Kerja keras dan kesungguhan sepanjang menakhoda perniagaan stokis Naelofar Hijab (NH) selama ini nyata berbaloi buat Noraidah Baharuddin apabila namanya tersenarai sebagai TOP 30 daripada 700 stokis berdaftar di seluruh negara awal tahun ini.
Meskipun berdepan kekangan masa, tapi Pengurus Akaun & Pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur serta ibu kepada dua orang cahaya mata ini enggan mengalah. Dia ingin terus berada di landasan perniagaan NH demi menggapai gelaran usahawan berjaya suatu hari nanti.
“Penglibatan saya dalam bisnes ini boleh dikatakan secara kebetulan. Saya mula menjadi pelanggan NH pada bulan Disember 2014 dan hanya membeli tudung ini daripada stokis sahaja. Sebab NH senang dan selesa dipakai, mampu milik dan kian digemari, saya dan seorang rakan baik tekad memohon menjadi stokis pada awal tahun 2015.
Hampir dua bulan menunggu keputusan pihak NH dengan sabar, kami akhirnya diterima sebagai pengedar rasmi. Biar pun belum dapat permit untuk jadi stokis, saya sudah mula mengambil tempahan dan menjual tudung Naelofar kepada kenalan terdekat tanpa sebarang untung kerana suka berniaga.
Ads
Sampaikan saya sanggup mencari 20 helai tudung hot seller daripada stokis-stokis yang ada semata-mata ingin memenuhi permintaan rakan,” terang pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Malaya ini tatkala ditanya tentang pembabitan awalnya bersama Naelofar Hijab.
Memiliki dua pekerjaan berbeza di samping perlu menguruskan keluarga bukan tugas mudah melainkan individu berkenaan bijak membahagikan masa. Menjadikan suami tercinta, Mohamad Azizi Illias sebagai sumber inspirasi, Raidah bersyukur kerana dikurniakan suami yang memahami pekerjaan dan minatnya.
Ads
Ujarnya lagi, “Untuk berjaya kita harus kuat. Saya sendiri pernah mengalami kejatuhan dan ditipu tapi semua itu adalah asam garam dalam perniagaan. Buat masa sekarang, saya lebih banyak berniaga menerusi offline. Sebelum ini saya telah membuka tiga kiosk di Aeon Big Wangsa Maju, AU2 Setiawangsa dan Aeon Bukit Raja Klang.
Jumlah ketiga-tiga kiosk ini menelan belanja RM25,000 sebulan. Hampir setahun beroperasi, akhirnya saya terpaksa tutup kiosk tersebut kerana merasakan jualan online lebih menguntungkan tanpa perlu mengeluarkan belanja sewa. Strategi pemasaran saya masa ini ialah menyertai mana-mana aktiviti jualan di dalam atau luar KL.”
Ads
Tanpa membuat pinjaman bank sewaktu mula mengusahakan perniagaan, Raidah kini mampu menjana pendapatan tahunan mencecah hampir RM400,000. “Apabila sudah menjejakkan kaki dalam bisnes paling utama adalah sabar. Alam perniagaan banyak mengajar saya tentang kawalan emosi dan tidak mudah melatah terutamanya apabila berhadapan dengan pelbagai ragam pelanggan.
Persiapkan diri anda dengan sikap berani mencuba dan melangkah ke depan, bersaing secara sihat dan kreatif merancang strategi jualan. Saya bukanlah usahawan yang berjaya. Terlalu jauh dan masih banyak lagi yang harus dipelajari.
Bagi wanita yang ingin memulakan perniagaan, mulakan dengan menjual barangan yang ada jenama seperti Naelofar Hijab. Kerana situasi perniagaan masa kini perlu ada pengenalan dan semangat untuk menjual. Dengan produk yang kukuh seperti NH atau seumpamanya, anda berpeluang menimba pengetahuan perniagaan dan pengalaman.” Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kehadiran Dato’ Sri Eizlan Yusof dalam dunia seni tidak datang dengan ‘tangan kosong’. Sudah pun merencana impian dan visi untuk membawa industri tanah air ke tahap lebih tinggi sejak awal pembabitannya pada tahun 1994, pemilik nama Idris Md Yusof ini berjaya membuktikan hasrat tersebut bukan satu omong kosong.
