“Kes positif COVID-19 sekarang empat angka setiap hari…” keluh Dr Mohd Izzar Anwari Datuk Seri Abdul Khani yang juga suami kepada aktres, Ummi Nazeera. Sebagai salah seorang frontliner KKM yang bekerja keras melawan COVID-19, beliau melahirkan rasa ‘kepenatan’ dengan peningkatan kes yang tinggi.
Teringat kata-kata PM Muhyiddin Yassin tempoh hari. Beliau pernah menyifatkan keadaan petugas kesihatan negara dalam keadaan penat dan fasiliti KKM juga sudah tidak mampu menampung kes baharu setiap hari. Our healthcare system is at breaking point…
Hantaran terbaru Dr Izzar yang memaparkan realiti tugas mereka di sebalik tabir mengundang sebak yang teramat sangat.
‘Complaint complaint complaint’ tulis beliau.
“Bila kami dah dapatkan katil di hospital dan ambulans datang awal, marah kat kami sebab kenapa awal sangat? Mak saya tak sempat nak bersiap. Pastu marah kata di tempat mak dia pergi tak selesa. Dihubunginya pegawai penyiasat kes mak dia dan ugut-ugut lagi.
Bila dah buat test COVID-19 sendiri kat swasta dikatanya positif (taktau test jenis apa). Di ugut kata keluar tempat awam. Sebab Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) tak call dia. Padahal dah call.
Bila kita dah selamatkan orang tu, dah selamat keluar ICU semua, ada hati nak complain kata makanan hospital tak sedap.
Ads
Bila dah kata operasi kedai makan sampai pukul 8 malam, kita extend la lagi sampai 10 malam. Takde hal,” luah Dr Izzar sinis tentang segelintir sikap pesakit.
TERLALU STRES
Tambah beliau, sekarang sudah genap lebih setahun frontliners kesihatan bekerja tanpa henti-henti. Demi amanah yang digalas juga, kebanyakan mereka terpaksa berkorban masa dan tenaga hingga di luar kemampuan diri.
“Ada kawan-kawan saya yang dah rujuk ke psychiatrist sebab dah stres melampau. Kerja tanpa henti. Beban kerja bertambah dan macam-macam lagi.”
Ads
Dr Izzar turut memohon pertolongan masyarakat supaya sedar dengan keadaan kes COVID-19 yang mencemaskan ini.
“Rakyat Malaysia tolonglah bersikap matang. Faktor utama sama ada kita nak lama lagi atau tak dengan COVID-19 ni adalah SIKAP kita sendiri. Degil taknak patuh SOP. Rasa diri kebal, takpelah demam sikit-sikit je pastu pergi kenduri.
Alah buka mask kejap je pun. Kita dah nampak kesan dari cuti Krismas dan New Year tu sekarang. Ramai pergi melancong, berjalan dan kenduri sakan masa tu.
Lepas tu masuk tempat kerja jangkit rakan sekerja pulak. Sebab tu kes naik sampai ke empat angka tiap-tiap hari sekarang. Pastu tanya bila kes nak turun ni?
Ads
Kes positif sekarang empat angka setiap hari. Dulu dua angka pun dah gelabah. PKP sekarang ni macam takde apa pun.
Dahla penat. Kitorang fokus buat kerja kitorang. Takyahla menambah beban petugas-petugas kesihatan dengan benda-benda remeh dan menyusahkan. Matang la sikit,” katanya merujuk kepada sikap segelintir masyarakat yang suka merungut dengan rawatan yang telah diberikan.
Sempat juga Dr Izzar yang juga bapa kepada si comel Ayra Aneesah ni bertanya, “Korang rasa macam mana. Lama lagi ke nak hidup macam sekarang ni?”
