
Jika seseorang itu memiliki rambut yang kuat dan sihat, penampilannya bukan saja terlihat segar bahkan menarik. Tahap keyakinan juga tinggi contohnya ketika menghadiri majlis-majlis tertentu.
Jika anda seorang yang tidak gemar ke salun rambut serta memilih cara semula jadi untuk merawatnya, anda boleh memilih salah satu daripada tiga cara yang dikongsikan ini. Mulakan usaha dengan menghasilkan masker rambut semula jadi anda sendiri hari ini.
(1) MASKER TELUR
Sediakan sebiji telur kemudian pukul bersama minyak kelapa dan minyak zaitun. Seterusnya campurkan 1 sudu besar madu asli. Lenyek sebiji pisang hingga halus kemudian masukkan ke dalam bahan telur tadi. Kacau sebati hingga ia kelihatan seperti susu pekat. Setelah itu sapu rata pada rambut dan biarkan 20 minit. Bilas dengan syampu dan air bersih.
Lakukan secara rutin 3 kali seminggu bagi hasil maksimum. Setelah melakukannya selama beberapa minggu, vitamin semula jadi ini akan bekerja pada rambut hingga ia menjadi lebih sihat, berkilau, tidak mudah rapuh dan tidak berkelemumur.
(2) MASKER PISANG
Sediakan pisang bersama 200ml air bersih, 3 sudu besar mayonis dan 2 sudu besar madu. Sediakan juga minyak zaitun, minyak kelapa dan minyak jojoba. Masing-masing 1 sudu besar. Campur semua bahan dan kisar halus.
Kemudian sapu rata pada rambut. Biarkan selama 20 minit lalu lalu dibilas disertai syampu hingga bersih. Lakukan 3 kali seminggu secara teratur. Masker ini bagus untuk mengatasi rambut kering dan kusam.
(3) MASKER AVOKADO
Masker ini sangat bagus sebagai vitamin rambut semula jadi kerana avokado sangat kaya dengan vitamin E yang penting untuk rambut agar menjadi lebih kuat dan halus.
Ambil isinya setengah daripada sebiji avokado kemudian haluskan. Campur dengan 1 sudu besar minyak kelapa, 1 sudu besar minyak zaitun dan 100ml air. Gaul sebati lalu sapu ke seluruh rambut. Biarkan selama 25 minit. Cuci rambut serta syampu hingga bersih. Amy Mohd
Bila Pelitup Muka Jadi ‘Aksesori’ WAJIB, Doktor Ini Saran Tip Penjagaan & Elak Jerawat

Sejak penularan pandemik COVID-19, pengunaan pelitup muka adalah salah satu langkah untuk menghalang virus ini terus merebak. Namun, pemakaian pelitup muka ini telah mencetus masalah kulit muka bagi sesetengah individu. Kali ini Nona telah mendapatkan pandangan Dr Nur Diana Abd Razak dari Klinik Medissa Senawang tentang masalah ini.

Akibat penularan COVID-19, penggunaan pelitup wajah menjadi wajib bagi kebanyakkan negara yang tinggi kes penularan virus tersebut. Seiring dengan itu, laporan daripada pakar kulit dan doktor estetik menunjukkan peningkatan kes jerawat berkaitan dengan penggunaan pelitup wajah menjadi semakin meningkat.
Penggunaan pelitup wajah yang kerap dan ketat boleh mengakibatkan friction atau gesekan, iritasi, dan regangan pada kulit menyebabkan terjadinya jerawat atau dikenali sebagai acne mechanica. Hal ini pernah dikongsi oleh pakar kulit kerana sering terjadi kepada atlet menggunakan topi keledar atau pakaian mempertahankan diri yang ketat dan memerangkap peluh.

Kawasan yang kerap berpeluh, lembap dan terperangkap di sebalik pelitup muka boleh mengakibatkan penyumbatan liang pori menjadi semakin teruk daripada kebiasaan.
Liang pori yang tersumbat akibat peluh, kotoran, kulit mati dan sebum wajah ini mengakibatkan pembentukan jerawat, whiteheads atau blackheads apatah lagi jika pemakai juga menggunakan solekan yang berunsur comedogenic iaitu yang mudah menyumbat liang pori.
Pemakaian pelitup wajah yang lama atau berulang meningkatkan suhu dan kelembapan, menjadikan medium yang yang subur untuk membiakkan jangkitan kuman penyebab jerawat.

