Wanita bergelar ibu memikul tanggungjawab sungguh berat. Tugasnya bagai tak pernah habis dari hari ke hari. Wanita selalu di sebut lemah tetapi cinta yang telah membuatkan mereka lebih kuat dari sesiapa pun.
Dalam perkongsian Ustaz Ebit Lew dalam laman Instagram, cukup terkesan di sudut hati apabila mengenangkan kerjaya paling berat tetapi mulia di dunia. Katanya, kerjaya sebagai ibu ayah tiada gaji. Ia adalah kerja paling berat tetapi paling mulia di dunia. Ia juga adalah amanah dari Allah.
“Hargailah ibu ayah. Ucapkanlah sayang kepada mereka. Jika kita sudah menjadi ibu ayah, berilah kasih sayang dan masa untuk membimbing anak-anak.
Menjadi ibu khususnya satu pekerjaan yang tidak ada titik nokhtah. Pekerjaan yang tidak ada cuti, tidak ada MC jauh sekali untuk berhenti. “Kerja ini duit tak dapat, gaji tak dapat. Tak ada istilah sakit dalam kerja ni. Bila dapat saja kerja bila umur bertambah,kerja dia pun bertambah. Kalau usianya 100 tahun, 100 tahun dia akan sayangkan kita,”katanya.
Melafazkan kerinduan pada suri hatinya yang menguruskan rumah tangga 24 jam sehari serta menjaga anak-anak tanpa rehat mencukupi, sama seperti semua isteri dan ibu di dunia. Dia memuji kekuatan yang ada dalam diri seorang wanita bergelar isteri dan ibu.
Dalam ceramahnya lagi, Ustaz Ebit turut berkongsi rasa kerinduan yang teramat terhadap Allahyarham ibunya. Pernah sewaktu hari lahirnya, Ustza Ebit cuba menghubungi arwah ibunya dari Bangladesh hanya semata-mata untuk mendengar ucapan paling berharga. “Ebit, selamat hari lahir. Mak sayang dekat Ebit. Ucapan yang sangat saya rindui hingga sekarang,”katanya.
Pesan Ustaz Ebit, “Ucapkanlah sayang dan hargailah selagi ada kesempatan. Selalu doakan mereka. Rindunya nak menangis sebab dah tak dengar suara itu lagi dalam hidupku ini. Terima kasih Allah pinjamkan wanita yang sangat baik dalam hidupku. Semoga satu hari nanti, di sana, ku ingin ucapkan sayang dan terima kasih padanya.”
Tips Hargai Ibu
Katakan lebih daripada terima kasih: Seandainya ibu membuat sesuatu untuk anda, ucapkan terima kasih dan perincikan mengapa terima kasih itu diungkapkan kepanya. Ukirkan senyuman manis untuknya agar dia tahu anda betul-betul menghargai pertolongannya.
Nyatakan betapa nasihatnya sangat membantu: Terlalu banyak pesanan ibu buat anak-anak. Beritahu padanya secara spesifik, bagaimana nasihat itu membantu mengubah hidup anda. ibu-ibu suka dipuji dan dia pasti gembira!
Hubungi ibu di saat di tengah-tengah kesibukan kerja anda : Sesuatu yang tidak disangka seringkali menjadi kejutan paling istimewa. Apakata anda hubungi ibu ketika anda sedang bekerja, contohnya pada waktu pagi. Beritahu ibu betapa beruntungnya anda dilahirkan dan dibesarkan ibu yang sehebatnya.
Memasak untuk ibu: Apa salahnya jika sesekali ketika anda berkunjung ke rumahnya, anda sendiri yang memasak hidangan kegemarannya. Makan bersama-sama dan bersembanglah dengan ibu kerana dia pasti ingin mendengar setiap perkara yang sedang berlaku dalam hidup anda, meskipun anda sudah berkahwin!
Ads
Menjadi pendengar: Jadilah pendengar setia ibumu. Jika sebelum ini hanya ibu yang mendengar setiap keluh resahmu, kali ini pinjamkan bahu dan telinga anda untuk mendengar ceritanya pula.
