Umurnya baru dua tahun tapi sudah pandai bersedekah. Gelagat Yusuf Iskandar yang sempat dirakam ketika kanak-kanak ini berada di Mekah nyata mengundang rasa kagum di mata masyarakat. Mana tidaknya, tanpa rungutan … Yusuf secara sukarela menghulurkan makanan kepada kanak-kanak dan jemaah yang berada di sekelilingnya.
Usaha murni Hanis Zalikha dan Hairul Azreen mendidik Yusuf bukan sekadar patut diberikan pujian, malah ia juga wajar menjadi ikutan ramai. Tidak kiralah pada peringkat usia mana sekalipun asalkan ia perkara baik dan memanfaatkan anak-anak, perlu diberi pendedahan awal. Bak kata pepatah, ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Lagipun, anak-anak lebih mudah ‘menyerap’ apa yang mereka pelajari seawal usia 0 hingga 3 tahun.
Iyalah, tidak lama lagi pun Yusuf bakal bergelar abang. Jadi kenalah belajar berkongsi mulai sekarang.
Ads
Menerusi video berdurasi seminit tersebut, Yusuf tidak hanya memberi sedekah berupa makanan kepada kanak-kanak. Tetapi juga kepada golongan dewasa. The best part is, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi takut. Sebaliknya anak sulung Hanis dan Hairul ini kelihatan selesa berbuat demikian. Allahu, sejuk perut ibu mengandung!
Hanis Zalikha yang kini hamil anak kedua berangkat menunaikan umrah di samping suami dan keluarga tersayang sejak awal Disember lalu. Turut berkongsi foto terbarunya, baby bump usahawan Cakenis ini juga kian jelas kelihatan.
Patutlah laman sosial mereka berdua seakan sepi beberapa minggu lepas, rupa-rupanya pergi melakukan ibadah umrah. Apa-apa pun, mereka semua telah selamat sampai di tanah air semalam.
Hairul Azreen mendirikan rumah tangga bersama Hanis Zalikha pada tanggal 5 Jun 2015 dan dikurniakan Yusuf Iskandar pada 3 Jun 2016.
Saat kaki melangkah masuk ke kediaman ini, bebola mata terus menjelajah ke segenap penjuru. Terdetik hanya satu perkataan di benak penulis iaitu WOW! Terkesima dengan paparan interior yang bukan saja moden bahkan mewah dan urban. Siapa sangka, dari luar orang hanya nampak unit kondo lama yang masih berdiri teguh. Namun kediaman yang terletak di aras bawah ini diubah suai dengan begitu cantik sekali!
Untungnya, pemilik kondo ini iaitu Shini Petrina Raman adalah seorang pereka dalaman profesional. Jelaslah, dekorasi kediaman ini diubah suai melambangkan cita rasa dan karakter sang pemiliknya yang urban. Bijak bermain dengan olahan warna dan material sesuai dengan konsep yang dipilih.
Mesra disapa sebagai Shini, wanita berketurunan India yang berusia 43 tahun ini memiliki raut wajah klasik yang cukup mempesona. Apatah lagi susuk tubuh yang langsing dan tinggi lampai melengkap lagi kesempurnaan yang dimiliki oleh Shini.
“Saya dan suami membeli kondo lama ini kerana ia mempunyai saiz layout yang lebih luas berbanding kondo baru yang bukan saja mahal bahkan kurang dari segi keluasan. Jadi, kami tidak mahu melaburkan wang dengan membeli hartanah hanya kerana ia baru tapi tidak dapat buat banyak benda terutama interior. Bila kondo ini dibeli saya mula buat ubah suai secara berperingkat.
Saya mulakan dengan kerja-kerja pemasangan paip dan elektrik. Saya juga mula membandingkan tema peribadi dengan trend interior semasa. Kemudian barulah saya tampil dengan tema tersendiri iaitu contemporary edgy, high contrast deco dan menambah beberapa tekstur. Saya juga sukakan clean lines untuk kabinet perabot dan lampu.
KERJAYA SEBAGAI PEREKA DALAMAN
Kerjaya sebagai pereka dalaman berlaku secara kebetulan. Selepas menjual nail salon, saya berehat selama tiga bulan. Dalam masa tiga bulan itu saya melalui satu tempoh di mana saya cuba untuk mencari apa sebenarnya yang diminati dan boleh ditukar menjadi bisnes. Detiknya bermula apabila ibu saya hendak mengubah suai ruang tamu rumahnya. Disebabkan waktu itu saya ada kelapangan masa maka saya pun membantu ibu merias ruang tamunya itu.
