Sepanjang dua tahun negara memerangi wabak akut pernafasan teruk itu, nama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah juga sentiasa di tangga teratas serta dikenali sebagai adi wira oleh setiap warga Malaysia.
Ruang waktu yang diberikan cukup singkat. Pagi Jumaat yang hening, awal-awal lagi kami sudah berkejaran ke Putrajaya demi memastikan sesi bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1442H/2020M ini, tidak seminit pun disia-siakan.
Tepat jam 10.30, Tan Sri Dr Noor Hisham muncul dengan senyuman, segak bersut biru, berkemeja putih dan bertali leher batik. Karisma beliau cukup menyerlah meskipun terlihat jelas riak-riak kepenatan di matanya.
Bagi Tan Sri, setiap hari dunia mempelajari sesuatu yang baharu mengenai virus COVID-19. Semua pihak mesti bersiap membuat perubahan kerana memerangi musuh di luar berbeza dengan memerangi musuh yang sedia menyusup ke dalam.
Cabaran hidup bersama COVID-19 semakin sukar.
Belum reda varian Delta, muncul pula varian Omicron yang diklasifikasikan sebagai varian dalam pemerhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Penularan strain baharu ini bagaikan suatu ‘teguran keras’ tatkala penghuni dunia mula alpa tentang kelonggaran SOP COVID-19 – lebih membimbangkan dan mungkin juga kalis vaksin, selain mempunyai kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi.
Wajah Tan Sri Dr Noor Hisham sedikit stres. Barangkali terlalu banyak perkara penting yang difikirkan termasuk yang terkini, mutasi COVID-19 Omicron terhadap masyarakat sejak kes pertama dikesan di Malaysia pada Disember.
Ekoran risiko varian ini sekaligus turut mendesak kerajaan untuk menangguhkan usaha peralihan fasa endemik buat sementara waktu.
“Di sebalik semangat kita untuk kembali menjalani kehidupan norma baharu, menggerakkan ekonomi, merancakkan bisnes dan giat menembusi pasaran luar, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengamalkan TRIIS.” Tan Sri Dr Noor Hisham
Amalan TRIIS atau singkatan TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM dan SEEK merupakan senjata ampuh untuk kita beralih ke fasa endemik.
Terang Tan Sri Dr Noor Hisham lagi, “TRIIS membawa maksud TEST iaitu melakukan ujian pengesanan COVID-19 jika mengalami simptom. REPORT iaitu melaporkan keputusan ujian di aplikasi MySejahtera. ISOLATE iaitu kuarantin kendiri jika positif.
INFORM dengan memaklumkan kepada kontak rapat jika positif dan pihak berwajib jika kesihatan merosot. Serta akhir sekali SEEK, iaitu mendapatkan rawatan jika mengalami gejala berat.”
Ads
JASA IBU
Dua tahun berlalu, bermakna sudah hampir 24 bulan tenaga frontliners kesihatan termasuklah Tan Sri Dr Noor Hisham sendiri, di ambang lesu. Meskipun sasaran KKM untuk mencapai imuniti kelompok tercapai namun kes aktif COVID-19 tetap perlu dipantau rapi.
Jasa petugas barisan hadapan negara amat besar, mereka berhempas pulas berkorban cuti dan masa untuk keluarga demi memastikan lengkung wabak berjangkit itu dapat dilandaikan.
Sebagai bapa kepada enam cahaya mata dan suami kepada Puan Sri Datin Sri Nik Suwaida Nik Mohammad Mohyideen, Tan Sri Dr Noor Hisham menaruh kepercayaan besar kepada isteri tercinta untuk menguruskan keluarga.
“Selalunya saya tak sempat ambil tahu hal sekolah anak-anak kerana sibuk bekerja. Isteri saya adalah orang penting di rumah untuk uruskan hal-hal ini dan beliaulah yang menjadi tulang belakang kejayaan saya sampai sekarang.”
