Namanya pernah menjadi sorotan ketika masih aktif dalam dunia ratu cantik, hingga tersenarai sebagai peserta top 16 Miss Universe Phillipines pada tahun 2021. Bagaimanapun, nama Jasmine Umali kembali meledak pada pertengahan tahun lalu, apabila dia mengumumkan penghijrahannya memeluk agama Islam.
Sebelum ini, bekas ratu cantik popular asal Manila ini memuat naik dalam satu hantaran instagram potongan ayat Al-Quran siap dengan kapsyen tertulis perkataan tawakul yang mana dalam bahasa melayu bermaksud tawakal.
Pasti anda tertanya-tanya, bagaimanakah permulaan bekas ratu cantik ini mula menerima hidayah sehingga terbuka hati untuk menjadikan agama Islam sebagai satu pegangan dalam hidupnya. Ini penjelasan Jasmine Umali tentang bagaimana dia menemui cahaya Islam.
Kerap Terbang Ke ‘Timur Tengah’ Buka Mata Jasmine Tentang Islam
Ads
“Mengimbau kembali ke 2017. Momen ini mungkin merupakan panggilan pertama saya kepada Islam. Ia adalah penerbangan pertama saya dan 6 hari persinggahan sebagai pramugari antarabangsa.
“Ini kali pertama saya mencuba abaya dan tudung juga. Walaupun saya tidak belajar banyak tentang Islam pada masa itu, ia pastinya membuka mata.
“Selepas beberapa hari, syarikat penerbangan tempatan kami menutup penerbangan ke Abu Dhabi dan saya adalah salah seorang pramugari bertuah yang dapat menikmatinya.
Ads
Sejak itu, saya sering terbang ke destinasi timur tengah yang lain dan saya menyukainya. Alhamdulillah kini saya faham bahawa Allah swt membimbing saya ke jalan ini,” ujarnya penuh makna.
Menyifatkan penghijrahannya sebagai satu proses pembelajaran, Jasmine yang tampil sopan berhijab turut menyatakan yang dia mengagumi kemesaran yang maha Esa.
Kongsinya lagi, “Semoga Allah SWT memudahkan kita, membersihkan fikiran kita, meletakkan kegembiraan dalam hati kita, meningkatkan iman kita, mengangkat darjat kita di luar jangkaan dan membimbing kita ke mana pun kita pergi.”
Semoga kisah penghijrahan Jasmine ini menjadi inspirasi kepada Nonarians untuk sentiasa memperbaiki diri ke arah yang lebih baik dalam mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, anak bongsu Dr. Thaksin Shinawatra iaitu Paetongtarn Shinawatra, 35 tahun, mengikut jejak langkah bapanya dalam arena politik Thailand.
Di sebalik lirikan senyuman yang manis, isteri kepada juruterbang Pidok ‘Por’ Sooksawas dan ibu kepada seorang puteri berusia setahun ini mewarisi bakat kepimpinan dan keprihatinan si bapa, yang merupakan bekas Perdana Menteri Thailand tahun 2001-2006.
Bapa Paetongtarn, bekas pemilik Manchester City yang juga membangunkan empayar telekom dengan nilai kekayaan hampir AS$1.9 bilion, kini dilaporkan tinggal di Dubai.
Turut disebut-sebut sebagai bakal calon Perdana Menteri pada Mac 2023 nanti, Paetongtarn menerusi parti pembangkang Pheu Thai kini ligat memenangi hati rakyat Negara Gajah Putih itu.
Nampak lembut dan pendiam, namun sebenarnya Paetongtarn merupakan seorang wanita yang pintar. Beliau mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari Universiti Chulalongkorn, sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana atau Master’s Degree in International Hotel Management dari Universiti Surrey di United Kingdom.
Sebagai ibu kepada seorang anak perempuan yang berusia setahun, Paetongtarn jelas menunjukkan sisi penyayang dan sangat mementingkan keluarga dalam kehidupan hariannya.
Astro Awani melaporkan, sosok wanita muda yang memiliki hampir setengah juta pengikut di Instagram ini menjalani gaya hidup penuh glamor dan dikenali sebagai puteri kecil dalam keluarga bekas perdana menteri Thailand, Dr. Thaksin Shinawatra.
Kini, tiba pula giliran anak bongsu daripada tiga beradik keluarga taikun bilionair tersebut, memberanikan diri melangkah ke arena politik Thailand yang kini berpecah-belah, menjelang pilihan raya umum pada Mac 2023.
AFP pula melaporkan, langkah itu membawa pengaruh Shinawatra kepada generasi baharu sekali gus membuka semula pertaruhan penglibatan keluarga ultra kaya itu dalam persaingan elit dengan golongan penyokong tegar istana dan tentera.
