
Kalau dah namanya Neelofa, apa sahaja yang dilakukan pasti akan jadi tumpuan. Semalam, tanggal 20 September 2020 merupakan detik bersejarah buat keluarga Neelofa apabila adik lelaki selebriti popular ini yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Naelofar, Mohd Aqief selamat melangsungkan pernikahan.
Aqief yang berusia 26 tahun sah bergelar suami kepada kekasih yang dikenalinya enam tahun lepas, Aina Syahira dalam majlis akad nikah penuh indah ilham Reka Teemor di Sime Darby Convention Centre.
Namun, paling mencuri perhatian peminat dalam majlis berkenaan ialah penampilan Noor Neelofa Mohd Noor. Tampil lebih anggun dan sopan dengan baju kebaya labuh berwarna biru lembut, pelbagai reaksi yang dicurahkan peminat tatkala melihat kelibat figura jelita berumur 31 tahun tersebut. Ada yang menzahirkan rasa gembira kerana berpendapat Neelofa kini sedang melalui fasa bahagia… tidak kurang juga yang teruja menanti hari perkahwinan Neelofa selepas ini.



Apatah lagi, kelibat rakan sekerja Neelofa yang juga jurucakap Pertubuhan Kasih Neelofa iaitu PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail turut kelihatan di majlis berkenaan. Tidak hairanlah, ramai yang membuat ‘usikan nakal’ terhadap mereka berdua. Seolah-olah menguatkan lagi desas-desus yang bertebaran mengenai hubungan kedua-duanya.
Apa-apa pun, penampilan Neelofa dalam majlis Aqief dan Aina cukup manis dipandang. Ditambah pula solekan magis Khir Khalid yang menyerlahkan lagi seri wajah jelitawan ini. Bahkan gaya dan penampilan Neelofa sejak kebelakangan ini menjadi bualan apabila dilihat lebih selesa berstoking tangan dan kaki serta bertudung labuh melepasi dada. Berbeza daripada style turban yang sering digayakannya sebelum ini. Alhamdulillah.

Dalam pada itu, Neelofa turut menitipkan ucapan buat adik tersayangnya Aqief dalam melayari alam rumah tangga bersama isteri tercinta kelak. “Ya Allah, bless their marriage and let it be a means for them to become closer to You in love and devotion. Let it be a source of untold blessings, happiness and joy. You did your duties by being the best brother ever.
It’s time to do your duty as a good husband and the best life partner to your wife. Cherish every moment of this new journey you’re about to take and embrace each other’s imperfections. Wishing you both a lifetime of happiness.”
Pada majlis akad nikah Mohd Aqief, seisi keluarga Neelofa mengenakan persalinan sedondon berwarna biru lembut.
https://www.instagram.com/p/CFWhT2BJHqz/
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
DIET LIMAU GEDANG, CARA SELEBRITI HOLLYWOOD CAIRKAN LEMAK

Perahan jus limau gedang dikatakan menyimpan pelbagai manfaat kesihatan seperti anti-kanser serta sarat kandungan vitamin A dan C. Amalan meminumnya juga dapat mengekalkan keremajaan wajah memandangkan ia melembap dari dalam. Paling istimewa, ia turut menghapuskan mukus dan membasmi toksin, punca kenaikan berat badan. Dengan mengamalkan jus ini secara konsisten dapat meningkatkan pelbagai aspek kehidupan anda agar lebih bertenaga.

Dalam beberapa laporan, limau gedang dikatakan memiliki khasiat tinggi untuk mencairkan lemak. Terdapat juga beberapa program diet Hollywood seperti ‘The Grapefruit Diet’ yang dikatakan mampu menghilangkan berat badan sehingga 10 paun dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, ramai pakar nutrisi yang menyanggah program tersebut kerana bimbang bekalan zat yang tidak mencukupi terhadap pengamalnya akibat pengambilan limau gedang secara berlebihan.