Ditanya siapakah superhero di mata Tan Sri Dr Noor Hisham, beliau dengan pantas menjawab, “Semestinya ibu saya. Dialah sumber inspirasi saya hingga berjaya ke tahap ini dan dialah juga kunci keberkatan hidup anak-anak.
Kekuatan dan pengorbanan ibu selama ini mengalirkan energi untuk saya terus berbakti menyumbangkan tenaga kepada bangsa dan negara,” ujar Tan Sri Dr Noor Hisham yang dinobatkan anugerah tertinggi dalam Nona Superhero Award yang dipancarkan secara langsung dari One World Hotel, Petaling Jaya.
HERO NEGARA
Ads
Tan Sri Dr Noor Hisham baru saja menerima pengiktirafan antarabangsa, International Surgical Fellowship Award daripada Persatuan Pembedahan Antarabangsa (ISS).
Beberapa bulan sebelum itu, lelaki hebat berusia 58 tahun ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-48.
“Saya mahu memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat kerana sebaik-baik manusia adalah manusia yang membantu orang lain,” ringkas jawapan Tan Sri sewaktu ditanya tentang prinsip hidup yang dipegang.
Kredibiliti beliau terus menjadi inspirasi setiap petugas kesihatan KKM yang menganggap kerjaya mulia ini sebagai fardu kifayah.
Sebagai seorang Muslim, pengorbanan beliau dalam mewakafkan seluruh hidupnya untuk manfaat manusia lain merupakan sesuatu yang wajar disanjung tinggi.
Disifatkan sebagai frontliner kerajaan terpenting pada waktu krisis ini, kredibiliti Tan Sri Dr Noor Hisham sesungguhnya tidak perlu dipertikaikan.
Seluruh Malaysia mengenali beliau, tidak kira usia dan bangsa, menyanjung tinggi jasa lelaki kelahiran Sepang, Selangor itu dalam mewakili semua petugas kesihatan berjuang melawan virus COVID-19.
Dilahirkan pada 21 April 1963, Tan Sri Dr Noor Hisham memulakan perkhidmatan sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 selepas menggengam ijazah kedoktoran Doctor of Medicine dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Selepas menamatkan ijazah kepakaran Master of Surgery dari universiti yang sama, beliau telah melanjutkan latihan pengkhususan dalam pembedahan payudara dan endokrin di Australia pada tahun 1997.
Ads
Pada 1 Februari 2008, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan KKM sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013.
Sehingga kini, Tan Sri Dr Noor Hisham masih berkhidmat di Hospital Putrajaya sebagai pakar bedah dan sering melakukan pembedahan ketika beliau tidak bertugas di ibu pejabat.
Lelaki bijak ini juga pernah menerbitkan lebih daripada 60 artikel dalam jurnal perubatan dan pembedahan antarabangsa serta menulis berkaitan pembedahan endokrin terutamanya pembedahan tiroid secara bius setempat.
Kepakaran beliau di dalam bidang pembedahan tiroid ini menjadikan beliau terkenal di seluruh dunia pembedahan dan dijemput untuk memberikan ceramah kepada pakar-pakar bedah di peringkat antarabangsa seperti di Martin Allgower Lecture yang berlangsung di World Congress of Surgery di Krakow, Poland pada 12 Ogos 2019.
Selain berperanan sebagai Ketua dan Pakar Pembedahan Payudara, Endokrin & Pembedahan Am, beliau juga berperanan besar dalam menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama di dunia untuk rawatan Hepatitis C.
Bersama-sama agensi antarabangsa Drug of Neglected Disease (DNDi) yang berpusat di Geneva, Malaysia telah berjaya merevolusi rawatan penyakit itu yang selama ini sukar diakses.
Namun dengan usaha gigih Tan Sri Dr Noor Hisham serta pakar-pakar perubatan tempatan, penyakit Hepatitis C kini boleh didiagnos dengan cepat dan mudah serta boleh dirawat di klinik-klinik dalam komuniti.
Seperkara yang jelas, kebimbangan beliau terhadap COVID-19 sangat berasas melihatkan gaya hidup masyarakat yang kembali rancak mengabaikan SOP.
