Tanggal 16 Oktober 2020 yang lalu menyaksikan pelakon, usahawan Indonesia, Nikita Purnama Willy selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Indra Priawan Djokosoetono.
Majlis pernikahan yang berlangsung dalam suasana Indonesia masih berhadapan dengan COVID19 ini tetap diadakan dalam suasana meriah walaupun hanya dihadiri oleh kaum keluarga terdekat kedua belah keluarga. Pasangan ini bernikah setelah empat tahun menjalinkan hubungan cinta walaupun pernah terputus seketika. Namun jodoh yang kuat akhirnya membawa mereka ke jinjang pelamin.
Ads
Apa yang lebih istimewa, empunya @dreamy.nikitawilly @dreamy.clinic dan @nikitawillygold ini memilih melangsungkan pernikahan dalam suasana dan dekorasi Minangkabau yang penuh tradisi dan kaya dengan adat turun temurun. Adat Minangkabau dipilih memandangkan Nikita merupakan wanita berdarah keturunan Minang.
Ads
Pada majlis akad nikah, Nikita kelihatan anggun dalam persalinan kebaya merah hasil rekaan @myrnamyura dilengkapi suntiang emas dan riasan indah hasil karya @marlenehariman. Manakala Indra memakai pakaian rona merah tradisi Minang hasil ilham Didiet Maulana dari SVARNA by Ikat Indonesia.
“Saya mengimpikan busana perkahwinan mengenakan baju merah dan suntiang emas. Sepanjang proses merencanakan perkahwinan, saya banyak berbincang dengan stylist dan impian tersebut berjaya direalisasikan,” ujar Nikita Willy sambil tersenyum bahagia.
Nikita turut menerima mas kawin berupa satu set perhiasan emas seberat 75 gram dan berlian 9 karat. Untuk rekod, Indra berasal dari keluarga hartawan di mana keluarganya merupakan pemilik konglomerat Blue Bird Grup.
Ads
Menariknya dalam perkahwinan masyarakat Minangkabau, sebaik sahaja selesai diijabkabulkan menjadi suami Nikita Willy, Indra Priawan turut menerima gelaran baharu yang disematkan di belakang namanya selepas bernikah.
Gelar tersebut merupakan tradisi dalam adat Minangkabau memandangkan Nikita merupakan perempuan berdarah Minang. Kini, nama suami Nikita menjadi Indra Priawan Djokosoetono Sutan Pangeran. Walaubagaimanapun,gelaran tersebut berlaku hanya untuk ketika Indra berada di lingkungan keluarga pihak perempuan sahaja di mana saudara dan anggota keluarga Nikita wajib menyematkan nama Sutan Pangeran untuk Indra.
Gelar tersebut diambil dari suku keluarga Nikita iaitu suku Guci Kanagarian Bukit Tinggi dan suku Koto Kanagarian Sungai Puah, Bukit Tinggi.
Foto: @nikitawillyofficial94,@thebridestory,@axioo @akuaha @dimarbrata
#BridestoryXNikitaIndra #OWFXNikitaIndra
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Siapa yang tidak kenal dengan selebriti Nikita Willy selebriti Indonesia yang terkenal sebagai pelakon dan ahli perniagaan yang berjaya. Bukan setakat itu sahaja, Nikita Willy antara selebriti yang sering mempamerkan percutian ke luar negara dan boleh dikatakan telah banyak negara di muka bumi ini telah dijejakinya.
Di laman Instagram miliknya, Nikita sering memaparkan koleksi foto percutian bersama suaminya sebelum mereka mendirikan rumahtangga lagi. Nikita Willy rasmi disunting Indra Priawan Djokosoetono pada 16 Oktober 2020 lalu. Untuk rekod, Indra merupakan pewaris syarikat teksi terkemuka Indonesia, Blue Bird Group.
