“KEBAIKAN Bersifat Memaksa, Kalau Tak PAKSA Sampai Ke Sudah Tak Buat!” SHARIFAH KHASIF Ulas Fasal Hijab, Solat & Baca Al-Quran

1579

Tidak keterlaluan jika ada yang melabel Ustazah Sharifah Khasif sebagai ikon muslimah. Mana tidaknya, selain memegang status sebagai Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2008/2009, Sharifah Khasif Syed Mohd Badiuzzaman ini juga merupakan Pengasas Academy of Sharifatuna Quranic Arts (AQSA). Sempena kedatangan Ramadan dan menggalakkan umat Islam khatam Al-Quran, pusat pengajian ini aktif menganjurkan program Ihya Ramadan dengan bertadarus yang dipimpin eksklusif oleh Ustazah Sharifah Khasif sendiri.

Dibuka secara percuma, mereka yang berminat hanya perlu mendaftar dan mengikuti sesi tadarus pada setiap hari Selasa dan Khamis selama sejam bermula pukul 3 hingga 4 petang. Tidak pernah jemu menyampaikan ilmu berkaitan agama dan Al-Quran… ibu kepada Abeer Widad ini memang suka mengajak masyarakat khususnya kaum wanita melakukan amal kebaikan. Tidak kiralah soal hijab, mengaji Al-Quran, solat.

“Benda kecil tapi sedikit dan kita istiqamah, Nabi suka. Jangan sampai tak buat langsung. Kalau hendak berhijab ini… saya akui benda baik memang susah hendak ikut. Kebaikan itu bersifat memaksa. Kita kena telan semua ini sebab kalau tak paksa sampai ke sudah kita tak akan buat.

Saya tahu ada di kalangan wanita yang sudah bertudung tapi akhirnya tanggal. Itu maknanya Allah belum bagi hidayah kepada mereka. Hidayah milik Allah dan Dia boleh bagi kepada sesiapa saja yang diingini.

Begitu juga soal hafaz Al-Quran. Bukan semua orang boleh mudah menghafal, ada yang terpaksa ambil masa lama dan sebaliknya. Itu semua Allah hendak bagi kepada insan terpilih dan beri kepada mereka yang mencari.

Pilihlah jalan mana yang disuka. Saya sendiri diuji dengan kelebihan suara dan ada pilihan sama ada untuk menyanyi atau mengaji. Akhirnya, saya pilih untuk mengaji berbanding menyanyi.

Hendak masuk syurga ini tak senang dan ketahuilah syurga itu mahal. Kena bersusah-susah dulu di dunia, ikut semua suruhan Dia seperti bertudung, mengaji dan bersolat. Semoga Allah akan tetapkan hati kita semua, insyaAllah.”

Meskipun telah mula berjinak dalam Tilawah Al-Quran seawal usia tujuh tahun, namun Ustazah Sharifah Khasif tidak meminggirkan minatnya dalam bidang seni dan fesyen. Baginya, dia juga manusia biasa yang ada keinginan seperti wanita lain. Pasti ramai yang tidak menyangka Ustazah Sharifah Khasif rupa-rupanya pernah menjadi peserta Bintang RTM 1997.

“Masa tu saya baru 17 tahun dan suka sangat nyanyi. Kalau tak silap masa uji bakat Bintang RTM 1997 di Ipoh. Disebabkan masa tu saya baru memenangi tilawah yang pertama saya sertai di Perak dan menang, jadi ramai juga yang kenal saya. Lucunya, saya terpaksa masuk ikut pintu belakang.

Saya siap bawa lagu Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Badarsila sebab saya memang minat dengan lagu-lagu beliau. Selepas lalui beberapa peringkat, saya dapat Top 10. Macam tak percaya pun ada, sebab daripada beratus-ratus yang datang ujibakat, saya antara yang terpilih.

Kemudian, penerbit program panggil untuk pergi ke peringkat seterusnya di RTM Angkasapuri, KL. Mereka sendiri pun ragu-ragu untuk ambil saya sebab tahu latar belakang saya sebelum ini. Walau gembira dengan berita itu tapi niat untuk bertanding bintang RTM terpaksa saya lupakan kerana beberapa sebab.”

Tambahnya lagi, arwah bapa iaitu Syed Mohd Badiuzzaman tidak melarang kemahuan anak perempuan tunggalnya itu bahkan menyokong apa juga yang diimpikan Ustazah Sharifah Khasif. “Walid support saya sebab dia pun peminat setia Tan Sri P. Ramlee. Malah masa saya kecil dulu, walid selalu ajar orang-orang muda main gitar, piano dan alat muzik lain. Boleh dikatakan kami berasal dari keluarga berdarah seni dan walid memang seorang yang suka belajar banyak bahasa selain Arab.”

Biarpun tidak ‘diperkenankan’ untuk bertanding dalam nyanyian, Sharifah Khasif sekali lagi memenangi pertandingan tilawah Al-Quran peringkat Perak pada usia 18 tahun. Hasil kemenangan tersebut, dia membawa pulang hadiah menunaikan haji selain mendapat hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.

Itu adalah kali pertama dia memegang wang sebegitu banyak pada usia yang masih muda. Seluruh wang kemenangan diberikan kepada bapa hingga mampu membeli sebuah kereta secara tunai. “Orang yang jaga dan buat baik kepada mak bapa ini Allah bagi rezeki luar biasa. Walid memang sangat tegas dan garang dalam bab agama terutamanya Al-Quran.

Tapi dia bukanlah guru agama cuma dia pernah menuntut belajar dengan 14 orang guru masa muda. Dia bekas kakitangan TNB dan begitu minat terhadap Al-Quran. Ibu saya pula suri rumah.

Bila menang tilawah peringkat kebangsaan, ramai yang datang ke rumah kami tapi mereka tak ingat nama saya. Orang akan cakap mana rumah yang anak dia menang pertandingan Al-Quran itu dan orang kampung nanti akan bawa tunjukkan rumah kami.

Saya ingat lagi waktu hendak balik daripada pertandingan. Ramai yang sudah tunggu kat airport untuk sambut saya. Paling tak sangka, kerajaan Perak bagi cuti sebab kemenangan itu. Saya diarak satu kampung sebab menang pertandingan,” ceritanya yang pernah memasang cita-cita bekerja di Bursa Malaysia dan menjadi Gabenor Bank Negara.