Setelah selesai saya pun ambil gambar ruang tamu yang baru dihias dan memuat naiknya ke sosial media. Esoknya ketika bangun tidur saya terima banyak mesej daripada rakan-rakan termasuk individu yang tak dikenali. Mereka tanya adakah saya seorang pereka dalaman? Dari situ saya ambil keputusan memulakan bisnes interior. Lalu, tercetusnya idea untuk menubuhkan syarikat sendiri dengan nama VSQ Design & Decorate. Syukur syarikat ini kian berkembang sampai ke saat ini.”
Shini menganggap semangat dalam interior umpama satu ‘ketagihan’ buat dirinya. Selain suami, Shini turut menerima sokongan daripada klien-kliennya sendiri.
“Suami juga mempunyai taste dalam interior. Namun minat suami lebih tertumpu kepada landskap berbanding interior. Suami lebih berpengalaman dan berpengetahuan dalam exterior,” kongsi Shini yang sudah pun berkahwin selama lima tahun namun masih belum dikurniakan anak.
RUANG KEGEMARAN
“Semestinya ruang dapur kerana saya banyak menghabiskan masa di ruang ini. Walaupun ia tidak terlalu besar namun saya menatanya sebaik mungkin agar mudah dijaga. Saya banyak berbelanja untuk premium marble quartz countertops agar kelihatan mewah dan up-to-date.
Seterusnya ialah ruang makan kerana pemandangannya dari ruang ini sangat mendamaikan. Di sini saya dapat melihat taman yang menghijau di luar dari panel kaca. Manakala pada waktu malam pula selalunya saya hanya akan menyalakan lampu di sekeliling saja. Kalau ada tetamu, mereka akan duduk di situ sambil ditemani cahaya semula jadi dan hembusan bayu malam yang menyegarkan.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Jujurnya, penulis kagum dengan naluri keibuan dan jiwa penyayang Sharifah Aminah Syed Mohssain ini. Bayangkan selama sembilan tahun dia menggalas tanggungjawab sebagai ibu seorang diri. Meskipun waktu itu, dia masih bujang!
Masuk tahun ini, sudah 14 tahun Sharifah Aminah atau mesra disapa Sha bergelar ibu dan membesarkan lima anak. Pada pandangan khalayak, dia sama seperti kaum ibu lain yang ada anak kecil dan sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Hakikatnya, lima anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang itu bukan berasal dari darah daging Sha sendiri. Sebaliknya, mereka adalah anak angkat yang dijaga dengan sempurna oleh Sha sejak kecil lagi.
Murni sungguh hati insan ini kerana sanggup mengorbankan masa dan wang ringgit semata-mata mahu membesarkan anak bertuah Muhammad Mukhlis Daniel, 14 tahun; Muhammad Mohssain Danish, 13 tahun; Mysarah Aqeelah Wafaa dan kembarnya, Muhammad Aqeel Wafiyy, 12 tahun; dan Muhammad Aqmal Wafeeq, 7 tahun.
“Niat untuk ambil anak angkat ini bermula secara kebetulan waktu hari jadi saya yang ke-29. Masa tu tahun 2008 apabila seorang sahabat baik datang ke rumah saya dan membawa bayi lelaki yang baru berusia 53 hari.
Memandangkan dia belum berkahwin dan tak ada rumah yang sesuai, saya bersetuju membiarkan bayi tersebut tinggal di rumah saya sementara menunggu dia mencari rumah. Diam tak diam, enam tahun juga saya jaga bayi tersebut dan kemudian baru kawan jaga sepenuhnya.
Bila sudah selalu bersama dan tiba-tiba terpaksa berpisah, memang saya rasa sedih. Kalau dulu, setiap hari dia ada bersama tapi lepas kawan turut jaga anak pertama saya, Mukhlis, kami berdua gilir-gilir jaga.
Sebab sedih tak dapat selalu jumpa, adik perempuan saya pergi carikan anak angkat yang baru pula untuk saya secara sah. Dari situlah, saya mula ambil anak angkat kedua sampai anak yang kelima. Masa sudah ada anak dua, majikan beritahu yang dia mahu ambil anak angkat juga sebab belum dapat anak lagi.
Tapi bila saya sudah dapatkan bayi untuk diambil sebagai anak angkat dan selamat dilahirkan, lain pula jadinya sebab majikan saya tadi cakap yang dia belum bersedia. Tak mahu hampakan keluarga bayi tersebut, saya lapangkan dada untuk jaga anak kembar mereka sekaligus jadi anak ketiga dan keempat. Alhamdulillah.
Ingatkan sampai takat itu saja tapi rupanya Allah hendak bagi rezeki anak angkat lagi dekat saya. Hendak dijadikan cerita, ada seorang kawan bawa wanita yang sarat mengandung ke rumah saya pukul 2 pagi.
Seminggu kemudian, dia bersalin dan sama seperti kes sebelum ini, suami isteri yang mahu ambil anak angkat mungkir janji. Sudahnya, saya yang ambil anak ini dan bawa ibunya sekali untuk tinggal bersama.