27 tahun berkecimpung dalam karier seni, beliau kini tidak hanya bergelar pelakon malah mendapat kepercayaan sebagai pengarah dan penerbit serta ahli perniagaan berjiwa besar.
Dilahirkan pada 14 Julai 1971, Dato’ Sri Eizlan bukan calang-calang selebriti. Beliau merupakan graduan Diploma Perniagaan dan Pengurusan dari Swansea Institute of Higher Education selain bakal menamatkan pengajian di peringkat Master of Science (Management) di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Tidak cukup itu, beliau juga pernah menimba pengalaman dalam sektor korporat sebelum melangkah masuk ke arena hiburan dan masih menerajui syarikat korporat Midas Surplus Management Sdn Bhd sejak tahun 2012.
Bersandarkan kredibiliti yang ada pada dirinya, Dato’ Sri Eizlan turut diberi jawatan tinggi dalam organisasi seni negara. Antaranya selaku Ahli Perbadanan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Pengerusi Hal Ehwal Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS dan Pengerusi Skim Wajib Tayang FINAS. Beliau menjawat kesemua tugas itu hingga ke hari ini.
Terus melakar pencapaian membanggakan, nama Dato’ Sri Eizlan menjadi bualan ramai pada 1 November 2021 apabila dilantik sebagai Perunding Kreatif kepada Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah.
Menyentuh resipi kejayaan dan kemampuannya bertahan dalam industri selama hampir tiga dekad, Dato’ Sri Eizlan yang berpangkat Kolonel Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) lantas melontar bicara.
“Syukur ke hadrat ilahi atas kurniaan rezeki yang diberikan kepada saya dan keluarga. Atas kapasti individu, saya sentiasa mahu mengekalkan disiplin diri dan juga disiplin kerja yang diterapkan dalam diri daripada mula bergiat dalam seni sehingga ke hari ini.
Bantu-membantu, saling menghormati dan komunikasi yang baik sesama masyarakat juga amat penting apabila anda memasuki bidang kreatif. Saya sentiasa cuba untuk mengelak daripada terpalit dengan kontroversi atau situasi yang tidak baik sebab ia salah satu tanggungjawab selebriti.
Apabila menjadi public figure, secara tidak langsung kita perlu jaga tingkah laku. Setiap langkah yang diambil, kita kena fikir akibat yang bakal berlaku daripada perbuatan tersebut,” tegas bintang filem Lurah Dendam ini.
Ditanya kekuatan yang ada dalam diri dan patut dijadikan suri teladan kepada generasi baru, jawab suami Datin Sri Natasha Rosa Boudville ini, “Saya suka membantu orang yang memerlukan. Bantuan itu tidak semestinya wang ringgit tapi dalam banyak cara.
Selain itu, I’m a good listener dalam mendengar luahan orang dan cuba untuk menjadi seorang penasihat yang baik. Dalam masa sama, saya juga memerlukan pendengar dan penasihat yang baik juga supaya mereka boleh beri aura positif untuk kita terus mengorak langkah.”
Menjadikan bapa tersayang iaitu Allahyarham Md Yusof Abdullah sebagai idola dalam kehidupan, Dato’ Sri Eizlan pernah menjadi penyanyi kumpulan Impression dianggotai Dato’ Sani Salleh dan Norman Hakim. Bagaimana pun beliau terpaksa meninggalkan karier berkenaan kerana minatnya lebih menjurus dalam bidang lakonan.
Bagaikan tidak puas dengan kejayaan yang diraih, Dato’ Sri Eizlan semakin rancak melibatkan diri dalam medan keusahawanan. Beliau yang sebelum ini lebih selesa untuk tidak menggembar-gemburkan pembabitan dalam perniagaan kerana bimbang dikatakan riak, tampil berkongsi sisi peribadi dengan niat mahu menyuntik inspirasi.
