Sesi Instagram LIVE di antara Majalah Nona dan Pengasas Mamasab International pada malam Sabtu, benar-benar menyentuh hati sesiapa jua yang menontonnya.

Banyak pengakuan eksklusif daripada Siti Sabrina Sobri atau Mamasab yang telah didedahkan semalam, umpamanya kisah sedih yang menimpa dirinya sewaktu di bangku sekolah.

IKLAN
IG LIVE Majalah Nona bersama Mamasab

 

“Kisah ini jarang saya ceritakan pada sesiapa. Tapi memang sangat menyedihkan kalau diingat semula.

Waktu tu saya baru Tingkatan 4 dan sekolah berasrama penuh. Suatu hari, berlaku kes kecurian yang melibatkan pelajar. Susulan kes ni, almari lokar dan barangan peribadi pelajar asrama yang lain pun digeledah bagi mencari semula duit tersebut.

Nak dijadikan cerita, mereka menemui sejumlah wang sebanyak RM400 di almari saya. Duit itu sebenarnya adalah duit simpanan saya semasa memenangi hadiah anugerah cemerlang PMR dan ia langsung tak bersentuh sampai ke waktu itu.

Saya dituduh pencuri hanya kerana penemuan sejumlah wang di almari saya. Banyak kata-kata nista yang dilemparkan… hanya kerana asal saya dari keluarga susah.

Hal itu sampai sekarang saya pendam dan simpan sebagai kenangan pahit dalam hidup ini. Bila kita orang miskin, sudah menjadi adat dalam masyarakat bahawa kitalah yang selalu bersalah.”

Himpunan produk kosmetik Mamasab

 

Nada suara Mamasab sedikit sebak apabila mengingatkan peristiwa itu. Namun dia tekad untuk mengubah nasib mereka sekeluarga, terutama anak-anaknya seramai empat orang agar tidak merasa kesusahan tersebut.

“Saya sangat sensitif bila membicarakan hal kesusahan hidup. Sebab itu dalam bisnes pun, saya sangat ambil berat hal ‘anak-anak’ Mamasab Warrior.” Mamasab

Malah selepas dicungkil, barulah Mamasab membuka cerita tentang kerja kebajikan yang dibuat baru-baru ini.

“Kami salurkan bantuan wang sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia. Sedekah itu diniatkan untuk membantu kanak-kanak Palestin yang ahli keluarganya syahid dalam peperangan.

Saya tak berniat nak menguar-uarkan bantuan ni. Segala bantuan adalah ikhlas kerana Allah Taala mengenangkan nasib kanak-kanak yang cukup susah di sana,” cerita Mamasab sebelum talian LIVE kami terputus buat kali kedua.

IKLAN

 

SUKA BERSEDERHANA

Dalam tempoh tujuh tahun berniaga, empayar Mamasab International sudah mencapai jualan mencecah RM20 juta sebulan. Berkat ketekunan, bisnes bakeri, kambing perap, kuih raya dan kosmetik yang diusahakan mereka diterima baik oleh pelanggan.

Dengan outlet yang banyak di serata negeri, kemampuan Mamasab hari ini sudah sepatutnya membolehkan wanita bekas Radiografer PPUM itu bersenang-lenang dengan pakaian mewah dan beg berjenama terkenal.

Tapi Mamasab sebaliknya. Beliau lebih selesa dengan kehidupan sederhana dan kebanyakan barangan yang dipakai adalah hadiah daripada ‘anak-anak’ Mamasab Warrior yang menghargai pemimpin kesayangan mereka.

IKLAN

Mamasab Warrior merupakan gelaran untuk anak-anak didikan Mamasab yang kini mencapai puluhan ribu orang.

 

Tonton klip video di bawah untuk sesi IG Live bersama Mamasab…

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Majalah Nona (@majalahnona)

 

Bersiaran selama sejam menerusi platform Instagram @majalahnona, sesi yang turut disertai Editor Pengurusan, Kiffy Razak, dan dihoskan oleh Editor, Norzalina Mohd Alias, itu membawakan topik panas ‘Duduk Rumah Happy, Bisnes ‘Masyuk’.

Meskipun berlaku masalah teknikal sehingga terpaksa diulang-sambung sebanyak tiga kali, namun rata-rata penonton menyatakan kesetiaan untuk terus mendengar perkongsian daripada Mamasab.

Perkongsian LIVE ini turut mencapai hingga 1,100 tontonan.