be swallen a lot longer so take your time. Yes you will be frustrated with your body, but believe me it will get better in time. Pastikan anda dikelilingi orang yang positif dan memberi motivasi. Yang penting kena happy, makan yang sihat supaya luka pembedahan akan cepat sembuh. Kejar sihat dulu dan kemudian kecantikan akan datang jua.”
Perasaan takut menyelubungi Datin Nina memandangkan ia adalah kali pertama dia dimasukkan ke hospital. Malah, dia turut mengakui takut menghadapi suntikan. Disebabkan Jeanelle agak besar, doktor menyarankan agar dia menjalani pembedahan untuk bersalin.
“Listen to your doctor, do not for once contemplate when he/she tells you that you need to go for C section. Yang penting bayi dan diri selamat. Saya tahu kebanyakan ibu akan berasa sedih selepas pembedahan ini tapi elakkan berasa demikian. Kita harus bangga dengan perjuangan ini!
Usah risau jika pengeluaran susu badan tidak seperti yang diharapkan terutama semasa beberapa hari pertama atau minggu pertama. Saya juga mengalami perkara sama tapi yang penting bayi kena kenyang. Jadi saya berikan Jeanelle susu formula dulu. Alhamdulillah, untuk minggu pertama itu juga susu badan mula ada. Kena rehat yang cukup dan minda tenang agar para ibu mudah menghasilkan susu badan.
Ramai yang kecewa bila tak dapat susukan bayi mereka untuk tempoh ini tapi kalau anda stres lagi ia tak akan datang. Jika tak berjaya, berikan 50-50 susu formula dan susu badan. Kalau masih tidak berjaya dan tak ada rezeki juga, berikan saja susu formula. Remember a good mother feeds her child. Itu saja.”
Tambahnya, tidak kira susu formula atau susu badan apa yang penting adalah bayi kenyang dan sihat. Biarpun masih baru bergelar ibu, Datin Nina turut mencuba dan mempelajari bermacam-macam perkara tentang dunia keibubapaan. Salah satunya, amalan minum sup herba cina yang dikatakan cukup berkesan untuk produktiviti susu badan.
Sumber: INSTAGRAM NINA SABRINA ISMAIL SABRI
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tagline ‘Ingat Charms, Ingat Make Up dan Rawat’ mula menjadi sebutan ramai sejak tahun 2012 sekaligus mencetuskan fenomena tersendiri apabila produk kecantikan ini menerima sambutan hangat di pasaran. Charms merupakan produk solekan dan penjagaan kulit bukan sahaja diiktiraf Halal Jakim, tetapi turut diuji oleh pakar kulit Asia Tenggara dengan Label Dermatologist Tested.
Bangga dengan kejayaan Nur Basyirah Hussin atau Syira Hussin. Wanita hebat berusia 36 tahun ini sudah mampu memiliki apa yang diimpikan oleh kebanyakan wanita iaitu bergelar usahawan sukses, keluarga bahagia dan kesenangan hidup. Kejayaan Syira yang berkelulusan Ijazah Sarjana Ekonomi dari UKM ini wajar dijadikan inspirasi khususnya buat golongan muda.
Kejayaannya hari ini bukan satu perjalanan yang mudah sebenarnya biarpun lahir dalam keluarga bisnes serta memiliki ilmu keusahawanan yang mantap. Pendedahan awal terhadap selok belok perniagaan sejak kecil telah mematangkan dirinya sehinggalah berjaya melahirkan produk kecantikan jenama sendiri, Charms.
“Saya merupakan bekas pensyarah di sebuah IPTA dan telah berkhidmat selama 7 tahun. Saya nekad tinggalkan kerjaya sebagai pensyarah selepas melahirkan anak ketiga kemudian memberi tumpuan sepenuhnya terhadap Charms. Apa yang saya lihat, bidang pendidikan dan perniagaan sebenarnya tidak jauh beza pun kerana kedua-duanya mendidik dan membangunkan nilai insan dengan ilmu.
Selain itu, banyak lagi kekangan yang membuatkan saya tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya terhadap pelajar. Sewaktu berhenti kerja saya berniat agar perniagaan ini dapat membantu kos sara hidup keluarga seterusnya membantu insan-insan lain yang mahu berjaya. Syukur, Allah SWT memberikan yang terbaik buat saya. Dia adalah sebaik-baik Perancang.