Jujur saya beritahu, ambil anak angkat ini bukan mudah sebab banyak proses yang perlu dilakukan. Kena berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memaklumkan yang kita sudah mengambil anak angkat.
Kemudian perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara pula untuk tanda tangan beberapa dokumen oleh ibu bayi terbabit sebelum diserahkan kepada ibu bapa angkat. Selepas tempoh 2 tahun, barulah secara rasminya proses pengambilan anak angkat selesai.”
Bayangkan tanpa bantuan insan bergelar suami waktu itu, Sha teguh menguruskan segala keperluan anak-anak seorang diri. Baginya, itu adalah kepuasan yang dicari selama ini. Berkongsi kasih bersama anak kecil yang memerlukan!
Ibarat pelangi selepas hujan, tanggal 25 Disember 2017 tugas yang digalas Sharifah Aminah selama ini dikongsi bersama lelaki bergelar suami. Selamat mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan keluarga, Muhamad Anizan Kadir… wanita berjiwa murni ini mengakui hidupnya lebih sempurna sekarang.
Apatah lagi hasil perkongsian hidup bersama suami tercinta, Sha dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan iaitu Wan Shakyra Aareefa, 2 tahun dan anak bongsu yang mesra dengan nama panggilan, Deqbie Tyra setahun.
Membahasakan diri dengan gelaran Umi ketika berada bersama anak-anak, Sha juga tidak terlepas daripada persepsi negatif masyarakat yang menganggap usaha murninya itu semata-mata mahu menyembunyikan status diri.
Meskipun terkadang timbul sekelumit rasa benci dengan tohmahan khalayak, wanita cekal ini membulatkan hati untuk terus memperjuangkan nasib anak kesayangan.
“Tak dinafikan saya terima banyak feedback orang ramai tentang hal ini. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang mengata serta menjaja cerita. Kononnya saya yang melahirkan anak ini dan terpaksa menyorokkan mereka kerana saya sudah berkahwin dan menjadi isteri kedua.
Saya tak mahu ambil peduli dengan cakap-cakap orang luar. Cukuplah ahli keluarga sokong dan menerima anak saya seperti darah daging sendiri.
Alhamdulillah, semua anak-anak disusukan adik perempuan saya. Jadi kepada wanita yang ada keinginan mengambil anak angkat; jaga, sayangi dan lindungilah mereka macam anak sendiri. Jangan sesekali abaikan kerana mereka adalah amanah Allah… walaupun hakikatnya kita bukan insan yang melahirkan mereka ke dunia.
Paling penting, ambil anak dengan prosedur yang betul dan sah di sisi undang-undang supaya nasib mereka akan terbela kelak,” pesannya yang kini bahagia di samping suami tercinta dan tujuh orang anak.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Wanita kecil molek dari Kota Bharu, Kelantan ini bukan calang-calang orangnya. Bukan sahaja sentuhan solekannya menjadi rebutan selebriti dan bakal raja sehari, tetapi lontaran komentarnya memberikan ‘bisa’ untuk seseorang itu terus belajar dari kesilapan. Tidak hairanlah mengapa Robaeha Ramza Ramli, 33, atau lebih dikenali sebagai Bee Ramza begitu disenangi ramai.
Diberikan kelebihan untuk menata rias wajah serta membuat penggayaan tudung buat mereka yang berhijab, Bee Ramza memulakan kerjaya sebagai jurusolek hanya bermula apabila dia menyolek rakan baiknya di universiti.
Sebagai pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (Biologi) di Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Bee Ramza lebih mendekati dunia solekan selepas aktif menyerati aktiviti kebudayaan dan teater di sana. Dia dianggap pemecah tradisi kerana menjadi pelajar biologi pertama yang ‘terjebak’ dalam aktiviti seni yang biasanya dimonopoli pelajar jurusan seni.
Permulaan kerjaya anda dan berapa tahun berada dalam dunia solekan?
Pengantin pertama pernah saya solek adalah sahabat baik saya semasa belajar di Universiti Sains Malaysia, pada tahun 2009. Sejak dari itu saya mula mengambil tempahan untuk menyolek pengantin yang terdiri daripada rakan-rakan terdekat dan ahli keluarga sebagai permulaan tapak.
Saya mula menjadi jurusolek sepenuh masa bermula pada tahun 2013 selepas kerja terakhir saya sebagai Make Up Artist di MAC cawangan KLCC selama setahun. Tahun 2020, saya sudah memasuki tahun ke 11 sebagai jurusolek.
Bagaimana minat bermula sebagai jurusolek?
Minat ini bermula apabila saya aktif menyertai aktiviti kebudayaan & teater di USM Pulau Pinang. Sebagai seorang pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat (Biology) saya memecah tradisi kerana sentiasa menyertai dan mewakili aktiviti kebudayaan yang biasanya dimonopoli pelajar Seni.