Indra Priawan merupakan pewaris Blue Bird Group, perusahaan teksi Blue Bird yang sudah beroperasi di Indonesia lebih dari 40 tahun. Sebelum perkhidmatan pengangkutan secara online diperkenalkan, teksi biru ini jadi salah satu pengangkutan utama di Indonesia. Lulusan Universitas Indonesia jurusan Teknik Mesin 2013 turut mempunyai beberapa perniagaan yang diusahakan di bawah nama PT Indra Investama.
Tidak hanya mengabadikan di laman media sosial peribadi, Nikita dan suaminya, Indra Priawan turut menyusun dengan rapi foto-foto perjalanannya ke perbagai negara di salah satu dinding di kediaman mewah pasangan ini yang terletak di Jakarta Indonesia.
Umum mengetahui Nikita selamat melahirkan anak sulung pada 8 April 2022 yang lalu. Lebih istimewa, bintang Indonesia ini memilih melahirkan bayi lelakinya di Amerika Syarikat.
.Bayi lelaki yang diberi nama Issa Xander Djokosoetono lahir dengan berat 3.25kg disambut oleh Dr Thais Alia Badi, doktor berkenaan turut menyambut kelahiran bilionair muda, Kylie Jenner. Cedar-Sinai Medical Centre sering menjadi pilihan selebriti A -lIst Hollywood menyambut kelahiran anak antaranya termasuklah Kim Kardashian, Beyonce, Kate Hudson, Pink dan Victoria Beckham.
Terdahulu, Nikita dan Indra memilih untuk menetapseketika di Los Angeles sebelum kembali ke Jakarta pada awal Ogos lalu selepas anaknya mencecah usia 4 bulan. Sejak akhir tahun lalu, Nikita dan Indra Priawan tinggal sementara di Amerika Syrikat hingga putranya, Issa Xander Djokosoetono lahir dan cukup umur untuk pulang ke Indonesia.
Kepulangan Indra dan Nikita sememangnya menjadi saat paling istimewa buat keluarga besar mereka yang tidak sabar menatap wajah mungil Issa Xander Djokosoetono atau diberi gelaran Baby Izz. Tidak cukup dengan itu, nampaknya peminat teruja setiap kali Nikita memuat naik kisah Baby Izz termasuklah dekorasi bilik si kecil yang bertemakan safari.
Bertema safari, kamar baby Izz didominasi warna nude dan coklat. Bukan hanya itu, kamar baby Izz juga banyak dihias dengan boneka dan soft toy bertemakan haiwan. Berbagai kelengkapan dengan nuansa hutan dan haiwan menghiasi kamar Baby Izz yang nampak selesa dan nyaman.
Beruntungnya Baby Izz dilahirkan dalam keluarga berada yang mementingkan keselesaan. Lebih selesa membahasakan diri sebagai ibu, Nikita Willy tidak sabar melihat buah hati kesayangannya membesar di depan mata dan sepakat memilih mengasuh anak mengikut acuan yang diterapkan oleh dia dan suaminya.
Foto: Koleksi Instagram @nikitawillyofficial94
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Belajar ikhlas, kerana semakin kamu ikhlas semakin Allah memberimu yang terbaik.
Jika COVID-19 reda dan visa umrah telah dibuka, Madinah dan Mekah tempat pertama saya akan pergi. Ya Allah rindu teramat ke rumah Mu. Nak mengadu sepuasnya” ~Haliza Maysuri.
Itu antara petikan kata-kata azimat superwoman ini. Tak sombong, tak lokek ilmu dan pengalaman. Itulah ungkapan tepat yang dapat diberikan kepada jutawan tersohor, Haliza Maysuri yang merupakan pemilik dan pengasas Bawal Exclusive Sdn Bhd ini.
Selama 21 tahun Bawal Exclusive kukuh di pasaran, bukan satu tempoh yang singkat. Pelbagai rintangan diharungi Haliza dan suami, Mohd Rosli Awang demi meletakkan label ekslusifnya itu di tahap gah bukan hanya di Malaysia bahkan luar negara.
Pengalaman berniaga di pasar malam serta pernah memiliki gerai kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur telah membina jati diri usahawan Bumiputera berusia 42 tahun ini. Berkat kesungguhan, Bawal Exclusive kini menjadi pemborong terbesar kristal Swarovski di dunia. Hebatnya!
