Bergenang air mata tengok video pasangan selebriti Johan dan Ozlynn di Dublin, Ireland baru-baru ini. Menerusi perkongsian di media sosial mereka, jelas terserlah betapa besarnya kasih sayang ibu ayah ini terhadap anak tersayang, Ahmad Ariq Hanania sampai sanggup ‘terbang’ ke sana demi mengubat kerinduan dan bertemu cahaya mata.
Walau masih dalam mood Hari Raya, Johan dan Ozlynn nekad bertemu Ariq di luar negara. Meskipun terpaksa meninggalkan anak-anak yang lain di Malaysia.
Iyalah, bukan selalu dapat melawat Ariq sejak anak lelakinya berusia 20 tahun itu ke Dublin pada September 2021 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di sana.
Ternyata, kunjungan Johan dan Ozlynn untuk memberi kejutan kepada Ariq menjadi hingga menangis kegembiraan dibuatnya sejurus melihat kelibat ibu bapa.
Ozlynn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail sebelum ini meluahkan rasa rindu terhadap Ariq ketika sambutan 1 Syawal lalu dan sayu apabila anak sulung berada berjauhan dari keluarga.
Namun baru-baru ini, aktres tersebut bersama Johan selamat tiba di Ireland. Perkongsian video berkenaan sehingga kini mencecah lebih sejuta tontonan dan ratusan ribu reaksi serta komen!
View this post on Instagram
“Selagi ada kita hargailah pinjaman paling berharga dariNya. Surprise untuk abang Ariq menjadi. Papa, mama dan adik-adik Hanania.”
Tidak sekadar bertemu Ariq, mereka juga meluangkan masa berkenalan dan berjumpa dengan rakan-rakan Ariq.
Johan dan Ozlynn sering menjadi perhatian masyarakat dan sumber inspirasi kepada para ibu bapa kerana ketegasan mendidik anak-anak dan turut mengasuh mereka mengaji Al-Quran di rumah.
Selain Ariq, Johan dan Ozlynn turut dikurniakan lima cahaya mata iaitu Sodiq, Haziq, Chantiq, Moleiq dan Cherdiq.