Pejam celik sudah sebulan kita berouasa dan akhirnya tiba pula hari raya. Pada bulan puasa, minda sudah dididik untuk tidak menerima makanan dan minuman selama 14 jam. Ada di antara kita yang memilih untuk meneruskan displin pemakanan ketika berpuasa pada hari raya ini. Jika tidak secara keseluruhan pun, apakata anda mulakan dengan diet gluten. Sekurang-kurangnya boleh maintain berat badan walaupun pada musim raya!
Selain mengawal paras kalori, makanan-makanan enak seperti pasta, biskut, kek, oat, pastri, bijirin dan banyak lagi pilihan bergluten sering kali dihindari oleh individu yang amat menitikberatkan aspek kesihatan. Bagi yang lebih ekstrem, amalan diet bebas gluten turut menjadi sebahagian gaya hidup sihat, terutamanya buat penderita celiac disease serta pelbagai lagi penyakit moden pada masa kini.
Gluten bersifat kenyal dan elastik kerana komponen protein yang dikenali sebagai peptida. Ia juga turut ditemui dalam beberapa jenis makanan ruji anda seperti serbuk roti, stok atau air rebusan, gula-gula, makanan gorengan, daging proses dan sosej, malt, kanji makanan yang dimodifikasi, sos soya serta sebagainya. Selain itu, gluten juga terdapat dalam ramuan makanan yang siap diproses, seperti yang banyak terjual di pasar raya.
Selain itu, individu yang memiliki intoleransi terhadap gluten juga disarankan agar menghindari makanan yang mengandungi bahan ini. Menurut ahli alergi dari Australia, Dr. Rodney Ford, tanda-tanda awal atau gejala alahan gluten yang paling kerap dilaporkan adalah sering pening kepala, gelisah berlebihan dan sentiasa penat. Tambahnya, diet bebas gluten amat baik dijalani oleh golongan sebegini, malah untuk sesiapa jua demi kesihatan.
Ads
Secara amnya, ramai yang beranggapan bahawa diet bebas gluten hanya baik untuk menjaga kesihatan semata-mata. Namun ia penting untuk penderita celiac disease atau mereka yang alah terhadap protein gluten sehingga menyebabkan gangguan kekebalan.
Jika pantang dilanggar, sistem pertahanan tubuhnya akan bertindak seolah-olah gluten adalah musuh yang harus dihancurkan. Ini boleh mengganggu proses penyerapan nutrisi seterusnya andai dibiarkan, membawa kepada gejala malnutrisi.
Selain itu, gluten juga perlu dijauhi oleh penderita reumatoid artritis, multiple sclerosis, Parkinson, neuromyelitis, down syndrome, autisme, ataksia (kehilangan berat badan tanpa sebab), osteoporosis, diabetes jenis 1 dan 2 serta anemia.
Ads
Menurut penulis buku Living Gluten Free for Dummies, Donna Karn dan Alessio Fasano, MD, memaparkan beberapa alasan kukuh mengapa anda sebaik-baiknya harus menjauhi makanan yang mengandungi gluten.
MEMPERLAHANKAN GEJALA MENOPAUS
Beberapa ahli kesihatan percaya bahawa gluten boleh menyebabkan gejala menopaus tambah melarat seperti demam, sakit kepala dan masalah mood tidak menentu. Hindari gluten dapat meringankan gejala-gejala tersebut.
Ads
NUTRISI TERKAWAL
Kebiasaan membaca label makanan membuat anda menjadi lebih akrab dengan pelbagai istilah nutrisi. Anda dapat mengetahui pelbagai nama, contohnya oat, malt dan wheat hanyalah istilah dari gandum.
KESAN AWET MUDA
Gandum akan meningkatkan kadar gula dalam darah. Di dalam darah, gula akan bergaul dengan protein. Kedua-dua bahan ini akan meningkatkan kadar enzim yang merosakkan jaringan kolagen kulit. Justeru, amalan diet bebas gluten dapat menjadikan anda lebih muda berbanding mereka yang mengambil gluten.
MENJAGA BERAT BADAN
Pengamal diet bebas gluten terpaksa melupakan pelbagai kudapan yang tinggi gluten seperti pizza, pasta, kuih-muih dan roti. Ini mendorong mereka untuk beralih kepada makanan yang lebih sihat seperti salad atau jus.
GULA DARAH LEBIH STABIL
Bebas gluten bererti dapat membantu tubuh menghindari karbohidrat jahat. Hasilnya, gula darah anda menjadi lebih stabil. Selain itu, anda juga akan lebih bertenaga kerana karbohidrat berlebihan akan mendorong tubuh menjadi lesu dan mengantuk.
TIP BIJAK
Sentiasa periksa label makanan sebelum membeli makanan proses di pasar raya.
Label ‘bebas gandum’ kadangkala tidak bermaksud ‘bebas gluten’. Makanan itu mungkin mengandungi bahan seperti rye atau barli.