Trend diet Hollywood yang dilaksanakan oleh jurulatih senaman pilihan selebriti Hollywood, Tracy Anderson, The Grapefruit Diet memiliki kelebihan untuk menurunkan berat badan dengan cepat. The Grapefruit Diet telah mula diperkenalkan sejak 1930-an dan antara bintang Hollywood yang mengamalkan diet ini termasuklah Kylie Minogue dan Brooke Shields. Diet ini disarankan dilakukan selama 12 hari untuk mencapai misi hilang berat sebanyak 10 pound selain ia menyarankan diet rendah karbohidrat, rendah kalori dan melebihkan pengambilan protein dengan melebihkan pengambilan limau gedang dan elakkan kudap-kudapan di antara menu utama.

Kylie Minogue Antara Selebriti Mengamalkan The Grapefruit Diet
Enak dan menyegarkan, buah limau gedang atau pemilik nama saintifik ‘Citrus paradisi’ ini juga kaya dengan phytonutrients seperti lycopene, vitamin A dan beta karotena. Ia turut digelar sebagai ‘buah dari syurga’ lantaran kandungan khasiat kesihatan yang unik, termasuk mencegah penyakit terutamanya di kalangan pencinta kesihatan dan kecergasan. Tergolong dalam famili sitrus, buah istimewa ini dikatakan seiras kacukan hibrid buah oren dan buah limau bali.
MANFAAT
- Limau gedang memiliki paras kalori yang rendah, meliputi hanya 42 kalori per 100gm. Meskipun begitu, ia kaya dengan fungsi suplemen tidak larut seperti serat pektin untuk melawaskan. Serat diet ini membantu melindungi mukosa membran di dalam usus besar anda dengan cara mengurangkan dedahan terhadap sisa toksik.
- Kajian terhadap pektin turut menunjukkan kejayaan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah dengan cara mengurangkan penyerapan kolesterol di bahagian usus besar.
- Mengandungi vitamin A yang tinggi (sekitar 1150IU per 100gm) dan antioksidan flavonoid seperti naringenin dan naringin. Ia juga membekalkan khasiat lycopene, beta karotena, xanthin dan lutein.
- Vitamin A juga baik untuk mengekalkan membran mukus dan kulit yang sihat. Pengambilan buah-buahan semula jadi yang kaya dengan vitamin A serta flavonoids membantu untuk melindungi paru-paru dan kaviti.
- Merupakan sumber antioksidan vitamin C yang baik, iaitu sekitar 52% DRI. Ini membantu tubuh meningkatkan ketahanan terhadap agen jangkitan dan radikal bebas yang berbahaya. Malah vitamin ini juga penting untuk mengekalkan kesihatan tisu penghubung dan menyembuhkan luka. Selain itu, vitamin C turut menyenangkan penyerapan zat besi di dalam usus.
- Kandungan 100gm buah limau gedang segar menjana 135mg elektrolit potasium. Ia merupakan komponen penting untuk sel dan cecair badan dan mengimbangi kadar denyutan jantung.
- Kajian mendapati fungsi warna merah atau lycopene dalam limau gedang dapat melindungi kulit daripada panahan UV berbahaya dan menawarkan perlindungan daripada kanser prostat.
PENYIMPANAN
Musim limau gedang bermula dari bulan September sehingga Disember. Namun buah ini tersedia pada sepanjang tahun di kebanyakan pasar raya utama di Malaysia. Untuk memilih buah yang segar, pilih buah limau yang berkulit terang, pejal dan jika ditekan akan kembali ke bentuk asal. Elakkan buah yang berkedut, berat dan beraroma wangi. Elakkan buah yang sudah bertompok kerana ia bakal membusuk tidak lama kemudian.
Simpan buah limau gedang di dalam suhu bilik selama beberapa hari. Untuk penyimpanan lebih lama atau menjangkau tiga minggu, masukkan ke dalam kompartmen buah-buahan di dalam peti sejuk anda. Elakkan penyimpanan di bawah kesejukan 10 darjah Celcius untuk mengelakkannya daripada ‘chilling injury’.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Tiada Lagi Masalah BIBIR HITAM, Tiru Resipi Mudah Ini Menggunakan Ramuan SEMULA JADI!

