Wanita memainkan peranan yang penting dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keluarga, pendidikan, ekonomi, sosial, politik, kesihatan, dan seni budaya. Mereka adalah tunjang keluarga, pendidik, dan penjaga nilai moral serta penyumbang besar kepada ekonomi melalui pelbagai sektor pekerjaan.
Semalam telah berlangsung Malam Gala Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan Majalah NONA yang bertujuan memartabatkan figura ibu hebat yang berjasa dan menjadi inspirasi kepada masyarakat itu.
KDYMM Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu berkenan berangkat mencemar duli hadir ke majlis bersama anakandanya, YAM Tengku Puteri Daulath. Turut hadir ialah YB Datuk Seri Dr. Noraini Binti Ahmad, YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad serta Tan Sri Sharizat Jalil.
Mingguan Wanita dan NONA dengan bangganya menganjurkan program “Sehebat Wanita Ini,” yang bertujuan untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan wanita-wanita hebat di Malaysia. Program ini merupakan inisiatif daripada team Wanita di Ideaktiv bertujuan mengetengahkan kisah-kisah inspirasi, pencapaian luar biasa, dan dedikasi wanita-wanita yang telah memberi impak besar dalam pelbagai bidang.
Program sehari yang berlangsung dari pagi hingga malam ini terbahagi kepada dua (2) aktiviti iaitu “Forum Anak Syurga” berlangsung pada sebelah siang dihoskan oleh Nani Roslan yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids yang menampilkan panel-panel seperti Dr. Norzila Zakaria, selebriti Zarina Zainuddin, Datin Nor Fadilah Alias, Norhaidda Hassan, Dr Malar, Fynn Jamal dan Dr Robiah K Hamzah yang mengupas mengenai isu perkembangan, kesihatan dan kecerdasan anak-anak istimewa.
Dr Malar dan Norhaidda HassanZarina Zainuddin bersama Editor Pengurusan Mingguan Wanita & Nona, Kiffy Razak dan Dr. Norzila ZakariaFynn Jamal dan Dr Robiah K Hamzah
Seramai 500 orang ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa yang menyertai forum ini yang menunjukkan betapa besarnya minat dan keperluan untuk membincangkan topik-topik seperti Power Up Mental & Fizikal, Kapsul Sihat & Cergas Dan Anak Istimewa Selangkah Ke Syurga. Forum ini bukan sahaja memberikan platform untuk berkongsi ilmu dan pengalaman tetapi juga bertujuan untuk membina komuniti sokongan antara ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa. Melalui perkongsian ini, diharapkan para ibu bapa dapat memperoleh pengetahuan baru, sokongan moral, dan inspirasi dalam menjaga dan membesarkan anak-anak mereka.
Manakala pada sebelah malamnya berlangsung “Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” yang dibawakan oleh Al Kauthar Eduqids di mana wanita-wanita hebat ini diraikan pada majlis “Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” yang gilang-gemilang bertempat di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra binti Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berangkat menyerikan majlis. Yang Berhormat Datuk Seri Dr Noraini Ahamd, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga turut hadir ke malam gala ini.
Ads
“Ibu Inspirasi Gala Night Mingguan Wanita dan NONA” bertujuan memartabatkan dengan memberi anugerah kepada ibu-ibu dan wanita -wanita berjaya dalam pelbagai bidang. Malam Gala ini dirancakkan lagi dengan pengacara terkenal Fiza Frizzy dan persembahan nyanyian oleh artis Atilia Haron dan ibunya Salamiah Hassan serta Mila Jirin. Ia merupakan malam yang penuh dengan kegemilangan, di mana pencapaian dan dedikasi wanita-wanita ini akan diraikan dengan penuh kemeriahan.
Wanita seringkali dikaitkan dengan mempunyai kesabaran dan kekuatan dalaman yang tinggi. Melalui program “Sehebat Wanita Ini,” Mingguan Wanita dan Nona ingin menonjolkan sifat-sifat murni ini yang telah mendorong wanita-wanita di Malaysia untuk mencapai kejayaan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan.