KESAN BISNES TERHADAP COVID-19
Tak dinafikan sejak penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia. Kebanyakan peniaga meluahkan rasa bimbang dan cemas apabila keadaan ini menjejaskan sumber pendapatan mereka.
Namun sebagai usahawan yang sudah banyak melalui pelbagai cabaran getir terutama ketika mula-mula berniaga, Haliza sentiasa tenang dan positif sepanjang berdepan dengan pandemik ini. Haliza turut berkongsi pesanan ‘padu’ di Instagram peribadinya khas buat para peniaga di Malaysia. Cukup menusuk ke jiwa!
“Peniaga sekarang cepat sangat putus asa. Syarikat Bawal Exclusive sekarang ada 32 Premium dan Reseller di seluruh negeri. Selama mereka berniaga Bawal Exclusive tidak pernah merasa rugi dan sakit seperti sekarang ini. Setiap tahun pasti ada peningkatan jualan. 10 antara mereka yang saya lahirkan sudah bergelar jutawan, saban tahun hasil jualan mencapai jutaan ringgit.
Apabila terjadinya wabak COVID-19, ada antara mereka yang putus asa. Ada yang hubungi saya menangis sebab sedih dan cemas. Saya yang dipanggil Mak dalam perniagaan ini, aktifkan IG ini untuk memberi contoh kepada mereka dan usahawan lain di luar sana. Buka mata lihat apa yang saya buat, jadikan contoh, sedut aura positif, kerja kuat pantang menyerah selagi Allah bagi nafas.
Nak mengadu dalam keadaan sekarang ni jangan tulis di media sosial. Bangun malam meratap minta pertolongan dan ketenangan pada Allah. Fokus dengan kerja kita, jangan asyik stres kira berapa hari lagi PKP ni. Cari hikmahnya.
Saya yang dah berpuluh tahun dalam bidang ini sudah lalui pahit getir ujian, sepak terajang dunia perniagaan. Sebab itu jika masa tengah senang kena menyimpan. Kena ada tabung jika berlaku kecemasan.
Semasa musibah cari peluang, contohnya ketika berlakunya COVID-19 kerajaan masih benarkan syarikat penghantaran beroperasi. Sehari sebelum PKP saya dah bungkus semua masuk dalam kotak stok jualan untuk dibawa balik ke rumah. Boleh berniaga dari rumah. Cepat bertindak!
Saya tak pernah kira berapa hari lagi akan berkurung dalam rumah. Saya kira sale dan buat sale. Saya minta Allah bantu saya untuk gerakkan hati orang-orang kaya di Malaysia untuk membeli jualan saya agar saya lepas membayar gaji pekerja-pekerja pada masa yang tepat.
Sebenarnya perniagaan yang besar, besar juga tanggungannya. Memang nampak gah, ada banyak property, ada ramai staf. Setiap hari ratusan, kadang jutaan ringgit duit masuk. Itu normal apabila kita boleh berniaga seperti biasa. Tapi dalam keadaan sekarang ini, duit semua ‘terduduk’ pada barang jika kita tak ada buat jualan. Bagaimana nak bayar hutang property dan gaji pekerja?
Sepanjang PKP, saya mulakan jualan di story. Lepaslah gaji untuk 100 lebih kakitangan saya yang mencecah RM200K sebulan. Memang itu yang saya minta dengan Allah apabila bangun malam. Niat nak membantu Allah akan bantu.
Selagi saya ada kudrat, selagi itu saya akan kerja kuat. Bagi majikan yang bertanya kepada saya bagaimana nak berhentikan pekerja sebab tak mampu nak bayar gaji, ini jawapan saya.
Dalam keadaan begini kita boleh lihat dalam ramai-ramai pekerja mana yang betul-betul sayangkan perkerjaannya dan yang ikhlas berkerja demi membantu menaikkan syarikat. Pekerja begini kita perlu jaga sehabis baik. Jika perlu, harta yang kita simpan pun boleh gadai kerana harta yang kita kumpul selama ini pun hasil titik peluh pekerja kita juga.