Benci melihat bibir hitam, kering dan merekah? Tiga masalah yang paling mengganggu penampilan wanita. Bibir hitam, mempengaruhi penampilan seseorang. Tangan pula mula ‘gatal’ menarik kulit kering yang mengelupas sehingga timbul iritasi dan luka pada bibir. Itu belum lagi bibir yang sudah merekah, menambah rasa pedih dan sakit terutama ketika makan mahupun minum.
Ah, semuanya menimbulkan rasa yang tidak selesa. Sungguh memalukan untuk berhadapan dengan orang lain. Tidak semua pelembap bibir dapat mengatasi masalah bibir kering, apatah lagi menghilangkan masalah bibir yang kehitaman akibat memakai lipstik. Lalu, apakah cara sesuai untuk merawat bibir yang bermasalah?
Bibir yang Sihat
Beberapa cara merawat bibir agar kelihatan merah dan terhindar daripada kekeringan, mengelupas dan merekah. Amalkan gaya hidup serta rutin harian seperti di bawah untuk merawat bibir yang bermasalah:
- Banyakkan minum air putih, buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari
- Elakkan menjilat bibir. Tindakan ini boleh memburukkan masalah bibir
- Hindari daripada menggunakan lipstik yang boleh menimbulkan iritasi pada bibir seperti yang mengandungi pewarna sintesis dan juga pewangi
- Ambil banyak makanan yang mengandungi vitamin B dan C yang mencukupi
- Gunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam untuk membersihkan bibir yang mengelupas sebelum menggunakan pelembap bibir
- Sentiasa lindungi bibir dengan pelembap bibir. Ulang pemakaiannya beberapa jam sekali atau setiap kali bibir terasa kering lebih-lebih lagi apabila berada dalam cuaca terlalu panas atau terlalu sejuk
- Hindari makan makanan yang bergetah, terlalu panas dan pedas. Elakkan juga makan makanan yang bergaram tinggi seperti kuaci dan seumpamanya
- Jauhi tabiat merokok, kurangkan pengambilan kafein dan jangan menggigit dan mengupas kulit kering pada bibir
Cara Rawat Masalah Bibir
Terdapat tiga bahan alami utama yang sering digunakan untuk mengurangkan masalah bibir hitam iaitu madu, lidah buaya dan timun. Bagi masalah bibir kering pula kebiasaannya bahan yang digunakan adalah seperti lobak merah, tomato dan juga oren. Manakala bibir merekah pula boleh dirawat dengan menggunakan minyak badam, lemon dan mentega.
Berikut adalah beberapa manfaat yang boleh didapati daripada bahan-bahan alami untuk merawat bibir:
Madu
Sapukan dengan rata pada bibir setiap kali sebelum tidur. Biarkan semalaman. Bersihkan keesokan pagi sambil mengurut perlahan pada bahagian bibir. Amalkan tiga kali setiap minggu.
Lobak merah
Lobak merah segar boleh digunakan untuk merawat bibir kering. Parut sedikit lobak merah dan ambil airnya. Minum air perahan lobak merah tadi. Hampasnya boleh digunakan untuk disapukan pada permukaan bibir.
Minyak badam
Kandungan serat, protein, vitamin A, kalsium dan juga zat besi pada minyak badam membantu mengatasi bibir merekah. Sapukan minyak badam yang dicampur madu pada bibir sekali setiap hari sebelum tidur.
Buat Sendiri Skrub Bibir
Bagi anda yang ingin membuat sendiri skrub bibir, bolehlah mencuba cara-cara seperti di bawah. Hanya gunakan bahan-bahan alami dan mudah didapati. Ia bertujuan untuk mencerahkan bibir yang gelap di samping merawat masalah bibir kering, merekah serta membuang sel kulit mati.
Ia boleh diamalkan setiap hari. Tiada kesan sampingan bahkan tidak memudaratkan jika termasuk di dalam mulut atau termakan. Ambil sedikit sahaja menggunakan jari dan ratakan pada bibir. Urut perlahan pada bibir dalam turutan membulat selama satu hingga dua minit dan bersihkan dengan tuala yang telah dibasahkan.
Bahan-bahan:
- 30 gram gula tebu organik (dikisar)
- 10 ml ekstrak prun
- 5 ml madu
- 5 ml minyak zaitun
- 0.5 ml minyak vitamin E
Cara membuatnya:
Campurkan kesemua bahan-bahan di atas dan kacau sebati. Simpan di dalam bekas yang sesuai. ROSMAH IDAYU ABU SAMAH
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Dalam Bisnes, Jatuh Bangun & Suara-Suara Sumbang Itu Lumrah” NURULAIN SYAHIRAH

Mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan ketika berusia 19 tahun, Nurulain Syahirah Mat Hasmuni yang kini mencecah usia 31 tahun kian matang bersama pengalaman. Bidang kecantikan menjadi pilihan usahawan cantik ini dalam membangunkan empayar perniagaan miliknya. Mesra disapa sebagai Syahirah, wanita berstatus isteri dan ibu ini bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga berniaga.


“Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana. Sejak kecil saya memang sudah diajar tentang perniagaan. Mak ayah berniaga pakaian. Saya juga bermula dengan berniaga pakaian selama dua tahun. Saya kumpul duit dan bila ada sedikit modal saya jadi ejen jual produk kosmetik. Ketika itu saya masih belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu.

“Pada 2014 saya keluarkan produk kesihatan sendiri iaitu suplemen untuk kulit. Tahun 2020 saya berkahwin dan selepas itu saya focus kepada produk penjagaan kulit. Pada 2021 barulah saya keluarkan RISSA Skin. Sekarang sudah mencecah tiga tahun jenama ini di pasaran.
“Mungkin kerana saya datang daripada keluarga usahawan dan sejak kecil sudah didedahkan dengan selok belok perniagaan maka business is the best for me. Saya pula seorang yang berdikari dan tidak suka bekerja dengan orang. Dengan berniaga saya boleh uruskan masa sendiri dengan lebih fleksibel. Saya boleh rancang dan tentukan sendiri apa yang saya ingin lakukan dengan tenang,” ujar penerima Nona Superwoman Award 2024 kategori Best Halal Skincare ini.
CABARAN
“Detik paling mencabar sepanjang 12 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan ialah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Banyak cabaran yang harus ditempuhi. Selama ini kita sudah biasa dengan offline tetapi setelah COVID-19 melanda segalanya mula berubah. Sambutan terhadap offline semakin kurang kerana semuanya bergantung kepada online.
“Saya lancarkan RISSA Skin pun di studio. Kami kumpulkan semua ejen secara maya dan buat sesi live. Realitinya ketika itu mereka di rumah sahaja tetapi kita buat live di studio maka nampaklah semua ejen melalui panggilan video. Agak struggle jugalah waktu itu namun saya tidak putus asa. Selepas PKP semuanya sudah bertukar kepada online. Saya juga sentiasa belajar untuk mantapkan lagi kemahiran online.”
RISSA Skin adalah salah satu produ terawal yang bermula dengan online semasaq PKP. RISSA Skin dihasilkan khusus buat wanita yang ingin kelihatan cantik. RISSA Skin turut mempunyai pelbagai rangkaian produk suplemen untuk golongan remaja dan produk penjagaan wajah untuk yang sudah berusia.
“Saya bermula dengan menjual suplemen. Apabila sudah berkahwin, terjebak pula dengan produk kecantikan kerana suami adalah usahawan produk penjagaan wajah. Berbekalkan pengalaman saya dan suami maka tercetuslah RISSA Skin. Alhamdulillah dapat bertahan sampai ke hari ini.”