Tinggalkan nota: Sesuatu yang jarang atau tidak pernah anda lakukan bukan? Sebelum anda pulang ke rumah sendiri selepas menziarahinya, tinggalkan nota istimewa di meja soleknya. Ungkapan yang ringkas dan paling bermakna seperti “Ibu, terima kasih di atas kasih sayangmu. Saya sayangkan ibu dunia dan akhirat” pasti membuatkannya tersentuh.
Sumber video: Instagram Ustaz Ebit Lew
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
12 tahun dah berlalu namun aura dan lagu Cinta Muka Buku dendangan Najwa Latif masih segar di ingatan peminat. Apa yang pasti nama Najwa Latif berada dalam kelas tersendiri dalam industri muzik tanah air meskipun dengan kehadiran ramai penyanyi baharu masa kini.
Hujung tahun lalu Najwa atau nama sebenarnya Imratul Najwa Abdul Latif kembali menjadi siulan ramai selepas dia muncul dalam satu pesta hiburan melibatkan golongan muda. Siapa sangka selepas bergelar isteri dan tidak lagi aktif seperti dulu, aura Najwa tetap ‘berbisa’.
Malah, ribuan penonton yang menyaksikan persembahan penyanyi berusia 28 tahun ini bersorak teruja dan turut sama menyanyikan lagu-lagu popular Najwa sekitar tahun 2012 lalu.
Terharu dengan sambutan yang diterima, isteri Akwa Arifin ini tidak pernah menyangka kemunculannya diterima begitu baik daripada peminat.
Bahkan perkongsian video Najwa di media sosial ketika membuat persembahan meraih lebih sehingga tiga juta tontonan!
Rata-rata peminat mahu selebriti ini menganjurkan konsert bagi mengubat kerinduan mereka. Bagaimana pun, Najwa ada jawapan tersendiri.
“Kepada yang sudi, thank you for growing up with me and appreciating the songs Kak Ika wrote for me. Pasal concert ke showcase ke, Wawa belum rasa layak atau mungkin tak pernah layak pun.
But doakan Wawa habis belajar eh? Kalau ada rezeki kita jumpa dekat event mana-mana, I’ll see you when I see you.”
Najwa selamat bergelar isteri kepada penyanyi Akwa Arifin pada 11 November 2022 selepas dikhabarkan dua tahun menjalin hubungan serius.
Pada tahun 2019, Najwa tamat pengajian peringkat Sarjana Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Malaya (UM) dan bertugas sebagai pensyarah di Universiti Selangor (UNISEL).
Pun begitu, dia terpaksa berhenti kerjaya sebagai pensyarah bagi memberi perhatian terhadap pengajian Doktor Falsafah (PhD).
Sebaris ayat, cinta kepada bangsa dan negara Malaysia, saya sanggup mati untuknya… hampir membuatkan jantung penulis luruh ke kaki. Terasa besarnya hati wanita itu, dan alangkah kecilnya jiwa penulis di depan tokoh yang banyak berjasa ini.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 ini, yang jatuhnya pada tahun penuh dugaan, dengan pandemik COVID-19 dan kelembapan ekonominya, ayuh kita bangkitkan semangat patriotisme dan rasa cintakan negara sehebat mungkin.
Siapa lagi yang lebih layak mengimbau besarnya nilai kemerdekaan di negara kita, jika bukan mereka yang pernah melalui sendiri peritnya kehidupan pada zaman penjajahan.
Ya, saban kali tibanya tanggal 31 Ogos, nostalgia berbual mesra di kediaman Tan Sri Datin Paduka Seri Zaleha Ismail, sampai sekarang masih meninggalkan rasa rindu mahu membalik masa.
Kalau perlu dikumpulkan semua sumbangan mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu, rasanya tidak cukup sehari. Wanita bijak lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Ekonomi) dari Universiti Malaya ini memegang portfolio kerjaya yang begitu impresif sejak remaja.
Sambil membiarkan penulis ralit meneliti album-album gambar lama, kotak kenangan Tan Sri Zaleha sebagai anak pra-merdeka pun mula terbuka.
Layar nostalgia hitam putih bagai berputar menceritakan kisah keperitan hidup, termasuk yang dilalui sendiri oleh beliau sekeluarga. Paling sukar dilupakan, tentu sekali sewaktu anak jati Kuala Langat itu membesar pada zaman pemerintahan Jepun.