“Program ‘Sehebat Wanita Ini’ bukan sahaja platform untuk meraikan kejayaan tetapi juga untuk memupuk jaringan sokongan antara wanita. Ia adalah satu inisiatif daripada Mingguan Wanita dan Nona dalam menghubungkan wanita-wanita hebat ini dengan peluang-peluang baru, sumber-sumber penting, dan hubungan yang boleh membantu mereka berkembang dan berjaya dalam bidang masing-masing. program ini akan menjadi pemangkin kepada perubahan positif dan kemajuan wanita di Malaysia.”
Ads
Program ini menampilkan wanita-wanita dari pelbagai latar belakang, termasuk usahawan, selebriti, ahli profesional, serta individu-individu yang telah membawa perubahan positif dan memberi impak positif dalam masyarakat.
Dengan dua aktiviti utama ini, program “Sehebat Wanita Ini” tidak hanya meraikan kejayaan dan sumbangan wanita, tetapi juga memberi peluang untuk pendidikan dan sokongan komuniti yang sangat diperlukan. Ideaktiv berharap bahawa inisiatif ini akan menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak program dan aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita-wanita di Malaysia.
Editor Pengurusan Grup Wanita, Kiffy Razak berkata, “Kami sangat bangga dapat memainkan peranan dalam penganjuran program ‘Sehebat Wanita Ini.’ Melalui inisiatif ini, kami berharap dapat memberi penghormatan kepada wanita-wanita yang telah menunjukkan dedikasi dan keberanian yang luar biasa. Kami ingin menyampaikan mesej bahawa setiap wanita memiliki potensi untuk mencapai perkara-perkara hebat dan program ini adalah platform untuk meraikan dan mengiktiraf sumbangan mereka. Diharapkan program ini dapat menginspirasikan lebih ramai untuk mengejar impian mereka dan memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.”
Ads
Pengasas Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias berkata “Forum Anak Syurga Al Kauthar Eduqids ini merupakan platform yang sangat bermakna untuk berkongsi ilmu, pengalaman, dan inspirasi dalam usaha Al Kauthar Eduqids mendidik anak-anak syurga, khususnya mereka yang berkeperluan khas. Al Kauthar Eduqids komited dalam menyediakan pendidikan inklusif yang terbaik, memastikan setiap anak mendapat peluang yang sama untuk berkembang dan berjaya. Semoga dengan adanya forum ini, kita dapat memperkukuhkan lagi usaha Al Kauthar Eduqids dalam memberikan yang terbaik untuk anak-anak syurga kita”.
Pengasas Datin Nor Fadilah Alias bersama suami Dato’ Dr Kapten Bakhtiar Aliff menyembahkan cenderahati istimewa buat KDYMM Sultanah Nur Zahirah
“Selain itu, hari ini, kita berkumpul untuk meraikan Ibu Inspirasi, wanita-wanita hebat yang telah menunjukkan ketabahan, kasih sayang, dan komitmen yang luar biasa dalam membentuk keluarga dan masyarakat. Mereka adalah contoh teladan yang bukan sahaja menginspirasi kita semua tetapi juga membuktikan bahawa peranan seorang ibu adalah sangat berharga dan tak ternilai. Semoga pengiktirafan ini menjadi sumber inspirasi kepada kita semua untuk terus menghargai dan menyayangi ibu-ibu dalam kehidupan kita. Kepada semua Ibu Inspirasi, tahniah diucapkan, dan semoga terus sukses dalam setiap langkah yang diambil” tambah Datin Dr Nor Fadilah Alias lagi.
Senarai Penerima Anugerah Ibu Inspirasi Mingguan Wanita dan NONA.
Bermula dari sebuah perniagaan kecilan di perkarangan ruang tamu, kini menerajui sebuah empayar dengan hasil jualan ratusan ribu bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Mana-mana wanita sekalipun, pasti mudah tunduk pada dugaan namun Eriyca Baiduri memilih untuk bangkit dan terus berlari namun tidak sesekali mendongak ke langit.
