
Bukan semua orang mahu membuka rumah mereka kepada umum, namun Nona cukup bertuah kerana personaliti anggun asal Kelantan ini sudi menerima kunjungan kami. Kalau nak tahu Datin Isma merupakan pengasas kepada produk kecantikan Tia Amelia dan juga Masak With Passion. Kehebatan beliau di dapur dalam menyediakan pelbagai jenis juadah telah menarik minat warga media sosial untuk mengikuti perkembangannya. Bayangkan di laman instagram peribadi beliau memiliki lebih 166 ribu pengikut! Manakala di laman Instagram Masak With Passion pula, halaman ini memiliki lebih 205 ribu pengikut yang setia menonton setiap video masakan yang dihasilkan.

Penulis pernah beberapa kali mengikut tunjuk ajar video masakan yang disediakan Datin Isma dan hasilnya cukup memuaskan, memang menjadi. Berkongsi semua resipi di laman sosial, penulis tertanya-tanya. Bukankah itu seperti sudah memberikan rahsia masakan dari perniagaan ini?
Jawab beliau pantas, “Saya langsung tidak rasa rugi berkongsi resipi sebaliknya saya gembira apabila ada yang menghantar mesej di Instagram berterima kasih kepada saya kerana tidak kedekut ilmu. Bagi saya ilmu yang saya ada ini bukanlah besar mana pun, tidak luak jika saya berkongsi. Bukankah berkongsi ilmu itu satu perbuatan yang dianjurkan oleh agama kita. Saya rasa gembira dapat membantu wanita-wanita yang tidak pandai memasak namun akhirnya mereka pandai kerana mengikut tutorial video di Instagram saya sehinggakan suami mereka memuji kebolehan mereka memasak dan meminta lagi mereka masak resipi tersebut.”
Nak kenal lebih lanjut dengan Datin Isma Rohaiza? Jom tonton Lensa Nona di laman Youtube majalah Nona serta jangan lupa untuk mendapatkan majalah Nona keluaran September 2017 yang sudah berada di pasaran.
Foto & Video: Ahmad Shahir Osman
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Meriahnya Rumah Keluarga Datin Norjuma, Bila Raya Macam Ada Pesta!

Sebut saja Aidijuma pasti ramai yang mengenali wanita hebat di sebalik jenama tudung bawal terkenal ini. Meniti usia 37 tahun, Datin Norjuma Habib Mohamed yang pernah dinobat Juara Pengacara Jemputan Nona 2002 bijak merencana hala tuju syarikat sejak tujuh tahun lalu hingga berjaya memiliki 21 concept store di seluruh Malaysia dan sebuah concept store di The Mall, Brunei Darussalam.
Kurang seminggu saja lagi untuk menyambut Syawal dan seperti individu lain, Datin Norjuma turut teruja pulang ke kampung halamannya di Bayan Baru, Pulau Pinang. Selesa beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu, ibu kepada tiga cahaya mata lelaki ini sememangnya tidak sabar meraikan kemeriahan Hari Raya bersama keluarga tersayang.
“Mengenai juadah raya, kami sekeluarga masih mengekalkan hidangan sama tiap-tiap tahun iaitu Nasi Tomato Ayam Merah. Sambut raya semestinya di Kuala Lumpur dulu kemudian baru balik ke Pulau Pinang. Pada sebelah pagi selepas sembahyang raya, semua ahli keluarga akan ambil peluang untuk bersalam dan bermaaf-maafan.