Tambah Syahirah lagi, dalam perniagaan detik jatuh bangun itu adalah lumrah. Pasti akan ada suara-suara sumbang dan persepsi negatif yang boleh melemahkan semangat seseorang.
“Mesti kita akan rasa down lebih-lebih lagi kalua kata-kata sinis itu datang daripada orang-orang terdekat atau yang kita kenal. Kalau tidak kenal, tiada masalah sangat sebab boleh diabaikan sahaja. Cara saya, down sekejap sahaja tak boleh lama-lama. Kalau down lama-lama tiada siapa pun boleh bantu. Ingat semula kata-kata mereka dan jadikannya pembakar semangat. Buktikan apa yang mereka katakana itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.”
KEISTIMEWAAN
Sebagai pengasas, pastinya Syahirah mahu memberikan produk yang terbaik buat para pelanggannya.
“RISSA Skin menggunakan teknologi terbaharu di Malaysia iaitu ampoule. Sekarang ini di Malaysia tidak banyak produk penjagaan wajah yang boleh keluarkan ampoule. Kami sendiri pernah melawat kilang dan mesin yang menghasilkan ampoule. Memang tidak sama dengan item-item lain. Penyerapannya dua ke tiga kali lebih berkesan daripada produk-produk yang lain.

“RISSA Skin turut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memiliki pengesahan ujian makmal daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) untuk semua rangkaian produk RISSA Skin termasuklah suplemen. Kita sudah hantar semuanya ke ujian makmal SIRIM untuk membuktikan produk-produk tersebut selamat digunakan dan halal. Produl RISSA Skin diproses di kilang berstatus halal. Ia boleh digunakan tanpa was-was.”
Sepanjang tiga tahun berada di pasaran, apa yang paling membanggakan Syahirah daripada pencapaian ialah RISSA Skin berjaya menjadi salah satu top brand di platform TikTok. Terdahulu,RISSA Skin perlu bersaing dengan jenama-jenama besar yang ada di platform tersebut.
“Kami berkembang pantas di TikTok. Dalam tempoh tiga bulan sahaja kami berjaya meraih jualan sebanyak satu juta. Hanya berniaga di beg kuning dan alhamdulillah kekal sampai sekarang. Selain di Malaysia, RISSA Skin turut mendapat sambutan yang sangat baik di Brunei dan Singapura. Akan datang Indonesia pula.

“Saya berpegang kepada prinsip, apa jua yang dilakukan mesti sampai jadi. Jika diimbau semula, kami bermula pada fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ketika itu agak struggle kerana tidak semua percaya kepada produk online sebelum ini. Jadi, kami try and error, cuba lagi dan lagi sampailah ke tahap sekarang. Usah pernah berputus asa.”
Dikurniakan suami yang berpengalamann lebih 10 tahun dalam dunia perniagaan memberi kelebihan kepada Syahirah untuk menjadi seorang usahawan yang terbaik.
“Suami adalah sumber inspirasi dan kekuatan saya. Beliau ada pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang penjagaan kulit. Segalanya saya serah kepada suami. Kami juga sering bertukar-tukar idea dan berbincang mengenai perancangan perniagaan. Dalam syarikat kami ada tanggungjawab masing-masing. Saya menjaga bahagian pemasaran manakala suami menjaga bahagian pengurusan, tempahan stok dan lain-lain.”

Dalam bidang perniagaan, Syahirah amat mengagumi Bonda Rozita kerana baginya usahawan terkenal itu seorang yang berbeza. Apa yang dikaguminya ialah dia bangga dengan Bonda Rozita yang sukses sebagai usahawan kosmetik dan kini bergelar pengusaha resort pula. Syahirah sangat bangga dengan Bonda Rozita yang dianggap sebagai seorang usahawan Bumiputera yang berani, bijak, berjaya dan kaya.
Mengakiri perbualan, Syahirah menitipkan nasihat ringkas buat wanita yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

“Ia bukanlah semudah yang disangka. Banyak liku-liku yang yang perlu dihadapi. Paling penting mental kena kuat sebab dalam perniagaan macam-macam perkara boleh berlaku termasuklah kecaman. Jadi diri sendiri, jangan fikir apa orang cakap. Sebab jatuh bangun kita, diri sendiri juga yang kena bangkit. Bekerjalah dalam keadaan seronok dan ikhlas tanpa rasa terpaksa.
“Dalam hidup ini kita tak boleh mudah berputus asa. Apa pun ujian mahupun cabaran yang berlaku teruslah melakukan yang terbaik. Orang boleh menghukum dan bercakap macam-macam tetapi kita tahu diri kita bagaimana. Jadi, buat yang terbaik untuk sesuatu perkara yang kita suka.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