Bagi mereka, bukan pujian atau ganjaran lumayan yang diharapkan. Pengorbanan para petugas kesihatan negara seperti Dr Izzar serta rakan-rakan yang lain adalah fardu kifayah, ibarat tentera yang berjuang pada waktu pandemik ini. Sama-samalah kita bantu mereka dengan berusaha tidak dijangkiti virus COVID-19, sambil berdoa agar kes semakin turun dan terhapus terus dari muka bumi kita!
Dalam perkembangan lain, pasangan Ummi Nazeera dan Dr Izzar juga kini sedang menanti kelahiran cahaya mata kedua. Khabarnya Ummi yang kini sedang membintangi filem ‘Kerana Korona’ di Astro sedang hamil. Selain itu, Ummi juga sibuk dengan bisnes Serunding Daging menerusi jenamanya sendiri iaitu Nazeera Food.
Kalau sudah kreatif apa pun ‘menjadi’. Bukan sekadar lukisan, kebolehan Ustazah Asni juga bukan calang-calang. Terbaharu, di kala berlangsungnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Allah SWT telah mengilhamkan beliau untuk mencipta tabung sedekah Subuh dan tabung korban sebagai saham akhirat.
Lantas kreativitinya itu dikongsi buat semua pencinta karya seninya yang sentiasa tertunggu-tunggu dengan ‘buah tangan’ terbaharu.
TERCETUSNYA IDEA
“Tercetusnya idea untuk mewujudkan tabung sedekah Subuh ini adalah ketika saya sedang mengisi hasil lukisan yang ditempah ke dalam bekasnya. Tiba-tiba terdetik di fikiran saya, selain lukisan alangkah baiknya kalau bekas itu juga dapat memberi manfaat kepada penerimanya. Lalu saya pun mendapat idea untuk mencipta tabung sedekah Subuh.
Sebenarnya saya sudah pun memulakan projek tabung DIY ini sejak PKP lagi. Ideanya pun datang secara kebetulan, alhamdulillah saya terinovasi untuk melakukan beberapa perkara. Antaranya tabung DIY ini. Saya turut mencipta bentuk Kaabah daripada kotak-kotak.
Tabung ini diperbuat daripada paip PVC yang dipotong kemudian dibersihkan, digosok dan dicat mengikut kreativiti. Pada awalnya saya mengikut warna asal buluh pada tabung ini sehingga ramai yang ingat itu adalah buluh lemang. Sekarang ini saya upgrade semula menjadi edisi istimewa atau premium. Saya hasilkan dalam pelbagai bentuk seperti Frozen untuk anak perempuan, dan Spiderman untuk anak lelaki, pilihan warna biru dan merah.
GALAKKAN BERSEDEKAH
Tujuan utama tabung sedekah ini ialah untuk menggalakan kita bersedekah pada setiap hari dan setiap pagi. Maka dengan adanya tabung sedekah Subuh ini pagi-pagi lagi kita boleh masukkan wang. Rasulullah SAW bersabda “Bersegeralah bersedekah kerana bala bencana tidak pernah mampu mendahului sedekah. Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah. Ubatilah penyakitmu dengan sedekah. Sedekah itu sesuatu yang ajaib. Sedekah menolak 70 macam bala dan bencana, dan yang paling ringan ialah penyakit kusta dan sopak.” (Riwayat al-Baihaqi & al-Tabarani)
Selepas solat Subuh boleh masukkan wang ke dalam tabung. Ketika memasukkan wang niatkan untuk bersedekah. Dari segi berapa jumlah wang yang hendak dimasukkan tidak kisah asalkan ada niat untuk bersedekah pada pagi itu. Ajar juga anak-anak kita untuk menabung dengan niat hendak beramal sedekah.
Boleh keluarkan seminggu sekali atau sebulan sekali, terpulang. Yang pentingnya niat untuk bersedekah pada setiap hari telah pun terlaksana. Jika kita tidak tahu kepada siapa hendak bersedekah, boleh gunakan wang tersebut untuk belanja makan anak-anak, keluarga atau kawan-kawan. Itu juga dianggap bersedekah.
