Kadang-kadang batuk yang sekali sekala datang pun buat kita rasa tak selesa, inikan pula batuk yang berpanjangan. Aktiviti harian boleh terganggu, tidur pun tak lena.
Oleh itu, berwaspadalah jika anda mengalami batuk berpanjangan melebihi tiga minggu segeralah bertemu doktor. Usah biarkan terlalu lama kerana batuk berpanjangan boleh menjadi antara tanda-tanda penyakit.
Pengacara, model, usahawan dan pempengaruh terkenal Farahanim Abd Razak baru-baru ini berkongsi satu hantaran di Instagramnya detik dia dikejarkan ke unit kecemasan kerana mengalami jangkitan saluran pernafasan.
Farahanim Abd Razak.
Segalanya bermula dengan batuk berpanjangan yang dialaminya selama beberapa minggu serta on off. Sehinggalah tiba pada suatu malam, dia mengalami batuk paling teruk tanpa henti.
Berikut perkongsian detik cemas Farahanim di Instagramnya:-
“Anim kena admitted ward disebabkan Bronchitis, jangkitan pada saluran pernafasan (Rhinovirus). Anim batuk agak lama (weeks) tapi on off, sampai 1 malam ni paling teruk batuk nonstop bersambung-sambung. Tapi Anim still macam nak taknak pergi klinik sebab alasan dah makan ubat. Sampai nak tidurkan Nana Rara pun tak boleh sebab bising sangat batuk, sampailah Anim tertidur.
Ads
“4 pagi Anim terjaga sebab nak pergi tandas. Masa tu nafas dah separuh je boleh dan berbunyi, muka pucat. terus kejut Arif, picit kaki dia sebab nak cakap/jerit tak boleh. Arif dukung Nana Rara bawa masuk kereta dan straight to emergency. Anim dalam kereta struggle untuk fokus, cakap kat diri jangan panik, jangan nangis, nafas slowly.
“Doktor cakap nasib baik sedar dari tidur, dan datang cepat sebab paru paru Anim dah sempit sangat untuk bernafas. Bacaan oxygen paling rendah. Ya Allah, masa tu Anim hanya ingat amalan Anim kat atas dunia masih sangat kurang, takutnya.
“Allah kejut Anim dari tidur 4 pagi masa tu Anim mimpi mak. Arif cakap Allah sayangkan u ni, nak bagi insaf lagi ni 🙂 rasa macam Allah bagi peluang kedua untuk hidup.”
Farahanim turut berpesan agar kita sama-sama menjaga kesihatan dan berdoa agar Allah SWT melindungi diri kita, anak-anak serta keluarga dari segala penyakit dan musibah.
“Please everyone, kalau batuk-batuk berpanjangan jangan biar, jangan tangguh, jangan rasa biasa. Breathing tak normal atau batuk teruk sangat terus pergi emergency. Kalau Anim lambat, atau tak bangun dari tidur waktu tu boleh jadi kena intubated atau sudden death.
“Last sekali, ward sangat sangat full ya. Ramai sangat kena infection mcm Anim ni. Ward kanak-kanak pun full. Doalah setiap hari Allah lindungi anak-anak dan diri dari segala penyakit/musibah, lagi lagi waktu sekarang ni.”
Ads
Selama diwadkan, Farahanim sangat bertuah kerana suaminya, Dr Arif Aizuddin sentiasa ada di sisi dan ringan tulang membantu menguruskan hal anak-anak termasuk rumahtangga.
Dia bersyukur dikurniakan suami yang prihatin, penyayang dan bertanggungjawab. Kini, dirinya semakin sihat dan kembali dapat menjalani kehidupan seperi sedia kala.
Ads
“Sepanjang Anim di ward, Arif uruskan anak-anak sendiri, hairdo rambut Nana Rara, hantar school. Arif pergi kerja lepas tu sambung jaga Anim di hospital.
“Alhamdullilah harta dunia akhirat ni sayang sangat-sangat. Anim dah getting better, semakin sihat, back on track, terima kasih sekali lagi semua untuk doa-doa.”
“Terima kasih kepada rakan-rakan yang disayangi yang mendoakan di DM Instagram, whatsapp, call. Mashaallah banyaknya kasih sayang Anim dapat dari semua. Syukur sangat itu pun rezeki, aura yang baik, doa-doa yang baik adalah rezeki. Setiap doa diberikan, Allah akan balas dengan kebaikan juga.”