Untuk membawa watak yang berbeza-beza semasa berlakon teater saya mula mengeksperimentasi menggunakan produk-produk yang boleh didapati di drugstore. Bermula dari itu, rakan-rakan mula memberi kepercayaan untuk menyolek mereka untuk setiap persembahan.
Sebaik sahaja tamat pengajian, saya diberi kepercayaan pula menjadi jurusolek kepada salah seorang rakan untuk majlis pertunangan, akad nikah dan persandingan. Sejak itu, saya mulai serius mengambil tempahan solekan pengantin.
Bagaimana penerimaan keluarga apabila anda memilih untuk menjadi jurusolek?
Alhamdulillah, keluarga saya menerima dengan baik pilihan kerjaya saya walaupun pada mulanya majoriti menyuruh saya menyambung pelajaran supaya saya tak meneruskan niat menjadi jurusolek. Pada awalnya saya menjadi jurusolek cuma pada hari minggu dan bekerja sepenuh masa pada hari biasa sehingga saya mengambil keputusan untuk menjadi jurusolek sepenuh masa selepas mendirikan rumahtangga.
Pengalaman mula-mula menyolek bakal pengantin?
Mendebarkan dan teruja! Nasib baik kebanyakan pengantin yang disolek pada awalnya adalah kenalan rapat atau sedara mara yang sudah dikenali jadi proses menyiapkan pengantin lebih mudah dan lancar.
Nama anda begitu dikenali dan sering menjadi pilihan bakal pengantin. Bagaimana anda terus mampu terus kekal menjadi jurusolek pilihan bakal pengantin?
Alhamdulillah walaupun jauh disudut hati saya rasa perjalanan saya masih jauh lagi. Terus konsisten dan jangan mudah mengalah. Saya percaya kepada rezeki Allah dan pastinya orang yang sentiasa bersangka baik, positif dan kuat berusaha akan dipermudahkan rezekiNya.
Menjadi seorang jurusolek pada zaman sekarang bukan sekadar memberi servis yang baik, tapi perlu juga up-to-date dalam menyampaikan hasil kerja di medium media sosial. Produk yang digunakan harus sentiasa upgrade dan kualiti servis perlu ditingkatkan mengikut trend dan peredaran masa.
Siapakah idola anda dalam kehidupan? My ultimate idol adalah arwah ayah saya, Dr Hj Ramli bin Hj Idris. Seorang yang saya percaya berjaya dalam membangunkan keluarga dan kerjaya beliau. Ayah saya sentiasa memberikan semangat kepada anak-anak dan ahli keluarga. Menjadi tulang belakang dan pembakar semangat untuk anak-anak terus bersemangat mengejar cita-cita. He didn’t get to see me where I am now, but I’m so sure he’d be proud of me, InsyaAllah.
Bagaimana anda mengekalkan kedudukan anda sebagai jurusolek kini?
Tetapkan target anda. Konsisten dan sentiasa merendah diri. Bidang servis bukan tempat perlumbaan skills semata-mata, bagi saya both soft skills dan hasil kerja akan memberi impak kepada seseorang jurusolek. Sentiasa up to date dan upgrade supaya kita menjadi trend, bukan mengikut trend.
Pada pendapat anda, apakah kelebihan anda dalam solekan?
Saya masih ada banyak kekurangan. Tapi saya melihat kelebihan saya yang boleh memenuhi pelbagai permintaan dan mempunyai hasil solekan timeless sebagai bonus di dalam industri ini. Kepelbagaian dan variasi teknik solekan yang mampu mengubah atau mengekalkan wajah asal orang yang disolek.
Kadang-kadang saya berasa bangga apabila hasil solekan saya boleh dicam oleh orang ramai tanpa perlu diberitahu, maksudnya kita sudah berjaya mengunci satu signature look yang sudah dikenali ramai. Alhamdulillah.
Bagaimana anda melihat kemunculan jurusolek ‘instant’ kini dan adakah anda melihat itu sebagai satu cabaran atau persaingan? It is expected. Dengan kemudahan dan kepantasan dunia moden ini. Tapi saya melihatnya sebagai satu persaingan yang boleh digunakan untuk boost forward. Kita akan rasa down kalau melihat situasi ini sebagai cabaran. Seeloknya cuba blend in dan sama-sama melalui proses itu. Jurusolek ‘instant’ biasanya mempunyai fokus dan matlamat yang berbeza dengan jurusolek yang menjadikan solekan sebagai kerjaya.
Nasihat anda kepada bakal jurusolek yang ingin menceburi bidang ini?
Sentiasa bersedia dan bersabar. Proses pembelajaran tanpa henti, so don’t stop learning.Stay humble dan sentiasa percaya pada diri sendiri dan rezeki Allah.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!