Satu demi satu jenayah seksual melibatkan hubungan sejenis dan liwat dilaporkan saban hari. Dan di antara yang paling tular mengejutkan rakyat Malaysia adalah kes penderaan seksual seorang bapa terhadap anak daranya sendiri yang kini berumur 15 tahun.
Naluri seorang ibu, Nona sendiri cukup terkesan dengan laporan kes keji ini. Heboh diperkatakan, suspek telah didakwa dengan 626 pertuduhan termasuk 600 kali meliwat, merogol dan melakukan perbuatan seksual fizikal ke atas anak kandungnya hari ini.
Kegilaan bapa itu memang di luar jangkauan fikiran, apabila dia tergamak melakukan perbuatan keji tersebut hampir setiap hari di bulan Ramadan termasuk pada 1 Syawal. Lelaki durjana tersebut turut dilaporkan meliwat anaknya tiga kali sehari bermula Januari lalu.
Apakah manusia semakin hilang pertimbangan dan perikemanusiaannya? Tidakkah kita belajar dari sejarah kaum Nabi Luth dan azab bencana yang Allah turunkan kepada mereka?
Kaum Nabi Luth Lahir Semula?
Kes hubungan songsang, perkahwinan sejenis dan LGBT kini merupakan fenomena sosial yang amat menakutkan. Barangkali sudah ramai yang lupa kisah kaum Nabi Lut ini? Ayuh ulang kaji malam ini.
Luth bin Haran bin Tarah (Azar) adalah anak saudara Nabi Ibrahim. Luth adalah antara orang beriman yang mengikut Nabi Ibrahim berpindah dari Babylon ke Palestin dan Mesir. Kemudian Nabi Luth mendiami kota Sadum (Sodom) di wilayah Jordan.
Namun, penduduk kota itu berakhlak keji, malah mereka derhaka dan kufur dengan nikmat Tuhan. Kegiatan merompak barangan yang dibawa kafilah dan mengunjungi pusat maksiat menjadi darah daging mereka. Lebih menjijikkan mereka mengamalkan liwat (homoseks).
Nabi Luth menasihati kaumnya supaya meninggalkan perkara maksiat, sebaliknya beriman kepada Allah dan mengingatkan mereka mengenai azab yang bakal diturunkan jika terus bergelumang dengan perbuatan keji itu.
Kaumnya tidak pedulikan nasihat itu, Malah berani memberi amaran kepada Nabi Luth: “Jika kamu tidak berhenti memperlekehkan kami, kami akan mengusirmu dari negeri ini.” Luth berkata: “Sesungguhnya aku mengingkari dan benci perbuatan yang kamu lakukan.”
Ads
Seterusnya mereka mencabar Nabi Luth dengan berkata: “Jika benar dengan azab yang kamu ancam ke atas kami, segerakanlah dan datangkan ia kepada kami.”
Mendengar perkataan mereka, Nabi Luth berdoa kepada Allah. Dalam Al-Quran dijelaskan, maksudnya: “Luth berdoa, wahai Tuhanku, tolonglah aku dengan menimpakan azab ke atas kaum yang melakukan kebinasaan itu.” Doa Nabi Luth diterima Allah, lalu diutuskan-Nya beberapa malaikat untuk menurunkan azab ke atas kaumnya.
Sebelum itu, malaikat berkenaan mengunjungi Nabi Ibrahim dan memberitahu tujuan kedatangan mereka. Nabi Ibrahim berkata: “Ya Allah, di dalam negeri itu ada Luth dan bagaimana dengan beliau jika negeri itu dimusnahkan?”
Perkara ini dapat diperhatikan melalui al-Quran, maksudnya: “Berkata Ibrahim; sesungguhnya di kota itu ada Luth. Malaikat berkata: “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami akan menyelamatkan dia dan pengikutnya, melainkan isterinya, dia termasuk orang yang tertinggal, dibinasakan.”
