Wah, kagum dengan kejayaan anak perempuan pelakon Zulkifli Ismail! Mana tidaknya, dalam usia muda dah ada kerjaya kukuh dan berjaya genggam PhD. Lebih istimewa, Dr Zulfati Izazi Zulkifli juga baru bergelar isteri dan suami tercinta juga merupakan graduan PhD. Memang sepadan pasangan suami isteri muda ini.
Terinspirasi dengan kisah kejayaan wanita ini, Nona menghubungi Dr Zulfati Izazi atau mesra disapa Dr Izazi. Teruja berkongsi pengalaman, dia mengharapkan agar perkongsian ini dapat menjadi suntikan semangat buat kaum wanita lain untuk menggapai impian.
Mengulas perkhabaran gembira pada majlis graduasi Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini, Izazi yang bakal meniti usia 30 tahun pada Ogos depan menzahirkan rasa syukur kerana pengorbanannya selama ini berbaloi.
Tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK Seri Bintang Selatan, Dr Izazi kemudian melanjutkan pengajian STPM di Victoria Institution hingga tahun 2011 sebelum menyambung pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Linguistik).
“Selepas tamat ijazah sarjana muda, saya lanjutkan pengajian ke peringkat sarjana pula di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengajian Bahasa dari tahun 2015 hingga 2017. Beberapa bulan bekerja sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Malaya pada tahun 2017, saya mendaftar pula sebagai pelajar ijazah doktor falsafah dalam bidang linguistik di USM dan telah tamat pengajian pada awal tahun 2021.
Sekarang saya sedang berkhidmat sebagai pensyarah di Hankuk University of Foreign Studies (HUFS) di Korea Selatan. Saya mengajar kursus-kursus berkaitan bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar ijazah sarjana muda di sini.”
Ads
Ditanya mengapa memilih bidang linguistik, ini jawapan jujur Dr Izazi. “Saya ada banyak minat, jadi pada awalnya agak sukar untuk saya pilih bidang pengajian yang bakal diambil. Kemudian saya sedar bahawa minat saya terhadap bahasa sebenarnya telah mula mendalam sejak saya kecil lagi.
Saya sentiasa ada rasa ingin tahu tentang bahasa, kerana itu saya buat keputusan untuk mendalami ilmu tentang bahasa melalui bidang linguistik.
Tentang masa yang diambil untuk tamat pengajian, jika dikira bermula daripada sarjana muda sehingga PhD, kesemuanya mengambil masa kira-kira 9 tahun. Satu perjalanan yang panjang tapi cukup bermakna.
Saya percaya, seperti mana-mana ibu bapa lain, ibu bapa saya juga gembira dan bersyukur dengan kejayaan saya. Pelukan dan ucapan tahniah daripada mereka sangat bernilai untuk saya.”
Berstatus anak selebriti, Izazi yang merupakan anak sulung kepada pelakon Zulkifli Ismail dan Umi Salbiah Abdul Rahman ini mengakui kedua-dua ibu bapa memberi peluang kepadanya untuk memilih bidang kerjaya dan pendidikan yang diinginkan.
“Ibu bapa saya tidak terlalu tegas tentang keputusan peperiksaan. Bahkan mereka tak pernah marah kalau saya dapat C atau D sekalipun dalam peperiksaan, tetapi mereka sangat menyokong setiap proses pembelajaran.
Sejak zaman sekolah lagi mereka sentiasa sokong minat saya, aktiviti kebudayaan, kesenian, projek sains, aktiviti luar, apa sahaja yang membantu perkembangan minda dan pembentukan sahsiah saya, mereka akan sokong.
Pendekatan mereka ini juga menyebabkan saya sendiri rasa lebih terdorong untuk terus belajar dan menerokai minat saya.”
Bertuah Dr Izazi kerana dikurniakan ibu bapa yang sentiasa menyokong minat anak-anak. Berkongsi sisi peribadi pula, pendidik ini tanpa berselindung mendedahkan status dirinya sebagai isteri kepada Dr. Md Yushalify Misro kira-kira tiga bulan lalu.
