Kisah cinta di antara pasangan yang sudah 64 tahun mendirikan rumah tangga ini memang menyuntik inspirasi siapa saja. Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, lambang seorang wanita dan isteri yang wajar dijadikan contoh terbaik era ini. Menggalas tugas sebagai isteri kepada Perdana Menteri dan juga ibu kepada 7 orang anak serta 18 orang cucu, Tun Hasmah berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.
Siapakah Tun Dr Mahathir Mohamad dari perspektif wanita yang berusia 93 tahun ini. Berikut adalah kata-kata indah yang tersusun keluar dari mulutnya bercerita tentang suami kesayangan kepada Majalah Nona.
“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujarnya tentang karakter suaminya.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya,” kongsi Tun Hasmah tentang suaminya yang pendiam dan boleh berubah menjadi seorang yang humor.
Ads
“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki. Mesti akan dirapikan jika ada yang tak kena, agar nampak lebih natural,” bicara Tun Hasmah tentang sikap suami yang sangat cerewet tentang penampilannya.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di matanya. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Hasmah tentang sifat suaminya yang teliti tentang soal pakaian dan gemar bersut nehru atau bush jacket.
Ads
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang orang ramai berjumpa dengannya,” kongsi Tun Hasmah yang tak pernah jemu menyokong suaminya.
“Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia. Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layankan dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” ujar Tun Hasmah menjawab persoalan rasa cemburu dengan suami sendiri.
Ads
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu. Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan malah, pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” kongsi Tun Hasmah yang menggambarkan cinta sejati masih wujud.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah SWT jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya, ” tutur Tun Hasmah tentang suaminya yang tak tahu erti penat.
“Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya. Bagi saya ilham yang Allah SWT selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa,” kata Tun Hasmah tentang suaminya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.”
Tersentuh membaca luahan hati seorang ibu, merindui seorang anak yang sudah tiada. Di sebalik senyuman dan raut wajah tenang penyanyi era 80an yang tersohor dengan lagu Rumah Kecil Tiang Seribu, Azian Mazwan Sapuwan tersimpan perasaan rindu yang tak tertanggung terhadap arwah anaknya, Mohammad Aqil Zulkarnain. Arwah maut kemalangan jalan raya sekitar Disember tahun lalu. Semestinya, rasa kehilangan itu adalah yang paling ‘sakit’ kerana kasih sayang seorang ibu tiada penghujungnya.
Gambar kenangan Azian bersama arwah Mohammad Aqil Zulkarnain.
Arwah Mohammad Aqil anak keempat daripada tujuh beradik. Biarpun Allah SWT meminjamkan Mohammad Aqil selama 20 tahun sahaja namun setiap kenangan bersama arwah tersemat kemas di sanubari Azian lebih-lebih lagi detik mengandungkan, melahirkan dan membesarkannya. Azian sekeluarga redha dengan takdir Ilahi dan yakin dengan hikmahnya. Kini genap 7 bulan pemergian arwah.
Jelas terlihat kuatnya semangat seorang ibu menghadapi kehidupan selepas ketiadaan arwah. Setiap anak memiliki sikap serta keistimewaan yang berbeza. Salah satu sikap arwah ialah ringan tulang dan suka membantu orang yang dalam kesusahan. Itulah yang dirindui oleh Azian.
Arwah Mohammad Aqil menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang selepas mengalami kemalangan motorsikal pada 22 November 2019. Ekoran kemalangan itu, Mohammad Aqil mengalami kecederaan dalaman yang serius sehingga terpaksa dibius untuk direhatkan bagi memulihkan hati serta limpanya.
Namun, setelah hampir sebulan dirawat serta berada dalam keadaan koma akhirnya Mohammad Aqil menemui ajal kira-kira pukul 11.30 pagi. Arwah turut meninggalkan seorang balu dan anak. Ketika meninggal dunia, arwah baru sahaja bergelar seorang bapa dan anaknya, Aryan Zahfran ketika itu baru berusia 11 hari.
Azian turut berkongsi di laman Instagramnya “Anakanda saya, Mohammad Aqil Zulkarnain telah kembali ke rahmatullah lebih kurang jam 11.30 pagi ini. Semoga roh Allahyarham anakanda ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Ya Allah..kuatkan aku..” Ternyata, ibu yang berusia 45 tahun ini sangat tabah.
KONGSI DETIK TERAKHIR
“Pada siang hari kejadian, arwah ada datang makan tengah hari bersama kami sekeluarga. Arwah ada tegur saya, lama tak makan ayam memandangkan isterinya ketika itu masih dalam pantang. Saya kata petang nanti saya masakkan untuknya nasi ayam. Petang tu memang keraplah arwah datang. Dua minggu sebelum meninggal, arwah kerap bawa adiknya berjalan-jalan naik motor.
Saya selalu pesan kepadanya bawa motor baik-baik walaupun arwah memang bawa motor tak laju. Kadangkala saya ada juga terdetik rasa tak sedap hati bila berkata begitu. Takut terjatuh dan sebagainya. Malam sebelum kejadian, anak bongsu tiba-tiba demam dan menggigil. Dalam pukul 2 pagi saya mendapat panggilan daripada rakan arwah menyatakan dia kemalangan di Kajang dan terjatuh dari motor.
Anak ketiga (abang arwah) bergegas ke tempat kejadian dan menemainya menaiki ambulan. Ketika itu arwah masih sedar namun dalam keadaan kesakitan. Saya tak dapat pergi kerana kebetulan anak bongsu demam mengejut. Suami ke hospital untuk melihat keadaannya. Memandangkan arwah masih sedar ketika itu dia sempat bercerita bagaimana kemalangan boleh berlaku.
Menurut cerita, arwah keluar sebentar untuk berjumpa rakan memandangkan sudah lama dia tak keluar bertemu mereka sejak menjaga isterinya berpantang. Semasa dalam perjalanan tiba-tiba ada dua kereta dipandu laju sehingga arwah hilang kawalan. Arwah terpaksa brek mengejut lalu terjatuh.
Mulanya saya kurang percaya sebab setahu saya, sejak isterinya sarat mengandung arwah kerap memandu kereta dan sudah lama tak menunggang motor terutama luar dari Putrajaya. Apabila anak sulung berkongsi gambar kejadian barulah saya percaya. Keesokannya baru saya berpeluang ke hospital. Dari luaran kecederaannya sedikit sahaja. Cuma kecederaan dalamannya sahaja agak serius. Selepas dibedah arwah ‘ditidurkan’.
Arwah dipindahkan ke Hospital Selayang untuk tindakan susulan doktor pakar hati. Setiap hari saya akan ke sana walaupun arwah masih dalam ICU. Empat hari sebelum arwah pergi dia ada membuka mata. Fizikalnya juga semakin susut. Walaupun sedar tetapi arwah tidak mampu bercakap kerana masih lagi sakit dan terdapat banyak wayar di dalam mulut.
Hanya matanya sahaja mampu merenung ke arah saya. Dan setiap hari saya akan menyebut ‘Aqil, ini Mama..’ Terdetik juga, adakah dia buka mata hanya untuk seketika atau sebaliknya. Namun saya tetap positif dan yakin dia boleh sembuh. Anak sulung sentiasa berpesan agar kami terus berdoa kepada arwah. Setiap hari kami juga tidak lupa untuk mengaji di sisinya mohon kesembuhan.
“Setiap kali raya arwah mesti nak saya sediakan baju Melayu. Saya pernah mengusiknya, dah kahwin belilah sendiri. Dia kata baju Melayu nak Mama yang sediakan. Sebelum pemergiannya kami hanya berkesempatan bercakap tentang baju raya sahaja. Itulah permintaan terakhir arwah yang paling saya terkesan kerana tidak dapat sediakan tahun ini. Menurut isterinya juga arwah sudah belikan siap-siap baju dan barangan bayi yang bersaiz besar. Mungkin dia pun dah tahu yang dia akan ‘pergi’ buat selamanya.
Sejak berkahwin arwah juga menjadi seorang yang lebih mengambil berat dan bertanggungjawab. Tahun ini pertama kali kami menyambut Syawal tanpa arwah. Selalunya arwahlah yang banyak cakap dan suka buat ‘bising’ di rumah. Jadi, ketiadaannya tahun ini memang cukup terasa. Kebetulan juga ibu saya tak sihat sejak tahun lalu. Memang dugaan buat saya.
Kalau diikutkan pemergian arwah masih lagi baru. Selepas pemergian arwah, apa yang saya lakukan ialah motivasikan diri dengan bercakap kepada diri sendiri agar sentiasa positif dan menjadi lebih kuat. Sebagai seorang Islam juga saya tidak pernah putus berdoa dalam solat lima waktu. Saya juga sentiasa memastikan mendekatkan diri kepadaNya. Itulah penawar paling mujarab buat saya, jiwa akan lebih tenang.
Bohonglah kalau saya kata tidak merasa sedih dan menangis terutama ketika merasa rindu. Ada juga situasi yang mengingatkan saya terhadap arwah. Contohnya, ketika memasak atau buat sesuatu perkara saya akan terasa ada sesuatu yang kurang. Selalunya saya akan hantar pesanan Whatsapp kepada arwah untuk bertanya khabar. Sekurang-kurangnya sekali sehari.