Namun jika ada yang sebaliknya dengan keadaan pula makin genting, bolehlah beri dia peluang cari kerja di tempat lain. Saya harap dapatlah memberi sedikit suntikan semangat kepada mereka di luar sana melalui coretan-coretan yang saya post di Instagram. Ambil yang positif, praktis dalam kehidupan.”
KEKAL TENANG
Satu lagi perkongsian menarik di Instagram peribadi Haliza pada minggu lalu iaitu tentang penampilannya ke pasar borong Selangor yang telah menarik perhatian ramai.
Ada yang melontarkan kata-kata kurang enak didengar, ada yang mentertawakan, ada yang kata over. Paling menjengkelkan ada yang kata Haliza berlagak seperti artis Hollywood musim corona walhal hanya ke pasar borong sahaja. Namun Haliza tetap tenang dan tak ambil pusing dengan kata-kata yang langsung tidak memberi kesan terhadap kehidupannya.
Apa yang penting Haliza lebih terkesan dengan pengorbanan para petugas barisan hadapan yang terpaksa menyarungkan pakaian khas dalam tempoh yang lama demi melindungi masyarakat daripada wabak COVID-19.
“Allahuakbar panasnya pakaian begini. Macam mana dengan doktor dan nurse.. Ya Allah tolonglah mereka semua ya Allah. Berilah semangat dan kekuatan dalam jiwa mereka dalam jihad ini. Sembuhkan semua pesakit. Jagakanlah keluarga petugas dan keluarga pesakit. Selamatkan kami semua seluruh dunia ini.”
Kredit Foto: Instagram Haliza Maysuri & Bawal Exclusive
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Satu ketika dahulu, Lynn Alkhaired sering menjadi bualan bukan sekadar bakat lakonannya yang mantap malah turut terkenal dengan jolokan nama ‘Julia Roberts Malaysia’ hanya kerana iras wajahnya yang persis aktres antarabangsa tersohor itu.
Agak lama juga kita tidak mendengar cerita tentang Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar Al Khaired atau nama komersilnya Lynn Alkhaired. Dramatis popular ini seakan ‘membisu’ seketika dari dunia seni tanahair.
Biarpun usianya kini mencecah 48 tahun namun Lynn masih kelihatan anggun. Kini bidang seni bukan lagi menjadi keutamaan buat Lynn kerana dia kini ligat mengusahakan perniagaan pastrinya iaitu ‘Dapur Lynn Alkhaired’ yang dilakukan di rumah.
DAPUR LYNN ALKHAIRED
“Bisnes online ni lebih kepada biskut, dessert dan kek. Antara signature product saya ialah Red Velvet Cookies dan brownies. Mula-mula tu saya buat sekadar suka-suka saja sebab banyak masa di rumah menjaga anak-anak.
Mulanya saya tak jual, bagi saja kepada kawan-kawan untuk rasa. Tapi mereka pula yang cadangkan untuk saya buat bisnes. Saya pun setuju dan buat bisnes suka-suka saja. Dari situlah bermulanya bisnes online saya.
Alhamdulillah makin lama makin banyak sambutan. Secara tak langsung saya makin bersemangat untuk teruskan, pendapatan pun dapat. Walaupun cuma hobi tapi ia memberikan pulangan.”
JATUH CINTA DENGAN MUAY THAI
Lynn Alkhaired berkongsi pengalaman di mana sebelum ini dia pernah mempelajari Muay Thai. Menariknya, dengan inisiatif sendiri Lynn sanggup turun ke Phuket semata-mata nak belajar teknik dan skill tinju tradisi Thailand itu. Bangga betul dengan ibu anak lima ni!
“Saya memang suka fitness sejak kecil. Pantang dengar muzik saya akan terus menari. Bila dah dewasa saya buka gim pertama yang berkonsepkan kecergasan dan bina badan. Selepas lima tahun saya jual gim tu.