Penjajahan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1941 menandakan satu detik perubahan antara pemerintahan orang Inggeris kepada Jepun. Tan Sri Zaleha yang baru memasuki Sekolah Melayu Sg. Pelek pada ketika itu turut menerima tempiasnya.
“Setiap pagi kami dipaksa berbaris, berdiri menghadap matahari terbit sambil menyanyikan lagu kebangsaan Jepun, Kimi Ga Yo. Hari-hari menyanyi, sampaikan sekarang pun saya hafal liriknya… Kimigayo wa… Chiyo ni, yachiyo ni…” nyanyi Tan Sri Zaleha sambil merenung jauh.
“Di kampung kami, ada seorang budak lelaki yang tugasnya memberi signal jika askar Jepun datang. Setiap kali signal berbunyi, kami semua akan bertempiaran lari ke hutan dan bersembunyi.
Kami akan menyorok di celah-celah perdu pokok sehinggalah suasana kembali selamat. Bimbang jika dijumpai, nyawa akan melayang. Yang gadis akan diperk0sa, kanak-kanak dihambat dengan benet. Orang lelaki atau warga tua pula akan dipukul tanpa belas kasihan.
Pada ketika itu, arwah bapa saya bertugas sebagai penghulu kampung. Namun kerana tak sanggup melihatkan kekejaman askar Jepun, dia tekad meletak jawatan. Bayangkan kalau mereka datang ke kampung, habis rumah-rumah penduduk digeledah.
Bukan itu saja, kami juga pernah menyaksikan bom meletup di depan rumah. Bayangkan betapa takut dan cemasnya pada waktu itu. Mujurlah tiada sesiapa yang tercedera,” imbau Tan Sri Zaleha.
SEKOLAH INGGERIS
Sekitar tahun 1945, setepatnya selepas Perang Dunia Kedua berakhir, beliau sekeluarga pun berpindah ke Bagan Lalang. Cerita Tan Sri Zaleha, di sekolah ada seorang guru bernama Cikgu Atan yang tiba-tiba bertanya, ‘Ada sesiapa yang nak masuk ke sekolah Inggeris?’ kepada semua anak murid.
Maka dia pun cepat-cepat mengangkat tangan, tekad mengambil peperiksaan dan akhirnya diterima masuk ke High School Kajang.
“Pernah saya disindir oleh datuk saudara yang sangat skeptikal terhadap sistem pembelajaran Inggeris. Katanya pelajar Melayu di sekolah Inggeris pasti tak tahu mengucap nanti. Tapi saya keraskan hati. Saya belajar bersungguh-sungguh, lulus ujian dan berpindah lagi ke Methodist Girl School di Kuala Lumpur.
Persepsi negatif orang dulu-dulu terbukti salah kerana pelajar Muslim sebenarnya tidak perlu pun mengikuti kelas agama Kristian sewaktu belajar.
Kebetulan waktu itu, ayah saya menyambung tugas sebagai penghulu kampung di Seputeh, seterusnya ke Sungai Penchala. Saya masih ingat, hari-hari ayah akan mengayuh basikal tuanya untuk menghantar saya ke sekolah.
Perjalanan kami agak jauh, namun masa itulah saya yang membonceng basikal ayah dapat memeluk erat pinggangnya.
Tidak lama kemudian, ayah ditukarkan ke Salak Tinggi. Di situlah bermulanya fasa berdikari yang sebenar apabila saya terpaksa menumpang di rumah bapa saudara di Kampung Baru.
Berbekalkan duit tambang bas 10 sen, dapatlah saya berulang-alik ke sekolah dengan selesa setiap hari. Dan satu perkara hebat yang saya pelajari sewaktu di Methodist Girl School adalah tentang selflessness. Tentang memberi, dan bukan menerima semata-mata.”
KEMERDEKAAN
Kenangan menyambut hari kemerdekaan, tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur sehingga kini masih basah di fikiran Tan Sri Zaleha. “Ketika itu saya masih menuntut di Tingkatan 6.
Awal pagi jam 4, saya sudah keluar rumah di Kampung Baru menuju ke stadium. Dalam cuaca yang agak mendung dan hujan renyai-renyai, saya dan tunang sanggup berpayung semata-mata ingin menyaksikan peristiwa bersejarah tersebut.