Setelah mengunjungi Nabi Ibrahim, tidak berapa lama selepas itu malaikat dengan menyamar sebagai lelaki yang tampan pergi ke Sadum. Sampai di Sadum, mereka berjumpa dengan anak perempuan Luth.
“Wahai saudari, sudikah saudari menerima kami sebagai tetamu keluargamu?” ujar salah seorang daripada tiga malaikat yang menjelma sebagai pemuda tampan bertubuh sasa itu.
Si gadis yang sedari tadi begitu leka mencedok air dari perigi itu terkejut. Hampir sahaja timba yang sedang dipegangnya lucut ke dalam perigi. Wajahnya menjadi pucat. Lidahnya serta-merta kelu.
Ads
Dia tidak dapat berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba diserang bimbang. Kebimbangan yang bukan disebabkan oleh kehadiran pemuda-pemuda kacak di hadapannya itu. Tetapi kerana dia telah dapat mengagak apa yang bakal berlaku sekiranya mereka diterima bertamu di rumahnya.
Anak gadis Nabi Luth itu cukup arif dengan amalan buruk warga Sadum yang pantang melihat lelaki muda, berwajah tampan dan bertubuh sasa.
Demi mendengar kedatangan tiga tetamu muda remaja itu, Nabi Luth mula gusar dan berasa tidak tenteram. “Ini adalah hari yang amat sulit bagiku,” kata Nabi Luth.
Nabi Luth yang pada mulanya tidak mengetahui tetamu itu adalah malaikat berasa cemas kerana bimbang mereka yang berwajah lelaki begitu tampan itu menjadi mangsa kaumnya yang bernafsu gila iaitu homoseksual.
Kepada isteri dan puteri-puterinya dipesan agar perkara itu dirahsiakan, jangan sampai tersebar kepada orang ramai. Kelak mengundang bahaya yang besar.
Malangnya, si isteri tidak mampu berlaku setia. Dihebahnya berita perihal tetamu-tetamu mereka kepada kaumnya. Berita kedatangan tetamu (malaikat) itu diketahui kaumnya, lalu ramai kalangan mereka pergi ke rumah Nabi Luth, semata-mata untuk melakukan perbuatan terkutuk itu dengan tetamu Nabi Luth.
Apabila kaumnya berkumpul di pekarangan rumahnya, Nabi Luth cuba menghalang mereka daripada melakukan perbuatan terkutuk itu dengan menawarkan anak perempuannya untuk diperisterikan, supaya tetamunya itu tidak diusik.
Ads
Kaum Luth langsung tidak mengendahkan larangannya, malah berkata: “Sesungguhnya kamu tahu kami tidak mempunyai selera sedikit pun terhadap anak perempuan kamu. Sesungguhnya tidak ragu-ragu lagi, kamu tahu apa yang kami inginkan.”
Seketika keadaan di pekarangan rumah Nabi Luth kacau-bilau. Nabi Luth gagal mententeramkan kaumnya yang dahagakan hubungan sejenis daripada tetamunya itu. Tanpa berlengah malaikat yang menyamar sebagai tetamu itu terus membutakan mata mereka.
Perkara ini diceritakan Al-Quran: “Dan sesungguhnya mereka telah memujuknya (agar menyerahkan) tetamunya (kepada mereka), lalu Kami butakan mata mereka, maka rasakanlah azab-Ku dan ancaman-Ku.”
Selepas itu tetamu berkenaan memperkenalkan diri kepada Nabi Luth mereka sebenarnya malaikat. Kedatangan mereka semata-mata untuk menghancurkan kaum Luth. Ketika itu juga Luth diminta membawa bersama ahli keluarganya keluar dari negeri berkenaan pada waktu malam.
Al-Quran memperjelaskan: “Utusan malaikat berkata; wahai Luth, sesungguhnya kami adalah utusan Tuhanmu. Sekali-kali mereka tidak dapat mengganggu kamu. Oleh itu, pergilah dengan membawa keluarga dan pengikut kamu pada lewat malam.