“Apabila manusia bergerak dan berhimpun, virus juga akan merebak dan menjangkiti individu lain, membiak dan bermutasi hingga mewujudkan varian-varian baharu.
Percayalah, kita masih belum menang. Langkah terbaik bagi memutuskan penularan adalah dengan mengurangkan pergerakan tetapi sekiranya terpaksa keluar rumah, patuhilah prosedur operasi standard (SOP).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Konsep: Azniza Aziz
Foto: Sharinizam Othman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bekas canselor Jerman Angela Merkel akan diberi penghormatan Order of Merit Jerman dengan reka bentuk khas pada Isnin, yang akan disampaikan oleh Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Setakat ini, hanya bekas canselor Konrad Adenauer dan Helmut Kohl menerima penghormatan tertinggi Jerman itu.
Angela Merkel juga tersenarai sebagai salah seorang pemimpin tertinggi wanita dunia yang tidak pernah mempunyai zuriat sendiri.
Bagaimanapun beliau mempunyai dua orang anak tiri hasil perkahwinan dengan suaminya, Joachim Sauer pada tahun 1998. Suami Merkel merupakan seorang ahli kimia dan profesor fizik di Berlin.
Angela Merkel yang kini berusia 68 tahun menamatkan perkhidmatan sebagai Canselor Jerman pada Disember 2021 sejak dilantik secara rasmi pada November 2005.
Selain Order of Merit, Grand Cross secara automatik dianugerahkan kepada setiap presiden persekutuan apabila memegang jawatan atau kepada ketua negara asing.
Canselor Jerman Olaf Scholz juga akan menghadiri majlis itu di Istana Bellevue di Berlin.
KERJAYA
Daripada saintis kimia kuantum kepada orang politik, perjalanan awal Angela Merkel membawa dirinya sebagai Menteri Kabinet paling muda di Jerman
Mungkin ramai tidak tahu bahawa pemimpin tertinggi Jerman, Angela Merkel sebenarnya berlatarkan dunia akademik dulu sebelum terjun ke dalam politik.
Dilahirkan pada 17 Julai 1954 di Hamburg, beliau sempat melihat kesan Perang Dingin dengan terbelahnya Jerman kepada dua: Jerman Barat dan Jerman Timur.
Sebaik mengikuti keluarganya berpindah ke Berlin Timur, beliau menjadi seorang pelajar yang bijaksana. Di sekolah, dia petah berbahasa Rusia dan seringkali dianugerahkan hadiah kerana kefasihannya dalam bahasa Rusia serta keputusan terbaik dalam Matematik.
Tapi ketika itu, sesiapa yang tidak menyertai parti politik rasmi kerajaan iaitu Parti Socialist Unity, sukar untuk diserap masuk ke universiti. Jadi Angela Merkel pun menyertai sayap muda, Free German Youth (FDJ). Beliau kemudiannya sambung pengajian di Universiti Karl Marx, Leipzig. Di sana, beliau mendalami bidang fizik dari tahun 1973 hingga 1978.
Selepas dianugerahkan ijazah kedoktoran untuk tesisnya mengenai kimia kuantum pada 1986, beliau bekerja sebagai penyelidik dan pernah menerbitkan beberapa kertas kajian. Pada tahun yang sama jugak, dia dapat bergerak bebas ke Jerman Barat untuk menghadiri kongres, selain menyertai kursus bahasa di Donetsk. Donetsk ketika itu di bawah pentadbiran Republik Sosialis Soviet Ukraine.
Kepantasannya melonjak naik dalam persada politik memang mengagumkan. Sejak runtuhnya tembok Berlin pada 1989, beliau lebih aktif dalam gerakan memperjuangkan demokrasi dan menyertai parti Democratic Awakening.
Dalam pilihan raya berbilang parti yang julung kali diadakan dalam Jerman bersatu pada 1990, Angela Merkel menang dan dilantik menjadi Menteri Wanita dan Belia, sekaligus menjadikannya pemimpin termuda dalam kabinet persekutuan ketika tu. Beliau baharu berusia 36 tahun.
Walaupun selepas kekalahan parti Christian Democratic Union, beliau tetap dilantik menjadi muka utama parti. Pada tahun 2000, Angela Merkel akhirnya menjadi pemimpin wanita pertama dalam parti Jerman selepas menggantikan Wolfgang Schauble.
Dalam tempoh 2002-2005, beliau jadi Ketua Pembangkang di Bundestag (setaraf dengan dewan parlimen). Popularitinya terus mencanak, dan akhirnya pada 2005, dilantik menjadi Canselor Jerman.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa tidak kenal dengan figura jelita yang pernah dikatakan kembar seiras kepada pelakon tanah seberang Nia Ramadhani, pemilik nama penuh Nur Amira Izzati Rosli ataupun Amyra Rosli mula berkecimpung dalam industri seni tanahair sejak 2011 sebagai pelakon wanita Malaysia.
Setelah namanya melonjak naik apabila menjadi teraju utama dalam drama bersiri keagamaan berjudul Nur, Amyra kini mulai membereikan fokus dan melebarkan sayapnya dalam bidang pengacaraan pula.
Detik Penghijrahan Amyra Rosli, Dah Lima Tahun Berlalu!
Memetik laporan Media Hiburan, Amyra mula mengorak langkah berubah kearah lebih baik sekitar 2011, diam tak diam sudah lima tahun Amyra istiqamah mengenakan tudung dan menggayakan busana patuh syariah.
Sehubungan itu, dalam temu bual bersama Zayyan, ibu kepada dua cahaya mata dan juga suri hati kepada Amar Baharin itu ada menceritakan semula detik-detik penghijrahan yang dilakukan.
Menurut Amyra, kali pertama terdetik mahu berhijab sepenuhnya, dia berbuat demikian tanpa berbincang dengan suami, Amar Baharin dan ibunya, sebaliknya perubahan itu berlaku secara tiba-tiba.
“Ketika saya pulang dari Mekah, ada seorang kawan lelaki datang ke rumah untuk menziarahi kami sekeluarga.
“Apabila saya sudah bermingu-minggu menutup aurat ketika berada di Mekah, apabila tetamu datang rumah, rasa macam tak selesa. Saya rasa mungkin dah sampai masa.
“Ketika itu saya tidak berbincang dengan suami atau ibu saya, ia datang secara tiba-tiba untuk saya berbuat demikian (menutup aurat),” kongsi pelakon drama Nur 2 itu.
Tiga Figura Ini, Inspirasi Amyra Kekal Istiqamah
Menjadikan Neelofa, Mizz Nina dan Vivy Yusof sebagai insiprasi selebriti wanita hijab yang berjaya, Amyra akui bahawa ada kalanya terfikir mengenai soal rezekinya dalam industri hiburan.
“Saya dah beberapa tahun dalam industri hiburan ini dengan free hair dan berlakon macam biasa. Bagi saya ia seolah-olah rutin yang sama setiap hari.
“Apabila mengenakan tudung ini, kadang-kadang ada juga bisikan jahat yang mempersoalkan ada job ke lepas ni? ada ke tempat aku dalam industri ini lagi? Tapi saya memandang ke araf positif dan menjadikan Neelofa, Mizz Nina, Vivy Yusof sebagai inspirasi.
“Mereka yang menjadikan saya kuat apabila saya berasa down,” ujar Amyra.
Apa Lagi Yang Allah Tak Beri?
Tambahnya lagi, pesanan seorang ustaz menjadikan pelakon itu lebih kuat untuk berhijrah.
“Ustaz saya pernah sampaikan pada saya, jika kita kejar dunia, kita hanya akan dapat dunia semata-mata, tetapi kalau kita kejar dua-dua (dunia dan akhirat), kita akan dapat dua-duanya sekali.
“Rezeki kahwin sudah ada, anak dan karier. Apa lagi yang Allah tak bagi aku. Mungkin saya rasa sudah tiba masanya ikut perintah Alla pula.