Sampai di Stadium Merdeka, saya lihat ramai yang sudah tiba lebih awal daripada kami. Selain masyarakat yang berbilang bangsa, ramai juga menteri dan pemimpin yang hadir. Upacara yang sepatutnya berlangsung jam 8 pagi, ditunda ke pukul 9 kerana hujan lebat.
Saya ingat lagi, sambil saya menanti dengan perut yang berkeriut belum bersarapan, baju yang basah tadi pun sempat kering. Kemudian tibalah saat yang dinanti-nantikan. Detik Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan lafaz keramat, Merdeka! Merdeka! Merdeka! jantung saya bagai ditiup semangat berkobar-kobar.”
Bezanya anak muda dahulu dan sekarang, sambung Tan Sri Zaleha, adalah pada jati diri yang semakin hilang. “Dulu kami sanggup berhujan dan berpanas, berjalan beramai-ramai dengan satu tujuan untuk menyelesaikan sesuatu isu.
Mungkin sejak kecil telah didendangkan dengan semangat agar menuntut kemerdekaan, kami jadi ‘agresif’ dan berjiwa patriotik.
Anak-anak pasca merdeka pula seharusnya merasa bertuah kerana dapat menikmati kemakmuran dan kemajuan negara tanpa perlu bersusah payah. Golongan muda sekarang dapat membesar dengan selesa, tak seperti pada zaman saya dulu. Namun jangan sesekali dilupa bahawa pencapaian kita hari ini, harus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Ingat, bukan mudah meraih berkat ‘kebebasan’. Jika kita hanyut dibawa arus budaya luar, tak mustahil jika suatu hari nanti ia hilang semula,” pesan Tan Sri Zaleha sambil menekankan pentingnya mengekalkan identiti bangsa Melayu sejati dalam setiap jiwa anak muda.
EVOLUSI
Kesempatan meniti tahun demi tahun dan melihat sendiri evolusi yang berlaku di Malaysia, membuatkan Tan Sri Zaleha percaya tentang kuasa pendidikan. “Selepas kemerdekaan, banyak peningkatan yang berlaku terhadap kehidupan rakyat secara progresif. Saya sendiri berevolusi. Contohnya daripada terpaksa berjalan ke sekolah sejauh 10km, bertukar naik basikal, kemudian naik bas dan akhir sekali naik kereta milik ibu bapa.
Evolusi sebenarnya berkait rapat dengan ilmu. Saya yakin jika kita tidak menuntut ilmu, kita sukar menyumbang bakti secara direct kepada negara. Dengan pengetahuan yang dimiliki juga, kita bukan sahaja dapat menjana ekonomi dan membantu keluarga, malah dapat berjasa melalui sektor yang diceburi.
Sebagai contoh, saya sendiri merupakan seorang anak kampung yang susah. Namun usaha belajar tanpa jemu akhirnya meletakkan diri saya sebaris di barisan Kabinet Malaysia. Percayalah, peluang itu selalu ada bagi mereka yang berusaha.
Kesempatan melalui pelbagai zaman yang berkembang pesat, selalu membuatkan saya bersyukur ke hadrat Ilahi. Saya bangga kerana dari semasa ke semasa, negara kita mampu menyediakan pelbagai prasarana yang diperlukan rakyat.
Kemudahan pendidikan dan peluang pekerjaan melimpah ruah, maka terpulanglah bagaimana kita harus memanfaatkannya. Sebab itu berulang-ulang saya tekankan, orang perempuan mesti belajar bersungguh-sungguh supaya kita senang mendapat pekerjaan yang baik,” ulas wanita yang menjadikan tokoh Indra Gandhi dan almarhumah Tan Sri Aishah Ghani itu sebagai idola terhebat.
Satu perkara yang penulis kagum tentang Tan Sri Zaleha, adalah fokus beliau terhadap sesuatu yang sedang dibuat. Masakan tidak, di saat sembang kami meleret ke cerita lain, beliau tiba-tiba akan kembali bertanya tentang soalan sebenar yang ditanyakan penulis. Begitulah sikap wanita pintar ini, orangnya tidak mudah melencong.
“Ya, begitu juga jati diri kita. Sayangilah tanah air ini dan martabatkan semula bangsa Melayu. Saya tidak bercakap soal racism, tetapi realiti sejarah pernah mencatatkan bahawa bangsa kita adalah bangsa yang amat gagah dan berani.
Berbanggalah dengan identiti nenek moyang kita, sepertimana bangsa keturunan Red Indian atau puak asli Afrika pada asal-usul mereka. Saya ingin melihat kegemilangan bangsa Melayu yang terbilang, tak kira dari rumpun apa pun, kita harus bersatu-padu,” akhiri beliau.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bahagia dengan anak ramai pada usia 65 tahun, Raja Pop Datuk Jamal Abdillah yakin dengan rezeki-Nya meskipun lelaki seusia beliau sudah ‘bersara’ menjaga anak kecil.
Segak seperti selalu, penampilan Datuk Jamal Abdillah yang turut merupakan penerima anugerah Nona Superhero ketika ditemui selepas sidang media Majlis Makan Malam Amal Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA), Night of Love And Compassion baru-baru ini meraih tumpuan.
Memetik Sinarplus, penyanyi legenda ini memikirkan bahawa ketika ini adalah masa untuk beliau dan isteri, Datin Zai Izzati melihat anak membesar.
Pelantun lagu Gadis Melayu itu memaklumkan sebelum itu, beliau dan isteri merancang untuk tidak memiliki anak selepas kelahiran cahaya mata yang keempat.
Bagaimanapun, siapa sangka Raja Pop itu diberikan peluang sekali lagi untuk menimang cahaya mata kelima ketika beliau mencecah usia 65 tahun.
“Kalau nak ikutkan kehidupan saya pada usia ini, saya balik rumah dari kerja dan berehat.
Namun, kalau sudah rezeki (anak), takkan nak tolak,” ujar Datuk Jamal Abdillah.
Bahagia dengan anak ramai pada usia 65 tahun, Datuk Jamal Abdillah yakin dengan rezeki-Nya meskipun lelaki seusia beliau sudah ‘bersara’ menjaga anak kecil.
Walaupun ada yang mengecam penyanyi lagu ‘Kekasih Awal dan Akhir’ itu susulan berita kehamilan isteri enam bulan yang lalu, beliau mengambil pendekatan untuk tidak menghiraukan kata-kata itu.
Sebaliknya, ayah kepada penyanyi remaja Zaki Yamani dan Osama itu melahirkan rasa syukur dengan kurniaan Yang Maha Esa kerana masih diberikan peluang untuk menjaga amanah dari Tuhan.
“Sekarang ini generasi muda tak mahukan anak ramai, cukup sekadar dua cahaya mata. Namun bagi saya, anak adalah anugerah dan setiap zuriat yang lahir ada rezeki sendiri,” ujarnya.
Pun begitu, Jamal tidak menafikan cabaran menguruskan anak-anak kecil dalam usia emas, namun beliau percaya dirinya dan isteri hanyalah sebagai perantara bagi rezeki anak-anak.
MAJLIS AMAL
Dalam perkembangan tersebut, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan bakal digandingkan dalam satu pentas pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan TMESA, Night of Love And Compassion yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 14 Disember ini.
Penampilan duo selebriti tanah air itu disifatkan sebagai satu pilihan ‘evergreen’ dan diyakini mampu menarik jumlah pengunjung yang ramai tanpa mengira usia.
Dengan sasaran kutipan RM1 juta, hasilnya akan digunakan bagi tujuan pelaksanaan kegiatan kebajikan dan tajaan kepada pelajar yang memerlukan.
TMESA juga mahu meneruskan program ‘Sponsor A Student’ (SAS) yang kini telah membantu lebih 1000 pelajar yang rata-ratanya daripada kalangan keluarga daif.
Orang ramai boleh membeli tiket bagi majlis tersebut pada harga RM15,000, RM10,000, RM8,000, RM6,000 dan RM4,000 bagi satu meja.
Untuk maklumat lanjut berhubung pembelian tiket boleh menghubungi Hatta, di talian 018-2239934 atau Nik Ahmad, 019-4524567.
Lawatan Muzium Pahang bersama Tengku Ampuan Pahang menjadi detik penuh bermakna apabila baginda membawa rakan sekelas ISTAC UIAM menyelami sejarah, ilmu dan kenangan manis yang menyentuh hati.