“Saya baru sahaja mendirikan rumah tangga kira-kira 3 bulan lepas, setelah tamat pengajian dan ketika sudah bekerja. Buat masa ini, saya dan suami berjauhan kerana saya masih di Korea dan suami yang merupakan seorang pensyarah matematik di USM pula sedang berkhidmat sebagai penyelidik jemputan di Shizuoka University, Jepun.
Jika ada rezeki, saya merancang untuk kekal berada dalam akademia dan terus menjadi seorang pendidik, inshaAllah.”
Semoga usaha murni dan kejayaan Dr Izazi mendidik anak bangsa menjadi sumber inspirasi buat semua wanita!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Mahkota Diraja merupakan salah satu alat kebesaran yang dijaga dengan penuh tertib sejak berzaman lagi. Ia adalah sebahagian daripada simbol kedaulatan raja dan sesebuah negeri.
Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, juga sering mengenakan mahkota dalam acara rasmi yang dihadirinya.
MAHKOTA NENDA SULTAN SELANGOR
Foto: Instagram @selangorroyalofficial
Baru-baru ini ketika berkongsi potret sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-49 di laman rasmi keluarga diraja Selangor, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin buat pertama kalinya telah mengenakan perhiasan Mahkota yang pernah dipakai oleh nenda DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Yang Maha Mulia Almarhum Tengku Ampuan Raja Jemaah.
MAHKOTA BERTATAHKAN BERLIAN
DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin juga sering kelihatan menggayakan tiara bertatahkan berlian ini untuk menghadiri majlis rasmi Istiadat diraja.
MAHKOTA DI ISTIADAT PERTABALAN KDYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
Bagi menghadiri Istiadat Pertabalan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara, DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menggayakan mahkota diraja ini.
Tengku Permaisuri Norashikin yang juga merupakan bekas penyampai berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan pernah memenangi Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa pada tahun 2005.
TRIVIA
Mahkota DYMM Tengku Ampuan Selangor
Mahkota bertatah berlian, batu delima merah dan diikat dengan emas tulen dipakai oleh DYMM Tengku Ampuan Selangor ketika Istiadat Kemahkotaan banginda dan juga istiadat pertabalan DYTM Raja Muda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sejak awal penglibatan Uyaina Arshad dalam industri, ramai yang mengenali gadis cantik ini kerana kejayaan yang diraih. Jarang sekali kisah kehidupan dan sisi peribadinya dikongsikan kepada umum. Namun kesempatan bertemu Uyaina ketika menjadi penghias Nona tidak lama dulu membuatkan penulis bertambah kagum dengan pengacara berbakat besar ini.
Melihat wajah ceria, keramahan Uyaina dan kepetahannya berbicara pasti ramai yang menyangka graduan undang-undang ini melalui kehidupan yang mudah dan menyenangkan. Hakikatnya, Uyaina telah kehilangan figura seorang ayah sejak usia 5 tahun lagi. Meskipun hanya sempat merasai kasih sayang ayah dalam masa singkat, memori bersama insan tersayang tersebut masih segar di ingatan Uyaina hingga ke saat ini.
“Arwah baba meninggal waktu Yana usia lima tahun. Jadi daripada umur lima tahun sampai sekarang, memang membesar tu dengan ummi sahaja. Jadi, hubungan dengan ummi dah bukan sebagai anak dan mak semata-mata dah jadi best friend, kawan gaduh, motivator, pengkritik dan semualah.
Arwah baba ialah pegawai TLDM dan waktu tu tahun 1997 ada pertukaran dua pegawai dari Malaysia dengan dua pegawai tentera laut New Zealand. Jadi baba Yana salah seorang dan pergi ke sana selama dua tahun. Selama ini baba memang selalu berpindah merata sebab penyelam di TLDM tak ramai. Umur arwah waktu tu antara 36 ke 37 tahun, ummi dan arwah baba sebaya.
Sepatutnya kami tinggal di sana selama dua tahun tapi jadi setahun lebih je. Hendak dijadikan cerita, waktu berpindah ke New Zealand tu kami satu family ikut baba. Selalunya kami tak ikut. Waktu Yana tak lahir lagi pun memang ummi dan abang serta kakak tinggal di Malaysia je. That time, mungkin arwah tahu dia dah nak pergi so arwah baba bawa kami semua sekali,” jelas Uyaina sambil menyatakan arwah bapanya meninggal dunia ketika menjalankan tugas di New Zealand.