Selepas berkahwin arwah tinggal bersama keluarga mertuanya. Anak-anak yang lain masih tinggal bersama kami kerana masih belajar. Sejak arwah tiada saya rasa sesuatu yang kosong terutama pada setiap hujung minggu di mana arwah akan datang ke rumah menjenguk kami sekeluarga. Untuk tidak terlalu memikirkan rasa sedih saya akan sibukkan diri di tempat kerja dan keluar bersama rakan-rakan.
Setiap petang saya sering ke kubur arwah. Saya memang mahu arwah dikebumikan di Putrajaya kerana saya mahu dekat dengannya dan hendak berjumpa dengannya setiap hari. Apabila dapat ke kubur arwah rasa sangat tenang dan hilang rasa rindu. Kalau hujan pun saya akan duduk dalam kereta sekejap dan lihat kubur arwah dari jauh. Itu pun sudah cukup menghilangkan rasa rindu.
HIKMAH
Sejak pemergian arwah sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang datang. Banyak pengajaran yang kami dapat selain banyakkan bersedekah untuk arwah dan orang lain. Sumber kekuatan saya semestinya suami walaupun selepas kejadian dialah insan yang paling lemah walaupun luarannya nampak tenang.
Kami banyak berkongsi rasa kerana saya sendiri memerlukan sokongan yang kuat ketika meluahkan apa yang dirasa. Saya juga semakin rapat dengan anak perempuan kedua kerana saya sering berkongsi perasaan dengannya dan dia cukup faham dan matang dengan apa yang berlaku. Harapan saya agar kami sekeluarga tabah menghadapi kehidupan dan semakin akrab bersama,” akhiri Azian sebak. Al Fatihah (mohon dibacakan buat Allahyarham Mohammad Aqil Zulkarnain).
Kredit Foto: Instagram @azianmazwann
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terus melangkah dengan membuka lembaran baru, usahawan sensasi Vivy Yusof ubati kerinduan para pengikutnya dengan karya penulisan di Sincerely, Vivy.
Di sebalik pencapaian cemerlang Vivy Yusof sebagai ikon usahawan dan mogul fesyen tersohor, datang bersama Pengasas dUCk ini adalah dugaan besar dan tekanan luar biasa.
Setahun kebelakangan, beliau mula memperlahankan rentak dan ‘hilang’ dari radar media sosial ekoran kes Mahkamah yang sedang berjalan. Kehilangan ini cukup terasa.
Ramai yang mula ternanti-nanti hantaran Vivy, rindu akan tulisannya yang lucu dan santai, bahkan gambar-gambar #OOTD beliau bersama anak-anak. Kehidupan Vivy ternyata cukup dekat di hati masyarakat, hinggakan ramai yang akui membesar dengan melihat perjalanan hidup Vivy sendiri serta berhijrah dari segi penampilan hijab.
Waktu bersendiri ini diputuskan untuk mencari ketenangan, privasi dan menyusun semula hidupnya.
Menerusi Instagram Stories, Vivy atau nama penuhnya Vivy Sofinas Yusof, 37, menitipkan pesanan agar tidak melihat pada sudut negatif dalam kehidupan.
Menurut bekas pemilik syarikat FashionValet itu, kehidupan privasi yang dijalaninya sekarang menjadi perhatian pengikut yang tertunggu-tunggu perkembangan terbaru.
“Era privasi saya kini penuh dengan kasih sayang dan kebaikan. Ianya sentiasa peringatan untuk fokus pada yang baik dalam kehidupan.
Jangan biarkan perkara negatif yang berlaku dalam hidup anda membunuh keindahan di sekeliling.”
Dalam pada itu, Vivy sempat berkongsi akaun baru iaitu Sincerely, Vivy bagi memulakan lembaran baru dalam hidupnya.
“Di sinilah tempat segalanya bermula – Proudduck yang saya mulakan 20 tahun lalu. Kini dalam versi yang sedikit lebih dewasa, atau mungkin tidak.
Pautan ada di bio. Sila langgan, kalau tidak anda tak akan dapat entri pertama terus ke peti masuk anda. Anda pasti nak baca yang pertama…” dedah Vivy mengenai projek terbaru beliau, berupa karya tulisan yang akan diterbitkan melalui buletin atau newsletter melalui e-mel pada setiap Selasa.
Imbas kembali, Vivy merupakan penulis buku ‘The First Decade’ dan blogger terkenal pada era kebangkitan blog. Selain menjadi salah seorang ikon fesyen terkemuka di Malaysia, beliau juga bergiat aktif melalui dua jenama utama miliknya, The dUCk Group dan LILIT.