Beberapa masalah kulit lain yang boleh terjadi selain jerawat akibat pemakaian pelitup wajah;
Dermatitis kontak (contact dermatitis) – adalah alahan terhadap sesuatu bahan yang bersentuhan dengan kulit, contohnya dalam hal ini adalah fabrik pelitup muka. Formaldehyde dan bronopol boleh dijumpai dalam polypropylene surgical masks yang sering mengakibatkan alergi. Boleh menyebabkan ruam yang kemerahan, kering, iritasi dan gatal.
Jangkitan folikel rambut (foliculitis) – akibat pembiakkan kuman pada liang folikel rambut yang ada pada wajah, contohnya pada kawasan dagu untuk kebanyakkan pesakit lelaki. Menyebabkan terjadinya vesikel seakan jerawat yang sakit, bernanah dan mungkin memerlukan rawatan dengan antibiotik.
Rosacea – bagi penghidap rosacea, suhu yang meningkat dan stres boleh mengakibatkan kondisi kulit meradang semula menjadi merah, kering dan mengganggu penampilan serta keyakinan seseorang.

Apakah langkah mudah mengelakkan ‘MASKNE’
Jika anda gemar menggunakan pelitup wajah dari jenis fabrik, pastikan anda memilih jenis fabrik yang lembut dan tidak mengiritasi kulit, mempunyai banyak helaian yang boleh ditukar dengan kerap, dan dicuci setiap hari.
Jika anda menggunakan pelitup muka pakai buang (disposable mask), sesuai namanya hanya untuk digunakan dalam jangka waktu yang singkat dan ditukar dengan kerap. Berikan waktu rehat untuk kulit anda dari pelitup wajah selama paling kurang 15 minit setiap 4 jam penggunaan pelitup wajah, ini berdasarkan perkongsian daripada American Acedemy of Dermatology (AAD). Pelitup wajah seharusnya ditukar jika sudah lembap atau kotor.
Jika anda merupakan tenaga kesihatan yang menggunakan pelitup wajah jenis N95, pastikan anda menggunakan strip silikon gel pada kawasan kulit yang bersentuhan rapat dengan pelitup wajah untuk mengurangkan gesekan dan iritasi.

Jika jerawat sudah mula terjadi;
- Tenang dan jangan terlalu agresif dengan kulit anda.
- Hentikan penggunaan solekan.
- Pastikan kulit wajah dalam keadaan bersih sebelum mengenakan pelitup wajah.
- Pastikan anda mengunakan gentle skincare atau pencuci wajah yang bersifat soap-free cleanser iaitu bebas sabun dan pelembap yang sesuai. Pelembap boleh menjaga kelembapan dan membentuk lapisan pelindung pada kulit anda. Pastikan kulit anda tidak terlalu kering akibat penjagaan kulit yang berlebihan.
- Rawat jerawat menggunakan krim anti jerawat yang boleh didapati di farmasi, seperti, benzoyl peroxide, krim asid salycilic dan sebagainya. Mulakan produk tersebut dengan konsentrasi paling rendah dahulu dan lihat respon kulit terhadap krim tersebut bagi mengelakkan keradangan kulit memburuk.
- Jika jerawat tidak memberikan respon terhadap rawatan yang telah anda lakukan, dan semakin memburuk, anda dinasihatkan untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan awal, juga mampu mengurangkan risiko terjadinya parut.
- Bagi mengenalpasti masalah kulit yang lain seperti dermatitis kontak, folikulitis, rosacea dan sebagainya, anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan doktor supaya rawatan sesuai dengan masalah yang anda hadapi.
Penampilan KRISDAYANTI Berhijab Jadi Bualan. Persis AUREL HERMANSYAH!

Penampilan diva Indonesia, Krisdayanti mengenakan hijab mendapat pujian sebilangan besar warganet di Indonesia. Mana tidaknya, wajah Krisdayanti saling tak tumpah mirip wajah anak sulungnya, Aurel Hermansyah!

Baru-baru ini, penampilan Krisdayanti mengenakan hijab untuk satu jenama tudung dikenali @vanillahijab di mana Krisdayanti terpilih menggayakan hijab koleksi Monogram CEO Scarf untuk jenama berkenaan.
Menurut Instagram @vanillahijab, pemilihan Krisdayanti menggayakan koleksi tersebut bersesuaian dengan status dirinya sebagai seorang ibu, isteri, diva serta kebanggan Indonesia.