Seterusnya ialah tabung korban. Kita digalakkan melakukan ibadah korban pada setiap tahun, bukannya sekali seumur hidup. Korban umpama renew roadtax, setiap tahun kena renew. Maka kita hendaklah melatih diri dan anak-anak faham bahawa setiap orang paling tidak pun ambil satu bahagian.
Kita satu keluarga jangan langsung tiada bahagian dalam ibadah korban. Kalau kita mampu menabung untuk pergi bercuti, kenapa tidak boleh menabung untuk korban? Sedangkan itu tanda bukti cinta kita kepada Allah SWT.
Ajar tangan kita untuk selalu memberi. Kita hendak ajar diri kita supaya ‘harta’ ada di tangan. Apabila ada di tangan senang untuk lepas. Tapi kalau harta ada di hati itu yang jadi bakhil (kedekut). Ini juga adalah training untuk mengajar keluarga dan anak-anak bahawa rezeki bukan untuk kita. Dalam hidup ini kita perlu belajar memberi. Barulah hidup kita akan bahagia.”
DAKWAH MELALUI KAYRA SENI
“Terpukau melihat setiap naskhah lukisan yang dikongsi di Instagram milik pendakwah terkenal, Ustazah Asni Mansor. Lukisan yang indah, unik dan semestinya kreativiti itu datangnya dari jiwa seni yang halus. Tidak sekadar cantik bahkan setiap lukisannya itu dititipkan cebisan doa dengan maksud yang cukup mendalam.
Saya berdakwah melalui karya seni iaitu lukisan. Saya mula serius dalam lukisan sejak lapan tahun lepas. Saya memang sukakan apa jua yang berkaitan dengan seni. Selain melukis saya juga suka berqasidah, bermain kompang dan piano. Saya yakin bahawa ada bakat-bakat tertentu yang sangat berguna untuk berdakwah.
Selalunya sebelum berkarya saya akan berdoa terlebih dahulu untuk mendapatkan ilham daripada Allah SWT. Dua tiga tahun lepas sebuah stesen televisyen ada menjemput saya untuk membuat tafsir Al-Quran. Alhamdulillah tercetusnya idea untuk saya taddabur ayat itu dengan satu karya yang saya tafsirkan maksud-maksudnya.
Kadangkala tercetusnya idea apabila saya banyak menerima direct message (DM) daripada wanita-wanita yang mempunyai masalah seperti rumahtangga. Maka saya akan kongsi doa-doa melalui lukisan untuk mereka amalkan setiap hari. Saya juga kongsikan di Instagram, doa Nabi Yaakub AS yang merintih dan merayu kepada Allah SWT. Kalau Nabi pun mengadu dan merintih kepada Allah SWT kenapa tidak kita.
Selain itu, saya turut kongsikan doa-doa yang bagus untuk kita amalkan setiap hari. Contohnya kalau kita suka letakkan perhiasan di rumah, biarlah perhiasan itu bermakna. Bila dilihat dan disebut kita boleh amalkan serta mendapat pahala. Itulah maksud saya berdakwah melalui karya seni. Bukan sekadar cantik tetapi juga memberi manfaat.
Telah banyak karya seni yang telah saya hasilkan, mungkin sudah hampir mencecah seribu karya sepanjang lapan tahun. Antara penyokong serta yang telah membeli hasil karya seni saya ialah Cik Puan Muda Julita Aishah, Jihan Muse, Heliza Helmi, Fara Fauzana (Fafau), Sherry Alhadad, Diana Amir dan sahabat-sahabat di Brunei.
PENDORONG
Antara sahabat baik yang menjadi pendorong kuat untuk saya terus melukis ialah Ustazah Datuk Dr Norhafizah Musa dan Allahyarhamah Ustazah Shadiya Abbas. Kedua-duanya sangat memberi galakan kepada saya supaya terus berkarya kerana kata mereka ini merupakan satu kelainan dan sangat bagus untuk dikongsikan. Selain itu, ibu juga pendorong kuat saya. Adakalanya beliau rajin mengikut saya pergi berkarya.”