Kejayaan dikecapi oleh wanita anggun ini sememangnya layak dibanggakan, apatah lagi mampu menyuntik semangat dan inspirasi wanita lain untuk terus kuat melayari kehidupan walau apa jua rintanganmendatang. Eksklusifnya kali ini, NONA menyunting Eriyca Baiduri menghiasai sampul muka depan Oktober 2022, memintanya berkongsi resipi kejayaan, jatuh bangun perniagaan serta ‘misi’ terkininya, iaitu membesarkan keluarga dan melahirkan zuriatnya sendiri.
NOIR KIAN SUKSES
Ketika usia perniagaan yang masih lagi ‘hijau’ Eriyca Baiduri berjaya mengemudi perniagaan yang berasaskan kecantikan ini kemudian mulai terkenal begitu drastik. Tanpa sedar, empayar NOIR Health & Beauty menjadi salah satu jenama kecantikan pilihan wanita zaman kini yang mahu mengubah penampilan diri agar tampil menawan setiap hari.
“Saya dapat rasakan bunga NOIR itu mempunyai keunikannya yang tersendiri. Dari situ, tercetus idea untuk meletakkan nama NOIR untuk produk kecantikan dan seterusnya mengembangkan lagi perniagaan tersebut,” ujar Eriyca memulakan bicara.
Wanita yang memiliki pakej lengkap sebagai pengusaha kecantikan ini bukan sahaja bijak bergaya malah mempunyai kredibiliti dalam bidang perniagaan. Itu antara persona yang dimiliki oleh ibu muda ini apatah lagi apabila jenama produk yang diasaskannya semakin menempa kejayaan dan diterima baik di kalangan penggemar kosmetik.
Antara pencapaian terbaik NOIR adalah seperti anugerah “Produk Penjagaan Kulit Premium Terbaik” di dalam Asia Halal Brand Award (AHBA) 2019. Selain itu, NOIR juga telah disenaraikan sebagai Nona Top Beauty Entrepreneur 2020. Madammu juga atelah diiktiraf sebagai antara 16 usahawan produk kecantikan terkemuka dan telah dipaparkan di dalam mahalah Nona untuk terbutan Januari 2020.
Paling istimewa apabila jenama Noir telah dianugerahkan dengan Anugetah Superbrands Malaysia 2020 dalam kategori “Kesihatan dan Kecantikan”. Pengiktirafan yang yang sangat berprestij untuk sebuah syarikat dan juga satu penghargaan yang cukup bermakna dalam usaha memajukan industri kecantikan dan kesihatan di Malaysia.
MISI CANTIK NOIR
Dah namapun wanita kan, sah-sahlah kecantikan dan penampilan diri sukar tuk dipisahkan. Obsesi Eryica terhadap kecantikan mendorongnya memulakan perniagaan dalam bidang kecantikan dan mengasaskan jenama NOIR meskipun dia sedar jalan bakal dilalui tidak mudah. Pernah merasai jatuh bangun dalam dunia perniagaan serta melakukan sendiri kerja-kerja pembungkusam, penghantaran demi memastikan produk kecantikannya sampai ke tangan pelanggan, Eryica berkata tidak mudah untuk NOIR sampai ke tahap kini tanpa usaha yang berterusan serta kerjasama dari kakitangannya.
Atas inisiatif ini, NOIR memperkenalkan kempen NOIR ‘Bangkit Wanita’ dalam melahirkan usahawan wanita bagi membantu lebih ramai wanita menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Bagi Eryica, penglibatan wanita dalam bidang perniagaan menjadi tunjang perubahan status kewangan untuk wanita dan seterusnya menjadikan wanita lebih berkeyakinan diri untuk maju dalam apa jua perniagaan yang diceburinya.
“Sesuai dengan motto NOIR membekalkan produk premium dengan harga mampu milik serta membuka peluang untuk wanita menjadi usahawan, NOIR kempen ‘melahirkan usahawan wanita’ sebagai usaha untuk memperkasakan wanita dalam dunia perniagaan. Saya ingin melihat lebih ramai wanita menceburkan diri dalam dunia perniagaan dan meningkatkan ekonomi mereka,” ujar Eryica.
Kenapa misi Eriyca memperkasakan ibu tunggal dan wanita cukup dekat dengan jiwa, ujar penulis pada beliau. Melihat pada takdir dirinya yang bukan lahir dalam dulang emas mahupun disuap dengan apa-apa kemewahan sejak kecil, Ericya menjelaskan, “Saya bukan datang dari keluarga yang senang. Saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal sejak usia 2 tahun yang susah payah nak besarkan anak seramai 3 orang. Ditambah pula ibu saya merupakan pejuang kanser tahap 4. Bayangkan, ibu saya terpaksa berulang alik menjalani rawatan kemoterapi di samping memenuhi keperluan harian kami. Jadi apa yang dilihat memberikan impak besar dalam kehidupan dan menguatkan azam saya untuk lebih banyak membantu dan melihat wanita untuk bangkit dan majukan diri”, jelas Eriyca.
Melakar kejayaan dalam perniagaan sehingga terbinanya sebuah wisma NOIR di Kota Damansara Eriyca menyimpulkan ianya bukan mudah. “Alhamdulilah sekarang kami dah berpindah ke Wisma Noir. Asalnya dulu Noir bermula dari rumah dengan modal sebuah telefon bimbit sahaja. Kemudian menumpang di pejabat milik suami dan selepas beberapa bulan dapat menyewa shop lot tingkat 1. Selepas 2 tahun, kini Noir mampu memiliki wisma sendiri di Semi-D warehouse 4 tingkat,” jelas ibu yang membesarkan tiga orang anak tiri ini dengan penuh kasih sayang.
Bila diukur kejayaan NOIR menerajui bisnes dari wanita untuk wanita ini, terdetik di hati penulis untuk bertanya, selain dari kerugian dalam berniaga, apa yang paling ditakuti seorang usahawan seperti Eriyca. Dengan tenang beliau menjawab, “Sudah semestinya saya risau jika suatu hari NOIR dilupakan. Misal kata, bila suatu hari andai saya sudah tiada, NOIR tetap berad di pasaran. Namun bagaimana. Itu sebabnya kami memperkenalkan pelbagai inovasi. Lihat saja pada jenama-jenama seperti NOKIA. Akibat tidak berinovasi, lihat apa yang jadi pada mereka. Benda itu yang kita takut. Kita tak mahu suatu hari nanti NOIR tidak lagi relevan”.
Melihat pada segala pencapaian yang dimiliki, sudah pasti ramai beranggapan dia punya segalanya. Kejayaan, kelurga dan kewewahan. Namun jauh di sudut hati, tiada siapa yang mengetahui resah kesah jiwanya. Satu-satunya keinginan dan impiannya kini adalah untuk merasai nikmat seorang wanita yang ditakdirkan sejak azali mengandung dan melahirkan. Namun, ianya tidak mudah…
Akan bersambung di BAHAGIAN KEDUA.
Penulis & Penyelaras: Wan Mohd Firdaus
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Tumpang bangga apabila wanita pertama yang menyandang jawatan Ketua Hakim Negara iaitu Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat menerima penganugerahan daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam. Beliau yang merupakan Ketua Hakim Negara ke-10 dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkita (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’ sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong.
Mengimbas kembali momen bersejarah tersebut, Tun Tengku Maimun bersama Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Tun Dr Arshad Ayub mendahului senarai 829 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2020 yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya.
Kemunculan Tun Tengku Maimun sememangnya menarik perhatian masyarakat sejak beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada awal Mei 2019. Lebih setahun menggalas tanggungjawab tersebut dengan sebaik mungkin, kelibat wanita hebat ini sering kelihatan dalam istiadat rasmi. Misalnya, ketika Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpat Jawatan Perdana Menteri Ke-8 pada Mac lalu… penampilan Tun Tengku Maimun yang mengenakan tudung bawal merah jambu dan berbaju kurung turut mencuri tumpuan.
Apatah lagi dengan raut wajah manis dan lesung pipit yang dimiliki membuatkan ramai wanita mengagumi keperibadian Tun Tengku Maimun. Meskipun kecil molek saja orangnya tapi kebijaksanaan Tun Tengku Maimun mengendalikan hal berkaitan perundangan tidak perlu dipertikai lagi. Beliau diberi kepercayaan menjadi Ketua Hakim Negara selepas Tan Sri Richard Malanjum bersara pada 12 April 2019.
Kredit: Instagram Istana Negara
Mengintai latar belakang Ketua Hakim Negara yang berusia 61 tahun ini, Tun Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan pernah memegang jawatan seperti Majistret, Hakim Mahkamah Sesyen, Peguam Persekutuan dan Penolong Kanan Pendaftar serta Pegawai Khas kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Beliau merupakan siswazah lulusan Universiti Malaya yang memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) pada tahun 1982. Memetik infomasi dari Bernama, pada 2 Oktober 2006 hingga 4 September 2007 Tun Tengku Maimun merupakan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Kemudian beliau dilantik menyandang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selama hampir empat tahun bermula 5 September 2007 hingga 31 Mac 2011.
Pada April tahun yang sama hingga 7 Januari 2013, Tun Tengku Maimun pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Selangor seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 8 Januari 2013 hingga 25 November 2018. Tidak hanya terhenti di situ, Tun Tengku Maimun turut menerima pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan Putrajaya mulai 26 November 2018 hingga 1 Mei 2019 sebelum diangkat sebagai wanita pertama dilantik selaku Ketua Hakim Negara.
Berikut ringkasan fakta menarik Tun Tengku Maimun sebagai ketua bagi institusi kehakiman di Malaysia.
1. Ibu kepada empat orang anak ini merupakan lepasan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) di Universiti Malaya.
2. Pernah bertugas di Jabatan Peguam Negara, Majistret dan Mahkamah Sesyen, sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada tahun 2006.
3. Memulakan kerjaya pada tahun 1982 sebagai Pegawai Undang-Undang, Lembaga Kemajuan Kelantan (KESEDAR).
4. Pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Khas Hakim Besar Malaya dan Ketua Hakim Negara.
5. Menghakimi pelbagai kes berprofil tinggi seperti kes melibatkan kematian Altantuya Shaariibuu, M. Indira Gandhi, Karpal Singh dan Datuk Seri Najib Razak.
Sumber: Astro Awani & Bernama
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Makin cantik berseri-seri wajah Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah. Pesona dan aura puteri diraja Pahang ini ketika hadir pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim nyata mencuri perhatian khalayak.
Penampilan Tengku Puteri Afzan dalam persalinan kurung hitam yang lengkap berhijab rona sedondon menyerlahkan lagi seri wajah anakanda Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Ditambah pula solekan cantik oleh makeup artist popular, Rozlan Nassir yang natural sekaligus menyerlahkan kejelitaan semula jadi jelitawan ini. Apatah lagi puteri diraja Pahang berkenaan memiliki kulit wajah mulus dan licin.
Sejak Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai lalu, momen dan gambar Tengku Puteri Afzan bertebaran di media sosial. Rata-rata warga maya memuji keanggunan beliau.
Bakal menginjak usia 24 tahun pada 11 September depan, beliau merupakan pasangan kembar kepada YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Kedua-duanya disifatkan anak yang taat kepada ibu bapa. Selain dikurniakan raut wajah cantik dan kacak serta berpendidikan tinggi.
Puteri berusia 24 tahun ini ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains University of London di Egham, Surrey, United Kingdom.