Ada suara yang menyatakan, “Aku berjaya hari ini atas usaha aku sendiri, aku tidak perlukan perempuan dalam hidup aku.” Dan ada juga yang berkata, “Aku selesa dengan hidup aku dan kerjaya yang dimiliki, aku tidak perlukan lelaki dalam hidupku, ada pun mereka itu hanya untuk menyakitkan hati saja.”

IKLAN

Hakikatnya dalam hidup ini, kita saling memerlukan antara satu sama lain untuk menghasilkan sebuah kehidupan harmoni dan tiada hukumnya untuk kita melawan fitrah manusia yang hidup tercipta untuk berpasangan.

Adam dan Hawa adalah makhluk yang tercipta untuk memenuhi segala kekurangan. Maka tidak perlulah kita mendabik dada dengan keegoan di atas kejayaan kita peroleh hari ini kerana kejayaan itu bukan hanya kerana diri kita sendiri tetapi ada yang bersama kita dan selalu mendoakan kesejahteraan hidup kita, sebenarnya.

Kejayaan seorang lelaki adalah kerana ada wanita di belakangnya yang menjadi kekuatan. Tentulah kepada yang bujang, ibumu, kakak dan bakal menjadi pendamping hidupmu yang selalu berdoa dan membantumu ketika susah dan senang. Kepada lelaki yang sudah berumah tangga, pastinya isteri yang selalu ada bersamamu pada kala suka dan duka.

“Ingatlah, Berkat Kejayaan Seorang Lelaki Adalah Hasil Iringan DOA IBU & ISTERI” Kiffy Razak

Aduhai kaum Adam, tanpa Hawa hidup kamu tak sempurna, tanpa Hawa hidup kamu tak keruan dan tanpa Hawa kamu tak kenal erti kasih sayang. Hawa mampu menggoncang dunia, dia mampu menjadi penawar dan dia mampu menjadi tuba untuk Adam. Dan di situlah tugas untuk memimpin Hawa sama arah kebaikan atau lembah durjana. Adakah kamu lupa?

Sepanjang penglibatan saya dalam dunia kewartawanan dan telah banyak temu bual bersama insan-insan sukses yang saya temui, rata-ratanya diakhiri bicara akan menyatakan rezeki dan kejayaan diperoleh adalah hasil iringan doa seorang isteri dan ibu.

Alhamdulillah… inilah golongan yang berjaya dan diberkati oleh Allah SWT, sentiasa berpijak di bumi nyata dan bersyukur dengan rezeki yang diperoleh. Dan kerana itu jugalah kita mempunyai ‘Hari Wanita’ dan meletakkan wanita itu di tempat tertinggi.

Namun di sebalik keindahan doa seorang wanita itu, ada segelintir lelaki yang telah mencemar dan merosakkan keperibadian seorang wanita. Mereka dianiaya dan diperlakukan tanpa rasa hormat dan belas kasihan. Kelemahan wanita telah diperkotak-katikkan. Wanita tersungkur dan terjerumus dalam dunia hitam yang diciptakan oleh golongan lelaki…

IKLAN

Sedar dan bangunlah wahai wanita, saya percaya anda mempunyai kekuatan untuk mengubah segala keadaan. Jangan berterusan menjadi mangsa nafsu lelaki.

Wahai lelaki, saya seru agar setiap daripada anda untuk menghargai dan memberi bimbingan terbaik untuk wanita. Wanita tercipta dari rusuk lelaki. Wanita itu sayap kiri lelaki. Wanita berhati lembut dan kuat emosi. Wanita itu kaum yang lemah. Tetapi, sedarkah kita di sebalik semua itu… Wanita dicipta untuk menjadi ibu.

Ibu yang berjuang dengan maut untuk melahirkan zuriat, penyambung generasi manusia. Ibu yang berjuang menyusukan anak selama dua tahun lamanya. Ibu yang mengasuh, membesarkan dan mendidik anak-anak dengan penuh kesabaran. Ibu yang doanya lebih makbul daripada seorang bapa.

IKLAN

Inilah wanita yang sentiasa menjadi tulang belakang lelaki. Tidak kurang juga, wanita mampu melemahkan lelaki… Hebatkan wanita? Anda bertuah menjadi seorang wanita sebenarnya.

Buat kaum Adam, hargailah kaum Hawa anda.

Salam sayang,

Kiffy Razak

Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI