Pemikir yang kreatif tidak semestinya seorang yang unik atau kelihatan luar biasa. Kreativiti adalah milik setiap manusia dan ia boleh diekspresikan dalam pelbagai pekerjaan dan aspek kehidupan.
Dengan kreativiti juga, banyak alternatif dan idea baru tercipta untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berkaitan di tempat kerja. Untuk itu jangan takut untuk membiarkan fikiran menerawang jauh, kembali pada kenangan atau mencipta memori masa depan dalam proses mengekstrak idea.
Tip 1: MENJADI KANAK-KANAK SEMULA
Gunakan intuisi untuk membimbing anda menuju ke alam kanak-kanak. Ceria, berwarna-warni, tanpa limit… Ini dapat membantu anda berfikir secara bebas kerana acap kali berlaku, alam dewasa ‘memenjarakan’ fikiran dengan risiko atau faktor ketidakmungkinan.
Dengan berfikir seperti kanak-kanak juga, minda anda tidak akan terkongkong seperti biasa.
Tip 2: BEBASKAN IMAGINASI
Imaginasi seseorang tidak ada batasnya. Jadi eksplorasi minda anda sejauh yang mungkin bagi mendapatkan idea-idea, tidak kira ia logik ataupun tidak. Bayangkan sesuatu di luar batas, melintasi sempadan realiti, melanggar hukum fizik, terbalik, terapung, penuh magis dan khayalan. Ada kalanya proses ini boleh menjadi lebih menyeronokkan tanpa disedari.
Tip 3: LAKUKAN KESALAHAN
Membuat kesalahan tidak bermakna anda patut dihukum buat selamanya. Tapi melalui pengalaman itu dapat mengajar anda merancang langkah atau tindakan refleks yang lebih baik pada masa depan.
Contohnya sebagai penulis, pelbagai kesalahan telah dilalui sebelum dikatakan mampu menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Jadi jangan takut berbuat salah dalam proses ini.
Tip 4: SELALU BERTANYA
Peribahasa ada mengatakan bahawa malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut. Kerana itu bertanyalah apa saja bagi membantu anda untuk berkembang. Jangan segan untuk bersuara walau sekadar untuk bertanya; Siapa? Apa? Bila? Di mana? Mengapa? Bagaimana?
Dengan memahami banyak perkara ini, minda anda dapat memikirkan suatu kesimpulan yang berkaitan dengan pekerjaan mahupun kehidupan.
Tip 5: PENUHKAN OTAK DENGAN INFORMASI
Otak manusia boleh menyerap pelbagai informasi. Jadi usahlah mengongkongnya seperti tikus makmal. Sesekali, larikan tumpuan anda kepada aktiviti santai yang tidak berkaitan kerja umpamanya mengunjungi kedai buku atau muzium, pameran seni atau berlibur di luar negara.
Banyakkan membaca dan menonton filem yang boleh menjana sumber ilham baru kepada anda.
Tip 6: KELUAR DARI KEBIASAAN
Untuk menjadi kreatif, kadangkala anda perlu melanggar peraturan atau norma yang sedia ada untuk mengembangkan cara baru. Lakukan sesuatu yang berbeza, cabar diri untuk berubah dan keluar dari zon selamat.
Fikirkan sesuatu yang tidak pernah anda fikirkan sebelum ini. Malah menurut sebuah kajian di Britain, aktiviti berkarya atau berkaitan kesenian mampu merangsang idea yang kreatif.
Tip 7: CATAT IDEA
Idea yang kreatif selalunya muncul secara tiba-tiba, hasil daripada pelbagai proses yang anda lakukan seperti di atas. Untuk mengelakkan idea yang hebat ini berlalu begitu saja, segera catatkan dalam sebuah buku nota khas.
Kembangkan idea tersebut daripada catatan anda untuk penambahbaikan dan bincangkan dengan rakan setugas atau ketua anda. Semoga berjaya!