Berkat minat dan kerja keras, usaha gigih Atikah Suhaime jual produk ubat gigi Zaitun mendatangkan pulangan ‘masyuk’, malah yakin produknya high class untuk semua pengguna.
Wajah jelita Datin Nur Atikah Mohd Suhaime kerap menghiasi siaran LIVE TikTok kebelakangan ini. Tak kekok berniaga, mulut wanita berusia 33 tahun dari Singapura itu becok bercerita, mempromosikan kebaikan produk-produk keluaran Zaitun.
Meskipun kini kurang aktif berlakon seperti dulu, Datin Atikah yang baru saja mendirikan rumah tangga dengan usahawan berjaya Datuk Lokman Teh, kelihatan gembira dengan tugas barunya.
Beliau kini merupakan sebahagian daripada team pemasaran dan promosi produk Zaitun yang cukup terkenal pada zaman 90-an. Sejak berkecimpung dalam bisnes, jenama Zaitun seolah ‘bernyawa’ semula.
Meskipun menjual ubat gigi Zaitun, tiada istilah low class baginya. Beliau yakin setiap produk keluaran Zaitun terdiri barangan penjagaan diri sangat berkualiti tinggi dan high class! Patutlah jualan produk melonjak tinggi, lumayan dan ‘masyuk’ sekarang.
Sebagai anak seni yang banyak membintangi drama tempatan, bakat Datin Atikah di depan skrin menjadi ‘bonus’ buat syarikat milik keluarga mertuanya. Ternyata setiap kali muncul dalam sesi LIVE, konten beliau jarang menghampakan peminat.
Ads
Kagum dengan semangat dan kejayaan Datin Atikah jual ubat gigi Zaitun, Nona menyusun langkah bertemu wanita itu di pejabatnya. Jom saksikan temu bual eksklusif 50 soalan ini!
Di sebalik kejayaan bisnesnya, menantu kepada pengasas produk Zaitun itu agak jarang berkongsi kebahagiaan rumah tangganya dengan peminat. Selain hal kerja, wanita berstatus VIP itu selesa menjaga privasi mereka sekeluarga.
Antara sebab lain adalah faktor kesibukan yang mengikat dirinya. Selain aktif dalam sesi LIVE, jadual harian Datin Atikah juga padat dengan pelbagai komitmen termasuk memberi perhatian penuh untuk suami tercinta.
Walaubagaimanapun, banyak peminat memuji kerajinan Datin Atikah di dapur. Tanpa bantuan ‘bibik’ pun, beliau lincah menyiapkan pelbagai juadah lazat termasuk santapan makan malam untuk seisi keluarga mertua. Cukup hebat!
Satu ketika dahulu, Lynn Alkhaired sering menjadi bualan bukan sekadar bakat lakonannya yang mantap malah turut terkenal dengan jolokan nama ‘Julia Roberts Malaysia’ hanya kerana iras wajahnya yang persis aktres antarabangsa tersohor itu.
Agak lama juga kita tidak mendengar cerita tentang Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar Al Khaired atau nama komersilnya Lynn Alkhaired. Dramatis popular ini seakan ‘membisu’ seketika dari dunia seni tanahair.
Namun baru-baru ini tercetusnya kisah penghijrahan wanita berusia 45 tahun ini. Penampilannya kini lebih sopan dan manis dengan bertudung. Biarpun usianya kini mencecah 40-an namun Lynn masih kelihatan anggun serta awet muda! Keramahannya masih seperti dahulu.
Terserlah sisi bahagia yang sedang dinikmati oleh Lynn bersama keluarga. Kini bidang seni bukan lagi menjadi keutamaan buat Lynn sebaliknya dia menjadikan bidang perniagaan sebagai satu platform demi masa depan yang lebih baik.
Lynn kini sedang rancak bergelar seorang usahawan di samping menjadi ibu kepada lima orang anak iaitu Alif Ronan Yan Tzen (19 tahun), Aimaan Yaacob Merican (12 tahun), Aaron Iskandar Shah Merican (9 tahun), Aireen Ibtisam Aleexandria (7 tahun) dan Aireezlynn Humairah Azzahra (6 tahun).
Lynn kini lebih banyak menumpukan perhatiannya terhadap keluarga. Selain bergelar Pengarah di Muayfit Fitness Sdn Bhd, Lynn juga aktif mengusahakan perniagaan kek dan biskut homemade yang dilakukan secara online. Atas nama komersilnya, Dapur Lynn Alkhaired Resources menerima sambutan yang sangat menggalakkan walaupun baru diusahakan sejak setahun yang lalu.