Isteri kepada Datuk Fadzarudin Shah Anuar dan ibu empat anak itu juga pernah menerima pengiktirafan Nona Entrepreneur Award 2018 serta Hijabista Achievement Award 2024.
Beliau memilih untuk aktifkan mood privasi pada akaun rasmi miliknya setelah didakwa terlibat dengan pertuduhan pecah amanah membabitkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam platform e-dagang.
Sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas dengan ujian hidup untuk menguji sejauh mana rasa syukur yang terbina dalam diri. Ujian yang datang tidak kira masa dan tempat dan tidak pernah salah alamat. Kehidupan Emira ibarat sudah lengkap apabila sudah berjaya meraih kejayaan dalam bidang perniagaan dalam usia yang muda, mempunyai suami yang mencintainya sepenuh hati dan juga dua orang cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga.
Namun, siapa sangka dalam menikmati kehidupan yang serba sempurna wanita ini diuji dengan penyakit yang tidak pernah terfikir di benaknya. Emira berkongsi bersama Nona tentang penyakit Bell’s Palsy yang dihidapinya.
“Saya berumur 25 tahun dan merupakan seorang usahawan yang berjaya. Saya berkahwin ketika berusia 21 tahun dan dikurniakan dengan 2 orang anak perempuan yang cantik. Namun, baru-baru ini saya didiagnos dengan penyakit Bell’s Palsy. Detik 12 Ogos 2018 ketika anak saya yang baru lahir, Khaira, baru sahaja berusia 24 hari, saya telah disahkan oleh doktor menghidap Bell’s Palsy. Ketika itu saya benar-benar ingat bahawa saya telah diserang strok.
Pada hari saya didiagnos, kehidupan saya tiada beza seperti permulaan hari pertama berpantang iaitu tidur, menyusu, menukar lampin dan aktiviti biasa yang dilakukan oleh ibu berpantang. Proses berpantang bukanlah sesuatu yang senang dilalui. Jadi apabila rasa tidak sihat, kita akan berpura-pura untuk kelihatan sihat demi anak-anak. Sebenarnya, sudah rasa kepala dan seluruh badan tidak selesa beberapa hari sebelum diserang penyakit Bell’s Palsy ini.
Saya berasa muka saya berdenyut-denyut dan saya sedar bahawa saya tidak mampu untuk mengetap bibir dan lidah pula berasa kebas. Makan dan minum, semua tidak boleh rasa. Rasa kebas- kebas sebegitu. Kumur dan minum pun mulut jadi bocor. Ingatkan demam biasa atau sakit tekak kerana sedang musim jerebu sekarang ini. Kemudian saya tertanya-tanya, apa yang sedang terjadi kepada diri saya.
Tapi pada hari saya didiagnos, saya tahu bahawa saya berasa pelik sedikit. Rasa pening-pening, sakit kepala, terlebih penat, mata berdenyut denyut, cepat marah dan sebagainya. Tapi saya tidak fikir banyak sangat kerana saya rasa sangat penat semasa berpantang dan perlu menjaga anak yang masih kecil.
Ketidakupayaan untuk senyum dan minum dengan betul sememangnya mengejutkan tapi semasa saya melihat cermin untuk beberapa minit, saya perasan mata kiri saya senget dan tidak mampu untuk menutupnya. Bahagian kiri dahi saya tidak berkerut seperti biasa dan bahagian kiri mulut saya tidak menunjukkan senyuman. Keseluruhan perasaan ini sangat mengejutkan dan sangat menakutkan. Dalam kepala fikir tentang benda yang bukan-bukan.
Dan dipendekkan cerita, saya sudah 3 minggu menghidap penyakit Bell’s Palsy ini. Keseluruhan bahagian kiri saya tidak mampu untuk bergerak dan akhirnya sudah semakin pulih dan baik. Alhamdulillah saya dapat mengelip mata, minum dan berkumur seperti biasa.
Saya telah dipreskripsiakan dengan Prednisolone, Methycobal dan Neurobian tablet dan juga Alcon eyedrop untuk digunakan setiap 4 jam sejak mata tidak boleh ditutup atau buka dengan sendiri. Jadi saya terpaksa menggunakannya untuk mengelakkan kerengsaan yang selanjutnya. Saya berharap dapat sembuh daripada penyakit ini dengan cepat. Insyaallah,” bicara Emira dan Nona mendoakan Emira cepat sembuh seperti sedia kala.
*Kredit foto: Instagram @puteri.emira
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masjid Habib di Pulau Pinang menampilkan seni bina Jawi Peranakan, kubah berinspirasikan intan, serta kemudahan mesra komuniti — sebuah wakaf bernilai RM30 juta yang menjadi simbol cinta dan syukur.