Walau bergelar selebriti popular tapi Zara Zya seorang yang mesra dan ‘humble’. Memang mudah bekerjasama dengan Zara kerana selain menepati masa dan berdisiplin, dia juga berbakat besar.
Pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian Anugerah Skrin ini berani mengembang potensi diri sebagai usahawan.
Di samping meminati dunia seni dan lakonan, Zara juga sebenarnya pandai masak serta suka menghabiskan masa di dapur. Bagi sesetengah orang, masak ni terapi.
Buktinya, Zara selesa menggunakan platform media sosial untuk menjual pelbagai juadah air tangan. Malah pernah mengusahakan restoran sendiri sebelum ini.
Terbaharu, aktres jelita ini tidak melepaskan peluang berniaga di Bazar Ramadan. Biarpun panas memanggang daging kambing di bawah khemah jualan dan dalam keadaan berpuasa, dia tetap mengukir senyuman melayan pelanggan dan peminat yang datang membeli.
“Siapa belum rasa lagi Perap 99? Mehlah datang bazar Ramadan Jalan Kebun Shah Alam. Alhamdulillah, semalam tak menang tangan.
Ads
Terima kasih pada anda semua yang support Perap 99. Ramai yang repeat order. Jumpa saya di Bazar Jalan Kebun, Seksyen 30 Shah Alam.”
Penampilan pemilik nama Zainurul Razia Mohd Zainuddin yang sopan berbaju kurung dan bertudung ketika berniaga turut meraih pujian. Cantik manis je orangnya!
Ads
Memasak Terapi Bagi Zara Zya
Dalam temu bual bersama Nona sebelum ini, dia memberitahu, “Bila saya nampak barang-barang basah dekat pasar, saya mesti hendak beli dan balik rumah masak.
Memang masak ni terapi bagi saya. Yang penting bila nak masak jangan waktu kita stres. Mood kena tenang dan confirm makanan yang dimasak nanti sedap.”
Semoga Zara Zya sukses dalam bidang yang diceburi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Baru-baru ini tular apabila Najib Asaddok, 39, atau nama sebenarnya Mohd Najib Asaddok yang sedang membuat sesi siaran langsung dihujani dengan pertanyaan seorang pengguna laman sosial yang bertanyakan soalan berunsur provokasi mempersoalkan apa perniagaan Najib yang sudah berjaya sehingga layak mengajar orang lain mengenai ilmu pemasaran. Seterusnya sesi itu mendapat komen beberapa pengguna laman sosial mempertikaikan kejayaan diraih hanya dengan ‘menjual air liur’.
Dia digelar bisnes air liur. Bunyinya mungkin agak sinis, tapi itulah realitinya apabila Najib Asaddok berjaya membina empayar perniagaan dengan memberi perkhidmatan latihan secara dalam talian kepada golongan peniaga.
Namun, Najib yang juga pengasas syarikat Momentum Internet Sdn Bhd sejak 2014 lalu enggan ambil pusing segala komen yang dilontarkan.
“Ketika buat sesi siaran langsung itu, saya sedang membincangkan topik agak serius berkaitan isu peniaga yang mengalami kejatuhan dalam jualan. Tapi, apabila terdapat komen dan soalan sama berulang kali, ia lebih kepada provokasi dan berniat nak menjatuhkan kredibiliti. Saya juga orang biasa yang mempunyai emosi dan perasaan.
Pun begitu, disebalik kejayaan yang dicapai hari ini, siapa sangka Najib yang berasal dari Benut, Pontian, Johor sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak di bangku sekolah semata-mata ingin mengubah nasib diri dan kehidupan keluarganya.
“Pada usia 11 tahun ayah saya meninggal dunia. Ketika itu mak hanya pekerja kilang dengan pendapatan RM300 hingga RM500 sebulan. Malah, sejak kecil lagi saya bersama lima beradik lain tinggal dengan datuk. Dengan bantuan datuk juga, kami adik beradik cukup makan, pakai dan sekolah.
“Dari sekolah lagi saya sudah berniaga dengan terbabit sebagai ketua koperasi di sekolah menengah dan menjadi Ketua Kelab Usahawan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar. Pada 2004 saya sudah mula membuat perniagaan jualan langsung yang mana ketika itu masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Najib Asaddok ketika mula berniaga.
