Saat seluruh badan terasa lenguh dan penat akan segala beban serta gaya hidup yang kita jalani, mungkin tiap sendi yang tak henti berfungsi itu harus dimanjai dengan refleksi suasana rehat gaya spa.

Meskipun cuma di kamar mandi mahligai anda, suntikan atraksi gaya penataan yang mirip suasana spa halnya pasti memberikan ambien dan mood rehat yang benar-benar berbeza.

(a) SENTUHAN PERINCIAN KAYU

Gaya tropikal sememangnya tidak pernah lelah untuk penataan kamar mandi. Dek kerana itulah kebanyakan spa menggunakan unsur alam ini sebagai faktor keseimbangan emosi dan ketenangan buat pengunjung. Biarpun sedikit sahaja palitan unsur ini pada tandas anda, namun jika kena dengan gaya hasilnya pasti memuaskan.

(b) GANDINGKAN UNSUR ALAM TERHADAP KEMASAN

Sesuatu hal yang jarang kali untuk difikirkan. Menukar penataan gaya kamar yang diimpikan memerlukan sedikit kerja keras.

Ayuh, lakarkan lantai kamar mandi anda menggunakan tekstur batu ataupun kayu yang pastinya menciptakan kesan yang penuh ketenangan. Jika tidak, hamparkan saja tikar mandi batu kerikil (pebble bath mat) di kamar mandi anda, hasilnya pasti berbeza.

(c) CORAK SERAGAM

Sekiranya  anda memiliki saiz kamar mandi yang lebih luas dan besar, mungkin anda perlu berkira-kira untuk mengubah keseluruhan gaya ruang privasi anda dengan sentuhan kemasan seragam.

Bermula dari lantai sehinggalah ke dada dinding, hasilkan cetakan dan paduan kemasan yang seragam untuk hasil yang lebih menarik. Baik menggunakan wood slats, marmar, mozek atau sebagainya semuanya pasti menghasilkan gaya yang berbeza.

(d) STORAN TERBUKA

Hakikatnya, untuk menghasilkan sesuatu yang cantik itu tidak langsung menuntut belanja yang tinggi. Padu dan padan idea anda bersama bajet keseluruhan adalah langkah bijak dalam menata kediaman anda.

Sekiranya anda tidak memiliki storan berpintu di kamar mandi anda, susunlah tuala ataupun barangan keperluan lain ke dalam bakul rotan. Storan terbuka pastinya memberikan kesan ilusi ruang yang lebih luas.

Idamkan Suasana Spa Di KAMAR MANDI Rumah? Ini Cara-Cara Hias Yang Senang Anda Praktikkan

(e) PUTIH YANG TENANG

Gandingan kemasan lantai mahupun dinding anda bersama rona putih gading adalah kombinasi yang jelas serasi. Disimbah dengan sedikit pencahayaan semula jadi pastinya membangkitkan aura spa di kamar mandi anda. Susun item di dalam kamar mandi anda dengan kemas dan teratur untuk hasil yang lebih sempurna.

Jika anda pencinta rona suci ini, menetapkan skema warna putih secara keseluruhan di dalam kamar mandi juga adalah satu provokasi dalam meraih ketenangan. Namun, biarkan lantai di kamar pancuran anda dihias dengan rona sedikit berbeza.

(f) VISUAL PEMANDANGAN TERBUKA

Saat memanjai badan dengan berendam di dalam tab mandi, pastinya mata mengimpikan visual pemandangan yang indah-indah sahaja.

Sekiranya kamar mandi anda berhadapan dengan taman mahupun pemandangan yang indah, wujudkan rongga-rongga terbuka yang mampu membawa mata anda melihat keindahan di luar berteraskan privasi anda.

(g) PEKA TERHADAP KEKEMASAN

Cuba anda bayangkan saat kaki melangkah masuk ke rumah rawatan spa, semuanya kelihatan teratur, kemas dan tersusun bukan?

Begitu juga yang perlu anda utamakan saat menjadikan ruang kamar mandi ini berterusan menghasilkan suasana yang diimpikan. Lipat atau gulung tuala dengan kemas, pastikan cermin kamar mandi anda digilap sentiasa bagi mengecap rasa persis berada di spa.

Bangkitkan kesegaran dengan menghidupkan bara aromaterapi yang menebarkan keharuman di seluruh ruang kamar mandi anda. Gandingkan dengan kesegaran bunga, hasilnya pasti mengujakan. Jika tidak, cari sahaja bunga tiruan yang memberikan kesan realistik seperti bunga segar dan hiaslah kamar mandi anda dengan indah. KR

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI