Lama rasanya kita tidak mendengar khabar tentang bekas hos Hlive! dan juga model yang terkenal menerusi iklan Trivago yang cukup popular suati ketika dahulu. Walaupun sudah jarang muncul di kaca TV, siapa menyangka Dahlia banyak menghabiskan masa menyertai misi kemanusiaan dan mengakui misi membantu saudara seislam kita di negara-negara Islam yang bergolak memberikan kepuasan yang tertentu buat ibu kepada seorang cahaya mata ini.
Kunjungan kali kedua aktivis dan pengacara Dahlia Shazwan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Syria pada Mac lalu merubah cara fikirnya ketika berdepan masalah.
Kata Dahlia, sebaik sahaja tiba di negara itu, dia mengakui tersentuh melihat semangat yang ditunjukkan oleh penduduk Syria yang sentiasa tersenyum menyambut rombongan dari Malaysia.
“Kalau kita pergi kita mesti bayangkan mereka sedih, sugul sepanjang masa. Tapi kebenarannya mereka selalu melemparkan senyuman kepada kami. Walaupun banyak kekurangan, mereka tetap mahu menjamu kami. Itu satu benda yang kita kena belajar. Kita yang tengok dia sedih, tapi dia tak sedih. Jadi kita yang rasa segan.
View this post on Instagram
“Kalau mereka pun boleh dalam keadaan begini nampak kelihatan sangat ceria, jadi apa alasan kita untuk bersedih? Kita pun automatik tukar perwatakan untuk jadi lebih friendly, jadi ceria… jadi expectation sebelum pergi… bila sampai dia jadi lain.
“Banyak lagi benda kita boleh belajar dalam kehidupan ini apabila bertemu dengan mereka,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Bercerita lanjut, Dahlia berharap dapat menyertai lagi misi kemanusiaan untuk membantu umat Islam di seluruh dunia yang berdepan dengan kesukaran.
“Sebelum ini ada juga saya dengar komen orang bercakap kenapa tidak membantu rakyat di Malaysia memandangkan masih ada yang susah di sini.
“Saya berfikir kalau semua orang fikir sebagini bagaimana keadaan saudara Islam di luar sana yang tidak mendapat sokongan dan bantuan.
“Saya tidak judge mereka yang tidak tergerak hati nak bantu, saya fikir ini semua hidayah Allah S.W.T. untuk gerakkan hati nak bantu.
“Cuma kita perlu tahu, kadang-kadang mereka tidak minta sumbangan, apa yang lebih penting adalah kesedaran. Kalau kita tersentuh dengan isu ini, Insya-Allah bantuan untuk umat Islam di seluruh dunia yang sedang berdepan kesukaran akan berterusan,” akhirinya.
Sumber: Astro AWANI