Saya berniaga ketika itu bukan mahu untung semata-mata sebaliknya teruja untuk berkongsi ilmu bersama stokis dan agen. Merekalah model perniagaan utama Charms yang memiliki perjuangan dan matlamat sama seperti saya. Maka, ilmu-ilmu yang dimiliki semasa bergelar pensyarah saya gunakan sebaiknya dalam perniagaan.
PERMULAAN
Sepanjang 8 tahun, Charms lebih memfokuskan kepada membina tapak dalam perniagaan iaitu dari segi organisasi dan jenama. Nasihat mentor saya jika mahu ‘terbang’ tinggi, jauh dan lama kepak mesti kuat. Maksudnya asas mesti kukuh. Sebab itulah saya merasakan belum terbang tinggi kerana masih lagi berusaha untuk membina tapak.
Sebelum berada di tahap sekarang Charms melalui pelbagai cabaran seperti dari segi modal, pengurusan staf dan team, penjenamaan, persaingan, product cycle, perubahan trend dan permintaan pelanggan. Untuk agen pula cabaran untuk mengekalkan bilangan (kesetiaan) dan momentum. Pada peringkat awal saya berniaga tanpa ilmu dan mentor. Ketika itu online trend termasuk kelas-kelas motivasi, coaching dan sebagainya belum ada.
Lama kelamaan saya mula belajar bagaimana cara menguruskan kewangan dan stok. Saya juga belajar bagaimana cara membuat pelaburan yang bijak kerana pernah kerugian hampir sejuta ringgit. Bermula tahun 2016 saya mula fokus kepada mentoring antaranya bersama Datuk Wira Dr Azizan Osman, Sifu Jamal, Ibu Hanim dan ramai lagi.
Saya seorang yang konsisten dan tidak mudah putus asa. Saya berpegang kepada prinsip, buat sesuatu dengan terbaik sampai jadi. Selain itu, saya sentiasa bersedia dan peka dengan keadaan semasa. Harus tahu bagaimana untuk mengubah strategi perniagaan dan sebagainya.
Saya juga seorang yang sukakan cabaran dan melihat kejayaan orang lain. Suami sering berpesan, apa jua yang dikerjakan perlu ada rasa cinta. Jadikan perniagaan ini sebagai platform untuk mencari bahagia. Ini kerana perniagaan adalah gaya hidup serta ‘nyawa’ dalam kehidupan kami. Sebelum ini suami juga pernah bekerja namun setelah berhenti beliau membantu saya menguruskan peniagaan di bahagian pengurusan operasi dan kewangan. Saya pula di bahagian jualan dan pemasaran.
CABARAN PANDEMIK COVID-19 Demi kelangsungan perniagaan, saya tingkatkan usaha dari segi latihan dan pembangunan insan bersama agen dan stokis. Semuanya sudah bersedia dengan ilmu perniagaan masing-masing. Itulah yang menentukan tahap pendapatan mereka. Kami juga kukuhkan strategi dari segi online termasuk butik fizikal.
Maka, agen dan stokis dapat membuat penghantaran produk melalui Cash on Delivery (COD). Alhamdulillah, kebetulan stok kami semuanya sudah tersedia dan ‘laku keras’. Walaupun impak COVID-19 lebih kepada offline (butik fizikal) namun kami mencari alternatif lain melalui penghantaran online. Maka kami perlu sentiasa menyesuaikan diri dengan norma baharu dalam perniagaan termasuk dari segi pembangunan networking dan internet. Masing-masing perlu bersedia dengan ilmu teknologi internet.
GANJARAN
Bahagia ini bila kita dapat membahagiakan kedua ibu bapa contohnya berpeluang menghantar mereka mengerjakan umrah. Berpeluang memberikan pendidikan terbaik untuk anak-anak juga satu kebahagiaan dan ini salah satu cara bagaimana saya reward diri sendiri. Saya akan rasa lebih bahagia apabila dapat memberi kepada insan-insan di sekeliling saya. Bila mereka bahagia, saya akan rasa lebih bahagia.
Saya juga berimpian untuk mewujudkan satu taman perumahan atas nama sendiri. Niat saya agar ia dapat memberi manfaat buat masyarakat. Nasihat saya, apabila buat sesuatu haruslah dengan jiwa dan rasa cinta kerana risiko untuk mudah putus asa adalah rendah. Bila kita buat sesuatu yang disukai kita mampu untuk kekal dalam industri. Pada masa sama dapat mencari kehidupan kita yang sebenar. Apa pun segalanya berbalik kepada niat,” akhiri Syira.
Kredit Foto: Instagram @syira_charms
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!