“Bukan sudah tidak ada tawaran untuk berlakon tetapi kini saya lebih selesa bersama anak-anak yang sedang meniti usia remaja. Sebagai ibu saya rasa bertanggungjawab untuk memantau dan melihat mereka membesar di hadapan mata, di samping menguruskan perniagaan yang kian mendapat sambutan.
Dari situlah tercetusnya idea untuk melakukan perniagaan kek dan biskut secara homemade walaupun permulaannya sekadar cuba-cuba. Bukan sekadar mengisi masa terluang bahkan mengembangkan hobi serta bakat saya dalam masakan.
Sementara Muayfit Fitness, saya kembangkannya menjadi sebuah pusat kecergasan yang turut menyediakan pengurusan acara kepada mereka yang berminat. Ini pengalaman pertama saya dan idea ini tercetus daripada keadaan ekonomi kini yang kian mencabar,” kongsi Lynn.
PENGHIJRAHAN
“Ia bermula dari dalam jiwa. Saya mula kurang bersosial serta mula memikirkan tentang kehidupan. Selain itu, saya juga banyak menghadiri majlis-majlis agama. Kebetulan anak pula cenderung ke arah agama. Mungkin ini satu petunjuk buat diri saya untuk berubah menjadi seorang wanita yang lebih baik.
Selain kerap menghadiri majlis agama, saya turut membuat inisiatif sendiri pergi ke Indonesia untuk menggali ilmu agama dengan lebih mendalam. Saya tinggalkan seketika anak-anak yang masih kecil ketika itu demi mengejar ilmu akhirat.
Sejujurnya ilmu agama saya masih cetek maka sebab itulah saya mengambil tindakan sedemikian. Jiwa sentiasa tidak tenteram selagi tidak ‘mencarinya’. Di sana saya banyak bertemu dan bergaul dengan mereka yang pandai ilmu agama.
Alhamdulillah hasil usaha tersebut saya menjadi siapa diri saya sekarang. Pun begitu, saya masih Lynn Alkhaired yang dahulu, masih rapat dengan rakan-rakan lama dan baru. Cuma mungkin ada batas-batasnya mana yang boleh dan tidak. Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana Allah SWT telah membuka pintu hati saya lebih awal untuk berubah ke arah kebaikan.
Ketenangan jiwa adalah nikmat paling mahal buat saya. Kini saya lebih banyak fikirkan tentang kehidupan, diri sendiri serta keluarga. Anak-anak juga sering mendoakan saya agar terus menjadi ibu yang terbaik buat mereka. Semua ini petunjuk daripada Allah SWT untuk saya berhijrah.
Bertahun-tahun saya rasa lost dan tercari-cari. Jiwa saya bergolak dan akhirnya apabila bertudung jiwa saya merasa tenang sangat. Dan itulah sebenarnya apa yang saya tercari-cari selama ini. Biarpun perubahan ini tidak terlalu drastik semoga saya terus istiqamah.
Sebagai manusia yang lemah lagi kerdil semua orang pasti melakukan kesilapan. Kesilapan itulah ‘guru’ saya. Siapa yang tidak melakukan kesilapan itu sangat rugi. Bukan kata perlu sengaja melakukan kesilapan sebaliknya ia satu titik permulaan untuk kita belajar tentang kehidupan sebenar,” akhiri Lynn yang menjadikan Ustazah Sharifah Khasif sebagai sumber inspirasi.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Berita kesembuhan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas beberapa minggu terlantar di Unit Rawatan Rapi Koronari, Institut Jantung Negara (IJN) disambut rasa lega oleh seluruh rakyat Malaysia.
Ramai yang menyatakan rasa syukur sebaik melihat beliau pulang ke rumah serta berkongsi foto bersiar dengan isteri, Tun Dr Siti Hasmah di Tasik Putrajaya.
Namun dalam perkongsian tersebut, perubahan fizikal negarawan berusia 96 tahun ini jelas ketara. Percakapannya lemah, langkahnya perlahan dan tak sekuat dulu.
“Saya ucap terima kasih kerana ramai yang berdoa untuk saya pulih dan hasilnya ialah saya telah pulih daripada satu penyakit yang bagi saya amat teruk.
Adakalanya saya tak berharap nak pulih, tetapi alhamdulillah, dengan rawatan yang diberi di IJN, saya pulih.” Tun Dr Mahathir
Tun Dr Siti Hasmah seperti biasa, menjadi teman paling setia menemani beliau. 66 tahun usia perkahwinan, pastilah beliau menjadi orang paling risau akan kesihatan suami tersayang.
