Ibarat Ubah Ciptaan, Ramal Masa Depan… Ini Penjelasan Mufti Kalau Edit Wajah Dengan FaceApp!

Pernah seketika dulu, media sosial dibanjiri hantaran foto FaceApp. Ramai pengguna termasuk golongan selebriti menyahut #AgeChallenge, iaitu menukar wajah menjadi tua. Ramai yang geli hati, gelak-gelak kemudian buat juga dan post untuk tatapan orang lain.

Tahu tahu semua pun terikut-ikut cabaran ni, tanpa ketahui dalilnya dengan jelas. Sempena Jumaat yang barakah, Majalah Nona berkongsi pandangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang hukum mengubah wajah menggunakan aplikasi FaceApp.

SOALAN: Saya ingin bertanya pandangan Sahibus Samahah Mufti, berkaitan aplikasi mengubah wajah FaceApp. Aplikasi tersebut boleh mengubah wajah kepada tua mahupun muda dan menukar kepada berlainan jantina.

Hal tersebut semakin tular di media sosial sejak akhir-akhir ini. Persoalannya, bolehkah mengubah wajah melalui aplikasi tersebut?

 

MENGUBAH CIPTAAN

Jawapan:

Aplikasi penyuntingan foto seperti FaceApp boleh mengelirukan identiti kerana wajah bertukar secara total kepada berlainan jantina dan kelihatan sangat realistik. Selain itu, pemilik aplikasi juga boleh menggunakan foto sesiapa sahaja yang disimpannya untuk diubahsuai dan disebarkan bagi tatapan umum.

Seseorang juga boleh menyalah guna foto wajah orang lain serta mendedahkannya tanpa kebenaran.

Secara umumnya, fungsi aplikasi FaceApp yang bertujuan untuk mengubah foto wajah dilihat seperti mempersendakan firman Allah yang melarang hamba-Nya mengubah fitrah ciptaan asal. Ini juga tergolong dalam tipu daya syaitan.

Mengubah foto wajah menggunakan aplikasi wajah dan menyebarkannya adalah ditegah.

  1. Seolah-olah menggalakkan mengubah ciptaan Allah walaupun bukan secara hakikat fizikal. Justeru, larangan tersebut bagi membendung kecenderungan perbuatan mengubah ciptaan Allah secara hakikat berdasarkan kaedah sadd al-zariah (menutup pintu kerosakan).
  2. Fungsi aplikasi tersebut yang mampu menukar foto wajah kepada berlainan jantina boleh mengelirukan identiti sebenar. Bahkan foto gambar tersebut boleh menjatuhkan maruah.
  3. Adapun, mengubah kepada wajah tua mahupun muda turut dilarang kerana mempunyai unsur memperdayakan terhadap fitrah kejadian asal serta tidak menunjukkan keaslian.
  4. Bahkan, meramal wajah tua adalah perkara yang tidak dapat dipastikan kebenarannya kerana manusia tidak dapat mengetahui kejadian pada masa akan datang.

 

Bolehkah Mengubah Wajah Jadi Berlainan Jantina?

Mufti juga berpandangan menukar foto wajah berlainan jantina walaupun hanya sekadar gambar tanpa melibatkan perubahan fizikal secara langsung adalah tidak boleh. Hal ini kerana penggunaan aplikasi tersebut hanya sia-sia selain mengaibkan diri sendiri kerana menzahirkan foto wajah yang berlainan jantina.

Seterusnya, menyebarluas foto wajah yang telah ditukar jantina untuk tatapan umum telah mengelirukan hakikat identiti sebenar mereka. Bahkan, ia turut memberi kesan kepada mereka yang melihat kerana dikhuatiri mengundang tohmahan daripada masyarakat. Umat Islam perlu sedaya upaya mengelakkan diri daripada menimbulkan sebarang fitnah terhadap dirinya.

Seterusnya, larangan penggunaan aplikasi tersebut kerana dibimbangi ia sebagai mukadimah untuk terjerumus ke kancah tasyabbuh secara fizikal walaupun pada awalnya hanya sekadar permainan suka-suka.

 

Bolehkah Mengubah Wajah Tua Atau Muda?

Aplikasi FaceApp juga boleh berfungsi untuk mengubah foto wajah menjadikan tersenyum, kelihatan lebih muda atau lebih tua. Sekiranya, foto wajah tersebut tersebar luas, maka perbuatan tersebut menyebabkan manusia terperdaya terhadap wajah yang bukan menunjukkan keaslian selain terdapat unsur penipuan.

Selain itu, aplikasi yang mengubah wajah tua seperti meramal kejadian penciptaan wajah manusia pada masa akan datang yang pastinya tidak mungkin dapat diketahui oleh semua manusia.

Kesimpulannya setelah meneliti dalil dan hujah yang dibentangkan, penggunaan aplikasi FaceApp adalah ditegah sama sekali. Tegahan tersebut kerana terdapat unsur memperdaya terhadap wajah yang bukan asli, mengelirukan identiti sebenar dan mengaibkan individu tersebut sekaligus boleh menjatuhkan maruah dan ancaman fitnah.

Mufti turut berpesan kepada masyarakat agar bijak memilih sebarang aplikasi teknologi untuk perkara-perkara yang bermanfaat. Namun, penggunaan aplikasi FaceApp ternyata hanya sia-sia dan lebih mengundang mudarat kepada agama.

Semoga kita dapat menjalani kehidupan mengikut neraca syariah yang sebenar.

IKLAN
Share