Dalam diam, Dato’ Sri Eizlan merupakan Pengarah Kewangan bagi syarikat PT Barracuda Topcoal Almughni. Ia adalah sebuah syarikat perdagangan dan perlombongan arang batu yang beroperasi di Kalimantan Timur, Indonesia.
Difahamkan perniagaan tersebut membekalkan arang batu ke pasaran China dan sudah diusahakan sejak tahun 2008. Bermakna sudah 13 tahun Datuk Sri Eizlan bergelar tauke arang batu!
Semoga dengan perkongsian Dato’ Sri Eizlan ini memberi kekuatan semangat dan cetusan inspirasi kepada masyarakat untuk terus mengejar impian. Nona percaya dengan pengaruh dan status selebriti yang dibawanya selama 27 tahun ini, Dato’ Sri Eizlan mampu meninggalkan impak besar kepada khalayak di samping menghasilkan pembaharuan dalam industri seni hiburan untuk kesejahteraan semua.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
“Hari ini bergema nama kakak di bumi Malaysia. Nama kakak banyak naik ke langit sebab orang tidak henti-henti menyebut nama kakak dan doakan kakak. Kakak, keep fighting! Ramai yang nak tengok kakak bangun dan berlari sayang!”
Itu antara cebisan kata-kata menyentuh jiwa yang dikongsi di Facebook Ahmad Safiuddin Ahmad Razak bapa kepada Ainul Mardhiah, bayi perempuan penghidap kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’ yang kisahnya tular sekitar April 2019 dan ramai yang prihatin dengan penderitaan anak kecil ini.
Ainul ketika menerima rawatan di London tahun lalu.
Dilahirkan sebagai bayi pramatang pada 13 Ogos 2018, Ainul merupakan anak kepada pasangan muda yang sangat tabah iaitu Nurul Erwani Zaidi dan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak. Kedua-duanya kini berusia 25 tahun. Bapanya seorang peniaga manakala ibunya suri rumahtangga dan pelajar di salah sebuah universiti swasta tempatan.
Diam tak diam kini Ainul sudah pun berusia dua tahun. Seronok melihat perkembangan Ainul yang kini bukan saja semakin sihat bahkan comel serta bijak! Keletahnya sering mencuit hati. Baca perkongsian ekslusif ibunya bersama Nona tentang perkembangan terkini Ainul.
Gambar terkini Ainul yang berusia 2 tahun. Makin comel!
SYUKUR DIBERI UJIAN
“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dengan ujian yang telah diberikan kepada kami sekeluarga. Saya juga gembira serta terharu atas keperihatinan rakyat Malaysia yang tidak pernah jemu memberikan sokongan dan titipan doa buat Ainul.
Sejak Ainul dilahirkan sampailah sekarang saya dan suami tak pernah putus mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas ujian yang diberi. Ujian ini mungkin ‘sangat sedikit’ kalau hendak dibandingkan dengan ujian lebih berat yang terpaksa ditanggung oleh orang lain. Maka kami sentiasa bersyukur walau diberikan ujian berat ini kerana percaya dengan hikmah yang ada di sebaliknya.
Ainul menjadi sumber kekuatan kami berdua. Kerana Ainul jugalah kami menjadi lebih matang dalam membuat keputusan. Banyak sangat hikmah yang Allah SWT tunjuk kepada kami melalui ujian ini.
Kami pun tak minta untuk dikenali namun apa yang berlaku semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT kepada kami. “Siapa yang bersabar dan solat, Allah SWT pasti akan bantu orang itu”. Ayat Al-Quran ini sentiasa menjadi amalan saya dan suami dalam mencari ketenangan jiwa.