Kalau tak silap sejak enam tahun sudah, kami mengadakan majlis jamuan makan untuk anak-anak yatim. Ada bermacam-macam jenis makanan kami hidangkan selain bagi duit raya dan barang permainan. Boleh dikatakan perkarangan rumah kami setiap tahun meriah macam fun fair dengan kunjungan anak-anak kurang bernasib baik ini.
Tiba saja raya semuanya harus nampak glamor. Raya harus diserikan dengan acara dan pakaian istimewa. Bahkan sudah menjadi lumrah bagi saya dan adik-beradik untuk wajib memakai mekap. Hari biasa tak pakai mekap tak apa. Kelainan seperti inilah yang menaikkan mood Hari Raya. Persalinan saya untuk Hari Raya pula tetap dengan baju kurung cotton, tudung bawal dan solekan cantik dan kemas.
Ibaratnya Hari Raya kami sudah jadi seperti pesta baju. Pagi raya baju lain, pergi sembahyang pakai baju lain dan bila keluar beraya pun kami tukar pakai baju baru. Dengan anak-anak pun saya memang menggalakkan mereka supaya anggap raya sebagai satu perayaan besar.
Saya percaya kanak-kanak yang sihat adalah mereka yang sambut pelbagai jenis keraian. Satu lagi keistimewaan raya bersama keluarga adalah bila semua orang pakai baju sedondon. Baru rasa kebersamaan antara satu sama lain,” kata Datin Norjuma sambil tertawa mengimbas kenangan memborong segulung kain baju raya untuk seluruh kaum keluarganya.

Terang Datin Norjuma, untuk menyerikan lagi sambutan Aidilfitri, keluarganya pasti tidak ketinggalan membakar kek dan membuat biskut raya yang dipanggil Biskut Denmark. “Antara senarai wajib lain yang kami buat sepanjang raya ialah memakai inai pada malam raya, bermain mercun dan bunga api. Tak kiralah yang masih kecil atau dewasa semua turun padang. Memang meriah. Aktiviti pakai inai malam raya ini mulanya ketika saya kanak-kanak lagi dan rumah datuk waktu itu ada tanam inai. Dari situ kami terus amalkan memakai inai sampai sekarang terutamanya bila dapat berkumpul beramai-ramai sambil berborak.”
Dalam perkembangan terkini, beliau juga bakal berkongsi pemilikan portal online terkenal di Indonesia sebelum memuktamadkan perjanjian perniagaan dengan portal online dari Turki dan United Kingdom. Patutlah anak kelahiran Pulau Mutiara ini sering menjadi inspirasi dan ikon Muslimah di kalangan wanita di luar sana!
Klik video eksklusif di bawah ini untuk kisah-kisah di belakang tabir penggambaran cover Nona Julai 2017. Memang meriah!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bersalin di Amerika, Nikita Willy & Indra Priawan Kembali Ke Jakarta. Bilik Bayi Tema Safari Sambut Kepulangan Baby Issa

Siapa yang tidak kenal dengan selebriti Nikita Willy selebriti Indonesia yang terkenal sebagai pelakon dan ahli perniagaan yang berjaya. Bukan setakat itu sahaja, Nikita Willy antara selebriti yang sering mempamerkan percutian ke luar negara dan boleh dikatakan telah banyak negara di muka bumi ini telah dijejakinya.

Di laman Instagram miliknya, Nikita sering memaparkan koleksi foto percutian bersama suaminya sebelum mereka mendirikan rumahtangga lagi. Nikita Willy rasmi disunting Indra Priawan Djokosoetono pada 16 Oktober 2020 lalu. Untuk rekod, Indra merupakan pewaris syarikat teksi terkemuka Indonesia, Blue Bird Group.


Indra Priawan merupakan pewaris Blue Bird Group, perusahaan teksi Blue Bird yang sudah beroperasi di Indonesia lebih dari 40 tahun. Sebelum perkhidmatan pengangkutan secara online diperkenalkan, teksi biru ini jadi salah satu pengangkutan utama di Indonesia. Lulusan Universitas Indonesia jurusan Teknik Mesin 2013 turut mempunyai beberapa perniagaan yang diusahakan di bawah nama PT Indra Investama.

Tidak hanya mengabadikan di laman media sosial peribadi, Nikita dan suaminya, Indra Priawan turut menyusun dengan rapi foto-foto perjalanannya ke perbagai negara di salah satu dinding di kediaman mewah pasangan ini yang terletak di Jakarta Indonesia.
Umum mengetahui Nikita selamat melahirkan anak sulung pada 8 April 2022 yang lalu. Lebih istimewa, bintang Indonesia ini memilih melahirkan bayi lelakinya di Amerika Syarikat.