Ustazah Asni sangat bersyukur dan gembira kerana keempat-empat anaknya mewarisi bakat melukis. Masing-masing mempunyai minat serta karakter yang tersendiri. Paling ketara boleh melukis ialah anaknya yang keempat.
Ternyata, dakwah melalui karya seni ini merupakan satu kelainan yang cukup hebat dengan bersandarkan kebolehan yang dipinjamkan oleh Allah SWT untuk memberi manfaat buat insan-insan lain.
Kredit Foto & Video: Instagram Ustazah Asni Mansor
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jika mungkin wanita lain seusia Datuk Nicol David kini ‘struggle’ membesarkan anak-anak, pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia oleh The World Games ini pula fokus pada generasi pelapisnya. Baru saja menginjak usia 39, bekas ratu skuasy Malaysia terus menyuntik inspirasi sebagai Ketua Jurulatih di Pertubuhan Nicol David (NDO).
“Ini adalah hari jadi paling istimewa untuk saya. Saya bangga dan bersyukur dengan perjalanan baru ini, dapat berbakti dan memberi semula pada kanak-kanak di negara tercinta.
Selepas bertahun-tahun menyambut hari jadi, yang saya ingat hanyalah memenangi kejohanan demi kejohanan serta semua pencapaian terbaik saya dalam sukan (skuasy).
Tapi hari ini sungguh berbeza. Saya teruja melihat wajah-wajah bahagia ‘Little Legends’ saya!” Datuk Nicol Ann David
Dari senyuman dan renung anak matanya, terlihat begitu besar makna tersirat di sebalik usaha yang dijalankan. Bayangkan seorang atlet dunia hebat yang pernah merangkul gelaran Terbuka British pada tahun 2005, 2006 dan 2008 serta gelaran Terbuka Dunia pada tahun 2005,2006, 2008, 2009 dan 2010, sudah tentulah beliau mahu meninggalkan legasi selepas ketiadaannya kelak.
Memasuki fasa kehidupan baru selepas tiga tahun mengumumkan persaraan, Datuk Nicol David kini tampil dengan usaha untuk melahirkan seorang lagi juara dalam sukan skuasy seperti yang pernah dikecapinya ketika bergelar pemain.
Legenda skuasy negara itu bersama bekas pemain Colombia, Mariana de Reyes selaku pengasas bersama menubuhkan Pertubuhan Nicol David dengan fokus melatih kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun yang berminat untuk menceburi sukan berkenaan.
NDO dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Jun.
NDO adalah pertubuhan bukan kerajaan dengan objektif utamanya adalah memperkasakan kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah dan pertengahan menerusi sukan dan pendidikan.
Selain menjalani latihan skuasy, NDO turut mengadakan kelas bahasa Inggeris yang dijalankan menerusi kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat di sini.
Program NDO akan bermula pada 13 Jun ini dengan membabitkan murid-murid daripada empat sekolah di Lembah Klang iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sri Petaling 1 dan 2 serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Bukit Jalil.
Kata beliau ibu bapa hanya perlu membayar serendah RM20 sebulan untuk mendaftarkan anak-anak mereka bagi menyertai program anjuran NDO.
“Saya percaya dengan memberikan peluang ini kepada kanak-kanak di Malaysia, ia mampu untuk mengubah masa depan mereka.
Saya berharap mereka mampu mencapai impian dan menjadi generasi yang memberi insipirasi kepada diri sendiri, keluarga dan komuniti.” Datuk Nicol Ann David
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Terngiang-ngiang ajakan Datuk Prof Dr Che Muhaya Haji Mohamad “Jom Audit Diri Kita” yang menyeru masyarakat meninggalkan perkara negatif seterusnya sentiasa berbuat baik lebih-lebih lagi bersangka baik terhadap Allah SWT. Tidak pernah lelah mendengar Prof Muhaya ini berhujah dan setiap butiran kata yang keluar dari bibirnya adalah benar belaka.