Tambah Uyaina lagi, “Ummi cakap arwah ayah macam tahu dia nak pergi. Dia sempat ambil gambar kami satu family dan sampai sekarang Yana bawa ke mana-mana je gambar tu dan simpan dalam wallet. Ada gambar dia dengan ummi, gambar kami empat beradik dan gambar kami satu family.”
Adik-beradik Uyaina di samping ibu tersayang
Selepas pemergian bapa tersayang, Uyaina dan keluarga pulang ke Malaysia dan menetap di Kuala Kangsar, Perak bersama datuk dan neneknya. Kehidupan mereka sekeluarga berubah sepenuhnya kerana ibu Uyaina tidak berkerja. Demi untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil, ibunya terpaksa cari kerja selain menggunakan duit pencen arwah suami untuk menyara kehidupan.
Akui Juara Puteri Muslimah Asia 2018 ini, waktu di zaman persekolahan dia agak sensitif dan mudah marah apabila ada di antara rakan-rakan bertanyakan tentang bapanya. Cerita Uyaina, pemergian arwah bapanya menjadi berita tergempar di Malaysia waktu itu dan diketahui ramai.
Meskipun dibesarkan oleh ibu tunggal… Uyaina dan adik-beradik tidak pernah rasa kekurangan. Bahkan mereka dibesarkan sebaiknya oleh ibu tersayang seperti kanak-kanak lain. “Macam ummi, Yana tengok reason dia untuk hidup ialah anak-anak dia. Bukan nak bangga diri tapi ummi memang berjaya besarkan kami empat beradik ni successfully. Abang sulung Yana jadi doktor, abang nombor dua jadi pilot, kakak Yana pula jadi cikgu.
Yana sepatutnya jadi lawyer tapi tersimpang sikit pulak. Ingat lagi dia jual rumah, jual tanah semata-mata nak tanggung anak belajar. Kalau nak rasa keberkatan hidup, kejayaan dalam hidup, you make your mom happy. You bahagiakan mak you and you will see apa yang akan dapat lepas tu.
Bila arwah baba meninggal, ummi kena bawa balik jenazah dengan anak empat orang semua masih kecil lagi. Sampailah Yana umur 26 tahun ni, Yana lagi sedih bila dia cakap… “Ummi dah tak ada apa-apa dah dalam hidup ni, ummi ada anak-anak ummi je. Anak-anak ummi inilah harta ummi.”
Yana masuk dalam industri ini pun disebabkan ummi. Yana pertama kali masuk dalam industri sebab Yana join pertandingan Nona Manis. So daripada pertandingan tu, dia yang tengok iklan dan kata Yana why not you hantar application dan cubalah mana tahu ada rezeki. Cuba punya cuba dapat, menang pastu jadi hos Nona… dari situ ia bermula. Yana rasa semua kejayaan ini pun disebabkan Yana dapat restu dari dia.
Benda yang paling Yana admire dekat ummi ialah dia selalu cakap tak kisah apa (kerjaya) yang anak-anak buat as long as you buat bersungguh-sungguh and dia tak pernah paksa atau arahkan Yana untuk you have to become a lawyer. In fact, dia lagi happy tengok apa yang Yana buat sekarang sebab dia tahu Yana happy,” kongsi Uyaina akhiri perbualan.
Kredit foto: Instagram Uyaina
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saya terdengar hasrat teman perniagaan yang ingin mewasiatkan seluruh hartanya kepada anak-anak yatim. Biarpun belum mendirikan rumahtangga, teman saya ini masih mempunyai saudara-mara kandung seramai dua orang. Saya ingin bertanya, apakah kepentingan wasiat sebagai orang Islam dan apakah pembahagian harta pusaka yang sebaiknya?