Buat masa ini, Paetongtarn memainkan peranan sederhana bersama parti pembangkang Pheu Thai, namun namanya disebut-sebut sebagai calon perdana menteri apabila pilihan raya diumumkan kelak.
Paetongtarn berkata, dia memperoleh kekuatan daripada sokongan kuat bapanya, dan sentimen itu mendapat perhatian daripada ratusan ribu pengikut mereka.
Kebanyakan penyokong mereka adalah daripada golongan miskin dan rakyat luar bandar, yang telah menjulang nama Thaksin dalam kemenangan pilihan raya tahun 2001 dan 2006.
Foto: Instagram @ingshin21
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Dalam usia 36 tahun usahawan produk kecantikan ORGGA, Zazarina Zainal Abidin atau Zaza bukan sahaja sukses dalam perniagaan bahkan memiliki aset serta kehidupan sempurna yang menjadi dambaan setiap wanita.
Memiliki darah campuran Melayu-China, Zaza merupakan ibu kepada dua orang anak berusia 5 dan 2 tahun. Sebelum bergelar usahawan, Zaza pernah bergelar pereka grafik dan web. Setelah memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perniagaan, Zaza mendapat sokongan serta turut dibantu sepenuhnya oleh suami tercinta.
IKUT PETUA IBU
“Ibu, Zaleha Ahmad adalah sumber inspirasi saya untuk kekal sihat dan cantik. Salah satu petuanya ialah ibu sering mengingatkan supaya jangan minum air semasa makan atau sejurus selepas makan. Maka, saya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga mengingatkan kami untuk tidak membuat jus buah-buahan sebaliknya ia harus dimakan begitu sahaja kerana kebanyakan zat di dalam buah-buahan akan hilang jika dikisar dan dijadikan jus.
Ibu berkerja dalam bidang kesihatan selama 30 tahun lebih dan beliau juga merupakan penyokong utama ketika saya mahu memulakan perniagaan. Walaupun kini ibu sudah berusia 69 tahun tetapi masih kuat dan sihat. Bayangkan, ibu masih aktif mendaki Gunung Kinabalu, pergi ke luar negara termasuk zon perang untuk misi kemanusiaan dan sebagainya. Saya memang kagum dengan ibu.
Sebab itulah saya menganggapnya juga sebagai ‘hero wanita’ kerana ibulah sumber kekuatan saya. Dalam usianya sekarang ibu masih kelihatan bertenaga, kekal cergas dan aktif.
Selain ikut petua ibu, saya juga lebih suka berbelanja membeli rangkaian produk dari Eropah. Walaupun ia berasaskan bahan-bahan natural dan organik tetapi kesannya sangat efektif serta bahan-bahan yang digunakan sangat berkualiti tinggi dan selamat.
AKTIF MUAY THAI
Setiap hari saya akan sampai rumah (dari pejabat) sekitar pukul 6-7 malam. Setiap malam juga (pada minggu bekerja) saya dan suami akan ke kelas Muay Thai pada pukul 8.30 malam. Tetapi sebelum keluar kami akan meluangkan masa terlebih dahulu bersama anak-anak di rumah. Pulang dari kelas iaitu kira-kira pukul 11.30 malam saya akan menyemak segala perancangan untuk hari esok termasuk membaca buku atau melakukan light research. Sekitar pukul 2 pagi barulah dapat melelapkan mata.
Hujung minggu pula adalah waktu berkualiti saya bersama keluarga. Walaupun saya dan suami tidak banyak masa untuk bersama anak-anak tetapi kami cuba memberikan pendidikan yang terbaik buat mereka termasuk menyeimbangkan pelajaran dan hiburan.
Saya jarang keluar bersama rakan-rakan kerana kebanyakan mereka tinggal di Kuala Lumpur, saya pula di Senawang. Namun kalau ada masa, kami akan keluar untuk minum-minum dan membeli belah. Sebenarnya saya lebih selesa keluar bersama suami kerana beliau umpama teman rapat saya. Antara tempat kegemaran kami ketika keluar ialah kedai buku.
NASIHAT & TIP SUKSES
Saya banyak membaca termasuk mengalami sendiri detik susah senang dalam perniagaan. Untuk menjadi usahawan sukses haruslah fokus. Kedua, rajin membuat kajian. Allah SWT mengurniakan otak yang sama untuk berfikir tetapi bergantung kepada individu untuk memanfaatkannya dan sejauh mana kemampuan untuk berfikir.