“Apabila sudah berhijrah ini, pemikiran lebih matang dan tahu perancangan yang mahu dilakukan dalam hidup,” jujur Amyra.
Amyra dan Amar mendirikan rumah tangga pada November 2016. Hasil perkongsian hidup selama lapan tahun itu, perkahwinan mereka diserikan lagi dengan kehadiran dua cahaya mata Aqeef Anaqi dan Ayra Aryssa.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari Media Hiburan
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!
Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia hampir 2 tahun ini membawa perubahan besar dalam kehidupan kita. Bukan saja rutin harian bahkan ekonomi antaranya sektor perniagaan. Tidak semua jenis perniagaan dibenarkan beroperasi antaranya perkhidmatan perunding acara.
Pengasas SA EVENTS, Sofiah Abdullah, 40, turut berhadapan dengan situasi tersebut apabila terpaksa menangguhkan segala aktiviti perniagaannya yang melibatkan pengacaraan dan rundingan acara. Sofiah merupakan kakak kepada bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-3, Akma Abdullah yang kini bergelar penyanyi, hos dan pelakon.
Sofiah Abdullah, pengasas SA EVENTS serta juruhebah sambilan.Sofiah bersama adiknya, Akma Abdullah bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-3.
“Sememangnya pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap perniagaan saya kerana banyak acara yang ditempah oleh klien hingga hujung tahun terpaksa dibatalkan. Ada sesetangah mereka yang dah bayar deposit booking juga saya terpaksa pulangkan duit mereka bila melihat situasi yang begitu kritikal ketika ini.
Kalau dulu perkhidmatan yang paling mendapat permintaan ialah untuk majlis pernikahan, perasmian syarikat korporat dan majlis-majlis sekolah. Setiap bulan sekurang-kurangnya ada 4 majlis yang menggunakan perkhidmatan daripada SA EVENTS, selalunya hujung minggu.
Bersama artis terkenal, Irma Hasmie.
Saya menyediakan perkhidmatan seperti perunding acara di bawah syarikat sendiri iaitu SA EVENTS yang mengendalikan perkhidmatan majlis seperti perkahwinan, perasmian, sukan sekolah, harijadi dan yang melibatkan perkhidmatan Pengacaraan dan PA System (Sistem Siar Raya). Setelah 10 tahun berkecimpung dalam bidang ini secara sambilan saya membuat keputusan untuk lebih serius lagi. SA EVENTS kini memasuki tahun ke-2.
Ketika aktif dengan bisnesnya, SA EVENTS.
Sebelum melibatkan diri dalam bidang perniagaan, saya merupakan pekerja sektor awam bertugas sebagai juruhebah Radio Klasik Nasional (sekarang Radio Klasik) dari tahun 2005-2011 dan seterusnya berkhidmat sebagai Penerbit di Saluran TV2, RTM. Setelah berumahtangga pada 2008, dan mempunyai cahaya mata tahun 2011 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada tahun 2014.
Sementara bisnesnya ditangguhkan, Sofiah meneruskan kariernya sebagai juruhebah sambilan.
Bermula detik itu saya melangkah sendirian dengan menjadi pengacara majlis di majlis-majlis keraian dan menjadi konsultan kepada acara-acara korporat dan perseorangan. Pada Disember 2018 saya mengambil keputusan untuk set up business sendiri menubuhkan SA EVENTS dengan membeli peralatan PA System dan memberikan perkhidmatan pengurusan acara majlis kepada klien.
Antara sumbangan kecil saya sepanjang terlibat dalam bidang ini ialah berkolaborasi dengan Breast Cancer Foundation dan klinik swasta. Saya bertindak sebagai jurucakap dan pengacara ketika bulan kesedaran kanser payudara. Saya turut memberikan khidmat juruacara secara percuma sebagai sokongan kepada pesakit kanser (cancer survivor).
Kekal manis di usia 40 tahun, tahi lalat penyeri wajah.