Satu yang tidak berubah, Tun Dr Mahathir tetap akrab bersama Tun Dr Siti Hasmah ke mana sahaja. Sewaktu sihat atau tidak. Sewaktu sedih atau gembira. Keduanya begitu penting dan melengkapkan!
Sekilas terkenang pertemuan Majalah Nona dengan pasangan Perdana Menteri tertua di dunia ini sempena edisi khas Ramadan 2016, kira-kira enam tahun lalu.
Sifat keibuannya, jenaka spontannya serta ruang memori yang dikongsi secara peribadi benar-benar mencambahkan rasa kagum terhadap doktor wanita Melayu kedua di Malaysia itu.
66 tahun mendirikan rumah tangga di sisi Tun Dr. Mahathir Mohamad, bukan satu tempoh singkat. Pasangan ini amat banyak bertoleransi di antara satu sama lain, saling mengerti dan menjadi kekuatan untuk terus ke depan.
Bagaimana agaknya karakter Tun Dr Mahathir ketika di rumah?
“Bagi saya, dia seorang yang biasa. Seorang manusia yang ada perasaan sama macam kita semua. Ada masa-masanya dia tak mahu diganggu dan ada masa-masa juga, dia mahukan teman untuk berbual,” ujar wanita bijak itu yang kini menginjak usia 95 tahun.
Menurut Tun Dr. Siti Hasmah lagi, sebenarnya Tun Dr Mahathir akan berubah menjadi pendiam ketika dia sedang berfikir. Khususnya tatkala mencari penyelesaian berkaitan sesuatu perkara.
Pada satu waktu yang lain pula, dia boleh berubah menjadi seorang yang penuh humor dan sarat kelucuan.
“Saya selalu pesan pada dia, janganlah lucu-lucu sangat takut orang tak faham kita sedang melawak. Bimbang nanti, orang salah tafsir kata-katanya.” Tun Dr Siti Hasmah
Ramai juga yang tidak tahu bahawa Tun Dr Mahathir sebenarnya seorang suami yang sangat cerewet tentang penampilan si isteri.
“Ya, bayangkan setiap kali kami keluar bersama, dari depan pintu rumah lagi dia akan tengok penampilan saya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Rambut palsu saya ni, dialah yang suka betul-betulkan dan dia pantang kalau nampak ‘bulat’ sangat di dahi. Mesti akan dirapikan agar nampak lebih natural.”
Tun Dr Mahathir juga merupakan seorang yang sangat teliti tentang soal pakaian. Jarang sekali Tun Dr Siti Hasmah dapat menata rias penampilan si suami biarpun pernah mencubanya berkali-kali.
“Bukan saya tak mahu tolong dia! Tapi selalu yang saya pilih, tak kena di mata. Pernah beberapa kali saya suai padankan baju untuk dipakai tapi setiap kali itu jugalah dia tak setuju. Akhirnya, dia pilih sendiri kot atau sut yang dimahukan,” akui Tun Dr. Siti Hasmah terhadap imej suaminya yang gemar bersut nehru atau bush jacket itu.
KARAKTER
Gaya klasik Tun Dr. Siti Hasmah dalam busana kurung dan perhiasan kalung mutiara tidak dapat dipisahkan. Sambil tertawa, beliau mengakui senang bersederhana dalam penampilannya.
“Saya suka pakai mutiara kerana orang tak berani tanya berapa harganya. It is the most classic piece of jewelry that a woman can own. Zaman dulu-dulu pernah juga pakai perhiasan emas berlian yang Mak bagi, tapi susah pula nak padankan dengan baju. Semenjak itu cinta saya berkembang pada mutiara.”
Cerita tentang anting-anting ketip Tun Siti juga memecah derai tawa kami. Hampir berlinang air mata penulis menahan gelak. “Dulu semasa memakai anting-anting biasa, seseorang menegur saya kerana anting-anting sebelah kiri nampak nak jatuh.
Mungkin zaman bidan kampung dulu-dulu menindik cara tradisional, maka jadilah lubang tindik itu semakin panjang bila berusia. Sebelum ia jadi semakin panjang, lebih baiklah saya berhenti sekarang dan pakai saja yang ketip,” selorohnya bersahaja.
Sanjungan penulis terhadap Tun Dr. Siti Hasmah tumbuh sejak zaman persekolahan lagi. Beliau mendukung karakter seorang isteri pemimpin yang sebenar, yang sentiasa menyokong jatuh bangun kerjaya suami tanpa jemu. She is beside him, she is with him, not behind him.
