Adakah perubahan pada tekstur dan warna tahi lalat wajar dirisaukan? Apakah ia satu petanda awal kepada risiko barah kulit dan apakah perawatan yang disyorkan? Begitu juga jika masalah kitaran haid tidak teratur, adakah pil perancang boleh diambil sebarangan?

Nona dapatkan jawapan daripada Dr. Norintan Zainal Shah menjawab segala kemusykilan mengenai kesihatan reproduktif wanita.

IKLAN

(a) TAHI LALAT

Saya mempunyai tahi lalat di bahagian payu dara kanan sejak berumur belasan tahun. Sekarang saya berumur 25 tahun dan baru melahirkan bayi sebulan yang lalu, dan menyusu bayi saya sepenuh masa. Masalahnya, tahi lalat ini semakin gelap warnanya. Adakah ini tanda-tanda barah kulit atau barah tahi lalat di payu dara?

Jawapan:

Masalah tahi lalat dan barah kulit lebih banyak berlaku di negeri-negeri barat. Namun begitu, perubahan-perubahan seperti di bawah memerlukan Puan mendapatkan khidmat nasihat doktor:

1. Saiz semakin besar

2. Perubahan warna.

3. Bentuk tahi lalat yang asal bulat kini tidak menentu atau berubah.

4. Kesakitan di tahi lalat itu.

IKLAN

Perubahan begini akan meninggikan risiko untuk mendapat barah kulit. Oleh itu doktor akan menasihati Puan supaya menjalani pembedahan minor untuk membuang tahi lalat tersebut. Dari situ, ianya akan dihantar ke makmal. Kebanyakan kes sebegini bukanlah barah. Namun untuk memastikan keselamatan Puan, saya ingin menasihatkan agar segera berjumpa dengan doktor kulit yang berhampiran.

(b) DARAH HAID BERKETUL-KETUL

Saya adalah seorang pelajar tingkatan lima. Sejak bulan Januari, saya mendapati kitaran haid tidak teratur serta berlaku pendarahan yang berketul-ketul. Sebelum ini, kitaran haid saya adalah teratur dan tidak banyak darah yang keluar. Doktor telah memberi saya ubat seperti Provera tetapi tidak berjaya. Seorang doktor lain telah menyarankan supaya makan ubat pil perancang, tetapi saya khuatir jika ianya menyebabkan saya tidak boleh mengandung di masa hadapan.

IKLAN

Jawapan: 

Adik, kemungkinan suasana sekolah di tingkatan lima penuh dengan stres, ini mungkin salah satu faktor kenapa kitaran haid berubah. Ada pelbagai ubat yang boleh dicuba untuk mengurangkan darah haid yang keluar berketul-ketul tersebut. Penggunaan hormon seperti Provera dan Norethisteron bertujuan menipiskan dinding rahim. Namun jika tidak berjaya, adik boleh mencuba ubat yang bukan hormon pula.

Ubat NSAIDs seperti Ponstan (mefenamic acid) juga boleh mengurangkan darah haid yang keluar, selalunya diberikan pada hari pertama hingga hari ketiga haid. Ianya juga berguna bagi mengurangkan kesakitan hari-hari haid anda, jika ada. Ubatan lain yang boleh dicuba ialah Transamin (tranexamic acid) dimana ianya juga dimakan pada hari pertama, kedua dan ketiga ketika haid. Ubat ini mampu ‘menstabilkan’ salur darah di dinding rahim di mana pendarahan haid berlaku.

Jika masih tidak berjaya, barulah mencuba pil perancang keluarga. Terdapat pelbagai pil perancang keluarga di pasaran (juga dikenali sebagai OCP iaitu ringkasan kepada oral contraceptive pills). OCP adalah pil yang dibuat dari 2 jenis hormon – iaitu estrogen dan progesteron. Ianya tidak menyebabkan kemandulan. Namun mereka yang makan pil OCP boleh mengalami kesukaran untuk megandung JIKA pada asalnya mereka tergolong dalam golongan wanita yang kurang subur.

Kebaikan pil OCP adalah, haid akan menjadi teratur, darah haid yang kelaur akan berkurangan. Sakit ketika haid juga berkurang. Pesakit yang menggunakan OCP menunjukkan tahap hemoglobin dalam darah mereka semakin baik. Seterusnya pembelajaran dan kosentrasi ketika belajar semakin baik juga. Oleh itu, ikutilah nasihat doktor, semuga kitaran haid adik akan semakin baik.