Dan janganlah ada seorang pun antara kamu yang tertinggal, melainkan isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa azab kerana saat jatuhnya azab ke atas mereka adalah pada waktu Subuh. Bukankah Subuh itu sudah dekat?” Kaum Luth ditelan bumi
Kemudian azab yang ditunggu kaum Luth menimpa mereka. Kehancuran mereka pada waktu Subuh dalam keadaan sungguh dahsyat kerana bumi negeri itu diterbalikkan.
Mereka turut ditimpa batu daripada tanah keras dan terbakar. Al-Quran menyebut azab yang menimpa mereka: “Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang keras.” Norzalina Mohd Alias
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Terhibur tengok telatah manja dan comel anak kesayangan Elisya Sandha, Bunga Elhaq. Genap berusia setahun pada 18 Jun 2022, kecomelan bayi perempuan ini kian terserlah dan mewarisi gen pelakon jelita berkenaan.
Walau masih kecil nama Bunga Elhaq mula dikenali ramai kerana bukan hanya berstatus anak selebriti. Bahkan dia juga cucu sulung pengarah dan pelakon popular, Sheila Rusly.
Elisya atau nama sebenarnya Nur Elisya Sandha merupakan adik kepada Fasha Sandha. Dramatis ini mendirikan rumah tangga dengan anak lelaki Sheila Rusly iaitu Uzair Haqimy atau dikenali sebagai Haq pada 21 Ogos 2021.
Difahamkan nama Bunga diberi oleh nenda tersayang, Sheila Rusly manakala Elhaq pula ialah singkatan nama Elisya dan Haqimy. Penuh makna!
Walau sibuk dengan urusan rumah tangga dan mempunyai anak, namun Elisya tetap aktif berlakon dan wajah cantiknya sering menghiasi kempen jenama kecantikan dan produk bayi.
Bergelar ibu pada usia muda ia bukanlah halangan buat Elisya untuk melakar nama dalam industri dan berjaya.
Menerusi perkongsian di media sosial, figura ini mendedahkan realiti sebenar seorang ibu bekerjaya.
“To all the working moms out there! You’re doing great, you are super mom. Penat kerja pun tetap cari masa untuk anak, sekarang faham bila orang cakap bila tengok anak senyum terus hilang rasa penat. I’m working hard for you, Bunga Elhaq.”
Dalam temu bual bersama Nona sebelum ini, Elisya meluahkan hasrat untuk memiliki sekurang-kurangnya tiga cahaya mata. “Kalau boleh rancang nak tiga ke empat orang anak je.
Keluarga saya ramai, saya ada enam adik-beradik dan dah ada lapan anak buah. Suami pula quite small.
Jadi untuk ada tiga ke empat orang tu dah memadai. Memang saya ada banyak impian dan boleh achieve sebab sebab muda lagi. Ada orang kata pregnant muda-muda ni sayang. Susah nak dapat apa yang saya nak.
Saya rasa tu salah sebab rezeki semuanya datang dari Allah dan rezeki tu akan datang bersama usaha. Saya akan berusaha ke arah tu sambil ada anak di sisi. Saya nak jadikan anak tu sebagai semangat untuk saya capai impian yang belum tertunai.”
Moga segala impian Elisya dan Haq dimakbulkan Allah SWT.
Alahai, cair tengok wajah comel puteri sulung Adira Suhaimi bernama Anggrek ini! Mana tidaknya, Anggrek bukan hanya dikurniakan sepasang mata yang cantik dan kulit putih mulus. Malah saling tak tumpah mewarisi kecantikan ibunda tersayang.
Mengintai Instagram Adira atau nama penuhnya Siti Adira Suhaimi, selain berkongsi rutin dan aktiviti seni yang dilakukan setiap hari… Adira juga gemar memuatnaik foto momen bersama anak-anak tersayang. Dan pastinya Anggreklah yang paling banyak menghiasi laman media sosial pelantun lagu Pujaan Hati ini. Baik ketika menemani Adira bekerja mahupun sewaktu berada di rumah, mesti ‘terselit’ wajah comel Anggrek!