JAWAPAN:
Jika teman saudara bukan beragama Islam, beliau mempunyai kuasa tanpa sekatan untuk memindahkan harta pusakanya kepada sesiapa yang dikehendaki, termasuklah kepada rumah anak-anak yatim. Sebaliknya, Pewasiat Islam terikat dengan peraturan tertentu menurut Undang-undang Islam yang ditetapkan.
Sebelum seseorang mengambil keputusan akhir untuk menulis wasiat, beliau seharusnya menghalusi keindahan wasiat yang merupakan sebahagian daripada Syariat Islam. Menerusi Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah ayat (2:180), apabila seseorang antara kamu didatangi kematian, dan dia meninggalkan kebaikan (harta) supaya membuat wasiat memihak kepada ibubapanya dan sanak saudara dengan baik. Suatu kewajipan kepada orang-orang yang bertaqwa.
Daripada ayat ini maka jelaslah maksud bagi orang-orang yang bertaqwa (takut kepada Tuhan) hukumnya adalah wajib membuat wasiat sebelum mereka meninggal dunia. Wasiat, atau dari segi bahasa bemaksud sambung dan definisi syarak bermaksud sedekah hak milik harta yang dilaksanakan selepas kematian, merupakan sebuah amalan baik di dunia dengan harapan sesuatu kebaikan dapat diteruskan dengan harta peninggalan tersebut.
Bagi orang Islam, wasiat boleh dibuat hanya untuk 1/3 daripada harta yang ada dan kepada BUKAN WARIS, manakala baki 2/3 lagi hendaklah dibahagikan mengikut Faraid.
WASIAT BAGI MEMBOLEHKAN
Wasiat ditentukan sendiri untuk melaksanakan hasrat Pewasiat.
Menentukan hasrat Pewasiat diberikan kepada orang yang ditentukan samada ahli keluarga atau pihak lain.
Menentukan isteri, suami, anak dan tanggungan lain dijaga kepentingan mereka sehingga masa yang ditentukan dalam wasiat.
Menyelamatkan ahli keluarga daripada duka dan mengalami kesusahan kerana masa depan mereka yang telah ditentukan dan dijamin dengan warisan yang ditinggalkan.
Melantik Penjaga bagi anak-anak di bawah umur yang memerlukan jagaan orang yang dipercayai.
RUKUN WASIAT
Rukun wasiat terdiri daripada empat perkara iaitu Pewasiat, penerima wasiat, harta yang diwasiatkan dan lafaz wasiat. Contoh lafaz, “Serahkan seribu kepadanya selepas kematian saya”.
PEWASIAT YANG SAH
Mukallaf
Merdeka
Sukarela ketika mewasiatkannya
PEWASIAT YANG TIDAK SAH
Kanak-kanak
Orang gila
Orang yang dipaksa
Hamba walaupun mukatab yang tidak diizin oleh penghulunya
Pada asalnya wasiat hanya boleh dibuat kepada bukan waris yang layak menerima pusaka, tetapi ulamak berpendapat:
Sah wasiat yang dibuat untuk ahli waris samada lebih 1/3 atau tidak jika diluluskan oleh semua ahli waris,
Sah wasiat yang dibuat untuk bukan waris melebihi 1/3 jika diluluskan oleh semua ahli waris. Kelulusan/persetujuan waris yang diambil kira ialah selepas kematian Pewasiat.
Pewasiat boleh menarik balik wasiatnya dengan melakukan sesuatu perbuatan (secara nyata) atau keadaan yang menunjukkan niatnya (tersirat). Contohnya, Pewasiat menarik balik wasiatnya dengan menjalankan urusniaga berkaitan harta yang diwasiatkan atau melupuskan hartanya sehingga habis sama sekali.
Dengan Kerjasama: Umie Zaitun Junoh (B.Syariah Law (Hons) Malaya, DSLP U.I.A.M), Peguam Syarie di Kuala Lumpur
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cantik manis orangnya! Sejak zaman anak dara sampai sudah pun berstatus isteri dan ibu tiga orang anak, kejelitaan Leuniey Natasha sentiasa tarik perhatian warga maya. Walau usia makin meningkat, kecantikan isteri pemain bola sepak popular iaitu Khairul Fahmi Che Mat ini seakan tidak memudar.