Farahanim atau nama sebenarnya Nur Farahanim Abd Razak, 32, berasal dari Jerantut, Pahang. Dia merupakan ibu kepada sepasang anak kembar perempuan iaitu Amina Raissa Arif Aizudin (Nana) dan Amira Raissa Arif Aizudin (Rara) yang kini berusia empat tahun. Farahanim kini bahagia bergelar isteri kepada Dr Arif Aizuddin yang merupakan seorang doktor gigi.
Kredit Foto: Instagram Farahanim Razak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Rezeki Rohana Ibrahim.. dikurniakan anak seperti Shiha Zikir yang tidak pernah putus memberi kebahagiaan kepadanya. Walau bergelar selebriti, anak bongsu daripada tiga beradik itu sedikit pun tidak berasa malu membawa Rohana menghadiri setiap show yang diterima. Paling menyentuh hati, Shiha sanggup berbelanja besar semata-mata mahu memberi keselesaan kepada ratu hatinya itu. Alahai, sejuk perut ibu mengandung!
Ditemui ketika menemani Shiha untuk program The Stage Media Hiburan, ibu berusia 60 tahun ini meluahkan rasa syukur kerana punya anak yang cukup prihatin. Mengakui tidak pernah memaksa Shiha untuk membawanya ke mana saja, Rohana yang merupakan ibu kepada tiga orang anak menjelaskan semua itu adalah kerelaan hati Shiha sendiri yang mahu sentiasa melihat dan berada di sisi ibunya setiap masa. Tanpa berselindung, dia membuka bicara.
“Bukanlah kata nak puji anak sendiri tapi iyalah mana-mana ibu pun akan rasa bertuah kalau ada anak macam dia sebab Shiha ni apa-apa yang dia buat mesti dia pentingkan kita (ibu) dulu. Misalnya kalau ada show yang kata tak boleh bawa mak, memang dia tolak walaupun bayarannya tinggi. Itu yang saya perasan tentang Shiha.. dia ada prinsip dia sendiri. Aunty pernahlah juga datang ke satu show ni. Bila dah sampai, mereka tak bagi masuk.. katanya orang pakai tudung tak boleh masuk dan macam-macamlah aunty pernah kena.”
Mendengar pengakuan ibunda tersayang, Shiha yang duduk di samping ibunya terus mencelah. “Bila jadi situasi macam tu, kita mula fikir sesuatu dan rasa tak best. Sampai pertengahan show tu baru saya sedar ia bukan persembahan dinner ‘biasa-biasa’ sebaliknya ada acara yang bertentangan dengan agama kita. Tanpa fikir panjang, saya terus panggil kawan saya yang juga penyanyi datang gantikan persembahan dan terus tinggalkan show. Memang saya kena ugut masa keluar dewan tapi kalau nampak botol arak depan mata, saya akan stop.”
Meskipun nama Shiha Zikir tidak begitu popular dalam industri muzik tanah air namun ia bukan halangan bagi penyanyi berbakat besar ini. Katanya, bukan populariti yang menjadi ukuran sebaliknya penglibatan Shiha dalam arena muzik adalah kerana minat.
“Dengan Shiha ni kita tak boleh merungut apa. Kalau cakap sedikit je ‘Eh, cantiklah barang ni’.. esok mesti dapat. Pemberian paling bernilai yang Shiha hadiahkan ialah kereta Vellfire. Tak minta pun sebab dah ada kereta tapi dia takut aunty tak selesa bila selalu ikut dia jalan jauh. Bab hadiah hari jadi, tiap-tiap tahun mesti dia bagi barang kemas,” jelas ibu Shiha yang menggemari barangan kemas.
Tambahnya lagi, “Dia anak yang sangat bertanggungjawab. Tak boleh dengar kita susah. Kalau kita termenung, dia akan cepat-cepat tanya ada Shiha buat salah ke. Kalau ada mak beritahulah jangan simpan-simpan. Sampai macam tu sekali dia takut buat kita terluka. Sejujurnya, Shiha ni akan yang paling senang nak besarkan. Bahkan masa dia kecil lagi dia dah jadi anak yang baik. Ingat lagi masa bersalin dulu, ibu-ibu yang bersalin sama hari macam aunty tak boleh tidur sebab anak mereka menangis tapi Shiha tak.