Terdapat pelbagai makanan bebas gluten untuk diambil. Antaranya makanan yang segar dan berkhasiat seperti buah-buahan, sayuran, kekacang, produk tenusu serta bijirin bebas gluten seperti nasi atau quinoa.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan mudah bagi seorang ibu yang sudah mempunyai tiga anak untuk kekal sihat dan cantik. Lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak kecil yang memerlukan sepenuh perhatian. Rutin harian sudah tentu lebih tertumpu kepada si kecil berbanding diri sendiri.
Namun selebriti cantik yang kini berusia 40 tahun, Fiza Abdul Halim berjaya membuktikan tanpa berbelanja besar pun dia masih mampu tampil menawan.
Tidak dinafikan, cemburu tengok kemulusan kulit wajah Fiza. Macam porselin, satu jerawat pun tidak kelihatan di wajahnya. Saat diajukan pertanyaan tentang rejim kecantikan yang diamalkan, bekas penyanyi kumpulan Elite ini ketika dihubungi Nona tidak lama dulu hanya tertawa kecil.
Ujarnya, tiada penjagaan khusus yang dipraktikkan kerana dia seorang wanita yang ringkas.
“MashaAllah, tip cantik? Saya inilah orang yang paling simple. Mungkin sebab saya tak suka mekap kot. Jadi kulit saya tak ada masalah sangat. Petua saya cuma satu je, saya tak suka minum air sejuk dan hanya minum air suam atau air panas.
Bab kesihatan badan pula saya ni suka vaccum dan mop rumah hari-hari. Bagi saya itulah exercise saya untuk bersenam sebab kalau nak pergi gim bagai memang tak bolehlah dengan si kecil lagi.
Biasanya kalau duduk di rumah, saya akan cari apa saja kerja yang boleh saya buat walaupun semua dah tersusun dan kemas. Siapa yang kenal saya, tahulah saya ni macam mana. Petua turun-temurun tak ada cuma saya lebih berhati-hati dengan keadaan badan dan kesihatan diri sendiri. Pendek kata, memang saya pantau sendiri.
Kalau agak-agak badan tu dah naik kalau timbang, saya akan diet sedikit. Kalau bila timbang macam ringan dari selalu, saya akan makan lebih sedikit. Sebab saya ni kalau kurus, muka kurus dulu. Cengkung sangat tak elok pula nanti nampak haggard. Apa-apa pun elak minum ais ya!”
Jika kebanyakan wanita gemar merawat dan membelai tubuh di spa kecantikan, berbeza pula bagi ibu ini. Katanya, “Saya tak suka ke spa sebab tak suka tunggu lama-lama dan saya tak pernah pergi. Kalau di rumah pun, saya tak buat macam orang lain, ada rutin harian yang wajib.
Habis kuat pun saya akan buat skrub dan mask muka. Itu pun boleh kira berapa kali. Agak-agak muka macam kusam, baru saya akan buat. Kalau tak, memang tak buatlah.”
Ferra Aryanna dan Feeya Adyrra merupakan anak gadis Fiza hasil perkahwinan pertamanya dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin. Fiza kemudian berkahwin dengan Adam AF namun akhirnya bercerai.
Malah, perkahwinan Fiza dengan seorang juruterbang dikenali sebagai Aizat Al Jefri pada Disember 2016 juga tidak berpanjangan. Mereka dikatakan bercerai pada 22 Julai tahun lalu. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan Baby Aleena.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita cantik tak selalunya bertuah. Inilah yang berlaku kepada bekas model dan ratu cantik Romania, Claudia Nicoleta Ardelean, yang dipecat kerana ‘terlalu cantik’.
Di sebalik keindahan Romania, salah satu negara Eropah yang terkenal dengan istana-istana lama, mitologi drakula dan lombong emasnya, kisah bekas ratu cantik ini tiba-tiba mencuri tumpuan dunia.
Tular minggu lalu apabila portal berita Romania mendedahkan bahawa Claudia Ardelean, 27 tahun, yang dilantik memegang jawatan Ahli Lembaga (tidak berbayar) di Pneumophthisiology Clinical Hospirtal di Cluj, tiba-tiba diarahkan berundur.
Ardelean sebelum itu dilihat memuat naik fotonya di media sosial sebagai memperingati kejayaan tersebut pada tarikh 8 Februari. Wanita jelita ini memiliki dwi ijazah dalam jurusan Undang-undang dan Etika Eropah.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan Parti Liberal Nasional Cluj!” – Claudia Ardelean
Hantaran tersebut walau bagaimanapun telah dipadamkan setelah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak yang mendakwa pelantikan jawatan itu hanya bersandarkan kecantikan Ardelean semata-mata.
Malah tidak lama kemudian, ahli Lembaga Pengarah Majlis Bandar Cluj ‘berfikir semula’ tentang keputusan mereka dan mengarahkan Ardelean meletak jawatan itu serta-merta.