Lima tahun melayar bahtera perkahwinan bersama Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali dengan nama Datuk Red pada tanggal 3 Disember 2015, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata comel. Anggrek misalnya merupakan zuriat sulung mereka yang lahir pada 10 Mac 2017 dan kini berusia tiga tahun.
Mengimbas detik kelahiran Anggrek, anak kecil berkenaan dilahirkan secara pembedahan dengan berat ketika itu 3.2 kilogram. Menariknya, nama Anggrek merupakan pilihan Adira sendiri.
Ujarnya, “Nama Anggrek dipilih kerana saya meminati bunga klasik itu dan sudah lama menyimpan Hasrat untuk menamakan anak sulung dengan panggilan ringkas tersebut.”
https://www.instagram.com/p/CDGFUyhjpQh/
Kalau amati nama ketiga-tiga anak Adira memang kesemuanya ringkas, klasik dan bermula dengan pangkal huruf ‘A’. Selain Anggrek, anak kedua Adira yang juga anak lelaki yang lahir pada 9 September 2018 dinamakan Asan.
Manakala anak ketiga yang menyambut ulang tahun kelahiran pertama pada 8 Ogos lalu pula dinamakan Anggun. Jelas Adira, selain dirinya, suami tercinta juga menginginkan nama anak yang ringkas dan mudah disebut.
Walau sudah mempunyai tiga orang anak namun penyanyi berusia 29 tahun ini tetap aktif dengan kerjaya seni dan bisnes. Pada 20 Ogos lalu, Adira telah melancarkan single terbaharu berjudul ‘Maaf’. Di samping itu, dia juga ligat memasarkan produk jenamanya sendiri iaitu Adira Rose. Sehingga kini, Adira Rose memiliki rangkaian penjagaan wajah seperti hydrating sleeping mask dan wangian.
Kredit: Instagram Adira Suhaimi
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Alangkah indahnya kehidupan seorang hamba Allah sekiranya menjadikan Al Quran sebagai pendamping setia dirinya, baik dari aspek kehidupan mahupun rohani. Apatah lagi sekiranya berjaya menjadi insan yang menghafaz Al Quran yang mempunyai banyak keberkatan dalam kehidupan.
Ditubuhkan pada 2018, Akademi Al Quran Amalillah atau AKMAL terus terbang tinggi mengembangkan legasi dan empayarnya. Malah kejayaan demi kejayaan diraih menjadi iltizam untuk terus melahirkan Hafiz 30 Juzuk Al-Quran dalam tempoh setahun.
Pada masa yang sama usaha pembangunan akademi ini memiliki enam cawangan serata negeri itu juga semakin disedari.
Ketika ini, akademi terbabit yang beribu pejabat di Marang, Terengganu turut memiliki cawangan di Bukit Beruntung, Batu Pahat, Shah Alam dan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pegawai Operasi AKMAL, Imam Muda Fakhrul
Menurut Ketua Pegawai Operasi AKMAL, Imam Muda Fakhrul, mereka terus optimis mengangkat akademi berkenaan ke tahap yang lebih membanggakan.
“Cabaran ketika era pandemik itu memang sangat besar kerana kebiasaan dan tradisi pengajian Al-Quran itu secara berdepan. Tapi mahu atau tidak, kena biasakan cara belajar dalam talian.
“Bagai rahmat dalam ujian, ia membuka kejayaan besar kerana dengan cabaran tersebut kami berjaya mencipta pelbagai modul baru untuk membantu anak muda mencapai misi untuk menjadi Hafiz 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh satu tahun atau kurang termasuk memperkenalkan pengajian tahfiz secara online.
“Kita bersandarkan konsep Fast Track Tahfiz Strategy menggabungkan sistem hafalan, motivasi harian, kajian pelajar secara bersasar dan kaedah pengurusan psikologi bagi mencapai sasaran dan misi yang diingini,” katanya.