“Saya sentiasa memberi sokongan penuh tapi saya tak mahu bersaing dengannya. Apabila kami walkabout ke mana-mana, selalunya orang akan nampak Tun M saja. Tak nampak saya. Saya pasti akan ke belakang bagi memberi peluang rakyat berjumpa dengannya.”
Tun tak cemburu? Soal kami penuh tanda tanya. “Saya tak jealous. Saya tahu orang sayang pada dia dan dia pun tahu bagaimana perasaan orang-orang yang sayangkan dia.
Dia pernah bersuara, selagi orang suka dan mahu jumpa kita, kita layanlah dengan mesra. Yang perlu kita risau ialah apabila orang dah tak mahu berjumpa lagi,” akui beliau dengan suara perlahan.
Biarpun jarang mempamerkan kasih sayang di depan masyarakat, namun seluruh rakyat Malaysia tahu betapa dalamnya cinta pasangan merpati dua sejoli itu.
Kesetiaan Tun M terhadap Tun Dr. Siti Hasmah adalah bukti bahawa cinta sejati sememangnya wujud, malah mampu bertahan kukuh sehingga ke penghujung hayat.
“Dalam motokar, dia pegang tangan saya. Pegangan tangan itu akan dileraikan apabila kami melintasi tol dan jari-jemari akan kembali bertaut selepas itu.
Suami juga tak gemar kami berpakaian sedondon seperti pasangan lain. Bukan sahaja sewaktu menghadiri undangan perkahwinan, malah pada hari raya pun pakaian kami berlainan,” ulasnya.
Melihat kesungguhan sang pemilik tulang rusuknya yang tidak pernah mengenal erti penat meskipun dihalang faktor usia yang kian lanjut, Tun Dr. Siti Hasmah kelihatan termenung sejenak.
“Saya juga seorang rakyat Malaysia. Istimewanya cuma Allah jumpakan saya dengan Dr. Mahathir yang akhirnya menjadi Perdana Menteri. Saya kagum melihat bakat dia berucap. Dia selalu ada idea tentang apa sahaja. Saya fikir kerana suami sangat suka membaca tentang pelbagai buku. Buku-buku adalah sebahagian daripada dunianya.
Dia membaca buku biografi, sejarah, sains, agama malah macam-macam lagi. Tidak cukup membaca, dia menulis pula. Tentang segala-galanya.
Bagi saya, ilham yang Allah selalu beri kepadanya amat mengagumkan. Dia boleh bercakap tentang pelbagai perkara kerana sentiasa mengaktifkan fikiran dengan membaca pada setiap masa.” Tun Dr Siti Hasmah
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ibu kepada pengacara dan pelakon jelita, Noor Neelofa Mohd Noor baru-baru ini kelihatan telah diraikan oleh keluarga dan sahabat handai sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-53.
Walaupun sudah menjengah ke usia 53 tahun tetapi kelibat Datin Noor Kartini Noor Mohamed ini nyata lebih muda daripada usia yang sebenar. Wanita yang mempunyai sembilan orang anak ini sentiasa tampil menawan dan mempunyai sejumlah 268 ribu pengikut di laman Instagram.
Rupa-rupanya minum air putih adalah rahsia kejelitaan wanita yang mesra disapa Datin Tini ini yang juga isteri kepada Dato’ Abdul Halim Khan.
“Sebenarnya, tiada sebarang petua yang saya amalkan. Saya hanya amalkan beberapa tip ringkas. Amalan penjagaan diri saya sungguh mudah. Setiap kali bangun tidur, saya akan terus menikmati secawan air putih.
“Saya pernah membaca satu artikel mengenai kebaikan minum air putih untuk penjagaan diri. Jadi saya mengamalkan untuk minum air putih sewaktu bangun tidur, sebelum mandi dan selepas mandi,” kata Datin Noor Kartini yang memiliki darah keturunan Pakistan-Arab.
Datin Noor Kartini juga mengamalkan sikap positif dalam kehidupan seharian. Tambahnya, “Saya tidak menyimpan sebarang perkara negatif di dalam hati. Saya anggap cerita negatif sebagai satu perkara yang tidak mustahak selain mahu sentiasa kekal positif.
Selain itu, bercakap mengenai elemen kecergasan, saya juga mengamalkan senaman ringan seperti pilates dan yoga. Saya juga sering berjalan-jalan di sekitar taman selama 30 minit untuk kekal aktif,” terang anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini.
Sumber: Astro Awani
Foto: Instagram @noorkartini & @noornabila
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!