Kemudian saya mengikuti perkembangan aktviti kecergasan semasa. Yang tengah popular ketika itu ialah sukan Muay Thai dan MMA. Saya pun pergilah bertemu dengan rakan-rakan serta pemilik gim yang berpengalaman.
Selepas itu saya buat keputusan untuk mengambil kursus jangka pendek di Phuket selama seminggu. Saya ke sana seorang diri saja. Saya menyertai sebuah pusat latihan Muay Thai yang ada short course setiap pagi dan petang selama 5-6 hari.
Akhirnya saya tertarik dan seronok dengan sukan ini walaupun ia agak lasak. Kepuasannya bukan saja dari segi kecergasan badan malah dapat membakar banyak kalori serta mendapat ilmu mempertahankan diri.
Sepanjang berada di situ saya lihat bukan golongan dewasa saja yang datang belajar, kanak-kanak pun ada. Umur antara 10-11 tahun, mereka dah dilatih dengan latihan tradisional Muay Thai.
Balik saja Malaysia saya rasa rindu dan ‘ketagih’ dengan Muay Thai. Lalu saya buat keputusan untuk membuka gim baru yang berkonsepkan MMA dan Muay Thai. Maka dari situlah bermulanya bisnes dan juga aktiviti sukan Muay Thai saya.”
Lynn juga merupakan pemilik MuayFit Damansara Perdana yang pernah menganjurkan acara KL Fight 2018 secara besar-besaran sekitar tahun lalu.
“Dari segi kecergasan Muay Thai sangat bagus untuk wanita terutama yang nak cepat kurus. Sebab ia melibatkan latihan kardio yang non-stop, lasak dan tangkas sehingga dapat mengecilkan otot-otot badan. Yang penting kena praktis selalu dan tak boleh berhenti. Kena ada minat dan tekad. Kalau tak minat kita akan cepat give up.
Muay Thai juga bagus untuk kecergasan badan dan minda kerana banyak menggunakan otak ketika mempraktikkan teknik-tekniknya. Dengan ilmu Muay Thai kita boleh guna untuk mempertahankan diri terutama ketika diserang. Percayalah, apa yang kita belajar akan keluar secara spontan. Muay Thai memang sangat bagus bukan saja untuk wanita bahkan kanak-kanak juga.
BERALIH KEPADA YOGA
Kemudian saya beralih angin pula ke yoga. Dalam usia begini saya memerlukan aktiviti yang lebih tenang dan santai. Tak salah sebenarnya kalau ada yang nak meneruskan Muay Thai walaupun umur dah mencecah 50 atau 60 tahun sekalipun asalkan konsisten dengan latihan, kekalkan stamina dan keazaman yang kuat.
Saya sekarang dah tak praktis sebab minat ke arah Muay Thai tu dah semakin berkurangan. Selain yoga kini saya juga aktif dengan aktiviti mendaki. Dengan mendekati alam semula jadi dapat menjadikan jiwa lebih tenang.
Mendaki ni juga kepuasannya apabila kita sampai di puncak dan dapat melihat pemandangan ciptaan Allah SWT yang sangat menakjubkan di samping mendengar bunyi burung-burung serta unggas. Subhanallah sangat mendamaikan!
DIDIKAN AGAMA KEPADA ANAK-ANAK
Saya memberikan kasih sayang dan didikan sama rata terhadap lima orang anak. Yang sulung, Alif Ronan lebih kepada pengajian Islam. Impiannya ingin melanjutkan pengajian dalam bidang usuluddin.
Cita-citanya itu sangat tinggi tapi saya tak kisah dan tak pernah paksa Alif untuk jadi apa yang saya nak. Yang penting saya cuba untuk pupuk apa yang dia minat asalkan ianya tidak lari daripada fitrah manusia yang normal. Bagi saya anak-anak perlu memiliki asas agama yang kukuh terlebih dahulu. Tentang kerjaya pula just follow the flow.”
Kredit Foto: IG @dapur.lynn.alkhaired
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pada usia 59 tahun dan ibu kepada 3 anak, YM Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Bank Islam yang baharu, berkuat kuasa 1 April 2026.