Generasi sekarang sangat kurang membaca. Membaca artikel di internet tidak sama dengan membaca buku. Amalan membaca menjana tahap kemampuan otak dan cara kita berfikir sekaligus menambah nilai diri kita sebagai manusia dan usahawan.
Bergelar ibu dan usahawan bukan mudah untuk membahagikan masa. Satu perkara yang saya sentiasa amalkan ialah tidak tangguhkan kerja atau niat. Kerana jika kita ingin menunggu masa yang sesuai untuk melakukan sesuatu, masa itu tidak akan tiba dan kerja atau perancangan akan sentiasa tertangguh.
PERNIAGAAN
ORGGA merupakan singkatan perkataan ‘organik’ yang melambangkan konsep produk selain mudah disebut dan diingati. Produk kecantikan ORGGA berasaskan bahan-bahan natural dan organik yang juga memfokuskan kepada penggunaan bahan-bahan botanikal berkualiti. 90 peratus bahan-bahan natural yang digunakan diimport dari United Kingdom, United States, Timur Tengah, Eropah dan China.
Saya berpendapat kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai stigma bahawa produk natural dan organik tidak begitu berkesan dan menunjukkan hasil yang perlahan. Mereka lebih suka memilih produk kecantikan yang kesannya pantas tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang ke atas kulit.
Ia menjadi cabaran buat saya untuk menghasilkan produk natural dan organik yang berkualiti serta berkesan di Malaysia. Justeru, saya mengambil inisiatif dengan menghabiskan masa lebih kurang satu tahun setengah untuk proses RND termasuk mengambil kursus memformulasi produk kecantikan berasaskan natural dan organik dari UK. Semoga produk kecantikan berasaskan natural dan organik terus mendapat sambutan baik di negara kita.”
Zaza merupakan graduan dalam bidang pengurusan teknologi multimedia dari Universiti Multimedia serta jurusan teknologi informasi bisnes dari Universiti Limkokwing.
Kredit Foto: Instagram @zaza_alzahra & @hanzaking
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Masalah tumit kaki pecah bukan sahaja boleh mengganggu rutin harian bahkan juga penampilan. Tumit kaki pecah dan kering jika tidak dirawat segera boleh mengakibatkan jangkitan. Punca terjadinya tumit kaki pecah antaranya kurang penjagaan, kekeringan, kekurangan vitamin serta mineral. Walaupun tidak membahayakan tetapi kalau dibiarkan lama kelamaan boleh mengakibatkan pendarahan di bahagian retakan tumit kaki yang pecah. Keadaan ini boleh menyebabkan jangkitan terutama pada penderita diabetes sekaligus melambatkan proses penyembuhan.
5 cara semula jadi berikut dapat membantu mengatasi tumit kaki pecah. Hasilnya mungkin mengambil masa tetapi yakinlah dengan keberkesanannya yang lebih selamat serta menjimatkan kos.
MINYAK SAYURAN
Selepas membersihkan sekitar tumit yang kering dan pecah sapukan minyak sayuran secara nipis. Kemudian pakai stoking tebal, lakukan setiap malam selama beberapa hari.
AIR PERAHAN LEMON
Rendam kaki ke dalam air perahan lemon sekitar 10-15 minit kemudian gosok seketika dengan menggunakan alat pembersih kaki bagi membuang semua kulit mati di bahagian lapisan atas.
RENDAM KAKI DENGAN AIR SUAM
Membersih dan melembapkan kulit adalah cara terbaik bagi mengatasi keadaan ini. Caranya, pada waktu petang rendam kaki anda ke dalam air suam atau air sabun suam selama 15 minit. Amalkan selalu sehingga tumit kaki anda kembali pulih.
AVOKADO
Ambil setengah biji avokado kemudian tumbuk atau lenyek isinya sehingga lumat. Sapukan pada bahagian tumit yang pecah. Amalkan selalu sehingga tumit kaki anda kembali pulih seperti sedia kala.
TIMUN
Kisar sebiji timun sehingga lumat kemudian sapukan pada bahagian tumit sambil diurut-urut lembut selama 10 minit. Biarkan kering kemudian cuci. Amalkan secara rutin sehingga anda nampak hasilnya.
RUTIN HARIAN BAGI MENCEGAH TUMIT KAKI PECAH
1. Kerap membersihkan kaki.
2. Kerap melembapkan kulit kaki.’
3. Jangan berjalan kaki tanpa memakai kasut atau sandal.
4. Jangan biarkan kaki terlalu lama terkena air atau memijak tempat basah.
5. Rendam kaki dengan air suam sekurang-kurangnya sekali seminggu.
6. Pakai kasut atau sandal yang sesuai dengan aktiviti seharian anda.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!