Saat paling down pernah saya lalui dalam perniagaan apabila mendapat rakan-rakan bisnes yang tidak jujur. Sebagai rakan kongsi saya ditipu dan dipermainkan dari segi kewangan. Wang habis begitu sahaja kerana terlalu percayakan mereka. Akhirnya saya mengambil keputusan berdiri sendiri tanpa rakan kongsi,” kongsi ibu anak 2 ini.
Bapa Sofiah seorang pesara kerajaan manakala ibunya seorang suri rumah. Semasa kecil, ibunya berniaga kuih di kawasan perumahan.
Bersama ahli keluarga di Kuala Kangsar, Perak.
“Selalunya saya, kakak dan adik akan membantu ibu di dapur menyiapkan kuih-muih dan tempahan pelanggan. Kuih ibu yang paling popular ialah ketayap yang sering ditempah oleh pihak hotel kerana ia antara kuih kegemaran Tun Mahathir ketika itu,” ungkap anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak ini yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Sofiah sememangnya akrab dengan adik beradiknya.
TETAP BERSYUKUR
Walau apa pun yang berlaku, saya tetap bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan sebagai juruhebah sambilan di Radio Salam FM 91.1 di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Jika keadaan kembali pulih dan kerajaan membenarkan sektor sosial, saya akan mulakan operasi perniagaan ini semula.
Pendorong utama semestinya suami yang sentiasa membantu menguruskan perniagaan kecil-kecilan kami. Ibu bapa dan keluarga juga antara yang sentiasa memberikan semangat sewaktu susah dan senang saya.
Keluarga bahagia.
Saya sentiasa berpegang kepada kata-kata, jangan meminta-minta kepada orang, sentiasa mengharapkan pertolongan dan bertawakal kepada Allah SWT adalah jalan keluar dari segala kesulitan.
BIJAK BAHAGI MASA Saya seorang yang mengutamakan hubungan kekeluargaan. Dalam apa jua keadaan keluarga adalah keutamaan. Saya akan pastikan keperluan suami dan anak-anak serta ibu bapa sudah disiapkan kemudian barulah boleh bekerja atau melayani klien. Apapun kasih kayang keluarga mendahului segalanya kemudian barulah datangnya rezeki.
Sofia bersama dua anaknya yang berusia 10 dan 2 tahun.
Jika ingin berjaya dalam perniagaan mahupun kerjaya, setiap wanita perlu tahu apa kehendak dan keinginan untuk terus berjaya. Lakukan perkara yang kita suka, bukan kerana terpaksa dan dipaksa. Memang zaman sekarang wanita juga perlu mencari rezeki tapi jangan memaksa diri akibatnya sakit di kemudian hari. Lakukan setiap pekerjaan itu dengan ikhlas dan minat barulah akan datang kesungguhan itu walaupun kerja yang dilakukan amat sukar. Suami juga memainkan peranan penting untuk mendorong emosi isteri.
Semoga Sofiah terus sukses dalam bisnesnya dan tercapai segala impian.
Impian saya ingin membuat kelas pengacaraan dan pengurusan acara buat anak-anak muda yang sukakan bidang ini. Saya juga berhasrat ingin menjalankan acara khusus melibatkan kaum Muslimah sahaja bagi mereka yang ingin menjaga aurat untuk sebarang majlis melibatkan wanita. Saya juga akan kongsikan ilmu dan pengalaman yang ada jika satu masa nanti ada pihak yang sudi bekerjasama.
Bersesuaian dengan keadaan sekarang bisnes ini amat membantu saya menjana ekonomi kerana pengurusan acara adalah sesuatu yang mendapat sambutan setiap masa. Ada sahaja acara-acara yang diadakan di sekeliling kita, rugi jika kita tidak jadikan ia bidang komersial kepada kaum wanita kerana kebanyakannya dimonopoli oleh kaum lelaki. Saya yakin, wanita juga mampu melaksanakannya jika ada kesungguhan.”
Kredit Foto: Instagram @sofia8181
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.