Ramai peminat memuji penampilan isteri kepada Raul Lemos yang nampak anggun mengenakan hijab. Malah, Krisdayanti kelihatan jauh lebih muda dengan penampilan berhijab! Malah tidak dapat dinafikan, penampilan berhijab kini semakin mendapat sentuhan gaya elegan dan anggun meskipun menutup aurat tetapi masih mengekalkan gaya dalam berfesyen.
Krisdayanti sebelum ini mengumumkan menukar namanya pada akhir April lalu. Dengan keputusan yang telah diambil, penyanyi tersebut mahu media dan semua pihak yang berurusan dengannya selepas ini menggunakan nama baharunya.
Kata Krisdayanti, nama baharu yang ditukar tidak lain dan tidak bukan adalah Kris Dayanti. Ya, masih nama yang sama, namun berbeza suku kata.
Cuaca Panas Melampau, Pelihara Kulit Agar Mampu Melambatkan Penuaan

Sudah sekian lama kita ‘terkurung’ di dalam rumah bagi membantu memutuskan rantaian COVID-19, tiba masanya untuk kembali bekerja atau berlibur.
Sinar matahari memang baik untuk kesihatan kulit kerana merangsang tubuh menghasilkan vitamin D. Namun, sisi lain jika terlalu terdedah kepada sinar matahari tanpa perlindungan mampu mengundang kesan buruk kepada kesihatan kulit. Kesan cahaya matahari bukan sahaja menghilangkan lembapan kulit malah merangsang jeragat dan noda hitam.

Justeru, bagi mengekalkan kecantikan dan kelembapan kulit perlu merawat kulit dengan teliti dan jangan sekali diabaikan. Tak perlu melakukan rawatan yang mahal di salon kecantikan cukup dengan ritual yang sederhana dan yang pasti kena konsisten.
KRIM TABIR SURIA
Lindungi kulit dengan krim tabir suria yang betul. Krim tabir suria melindungi kulit yang merangsang produksi melanin iaitu pigmen penentu warna kulit. Pilih tabir suria dengan kadar SPF 15 atau lebih. Kadar tersebut menunjukkan berapa efektif tabir suria mencegah kulit terbakar akibat sinar UVB. Seelok-eloknya pilih krim tabir suria dengan pelembap ekstra.

SERUM
Memang elok tidak pernah tinggal rutin menyapu krim pelembap setiap malam sebelum tidur. Namun, kini sudah tiba masa menukar rutin harian itu. Sapu serum sebelum tidur demi mengunci kelembapan kulit. Serum mempunyai molekul lebih kecil lantas menyalur nutrisi kepada lapisan kulit paling dalam yang tidak dapat ditembusi oleh krim pelembap.
Bukan sahaja boleh mengatasi masalah kulit kering serum juga membantu mengatasi masalah penuaan, pigmentasi dan pori-pori besar. Kelembapan kulit terus terpelihara dengan kuasa semula jadi sebaik bangun daripada tidur. Kulit terasa lebih anjal dan segar dengan berkeyakinan.

CUCI TANGAN
Dalam situasi sekarang kebersihan tangan sangat penting bagi membina benteng kepada tubuh untuk mencegah virus COVID-19. Jangan lalai dan mengabaikan sikap membersihkan tangan walau di mana sahaja berada. Selain membenarkan kuman dan bakteria jahat masuk ke dalam tubuh, tangan yang tidak bersih juga jika disentuh ke kulit wajah boleh menyebabkan jerawat. Gunakan hand sanitizer untuk membantu mengusir kuman dan bakteria. Sebaik-baiknya guna sabun untuk membersihkan tangan.
BEDAK ASAS
Langkah paling penting ketika memilih produk kosmetik adalah memiliki bahan pelembap yang tinggi. Terlalu terdedah kepada cahaya matahari juga menjadi punca kulit mudah terhidrasi dengan cepat. Bedak asas yang datang dalam bentuk krim boleh membantu mengekalkan kelembapan kulit. Sapu bedak asas secara nipis kerana formula pelembap ekstra boleh mencantikkan kulit khususnya wanita asia.