TERLALU CANTIK
Terkejut dan tidak percaya mengapa pihak berkenaan mengubah keputusan, Ardelean memberitahu pihak media bahawa dia sangat kecewa terhadap kritikan yang dilemparkan.
“Saya mempunyai skil dan kelayakan akademik untuk jawatan tersebut. Selain bekerja sebagai peguam, saya juga memiliki dwi ijazah dan masih melanjutkan pengajian profesional. Bahkan saya seorang usahawan yang memiliki hostess agency serta syarikat pengurusan acara sendiri.
Sayang sekali di Romania, sikap prejudis masih lagi berleluasa. Tapi saya percaya bahawa kecantikan tidak patut menghalang kerjaya profesional seseorang,” ujar Ardelean yang pernah mengembangkan kerjaya dalam politik dan pernah menjadi anggota Parti Liberal Nasional Cluj.
Dalam kenyataan Presiden Majlis Cluj, Alin Tise, beliau berasa tidak selesa memecat Ardelean namun tetap menegaskan bahawa keputusan itu wajar bagi mengelak sebarang kecurigaan ke atas pelantikan tersebut.
“Saya sangat menyesali insiden ini meskipun jawatan Claudia Ardelean sebagai ahli Lembaga tidak berbayar. Dari pandangan profesional, Ardelean mempunyai kelayakan yang diperlukan namun aspek-aspek lain berkaitan kehidupan peribadinya menjadi pertikaian.
Jadi untuk mengelakkan sebarang masalah, kecurigaan dan tanda tanya berkaitan pelantikan ini, kami fikir adalah lebih baik untuk memecat sahaja individu berkaitan,” kata beliau.
Alin Tise
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Badan dah kurus tapi pipi pula nampak tembam ditambah pula dengan dagu yang berlapis! Jadi apa nak buat? Sebenarnya, tanpa perlu menjalani pembedahan serta mengeluarkan kos yang banyak pun masih ada cara yang lebih mudah, selamat dan semula jadi untuk melenyapkan masalah dagu berlapis. Tinggal rajin atau tidak sahaja.
Walaupun prosesnya tidak sepantas rawatan moden namun cara ini lebih mudah dilakukan pada bila-bila masa dan di mana jua. Apa yang penting konsisten dan sabar, itulah kunci kejayaan utama untuk mendapatkan bentuk wajah tirus serta dagu yang runcing.
Perlu ke bantuan alat-alat pelik menguruskan wajah seperti yang banyak dijual di Internet? TIDAK. Anda ikut saja 4 cara di bawah ni!
(1) Jangan Mengambil Ubat Secara Berlebihan
Apa saja jenis ubat ubatan pasti akan terkandung bahan-bahan kimia sekaligus berisiko untuk mendapat kesan sampingannya dalam jangka masa panjang. Salah satunya ialah pembengkakan kesan pengambilan ubat berlebihan tanpa nasihat doktor. Pembengkakan ini bukan hanya terjadi pada badan bahkan juga wajah. Ia juga tidak bagus untuk organ dalaman.
(2) Minum Banyak Air Putih
Lemak dipercayai mudah larut dengan air putih. Maka disarankan untuk mengamalkan meminum air putih sebanyak 8 gelas sehari. Bukan hanya di badan malah lemak di sekitar wajah juga akan berjaya dikurangkan apabila anda mengamalkan meminum air putih setiap hari. Minimum adalah 2 liter.
(3) Urutan Rahang
Juga salah satu cara bagi menghilangkan lemak di pipi dan dagu yang boleh dipraktikkan di rumah. Namun pastikan caranya betul kerana boleh menyebabkan kulit kendur. Lakukan dengan betul. Bukan saja lemak dapat dikurangkan bahkan aliran darah pun menjadi lancar.
Caranya, urut wajah dari atas ke bawah. Kemudian teruskan urutan dari dagu ke atas menuju pipi. Seterusnya, tepuk-tepuk lembut di bahagian dagu menggunakan ais batu dan tuala hangat selama setengah jam.
(4) Buat Senaman Wajah
Lakukan senaman wajah pada waktu senggang secara rutin. Proses metabolisme menjadi lebih sempurna dengan sel kulit wajah yang lebih segar melalui senaman wajah. Lemak akan mudah terbakar dan hilang. Caranya, pegang leher dengan kedua-dua tangan kemudian angkat kepala ke atas agar dapat merenggangkan otot rahang. Buat 10 kali sehari untuk hasil yang terbaik. Amy Mohd
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
AirAsia berhijab membuka lembaran baharu buat wanita Muslim dalam industri penerbangan dengan membenarkan kru kabin memakai hijab secara rasmi. Perubahan ini meraikan kepelbagaian dan memberi ruang kepada wanita hadir sebagai diri sendiri tanpa mengorbankan prinsip.