“Kemudian, pada 2006 hingga 2008 saya terbabit dengan perniagaan menjual produk kesihatan. Saya buat jualan di sekolah, buka ‘booth’, masuk ekspo dan beberapa pejabat kerajaan. Dalam masa sama, sepanjang tempoh itu juga saya mula menjadi pelatih dengan memberi latihan kepada orang yang mahu mula berniaga. Semua yang saya buat ini bukan semata mata minat, tapi terpaksa sebab saya berasal daripada keluarga susah,” katanya.
Kesusahan dan keperitan dilalui Najib tidak menghalang dirinya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan (MBA) di Anglia Ruskin University kampus Kolej FTMS Cyberjaya (2018) dan kini sedang menuntut di peringkat Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).
Najib dan isteri ketika menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.
Daripada seorang jurujual, Najib membuat anjakan dalam kerjayanya apabila menukar strategi dengan terbabit dalam perniagaan secara dalam talian pada 2009. Berbekalkan pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sebulan, Najib mula dihimpit rakan dan orang sekeliling bagi mendapatkan rahsia kejayaan itu.
“Semua kawan bertanya macam mana saya boleh jualan hingga mencecah angka itu. Dari situ saya buat bisnes ‘coaching’ atau latihan hingga sekarang. Kebanyakan orang faham apabila berniaga hanya secara ‘offline’. Apabila mereka mula menyedari perniagaan dalam talian, saya ajar mereka cara nak bermula termasuk penggunaan ayat yang sesuai untuk tarik minat pelanggan.
“Alhamdulillah, pada 2020 saya membuat satu kelas berskala besar yang dihadiri 5,500 individu yang terdiri daripada usahawan pelbagai industri dan latar belakang. Pengalaman yang ada sepanjang terbabit dalam perniagaan dalam talian saya kongsikan kepada mereka. Ini juga berkat hasil saya berguru dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman,” katanya.
Najib dan Datuk Dr Azizan Osman
Sesuatu yang membanggakan buat Najib juga apabila menerusi syarikatnya dia sudah berjaya membantu lebih 400,000 usahawan menerusi e-book, video, buku, kelas dalam talian dan ‘offline’ yang dibuat secara percuma.
“Perjalanan untuk berjaya ini bagi saya kejayaan milik semua orang. Sesiapa saja berhak untuk berjaya. Bila ada niat kuat nak bantu orang sekeliling, insya-Allah dipermudahkan.
“Dari buku, e-book, video semua saya berikan percuma. Sebab saya tahu ramai nak mulakan bisnes tapi tidak ada duit macam mana saya dulu. Jadi, saya mahu mudahkan mereka. Dari situ juga, skala makin besar sampai sekarang. Daripada bises ‘air liur’ ini juga banyak jenama dan perniagaan yang kita bantu hingga berjaya. Itu juga dengan izin Allah,” katanya.
Berkat kesabaran, usaha dan pertolongan, ternyata itu semua memberikan sinar dalam kehidupannya termasuklah baru-baru ini syarikatnya memperoleh sijil Sirim ISO 9001:2015 yang membuktikan hasil kerja keras kakitangan Momentum yang mengikut segala prosedur.
Najib juga dinobatkan Anugerah Orang Muda Johor oleh DYAM Tunku Mahkota Johor selain menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.
Najib (kiri) dinobatkan Anugerah Orang Muda Johor oleh DYAM Tunku Mahkota Johor.
“Alhamdulillah, saya sudah berjaya membelikan sebuah rumah buat mak dan ibu bapa mertua. Pada 2019, saya hantar mak menunaikan haji. Baru-baru ini pula, saya membawa membawa isteri dan kedua mentua menunaikan haji. Rezeki nak tolong keluarga, Allah permudahkan semuanya,” katanya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Syawal bakal hadir memberi energi baru. Menikmati detik kemenangan setelah sebulan berpuasa. Adakah anda berhak untuk menikmati perjuangan tersebut? Atau tercicir di pertengahan… Dan kala berbicara tentang perjuangan, tidak di lupa untuk kita menghayati makna kemerdekaan sebenarnya.
Sejak negara merdeka, belum pernah sekali pun hari raya di negara ini disambut dalam suasana muram. Suasana beginilah yang perlu dipertahankan. Seperti tradisi, pada setiap hari raya, umat Islam yang berhijrah pulang ke kampung menemui saudara mara. Tradisi kunjung-mengunjungi tanpa mengira bangsa dalam konsep rumah terbuka, menjadi sebuah acara wajib setiap tahun. Ini adalah manifestasi daripada kemakmuran hidup di negara Malaysia. Alhamdulillah…
Ungkapan maaf zahir batin dilafazkan bagi memperakukan tekad setiap manusia perlu bebas daripada dosa. Sedangkan Nabi ampunkan umatnya, siapalah manusia biasa dibandingkan dengan Rasulullah. Ini seharusnya membuka seluas-luasnya pintu kesedaran untuk menerima dan memaafkan sesiapa saja tanpa sekatan darjat, fahaman politik dan status sosioekonomi. Aidilfitri adalah detik terbaik muhasabah diri dan melunturkan keegoan untuk memaafkan orang lain. Persengketaan tidak boleh dibiarkan berpanjangan. Perdamaian akan memperkukuhkan lagi kesefahaman dan perhubungan, apatah lagi ketika umat Islam diasak pelbagai ujian.