KRIM MATA
Ini merupakan salah satu produk yang wajib ada untuk semua wanita. Kesibukan kerja pejabat ditambah pula dengan urusan rumah tangga membuatkan ramai wanita tidak mempunyai tidur yang cukup apatah lagi mendapatkan tidur yang berkualiti. Lingkaran kulit bawah mata sangat sensitif dan ditambah pula sering terdedah kepada cahaya matahari. Krim mata merupakan magis kepada setiap wanita bagi menyingkirkan lingkaran gelap di bawah dan paling penting mengelakkan kedutan atau garis halus di bawah mata.
BODY BUTTER
Kita sering mendengar perkataan body butter tetapi tidak tahu apakah fungsi sebenarnya. Body butter adalah pelembap yang tidak mengandungi air dan jadi item cantik wajib dibawa dalam beg tangan . Pelembap jenis ini diadun antara minyak, butter (lemak padat) atau lilin. Oleh kerana tidak mengandungi air, body butter lebih likat dan umpama minyak yang membeku.
Wanita yang mempunyai kulit normal paling sesuai menggunakan body butter ini. Butter memberi sensasi kilau kepada kulit. Butter bukan solusi terbaik buat mereka yang mempunyai kulit kering kerana tiada kandungan air yang boleh membantu melembapkan kulit.

TEH HIJAU
Peminat teh pasti tahu ada berbagai jenis teh boleh diminum. Salah satu teh yang dapat membantu menjaga kesihatan dan kelembapan kulit adalah teh hijau. Teh hijau bukan sahaja baik untuk detoks tetapi juga mampu meningkatkan kadar lembapan kulit. Kandungan antioksida tinggi pada teh hijau mampu membuat kulit tetap lembap, segar, bebas masalah jerawat serta bintik hitam. Paling istimewa apabila teh hijau berupaya mengekalkan keremajaan kulit.
EKSFOLIASI KULIT
Regenerasi kulit berlaku 14 hingga 28 hari sekali namun apabila kulit terlalu terdedah kepada cahaya matahari, cuaca tidak menentu dan berbagai bahan kimia, proses regenerasi menjadi tidak optimal dan perlu dirangsang dengan eksfoliasi. Eksfoliasi berfungsi untuk membuang sel-sel kulit mati yang tertinggal lantas menghasilkan kulit wajah lebih cerah dan lembut.
Penjagaan lebih mudah kini kerana terdapat produk yang membantu eksfoliasi. Pilih gel khusus untuk eksfoliasi agar selesa dan bersesuaian dengan kulit. Gosok lembut ke wajah dan bilas dengan air bersih sehingga sempurna. Boleh juga menggunakan bahan yang terdapat di dapur seperti kombinasi gula pasir dan madu. Campur satu sudu gula pasir dengan dua sudu madu. Sapu ke seluruh wajah dan setelah rata urut secara perlahan-lahan. Bilas dengan air bersih.
PELEMBAP BIBIR
Jika bibir kering dan pecah-pecah pasti mengganggu mood seharian. Kurang minum air dan cuaca sejuk melampau menjadikan bibir kering dan mengelupas. Cara paling mudah untuk memelihara bibir kering adalah pelembap bibir. Jika memilih pelembap bibir yang mengandungi perlindungan terhadap sinar UVA dan UVB adalah suatu bonus.
MINUM AIR SECUKUPNYA
Bila kulit wajah dan kulit bibir sudah mula mengering, cuba periksa minuman yang sering diambil. Adakah anda melebihkan kafein, air bergula atau minuman karbonat setiap hari berbanding air kosong? Jika minuman ini menjadi pilihan sukar untuk membantu mengatasi masalah kulit kering dan mengelupas. Apa yang perlu dilakukan adalah minum air sekurang-kurangnya 2.5 liter air sehari.
KRIM CC
Color Correcting atau Complexion Corrector, lebih dikenali sebagai krim CC berfungsi untuk menyamarkan tona kulit wajah, melindungi kemerahan kulit dan menutup pigmentasi. Krim CC ini lebih sesuai digunakan oleh wanita matang kerana ia berupaya menutup permasalahan kulit wajah seperti tona kulit tidak sekata, garis-garis halus, kedut dan iritasi. Sifat krim CC yang kalis air dengan struktur rangkaian kukuh iaitu dibentuk oleh molekul yang tinggi membolehkan solekan bertahan sehingga 12 jam tanpa memerlukan sentuhan walaupun dalam cuaca yang panas.
Keistimewaan krim CC ini tidak menimbulkan kesan terlalu tebal, amat sekata pada kulit dan mudah menyerap ke liang sebum. Pada masa yang sama ia meresap pantulan daripada cahaya matahari untuk tona kulit semula jadi tanpa kesan minyak.