Nurse pun jadi pelik suruh aunty tengokkan dia sebab lena tidur. Masa Shiha baru berusia 15 hari, dia pernah hanyut atas tilam di rumah sebab hujan tak henti-henti. Bila terjaga, tengok-tengok dia dah dekat pintu. Rumah banjir dan nasib waktu tu malam dan pintu rumah tutup. Waktu dia baru berjalan umur setahun setengah, dia pernah lemas dalam baldi di bilik air sampai muka jadi biru. Sebab kejadian tu.. sampai sekarang dia takut air. Dari dia kecil, arwah bapa dia yang perasan bakat menyanyi Shiha tapi tak kesampaian tengok anak dia berjaya seperti hari ini.”
Mula menyanyi seawal tahun 2010, Shiha nyata bersyukur dengan limpahan rezeki yang diterimanya walaupun sedar tidak mencapai puncak populariti seperti artis popular lain. Pun begitu, dia selesa dengan kejayaan yang diraih sekarang. “Saya sedar populariti tu perlu tapi tak terdesak sampai hendak create story kontroversi untuk popular. Alhamdulillah, rezeki saya cukup mungkin sebab saya jaga mak dari dulu lagi sejak arwah bapa meninggal tahun 2008. Orang fikir dia ni tak popular sangat tapi rezeki saya cukup. Tiap minggu ada saja jemputan persembahan dinner dan rezeki cukup untuk menyara ibu, bayar duit kereta, rumah dan sebagainya.”
Nona percaya rezeki yang diterima Shiha berkat doa dan keikhlasannya membahagiakan hati insan bergelar ibu. Moga kasih sayang Shiha menjadi inspirasi kepada semua wanita agar terus menghargai jasa ibu yang melahirkan kita ke dunia.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kepimpinan para pemimpin muda telah diperakui di seluruh pelosok dunia kini dalam percaturan politik dunia yang pelbagai. Jika dahulu pemimpin muda tidak pernah diberi ruang untuk ‘berdamping’ dalam pentadbiran negara, kini pemikiran itu sudah jauh ketinggalan. Pengiktirafan terhadap pemimpin muda ini telah memberi ruang suntikan idea-idea baru dan segar yang ‘luar kotak’ dalam membantu pembangunan ekonomi negara.
Senarai terkini menteri kabinet baru 2018 selepas PRU 14 tahun 2018 telah mencipta sejarah politik di Malaysia apabila YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah dilantik sebagai menteri lantas menjadi menteri termuda pada usia 25 tahun.
Namun, wanita yang bernama Shamma Al Mazrui, 24 tahun ini pula telah mencipta sejarah dan memahat namanya sebagai menteri termuda di dunia.
Pengiktirafan sebagai menteri termuda ini telah tercatat di Guinness of World Records 2018. Wanita yang tampil cantik berhijab ini memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Belia bagi negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada usia 22 tahun lagi.
Shamma Al Mazrui merupakan satu di antara lapan orang wanita yang menganggotai ahli kabinet UAE yang jumlah keseluruhannya 29 orang. Wanita yang mempunyai akuan Instagram dengan nama @shamma dengan 289 ribu pengikut bukan calang-calang wanita. Shamma Al Mazrui telah dilahirkan dan membesar di Abu Dhabi.
Shamma Al Mazrui memegang Bachelor of Arts in Economics dari New York University Abu Dhabi. Kemudian beliau meraih Ijazah Sarjana Public Policy from the University of Oxford in 2015. Wanita hebat ini merupakan pelajar pintar di University of Oxford dan merupakan satu-satunya warga UAE dan satu-satunya wanita yang mendapat biasiswa Rhodes yang sangat terkenal itu.
Wanita ini juga telah mendapat banyak pengiktirafan di mata dunia dengan meraih penghargaan Distinction Award Mansour bin Zaid Al Nahyan, meraih penghargaan Coutss Future Leader Award pada tahun 2015, malah saluran berita CNBC telah memasukkan namanya di antara tujuh wanita muda yang dapat mengubah dunia. Shamma Al Mazrui juga aktif di PBB sehingga menjadi perwakilan UAE di PBB.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kagum melihat gaya hidup puteri diraja Thailand, Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya. Biarpun berstatus puteri diraja namun personaliti beliau yang cantik, merendah diri dan berbakat membuatkan dirinya disenangi ramai. Apatah lagi Puteri Sirivannavari sering mencerminkan teladan dan inspirasi terbaik dalam kalangan wanita Thailand apabila meraih pelbagai kejayaan membanggakan.