Pasti setiap rumah terhidang ketupat, rendang, serunding, sambal kacang, kuah lodeh dan lontong. Kuih-muih dan kek, usah di cerita… tersusun menarik di atas meja. Paling meriah musim ini, kuih tunjuk (tempah aje) ada kalanya sampai berlebih-lebihan. Paling seronok ada kuih pelbagai corak dan warna tetapi rasanya semua sama. Apa-pun, kita harus bersyukur dengan pemberian rezeki yang diberi, dapat menjamu selera dalam suasana tenang aman damai.
Sekalian manusia tanpa mengira status VIP atau orang biasa, semuanya sibuk berbaju baru. Andai bukan yang baru sekali pun, pilihan pakaian ulang tayang pastinya yang dipilih lebih cantik dan istimewa dari hari-hari biasa. Ada juga baju raya yang tidak sempat siap, melenting dan menjerit dibuatnya. Hilang segala pahala puasa. Tukang jahit pun janganlah terlalu ghairah menerima tempahan kiranya tidak cukup tangan! Marah, marah juga tetapi tibanya Syawal marilah kita bermaaf-maafan.
Suasana beginilah yang seharusnya kita harus bersyukur dilahirkan sebagai anak merdeka. Kemesraan, keakraban dan semangat perkongsian ini dipaparkan tanpa prejudis atau kepura-puraan. Suasana sebegini meriah dan harmonis, juga disebabkan wujudnya kemakmuran negara. Kebebasan dan keselamatan yang dinikmati turut mendorong rakyat lebih fokus membina kerjaya dan kehidupan.
Akhir kata, bukalah jendela mata hati anda. Menghirup segala yang positif dan sentiasa tunduk bersyukur kepada sebuah kehidupan sempurna. Amin
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Seperti yang kita ketahui, Shila Amzah telah selamat diijab kabul bersama pasangannya Haris Idraki. Majlis akad nikah telah berlangsung di kediaman keluarganya selepas waktu solat Asar pada hari Khamis bersamaan 19 April 2018. Dengan sekali lafaz, Shila telah sah menjadi isteri kepada Haris Idraki.
Tampil berseri dengan persalinan serba putih, busana ‘air tangan’ pereka fesyen terkenal, Nurita Harith benar-benar ‘menaikkan’ seri ratu sehari. Istimewanya busana indah yang dipakai oleh Shila mempunyai tema khas yang telah diilhamkan oleh dirinya sendiri.
Selain busana antara yang mencuri pandangan ialah dekorasi pelaminan yang menjadi saksi penyatuan dua jiwa Shila dan imamnya. Bertemakan “Pure Forest Garden featuring Bohemian Wood” tema ini diangkat untuk majlis ijab kabul Shila dan pasangannya.
Adiputra_decor bertanggungjawab merealisasikan impian konsep pelaminan yang diidamkan oleh Shila dan pasangannya. Adiputra_deco sangat teruja kerana telah diberi kepercayaan penuh untuk mendekorasikan pelamin mengikut permintaan raja dan ratu sehari.
Malah ketika hari pertama perbincangan bersama Shila, Shila sendiri nyatakan yang dia memang suka dengan konsep clean/less flower/ada kayu-kayu dan daun. Semuanya direalisasikan dengan menempah khas palet-palet kayu/kerusi.
Kayu yang digunakan adalah kayu berkualiti tinggi dan real wood (bukan pakai playwood atau getah). Pengunaan daun-daun fresh juga memberi impak maksima untuk pelamin ini.
Tiada bunga yang digunakan untuk menampakkan pelamin ini less dari yang lain. Daun juga tidak banyak digunakan bimbang lari daripada konsep yang dikehendaki. Hasilnya raja dan ratu sehari tampil memukau saat bergandingan di pentas pelaminan impian.
Inilah insan yang bertanggungjawab merealisasikan pelamin impian Shila Amzah.
Kredit: Adiputra_decor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.