“Saya dan suami kenal dalam masa yang singkat. Kami berkahwin pada tahun 2012. Waktu itu saya masih menuntut di universiti dan suami pula baru tamat pengajian Diploma. Selepas berkahwin bermulah fasa mengenali hati budi masing-masing. Bergaduh dan salah faham perkara biasa dalam proses mengenali.

Maklumlah semasa bercinta lain, selepas berkahwin lain pula kisahnya. Tetapi kami cuba elak bermasam muka lebih daripada satu hari. Alhamdulillah walaupun kahwin muda, perkahwinan kami masih bertahan dan bahagia. Tahun ini genaplah enam tahun usia perkahwinan kami,” kongsi Tengku Hanim.

IKLAN

RAHSIA BAHAGIA

“Tak dinafikan kahwin muda banyak dugaannya. Masing-masing ada ego tetapi suami mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Ketenangan itulah yang menyejukkan jiwa saya. Kalau saya ada buat silap suamilah teman paling rapat. Saya seorang yang mudah menerima teguran positif. Saya juga tak pernah menyesal atau merungut dengan kehidupan kami kerana masing-masing saling melengkapi. Kami juga ada kelebihan dan kekurangan.

Selain bertolak ansur kami juga saling mempercayai dan jujur dalam perhubungan. Itulah salah satu rahsia kebahagiaan rumahtangga kami. Jika berselisih faham biasanya kami akan tunggu keadaan kembali reda kemudian barulah berbincang secara berhemah,” ungkap wanita berusia 27 tahun ini.

SUAMI PENYAYANG & SUKA BERGURAU

“Walaupun cerewet, suami seorang yang sangat penyayang. Sikap suami yang suka berjenaka dan bergurau senda menjadi ‘penambah rasa’ dalam rumahtangga kami. Bagi saya untuk kekal bahagia, seorang suami perlu tahu apa kekuatan dalam rumahtangga.

Selain itu, saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat faham dengan kesibukan saya sebagai usahawan. Contohnya kalau saya tak sempat masak, suami tak pernah memaksa. Sebaliknya, suami menyediakan pembantu rumah bagi meringankan beban saya,” luah Tengku Hanim.

PENTINGKAN DIDIKAN ANAK-ANAK

IKLAN

“Saya dan suami sangat mementingkan pendidikan anak-anak sejak mereka kecil. Contohnya,  ketika Adelea berusia 4 tahun kami hantar ke playschool. Setelah usianya 5 tahun kami dedahkan Adelea lebih kepada pendidikan. Kami juga tak akan memaksa anak-anak untuk bergelar usahawan suatu hari nanti. Terserah kepada minat mereka. Namun, saya dan suami sentiasa memberi bimbingan agar mereka menjadi orang berjaya di dunia dan akhirat.

Saya mengambil inspirasi bagaimana cara ibu saya dan ibu mertua mendidik anak. Keluarga saya sendiri lebih menitikberatkan soal agama. Latar belakang agama sangat kuat kerana ibu saya seorang Ustazah. Maka dalam mendidik ibu menitikberatkan soal agama.

Saya jadikannya sebagai panduan dalam mendidik anak-anak,” jelas ibu kepada dua anak perempuan ini berusia 5 tahun dan 11 bulan.

IKLAN

BISNES

Tengku Hanim atau nama sebenarnya, Tengku Norhanim Tengku Othman cukup bertuah kerana dalam usia muda sudah pun memiliki sebuah keluarga yang bahagia di samping produk sendiri iaitu Adeliciousz Crispy Choco Jar yang diusahakan bersama suami sejak tahun 2014. Adeliciousz Crispy Choco Jar bukan sekadar terkenal di Malaysia bahkan telah pun memasuki pasaran global seperti Thailand, Brunei dan Singapura.

“Adeliciousz Crispy Choco Jar nadi kepada kesungguhan saya dan suami sejak beberapa tahun lalu. Secara tak langsung, masa bersama anak-anak pun dapat dirancang dengan baik. Sekarang kami masih lagi dalam fasa bertungkus lumus. Kami kejar betul-betul peluang yang ada di depan mata selain bekerja keras agar dapat berkongsi rezeki dengan orang-orang yang memerlukan. Contohnya, memberi peluang menjana pendapatan dengan menjadi agen dan stokis.

Alhamdulillah produk kami menjadi sumber rezeki buat mereka yang mahu mengubah nasib diri dan keluarga kepada lebih baik,” kongsi graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya. Tengku Hanim dan suami menjadikan ibu bapa mereka sebagai sumber inspirasi serta idola sebenar untuk sukses dalam perniagaan. Bagi Tengku Hanim tanpa keluarga pasti mereka tidak akan ke mana.