Pastinya yang paling kuat menghadapi ujian ini ialah suami. Saya pula yang paling tidak kuat. Ketika Ainul lahir ke dunia sayalah yang tak henti-henti menangis dan sering menyalahkan diri sendiri kerana menyebabkan Ainul jadi begitu. Saya hampir putus harap. Suamilah yang sering memberi kata-kata semangat dan sentiasa berada di sisi saya. Suami seorang yang sangat positif walaupun saya tahu dia sebenarnya juga sedang menangis, cuma tak pernah tunjuk kepada saya.
TANGISAN
Detik atau perkara yang paling menyentuh hati saya sepanjang bergelar ibu ialah ketika Ainul mula dikenali ramai orang. Waktu itu saya berasa sangat malu kerana takut orang akan memandang serong atau rasa tak selesa tatkala melihat Ainul dalam keadaan begitu. Namun ternyata saya salah.
Rupa-rupanya ramai yang mula prihatin dan sanggup menjual barang-barang kesayangan mereka semata-mata untuk membantu dalam memberi sumbangan kepada Ainul. Orang ramai tak kira bangsa dan agama turut menghubungi saya dan suami sambil diiringi dengan tangisan mereka. Ini benar-benar menyentuh jiwa kami.
Saya seorang yang suka tersenyum dan sebolehnya tidak akan menangis di hadapan orang. Bohonglah kalau kata tak sedih namun bagi saya menangis bukanlah jalan penyelesaiannya. Seingat saya, tangisan paling teruk yang pernah saya alami ialah setelah Ainul selamat menjalani pembedahan di London. Tangisan saya waktu itu sebenarnya tangisan kegembiraan. Ianya berlaku secara spontan dan tanpa diduga.
HAMIL ANAK KEDUA
Rezeki anak adalah rezeki yang tak terhitung nilainya. Anak adalah anugerah Allah SWT untuk kita menyambung dan meramaikan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, sejak Ainul bertambah sihat dan cerdik saya dan suami mengambil keputusan untuk ‘menghadiahkan’ Ainul adik. Adalah kawan untuk bermain nanti.
Alhamdulillah kandungan saya sekarang sudah masuk 7 bulan. Ketika mengetahui saya hamil kali kedua kami bersyukur sangat. Nak kata merancang tak sebenarnya. Kami juga tak rancang berapa orang anak yang kami mahu. Kalau dapat ramai alhamdulillah rezeki kami. Allah lagi Maha Mengetahui.
Mungkin sekarang waktu yang sesuai untuk Dia beri rezeki. Lagi pun Ainul ramai yang jaga di rumah. Tak salah rasanya kalau tambah lagi anak. Tak sabar rasanya nak lihat Ainul main dengan adik nanti!
Alhamdulillah sepanjang kehamilan ini dipermudahkan. Cuma kali ini penat sedikit berbanding hamilkan Ainul dulu. Alahan teruk tiada. Mengidam pun makanan yang mudah dicari. Kalau diberi rezeki oleh Allah SWT, anak kedua ini InshaAllah lelaki. Saya dah buat scan empat kali, memang semuanya nampak lelaki.
Mungkin saya akan terimbas kembali momen-momen sewaktu melahirkan Ainul. Akan tetapi ianya akan menjadi salah satu penguat semangat saya dalam kehidupan ini. Allah SWT memberi ujian tanda Dia sayangkan kita.
AINUL MAKIN CERDIK
Alhamdulillah, Ainul juga sama seperti kanak-kanak lain. Walaupun perkembangan Ainul lambat sedikit berbanding umurnya sekarang tetapi setiap momen atau keletah Ainul sama seperti bayi normal yang lain antaranya celik mata sahaja terus hendak bermain. Antara rancangan kartun kegemaran Ainul ialah Omar & Hana.
Selain itu, Ainul sekarang sangat cepat belajar. Macam-macam perangai yang Ainul sedang belajar sekarang. Tetapi yang paling mencuit hati saya dan suami ialah Ainul sedang berusaha untuk belajar bercakap. Kadang-kadang dah pandai mengamuk sebab tak bawa dia pergi berjalan-jalan.
TERUJA SAMBUT SYAWAL
Tahun lalu (2019) kami menyambut Hari Raya Aidilfitri di perantauan. First time jugalah saya dan suami berjauhan beribu-ribu kilometer dari keluarga. Alhamdulillah walaupun jauh daripada keluarga, kami dapat berkenalan dengan keluarga baru di London. Semuanya baik-baik dan sangat ramah.
Tahun ini sambutan Syawal lebih bermakna kerana kami dapat menyambutnya bersama Ainul yang semakin cerdik dan banyak ‘akal’. Ia memberi satu kelegaan buat saya dan suami kerana Allah SWT sentiasa memberi peluang dan mengkabulkan doa-doa yang pernah kami pohon sebelum-sebelum ini.
Banyak sebenarnya plan nak buat dengan Ainul sepanjang Syawal nanti. Salah satunya ialah mahu membawa Ainul ke rumah saudara mara. Namum atas faktor-faktor yang sedang berlaku pada negara Malaysia ketika ini kami terpaksa patuh dengan arahan dan menyambutnya di rumah sahaja. Tahun lalu tema raya kami bertiga adalah warna ungu, tahun ini kami akan memakai warna biru pula pada Hari Raya pertama.
RINDU DR AMALINA BAKRI
InshaAllah kalau ada rezeki suatu hari nanti kami sekeluarga pasti akan ke London semula untuk berjumpa dengan keluarga baru dan para doktor yang pernah merawat serta menjaga Ainul di sana. Paling kami rindu semestinya Dr Amalina Bakri yang gigih berusaha memastikan Ainul selamat tiba di London dahulu.
Dr Amalina sangat prihatin terhadap Ainul. Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada beliau kerana sanggup membantu kami demi memberikan yang terbaik buat Ainul. Dr Amalina adalah insan yang berhati mulia. Saya dan suami tidak mampu membalas jasanya. Pun begitu, beliau sentiasa ada dalam doa kami.
HARAPAN
Terima kasih juga untuk setiap bait-bait doa yang telah diselitkan buat kami sekeluarga. Saya dan suami tidak mampu membalas segala pertolongan dari segi wang ringgit, pengorbanan, dan tenaga. Kami hanya mampu mendoakan buat seluruh rakyat Malaysia. Semoga doa-doa yang diselitkan buat kami akan dikembalikan kepada kalian semula.
Setiap manusia pasti akan diuji, cuma ujian kita mungkin berbeza-beza mengikut tahap kemampuan. Yang penting lalui ujian dengan banyak bersabar dan solat, pasti akan datang sinarnya kelak. Mungkin saat ini doa-doa belum dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun yakinlah bahawa doa itu pasti akan dimakbulkan tepat pada waktunya.
Kekuatan saya semuanya datang daripada Allah SWT. Sejak Ainul lahir sampailah sekarang keluarga kami sentiasa memberi kata-kata semangat. Di samping itu, saya juga banyak mendengar kuliah-kuliah agama agar dapat mengubah diri menjadi seorang isteri dan ibu yang lebih baik serta sentiasa positif.
Menyentuh tentang masa depan Ainul, saya dan suami akan sentiasa membimbing dan memberi didikan terbaik buat dirinya. Dari segi kerjaya, minat dan lain-lain saya serahkan kepada Ainul untuk tentukan hala tuju kehidupannya sendiri namun atas nasihat serta dorongan kami sebagai ibu bapa.
Seterusnya, saya mengharapkan agar Ainul sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang Allah SWT berikan kepadanya dan sentiasa bersikap baik kepada semua orang. Hakikatnya, jalan hidup yang Ainul lalui ini bukan mudah.
Buat Ainul, Mama tak pernah anggap anak Mama satu beban atau halangan untuk Mama teruskan kehidupan. Ainul Mardhiah penguat semangat Mama. Dari Ainul lahir sampailah sekarang rezeki yang tak disangka-sangka dari Allah SWT sentiasa mengalir. Alhamdulillah..
Seterusnya nasihat daripada ibu kandung dan ibu mertua yang masih segar dalam ingatan ialah mereka sering mengingatkan saya agar tidak meninggalkan solat, mengaji dan taat kepada suami. Mereka juga sentiasa berada di sisi saya dalam keadaan susah mahupun senang.”
Semoga Nurul Erwani dan suami terus kuat demi Ainul yang menjadi permata kesayangan seluruh rakyat Malaysia. Buat bidadari syurga, Ainul Mardhiah semoga menjadi anak yang solehah buat ibu dan ayah. Jadilah sekuat Sumayyah r.a, secantik Aisyah r.a, dan semulia Siti Khadijah r.a
Kredit Foto: Instagram Nurul Erwani Zaidi, Intagram Dr Amalina Bakri & Facebook Ahmad Safiuddin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sejak menerima pengiktirafan Nona Superwoman Award 2022, perniagaan Datin Rauzawani Abdul Hadi atau mesra disapa Cik Zaa makin mendapat permintaan tinggi.
Hampir sembilan tahun mengemudi empayar niaga dan berdepan pelbagai cabaran di samping lambakan produk di pasaran namun usahawan wanita cantik ini tetap optimis dengan perusahaan miliknya.
Bergelar Ketua Pegawai Eksekutif Eniq World Sdn Bhd, Datin Rauzawani yang memiliki keperibadian merendah diri dan berjiwa kental kian rancak mempromosi Glow Glowing dan O’Betty kepada golongan sasaran.
Ditemu bual Nona baru-baru, Datin Rauzawani dalam nada teruja berkongsi perkembangan terkini bisnes. “Alhamdulillah, produk Glow Glowing Beauty Skin semakin mendapat permintaan di luar jangkaan di mana stok sentiasa sahaja habis dan tidak mencukupi.
Jadi saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada pelanggan yang tidak putus-putus grab produk Glow Glowing Beauty Skin.
Keistimewaan produk kami salah satunya ialah kami memberikan sesuatu yang terbaik kepada customer dengan menitikberatkan kualiti.
Selain itu, kami juga dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pelanggan kerana produk Glow Glowing ini diperbuat daripada ekstrak tumbuhan dan buah-buahan jadi semestinya sangat selamat diguna pakai oleh semua peringkat umur.”
Sedar akan kewujudan pelbagai jenama dan produk terkini di pasaran, Datin Rauzawani bagaimana pun positif menghadapi persaingan dan yakin keistimewaan produk yang dikeluarkan mampu terus menambat hati pelanggan.
“Buat masa sekarang kami sedang meningkatkan lagi kualiti produk supaya semakin berkembang dan dikenali diseluruh pelusuk dunia. Kami juga sedang memasarkan produk Glow Glowing yang lebih menarik supaya dapat menarik perhatian ramai pelanggan mengenai kewujudan produk Glow Glowing.
Sekaligus memberikan kepuasan kepada mereka. Kami juga menggunakan kesemua platform seperti media sosial, radio, Telegram, Instagram dan TikTok supaya produk Glow Glowing ini terus dikenali ramai.”
Mengulas promosi sempena ketibaan Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, isteri Dato’ Mohd Rowi Dollah berkata, “Setiap tahun, tiap kali menjelang Ramadan dan Aidilfitri, pihak kami akan sentiasa mengadakan promosi buat pelanggan kami.
Buat masa sekarang ini masih belum ada lagi produk khas yang baru. InshaAllah mungkin pada tahun hadapan kami akan keluarkan.”
Kian dikenali dengan tagline ‘Glow Glowing, Cantik Weyy!’, produk jenama tempatan ini terus melakar pencapaian membanggakan dan semoga Datin Rauzawani berjaya mengembangkan lagi perniagaan miliknya ke pasaran dunia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Masha-Allah, sweet sangat Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki buat kejutan kepada isteri tercintanya, Datin Nurdianawati Irwani Abdullah sempena ulang tahun perkahwinan mereka.Terkenal dengan keperibadian...