
Hidup dengan penghidap kanser prostat bukannya mudah. Lebih daripada simpati, sebenarnya ada banyak tanggungjawab untuk penjaga menghadapi ujian berat ini. Kanser prostat sering menjadi satu kejutan besar buat keluarga apabila diagnosis diumumkan. Ramai yang tidak pernah bersedia untuk memikul tanggungjawab itu. Pada awalnya mungkin sekadar menemani ke hospital. Namun lama-kelamaan, ia menjadi rutin harian yang menuntut tenaga fizikal, kestabilan emosi dan kesabaran yang bukan sedikit.
Walaupun Hari Kanser Sedunia baru sahaja berlalu, perbincangan mengenai penjagaan kanser dan kehidupan selepas rawatan masih relevan dan berterusan, lebih-lebih lagi apabila banyak keluarga di Malaysia kini kembali berkumpul sempena Tahun Baharu Cina serta menjelang bulan Ramadan.
Hakikatnya, apabila seorang lelaki didiagnos dengan kanser prostat, seluruh keluarga turut melalui perjalanan yang sama. Ia bukan sekadar penyakit individu, ia adalah ujian buat satu sistem sokongan bernama keluarga.
Di Malaysia, kanser prostat antara kanser paling kerap menyerang lelaki, khususnya selepas usia 50 tahun. Malangnya, ramai hanya mendapatkan rawatan apabila penyakit sudah berada pada tahap lanjut kerana menganggap gejala awal seperti sukar membuang air kecil sebagai proses penuaan biasa.
“Keadaan ini sering dikaitkan dengan ketiadaan saringan kanser secara rutin dan kecenderungan untuk menganggap tanda amaran awal sebagai sebahagian daripada proses penuaan,” jelas Dr. Ang Soo Fan, Pakar Perunding Onkologi Perubatan.

Menurut beliau lagi, apabila lewat didiagnos, kesan penyakit pada tahap lanjut seperti sakit tulang, kesukaran menjalani aktiviti harian dan jangka hayat yang lebih singkat bukan sahaja dirasai oleh pesakit, malah seluruh keluarga.
Dr. Ang turut mengingatkan bahawa ramai pesakit sebenarnya bergelut dengan ketakutan tersendiri. “Sesetengah pesakit bimbang mereka hilang keupayaan untuk berdikari atau menjadi beban kepada insan tersayang. Ada juga yang menganggap kanser sebagai hukuman mati,” katanya.
Namun beliau menegaskan, dengan pilihan rawatan terkini, walaupun pada tahap lanjut, ramai pesakit kanser prostat masih boleh mengekalkan kualiti hidup yang baik jika rawatan dipatuhi dengan konsisten.
Peranan Penjaga

Ramai penjaga ialah isteri atau anak dewasa yang perlu mengimbangi kerjaya, anak-anak dan tanggungjawab menjaga ayah atau suami yang sakit akibat kanser prostat.
Menurut Jururawat Berdaftar Quah Sui Jing yang terlibat memberi kaunseling kepada pesakit dan penjaga, beban ini bukan sekadar fizikal.
“Beban penjagaan ini melibatkan kedua-dua aspek fizikal dan emosi. Mereka membantu menguruskan temujanji, perubatan dan penjagaan harian dan pada masa sama turut memberi sokongan emosi kepada pesakit. Ia boleh jadi sangat membebankan,” jelas beliau.
Sebab itu komunikasi terbuka sangat penting. Ada pesakit kanser prostat yang menyembunyikan kesakitan atau tekanan kerana tidak mahu membimbangkan keluarga. Di sinilah penjaga memainkan peranan sebagai pemerhati dan pendengar yang peka.
Dr. Ang turut menambah bahawa komunikasi yang berkesan, menetapkan jangkaan yang realistik dan mematuhi pelan rawatan adalah kunci utama dan penjaga ialah rakan penting dalam perjalanan ini.
Kemajuan Imbasan & Rawatan
Salah satu perkara paling mencabar bagi keluarga ialah ketidakpastian. Sejauh mana kanser telah merebak dan sama ada rawatan benar-benar berkesan.
Menurut Dr. Alex Khoo Cheen Hoe, Pakar Perunding Perubatan Nuklear, perjalanan rawatan kanser prostat biasanya bermula dengan menentukan tahap penyakit.
“Dengan pengimejan PSMA PET, kami melihat apa yang kami rawat dan kami merawat apa yang kami lihat,” jelas beliau.
Teknologi ini membantu doktor mengesan sel kanser dengan lebih tepat, walaupun pada saiz kecil, seterusnya membolehkan rawatan dirancang dengan lebih spesifik.
Dalam kes tertentu yang sudah lanjut dan rawatan biasa tidak lagi berkesan, terapi radioligand boleh dipertimbangkan. Rawatan ini menyasarkan sel kanser secara lebih tepat sambil meminimumkan kesan terhadap tisu sihat.
“Sesetengah pesakit kanser prostat dapat kembali bekerja dan meneruskan aktiviti harian. Rawatan juga memberi mereka peluang menikmati detik bermakna seperti menghadiri acara penting dan merancang masa hadapan,” tambah Dr. Khoo.
Namun beliau turut mengingatkan bahawa walaupun rawatan boleh membantu memanjangkan jangka hayat, pemantauan berkala tetap penting kerana penyakit boleh berulang.
Panduan Praktikal Untuk Penjaga Di Rumah
Berikut beberapa tip mudah untuk membantu penjaga menguruskan rutin harian:
Kekal Teratur
- Gunakan kotak ubat berlabel hari.
- Catat jadual temujanji.
- Tetapkan peringatan dalam telefon.
Rawatan kanser prostat biasanya memerlukan ujian darah berkala dan sesi rawatan yang dijarakkan beberapa minggu.
Galakkan Berdikari
Bantu apabila perlu, tetapi beri ruang jika pesakit masih mampu melakukan sesuatu sendiri. Jika pesakit lemah:
- Pastikan rumah selamat untuk bergerak.
- Pertimbangkan penggunaan lampin dewasa atau botol kencing untuk kemudahan.
Pantau Gejala
Segera ke hospital jika berlaku sesak nafas atau muntah teruk. Untuk gejala ringan seperti keletihan, berbincang dengan doktor terlebih dahulu.
Penjagaan Selepas Rawatan Tertentu
Jika pesakit kanser prostat menerima rawatan perubatan nuklear:
- Kekalkan jarak sekurang-kurangnya satu meter selama dua hari.
- Wanita hamil dan kanak-kanak perlu menjauhkan diri selama tujuh hari.
- Minum lebih banyak air.
- Duduk ketika membuang air kecil dan pam tandas dua kali.
- Pakai sarung tangan ketika membersihkan bekas buangan.
Emosi Bercelaru
Tekanan emosi adalah perkara biasa, terutama dalam kes tahap lanjut.
“Pesakit mungkin mengalami perubahan emosi, berasa marah atau kecewa,” kata Jururawat Quah Sui Jing. “Walaupun dalam keadaan sukar, penjaga perlu kekal tenang dan sentiasa memberi sokongan kepada pesakit, di samping mengetahui had diri sendiri.”
Beliau menegaskan bahawa penjagaan diri bukan satu pilihan tetapi satu keperluan. Berkongsi tanggungjawab dan mendapatkan sokongan dapat membantu mengelakkan kelesuan melampau.
Hidup dengan kanser prostat ialah perjalanan seluruh keluarga. Dengan maklumat yang betul, sokongan pakar dan kekuatan emosi yang saling menguatkan, beban itu boleh diringankan.
Ambil satu langkah pada satu masa.
Tanya soalan.
Dan ingat — anda tidak bersendirian.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penjagaan kanser prostat dan sokongan penjaga, berbincanglah dengan doktor atau jururawat anda, atau layari aplikasi ICanCare untuk sumber dan panduan tambahan.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/dulu-dipanggil-penyakit-raja-raja-tapi-kini-gout-derita-orang-muda-foodie/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!