.Bayi lelaki yang diberi nama Issa Xander Djokosoetono lahir dengan berat 3.25kg disambut oleh Dr Thais Alia Badi, doktor berkenaan turut menyambut kelahiran bilionair muda, Kylie Jenner. Cedar-Sinai Medical Centre sering menjadi pilihan selebriti A -lIst Hollywood menyambut kelahiran anak antaranya termasuklah Kim Kardashian, Beyonce, Kate Hudson, Pink dan Victoria Beckham.
Terdahulu, Nikita dan Indra memilih untuk menetapseketika di Los Angeles sebelum kembali ke Jakarta pada awal Ogos lalu selepas anaknya mencecah usia 4 bulan. Sejak akhir tahun lalu, Nikita dan Indra Priawan tinggal sementara di Amerika Syrikat hingga putranya, Issa Xander Djokosoetono lahir dan cukup umur untuk pulang ke Indonesia.
Kepulangan Indra dan Nikita sememangnya menjadi saat paling istimewa buat keluarga besar mereka yang tidak sabar menatap wajah mungil Issa Xander Djokosoetono atau diberi gelaran Baby Izz. Tidak cukup dengan itu, nampaknya peminat teruja setiap kali Nikita memuat naik kisah Baby Izz termasuklah dekorasi bilik si kecil yang bertemakan safari.


Bertema safari, kamar baby Izz didominasi warna nude dan coklat. Bukan hanya itu, kamar baby Izz juga banyak dihias dengan boneka dan soft toy bertemakan haiwan. Berbagai kelengkapan dengan nuansa hutan dan haiwan menghiasi kamar Baby Izz yang nampak selesa dan nyaman.


Beruntungnya Baby Izz dilahirkan dalam keluarga berada yang mementingkan keselesaan. Lebih selesa membahasakan diri sebagai ibu, Nikita Willy tidak sabar melihat buah hati kesayangannya membesar di depan mata dan sepakat memilih mengasuh anak mengikut acuan yang diterapkan oleh dia dan suaminya.
Foto: Koleksi Instagram @nikitawillyofficial94
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Letakkan Diri Anda Di Tempat Mereka Sebagai Doktor Atau Jururawat…” Kiffy Razak

Saya percaya di malam yang sepi ini, ramai di atara kita terus menadah tangan berdoa dan memohon kepada Allah SWT, meminta belas kasihannya untuk mengembalikan suasana sihat di dunia ini, hapuskan dan lenyapkan virus corona di muka bumi ini. Yang menyimpan terlalu lama dalam hati segala kerisauan mungkin tidak berdaya lagi mampu menahan jiwa sebak bersama emosi tegang lalu air mata bercucuran. Luahkanlah tangisan itu dan cerita segala apa yang tersimpan kepada-Nya, merayu dengan bersungguh-sungguh untuk memohon agar dikembalikan kedamaian pada bumi ini… Aamin.
Jika kita boleh mengikut arahan yang telah diperintahkan oleh kerajaan, mengapa tidak kita bersatu hati untuk berdoa bersama-sama meminta pada Allah SWT. InsyaAllah, Allah Itu Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun. Allah menciptakan kita dan kepada-Nya jua kita akan kembali. Pastinya kita tidak akan terlepas daripada semua ujian dan dugaan yang Allah berikan, bukan untuk hanya pada seorang individu malah kesulitan itu buat semua makhluk muka bumi ini. Dan kita mula fikir tentang kesilapan diri, salah orang lain, mengapa dan bagaimana semuanya ini berlaku.
Posted by Nona on Tuesday, March 24, 2020
Namun begitu, walau dalam apa keadaan kesengsaraan atau kesakitan yang amat sangat, janganlah mudah kita merasa kecewa dan berputus asa atau harapan sehingga memudaratkan diri sendiri. Selain berusaha menanganinya, kita harus bersabar dan mnggunakan akal waras untuk terus berfikir dalam usaha untuk menjalani kehidupan hari-hari seterusnya. Selebihnya kita perlu tawakal kepada Allah SWT.
Kita di rumah ini merasa kebosanan dan tertekan dengan pelbagai perkara bermain di minda tetapi percayalah di luar sana, lebih ramai menghadapi kesukaran dahsyat. Bayangkan penduduk kita yang berada di luar negara masih tersangkut di sana, punya kesulitan untuk dibawa pulang ke tanah air. Betapa gundahnya hati dan perasaan mereka. Bayangkan makcik tua tinggal di rumah usang tanpa suami dan anak hanya mengharapkan jualan nasi lemak di pagi hari. Kini tiada lagi punca rezeki hanya menunggu bantuan yang diberikan.
Bayangkan mereka yang tidak berdosa terkena virus dahsyat ini, segalanya hancur, tambah dengan rasa bersalah pabila diheret keluarga dan insan tersayang dalam keadaan ini. Yang mungkin penghujungnya adalah mati. Oh! Jika tidak punya kekuatan, kesabaran dan keimanan yang kuat segalanya boleh jadi gila dan tidak terkawal dibuatnya. Maka teruslah berdoa untuk diberi kesabaran pada hati, teguhkan keimanan dan janganlah condong hati ini pada kesesatan dan kehancuran.
Saya tersentuh membaca perkongsian oleh seorang doktor di laman sosialnya. Menurut Dr. Wilson Tiang, “While i was doing my rounds with my gear early morning around 5am. He was ready for his sembahyang subuh and I was waiting for him to complete his prayers. ‘Pak Cik rasa ok ka? (Silently counting his respitarory rate and feeling for this pulse with my hand) Pak Cik put his hand on top of mine. “Ya Allah, lindungilah doktor muda ini dari terkena penyakit ini,” and he prayed for me. And that, makes me the fight worth it.” Dan ramai yang memberi komen terima kasih dan mendoakan beliau untuk kuat dalam menjalani tanggungjawab sebagai petugas di barisan hadapan wabak COVID-19 ini.

