Mengejutkan, siapa sangka Malaysia – sebuah negara yang terkenal dengan budi bahasa dan adab tatasusilanya kini tersenarai di tangga kedua Asia paling tinggi kes buli di dunia.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes buli di tempat kerja menyumbang kepada pelbagai masalah, termasuk peningkatan risiko kesihatan dan melemahkan prestasi kerja.
Kes buli di tempat kerja berlaku dalam pelbagai bentuk seperti hasil kerja dicuri atau disabotaj, dimalukan atau dipulaukan rakan sepejabat.
“Semua pihak perlu lebih memahami dan menghayati bahawa perbuatan buli bukan sahaja boleh berlaku terhadap pelajar sekolah dan universiti, malah orang dewasa dan berkerjaya pun tidak terkecuali menjadi mangsa.
Buli di tempat kerja juga mungkin melibatkan ugutan, gosip, jenaka yang menyinggung perasaan dan memperkecilkan (seseorang individu).” Tan Sri Dr Noor Hisham
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Seminar Psikologi Kesihatan (PSYCHE 1.0) : Hentikan Buli! Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022, yang dibacakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong.
Tan Sri Dr Noor Hisham berkata walaupun bukan secara fizikal, gejala buli yang dilakukan melalui pertuturan dan gangguan emosi boleh mendatangkan kecederaan kepada emosi seseorang.
“Apa yang mengejutkan, Malaysia berada di tangga keenam tertinggi di dunia dan kedua di Asia dalam masalah buli terutamanya dalam buli siber.
Mungkin juga ramai pembuli tidak tahu bahawa sebarang kandungan berniat jahat di Internet dengan tujuan mengganggu, memprovokasi, mengancam atau menyalah guna adalah suatu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.” Tan Sri Dr Noor Hisham
AKTA
Negara kita telah mewujudkan pelbagai jenis peruntukan undang-undang serta polisi yang berkaitan dengan tempat kerja bagi memastikan semua majikan serta pekerja menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik-baiknya seperti yang telah termaktub dalam Akta Kerja 1955 [Akta 265], Akta Perhubungan Perusahaan 1967 [Akta 177], Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], dan sebagainya.
Selain itu, majikan juga perlu lebih bertoleransi dalam memberi tugasan kepada seseorang pekerjanya termasuk tidak seharusnya membebani mereka dengan pelbagai jenis tugasan di luar kemampuan.
Adalah penting juga pihak majikan merangka Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator/KPI) yang lebih realistik serta sesuai dengan keadaan tempat kerja masing-masing.
Budaya toleransi, kerjasama serta sifat faham memahami antara satu sama lain di antara majikan dan pekerja adalah amat penting bagi mewujudkan sebuah persekitaran tempat kerja yang harmoni, kurang tekanan serta bebas daripada kegiatan pembulian.
Mangsa buli di tempat kerja juga harus berani bersuara terhadap kegiatan buli yang dialami oleh mereka.
Sementara itu menurut Dr Kasemeni, Seminar PSYCHE 1.0 selama dua hari bermula hari ini, merupakan anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) dengan kerjasama Persatuan Psikologi Pantai Timur (PSITIM).
Beliau berkata sebanyak 200 penyertaan dibuka melibatkan pelbagai latar belakang yang mengambil berat berkenaan jenayah buli yang berlaku di mana sahaja.
Katanya antara matlamat seminar itu adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menghentikan budaya buli yang ada dalam masyarakat sekarang sama ada buli di sekolah, di tempat kerja atau di jalan raya.
“Ia juga bertujuan untuk memberi kesedaran tentang peri pentingnya mendapatkan perkhidmatan secara profesional apabila berhadapan dengan isu kesihatan mental yang disebabkan oleh kesan buli,” katanya.