Kata Imam Muda Fakhrul atau nama sebenarnya Mohd Fakhrurrazi Hussin lagi, pada 2019, akademi ini pernah tular apabila seorang daripada 20 pelajar telah berjaya hafiz dalam tempoh lima bulan hingga berjaya mendapat liputan meluas media.
“Kisah tular itu membuatkan permintaan tinggi untuk kemasukan pelajar menyertai akademi ini. Cuma kita akui tak mampu menampung permintaan berkenaan kerana kekurangan kemudahan.
“Hingga kini usaha mengumpul dana untuk pembangunan kompleks tahfiz ini masih berjalan. Cawangan di KLIA juga hampir siap pembangunannya.
“Pada tahun 2020 di era pandemik pun, lebih 100 Hafiz dan Hafizah berjaya khatam 30 juzuk dihasilkan. Jun depan juga kita akan adakan majlis graduasi Haflah Takrimi di Terengganu meraikan lebih 200 golongan itu,” katanya.
Tambah Imam Muda Fakhrul lagi, Mac lalu mereka juga berjaya menganjurkan Majlis Khatam Perdana Hafazan 30 Juzuk Al- Quran membabitkan 75 pelajar yang majoritinya berjaya melengkapkan hafazan kurang setahun diadakan serentak di semua cawangan AKMAL.
“Tempoh khatam itu bermula dari tahun lalu hingga awal 2023. Apa yang menakjubkan kita juga berjaya mencatat rekod baru kejayaan seorang pelajar bernama Iman Mardhiyyah Kamaruzzaman yang berusia 12 tahun. Dia berjaya melengkapkan hafazan 30 juzuk selama tiga bulan lebih sahaja.
“Malah pelajar terbabit juga berjaya melengkapkan syahadah tahfiz dalam tempoh lima bulan menjadikan tempoh lengkap hafiz dan syahadah hanya dalam tempoh 8 bulan lebih. Ia satu pencapaian yang amat luar biasa dan sangat membanggakan.
Gambar hiasan
“Malah kehebatan hafazan dan ingatan Al-Qurannya diuji secara disemak terus bacaan 30 juzuk Al-Quran selama dua hari tanpa melihat Al-Quran. Ia dilaksanakan oleh wakil Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dijemput dan pelajar terbabit berjaya memperolehi keputusan Mumtaz (sangat cemerlang) dari institusi berkenaan,” kata bekas peserta Imam Muda Astro Oasis musim kedua itu.
Ini jelas membuktikan AKMAL bukan hanya menekankan soal menghafal Al-Quran dalam tempoh yang cepat, tetapi turut mementingkan penjagaan hafalan yang berkualiti mengikut sistem yang telah disusun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AKMAL pula iaitu Ustaz Saifullah Hussin, pendaftaran pelajar baharu dibuat secara berfasa iaitu enam bulan sekali.
“Sistem fast track ini diwujudkan kerana mahu membantu menyelesaikan masalah kebanyakan pelajar tahfiz yang mengambil masa terlalu lama untuk menghafal Al-Quran sehingga menyebabkan mereka agak ketinggalan dalam pendidikan arus perdana dan ini memberi kesan negatif kepada imej pelajar tahfiz itu sendiri.
Gambar hiasan
“Kita juga mahu menjadi peneraju konsep fast track hafazan menjelang 2025 sekali gus melahirkan ramai pelajar tahfiz yang berkualiti dan berktrampilan. Kita turut mahu menjadi pelengkap sistem pendidikan negara dalam tempoh akan datang dengan izin Allah.
“Kita mengharapkan agar usaha ini mendapat sokongan semua pihak dan sudah pasti dengan bantuan semua, cita-cita ini akan dapat direalisasikan tidak lama lagi. Bagi yang mahu menyumbang ke pautan www.hafizsetahun.com/infaq
atau mendaftar pengajian boleh layari www.hafizsetahun.com,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!