Terkadang hanya dengan sebaris doa kita untuk seorang itu sudah cukup untuk dihargai seumur hidup. Doa kita itu mampu memberi kekuatan dan semangat kepada insan lain yang sangat memerlukan ketika ini. Walaupun di wajah mereka tidak menunjukkan rasa tertekan, panik, sedih, marah atau penat dalam melaksanakan tanggungjawab.
Namun ada lagi sebahagian daripada kita tidak menghargai usaha ini. Degil dan ketegaq (loqhat utara) enggan mengikut perintah kawalan yang ditetapkan. Dan ada yang pentingkan diri enggan mengaku telah terkena simptom-simptom virus. Janganlah begitu rakyat Malaysia, petugas di barisan hadapan ini pun ada keluarga yang menanti untuk bersama. Mereka telah tinggal di tempat kerja untuk anda, anda boleh duduk diam di rumah untuk mereka.
Ketika ini juga, cuba letakkan diri anda di tempat mereka yang berada dalam himpunan virus yang terdedah dengan bahaya itu. Mereka di barisan hadapan ini juga manusia seperti kita tetapi tahap kesabaran mereka melaksanakan tanggungjawab sangat tinggi. Bila salah seorang teman lain murung pasti kena ada yang membantu memberi semangat untuk bangun kembali. Kalau salah seorang daripada mereka terkena jangkitan kuman itu, tidak boleh salahkan sesiapa. Bayangkan keadaan itu, mereka tidak boleh berpaling lagi, berjumpa atau melihat suami, anak dan ahli keluargalah. Inilah risiko yang bakal mereka lalui… Oleh itu, janganlah kita pentingkan diri.
Jujurnya saya tidak mempunyai kata terlalu indah untuk diungkapkan kepada semua barisan hadapan ini. Syabas dan terima kasih kepada semua kakitangan KKM, Polis, Tentera, Pengawal Sukarela… Pengorbanan anda semua amat dihargai.
InsyaAllah, saya dan rakyat Malaysia lain akan terus berdoa untuk kesejahteraan kita bersama. Semoga dipermudahkan semuanya dan semoga kita sentiasa berada di bawah lindungan Nya… Aamin.
Stay home, stay safe everyone – Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!


