Anak jati kelahiran Kuala Krai Kelantan ini sudah lebih 35 tahun bermastautin di negara orang. Kini beliau menjadikan New York sebagai rumahnya menyaksikan kehebatan jenama yang dibina berkembang di dalam arena fesyen antarabangsa. Banyak menghasilkan busana untuk golongan atasan serta selebriti, antara nama-nama popular yang selesa menyarung busana rekaannya seperti Fergie (The Black Eyed Peas), Patti LaBelle, Ivana Trump, Hazelle Goodman, Kelly Preston, Kristy Alley, Meg Ryan dan juga Jennifer Tilly.
Terbaru Zang Toi mempersembahkan koleksi spring summer 2018 yang berkonsepkan kanvas alam semula jadi yang diinspirasikan dari percutiannya di Tasik Garda, Itali. Menerusi koleksi ini jelas kelihatan yang beliau cuba menterjemahkan gradien warna yang dilihat seperti rona hijau terang dan juga pelbagai jenis palet rona biru. Selain itu rona sepei hitam, putih serta kelabu menjadi nota warna yang menunjukkan ketegasan terhadap koleksi ini.
Dari segi siluet yang direka. Tunik, seluar dan blazer dipotong ringkas dengan siluet yang molek terletak sekaligus menyerlahkan aura elegan. Tidak ada rekaan yang kompleks setiap satunya dihasilkan khusus untuk wanita-wanita yang elegan dan suka gaya feminin. Sesuai dengan inspirasi dari lokasi menarik Tasik Garda, boleh penulis katakan yang setiap satu helaian yang direka menghembus aura percutian yang cukup kuat dek potongan dan juga corak yang minimal.
Fabrik renda bukan sekadar penjadi perincian yang utama kepada sesetengah rekaan dalam koleksi ini bahkan corak renda juga turut dicetak ke atas heaian fabrik. Selain itu terdapat juga corak cetakan seolah-oleh laharan busana yang disuntik pada rekaan skirt ‘handkerchief’ yang dipadankan dengan baju kemeja putih.