Tambahnya lagi peranan ibu bapa sangat besar dalam menentukan perkembangan hidup individu. “Setiap apa yang kita lakukan baik atau buruk pasti ada balasannya. Setiap ibu bapa perlu sedar apabila anak mereka tidak berjaya dalam hidup pasti ada kesilapan yang telah dilakukan suatu ketika dahulu terutama masa muda.
Benda yang paling bahaya dalam hidup adalah tidak bertaubat di atas dosa yang dilakukan. Dosa yang tidak ditaubatkan akan menarik kejahatan dalam bentuk anak-anak tidak menjadi, tidak mendengar kata dan seterusnya mencipta keturunan tidak elok,” tutur Pakar Mata pertama di Asia Tenggara yang melakukan kaedah LASIK tanpa pisau system (Femtosecond Visumax) ke atas pembedahan mata pesakit ini.
“Saya nak bagi tip macam mana nak ubah kehidupan dengan membina imej baharu. Kalau sebelum ini imej sejak kecil iaitu umur dalam lingkungan di bawah 7 tahun, ibu sering melemparkan kata-kata negatif seperti kita ini seorang yang lembap.
Kita akan membesar dengan imej sebegitu kerana kata-kata tersebut telah direkodkan di dalam otak dengan imej lembap. Namun kita masih belum terlambat untuk berubah, bagaimana nak berubah? Senang sahaja, kita cipta ‘software’ yang baharu. Kita tukar skrip kehidupan dengan perkara yang baik-baik dan mempunyai hasrat untuk menjadi orang yang lebih baik daripada sebelumnya. Cuba tutup mata dan bayangkan diri sendiri dengan imej baik yang mahu ditampilkan.
Ini adalah cara kita bercakap dengan minda bawah sedar. Minda bawah sedar ini sebenarnya dibentuk sejak kita masih kecil lagi. 95 peratus kehidupan kita disebabkan dan dipengaruhi oleh minda bawah sedar atau internal programming. Kemudian baca Al-Quran, solat witir, baca ayat 3 qul dan maafkan orang di sekeliling untuk bersihkan jiwa. Bangun esok pagi pasti menjadi orang yang baharu,” bicara wanita yang menghabiskan masanya dengan membaca.
Wanita adalah sebaik-baik perhiasan dan wanita juga insan yang begitu istimewa kerana mempunyai tiket mudah ke syurga. “Kita sebagai wanita memang dijadikan begitu istimewa. Namun, kelemahan wanita adalah mengumpat dan kufur terhadap suami. Orang setuju atau tidak setuju masalah utama wanita adalah melawan cakap suami, yang kedua sombong atau seteru dengan ibu mentua, yang ketiga garang terhadap anak-anak, keempat sering menunjuk-nunjuk dengan kawan-kawan dan kelima garang dengan pembantu rumah atau staf.
Formula kejayaan nombor satu adalah betulkan dan sempurnakan solat. Jika awal-awal lagi solat tidak sempurna atau tidak sah sudah pasti akan gagal di dunia dan juga di akhirat. Yang kedua perbanyakan taubat kerana doa orang yang berdosa paling tidak dimakbulkan oleh Allah SWT. Dosa-dosa yang berterusan serta tidak memohon keampunan Sang Pencipta akan menarik kejahatan menguasai diri,” terang Datuk Prof Dr Muhaya panjang lebar.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bukan sekadar cantik, Joheirry Mola merupakan guru, wartawan dan aktivis pendidikan. Pada usia 24 tahun, beliau mencipta sejarah apabila dinobatkan Miss World 2026.