Meniti usia 33 tahun pada 8 Januari lalu, tidak keterlaluan jika penulis menyatakan bahawa Puteri Sirivannavari seorang yang bergaya sederhana dalam penampilan. Ini dibuktikan apabila kebanyakan foto-foto beliau memperlihatkan sisi santai apabila gambarnya dirakam ketika mengenakan persalinan ringkas seperti T-shirt dan berwajah polos tanpa solekan.
Malah, rata-rata rakyat Thailand yang melihat gambar Puteri Sirivannavari mengagumi wajah anggun semula jadi anakanda Raja Maha Vajiralongkorn tersebut.
Berkongsi aktiviti pada April lalu ketika Thailand turut dilanda pandemik Covid-19, Puteri Sirivannavari tanpa berselindung mempamer kehidupan peribadi kepada khalayak. Selain menunjukkan bakat memasak dan berkongsi resipi hidangan Thailand di media sosial, beliau turut berkongsi persekitaran kebun sayur di kediamannya. Memang besar, luas dan subur kebun sayur puteri ini. Macam-macam tanaman sayur dan herba ada pula tu!
Seronok tengok beliau petik hasil tanaman antaranya tomato ceri, daun pandan, kacang bendi, cili, terung, rosemary, daun selasih dan sebagainya.
Di samping persekitaran kebun sayur yang tersusun cantik dan menarik perhatian, penampilan Puteri Sirivannavari tanpa mekap, memakai T-Shirt, berseluar jeans dan hanya berselipar pastinya menjadi tumpuan utama rakyat. Ramai dalam kalangan mereka mengagumi cara Puteri Sirivannavari dan menyifatkan ia sisi berbeza puteri diraja Thailand
tersebut kerana sebelum ini beliau sering dilihat bergaya mewah dan anggun di majlis-majlis rasmi.
Enggan hanya menikmati gaya hidup selesa dan mewah di istana, puteri kesayangan Negara Gajah Putih berkenaan lebih selesa mendekati rakyat dan menjalani kehidupan seperti insan normal lain yang bebas bersukan, berkarya dan berbakti kepada negara. Menelusuri latar belakang puteri bertubuh tinggi lampai ini, beliau merupakan puteri hasil perkahwinan Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn dengan isteri keduanya iaitu Sujarinee Vivacharawongse yang juga bekas aktres Thailand.
Raja Maha Vajiralongkorn berkahwin dengan Sujarinee pada Februari 1994 dan mendapat restu Raja Thailand ketika itu, Raja Rama IX. Namun, terdapat desas-desus yang mengatakan perkahwinan tersebut tidak direstui bonda Raja Maha Vajiralongkorn iaitu Permaisuri Sirikit.
Bagaimana pun jodoh di antara Raja Maha Vajiralongkorn dan bekas anak seni berkenaan tidak berpanjangan yang akhirnya membawa kepada penceraian kerana Sujarinee dituduh curang. Ia sekaligus menyebabkan Sujarinee dilucutkan status diraja.
Pun begitu, Puteri Sirivannavari kekal berstatus puteri dan ternyata beliau disayangi ayahandanya yang kini menaiki takhta pemerintahan Thailand. Anak perempuan Sujarinee ini tidak hanya menjadi buruan media tempatan dan antarabangsa bahkan beliau turut disayangi rakyat jelata yang ‘dahagakan’ perkembangan semasa beliau. Percaya atau tidak, Puteri Sirivannavari aktif menceburi bidang sukan dan pernah memenangi pingat emas kategori badminton pada Sukan SEA 2005!
Bukan hanya sukan badminton, beliau juga mewakili Thailand dalam sukan berkuda dan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-29 pada tahun 2017 yang lalu. Selain kemampuan bersukan, beliau turut memiliki bakat melukis dan merupakan aktivis hidupan laut serta pemilik label fesyen Sirivannavari.
Pada pertengahan April lalu, Puteri Sirivannavari melancarkan produk hand sanitizer dan mask jenamanya sendiri untuk diagihkan kepada hospital kerajaan terlibat dalam usaha memerangi wabak Covid-19. Melihat kredibiliti, bakat dan pesona Puteri Sirivannavari… terbukti beliau sememangnya seorang puteri berjiwa rakyat, penyayang dan sumber inspirasi wanita Thailand!
Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada Allah jua kita kembali. Baru beberapa hari menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam Pilihanraya Negeri Sabah ke-17, Datuk Seri Bung Moktar Radin kembali ke rahmatullah pada 5 Disember 2025.