Bersih dan nyaman, beginilah suasana Pusat Pendidikan Al-Barakah milik pendakwah selebriti – Al Fadhil Ustaz Mohd Kazim di Kampung Manjoi, Perak. Pemandangan gunung-ganang menghamparkan sebuah suasana paling damai untuk pengajian pendidikan Islam bagi golongan dewasa mahupun tahfiz.
Bersempena ketibaan Aidiladha, perkongsian Dato’ Ustaz Kazim Elias sebagai penghias cover depan Majalah Nona Julai 2022 mengungkap erti pengorbanan dakwah yang sebenar.
Dalam kesibukan berceramah, menjadi penulis buku dan usahawan, beliau masih terus bekerja keras membangunkan Pusat Pendidikan Al-Barakah sebagai bekalan terakhirnya ke negeri abadi.
Dato’ Ustaz Kazim Elias
25 tahun ‘berlawan’ dengan penyakit sihir, sudah tentulah menjadi sesuatu yang bukan saja berat untuk Ustaz Kazim, malah isteri dan anak-anak sendiri. Sebagai ahli keluarga, penerimaan mereka terhadap keadaan yang menimpa pendakwah segak itu pasti membimbangkan apatah lagi terpaksa melalui pelbagai pengalaman mistik dalam tempoh tersebut.
“Pertama kali saya disihir pada tahun 1997, masa tu kami baru ada anak sulung yang berusia setahun. Isteri saya memang terkejut sebab kami baru kahwin sekitar tiga tahun.
Sebenarnya isteri dan anak-anak dah boleh terima perkara pelik yang berlaku kepada kami. Sudah tiada istilah takut macam sewaktu mereka kecil-kecil dulu. Saya ingat lagi waktu dulu, ramai yang datang nak mengubat, ada yang ziarah saya tiba-tiba kena histeria, bukan seorang dua… tapi ramai.
Anak-anak saya jarang guna nama penuh saya dalam urusan rasmi. Kalau di sekolah atau universiti, lebih senang gunakan bin atau binti Mohd je, bukan Mohd Kazim.
Selain tu kesan sihir terhadap saya pun ‘terkena’ pada anak-anak, contohnya anak keempat saya yang menderita sakit kepala 24 jam sejak umurnya sembilan tahun.
Sekarang dah 20 tahun usianya. Tapi minyak angin sentiasa di genggaman. Pakar-pakar pun buntu kenapa penyakit sakit kepala tu berlaku.” Ustaz Kazim
Segak dalam busana Baju Melayu Wak Doyok Clothing
Ads
Ustaz Kazim seorang yang kelakar dan dermawan
Tonton video penuh Inspirasi Nona bersama Dato’ Ustaz Kazim Elias sewaktu temu bual eksklusif Majalah Nona ke Pusat Pendidikan Al-Barakah baru-baru ini…
Berusia 50 tahun, lelaki asal Perak tu turut menceritakan keadaan menyedihkan yang terpaksa ditempuhi setiap hari sejak 25 tahun lepas.
“Dulu-dulu saya sangat mengharapkan bantuan orang. Bila sakit, saya jadi sangat lemah. Bangun tak boleh. Jalan tak boleh. Tapi lama-kelamaan saya tak boleh duduk diam dan ‘layan’ sakit tu. Sakit pun saya buat kerja. Sekurangnya itu melupakan saya tentang penyakit.
Orang kata, Ustaz Kazim ni sakit. Tapi boleh buat kerja. Ramai yang kurang faham situasi sebenar yang saya alami. Saya hanya dapat tidur bila masuk wad dan jalani operation. Baru saya baring. Tidur selena-lenanya.”
Ads
Ditanya sama ada terkesan dengan tohmahan masyarakat yang mempertikaikan kesahihan penyakit sihir beliau, Ustaz Kazim tenang menjawab…
“Nak percaya atau tidak, jujurnya saya tak terkesan pun. Dan saya tak suruh pun mereka percaya…” Ustaz Kazim
WARISAN
Sebagai kesinambungan Ustaz Kazim sebagai pendakwah selebriti, timbul tanda tanya sama ada beliau ada menurunkan ilmu atau mewariskan pengetahuan agama kepada anak-anak. Mungkinkah ada salah seorang daripada lima cahaya mata Ustaz Kazim yang bakal menjadi pelapis?
“Sebenarnya ada dua orang. Yang lain taknak, barangkali sebab mereka rasa susah melihat apa yang saya lalui.” Ustaz Kazim
Ads
Dalam kesibukan, Ustaz Kazim tetap menumpukan perhatian pada anak-anak
Seronok melihat wajah Ustaz Kazim kala bercerita kejayaan anak-anaknya dalam bidang akademik. Anak sulung dan anak ketiga beliau kini bekerja sekali di Pusat Pendidikan Al-Barakah, melancarkan urusan pejabat serta sebagainya.
Sementara anak kedua ke arah badan beruniform, anak keempat masih menuntut dalam bidang farmasi dan anak bongsu baru selesai mengambil SPM.
Selesai penggambaran, datang seorang anak lelaki kecil ke pangkuan Ustaz Kazim sebelum si comel itu diangkat, dipeluk dan dicium berkali-kali. Inilah cucu kesayangan beliau yang dimanjakan sepenuh hati.
“Sebenarnya tak betul bila orang kata bapa ni segan nak tunjukkan kasih sayang pada anak perempuan. Saya dengan anak-anak perempuan saya sebenarnya sangat mesra. Sebagai bapa, saya selalu akan tanya anak-anak ni dah ada kawan ke belum, berkawan dengan sapa. Saya cakap kalau nak kahwin bagitau.
Memang saya ambil berat setiap pergerakan anak-anak walaupun sibuk dengan tugas. Di media sosial, kami adalah friends tak kiralah di Facebook atau Instagram. Maknanya setiap pergerakan tu saya ambil tahu.
Bahkan sampai sekarang saya masih bergurau dengan mereka. Kadang saya usik mereka, berlakon jadi hantu, bawa anak-anak berjalan, belikan hadiah, beri beg tangan. Walaupun dah besar jadi anak dara sekalipun, saya masih belikan mereka hadiah kemana-mana pun saya pergi. Begitu juga anak lelaki saya.
Kata Saidina Ali RA, kita kena jadi kawan kepada anak kita. Jadi Friends mereka di media sosial. Perhati siapa kawan-kawan mereka. Jangan biarkan kawan tu lebih penting daripada ibu bapa. Kita yang kena ambil tempat kawan tu, jadi tempat mereka mengadu masalah, tempat bercerita, teman berjalan.” Ustaz Kazim
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nampaknya pengasas Huda Beauty sudah mula ‘detoks’ media sosial sejak ketibaan 1 Ramadan pada 24 April lalu. Mengintai laman Instagram usahawan kosmetik berjaya dunia itu, sehingga ke hari ini tiada satu posting pun yang dimuatnaik Huda Kattan di media sosial miliknya sendiri. Walhal, platform seperti Instagram, Youtube, Twitter dan Facebook inilah tempat Huda mempromosikan rangkaian kosmetik hingga berjaya meraih jutaan dollar walau tanpa butik fizikal. Kagum, luar biasa cara Huda meraikan kedatangan Ramadan dan sanggup tolak tepi urusan bisnes semata-mata untuk menghargai golongan tidak bernasib baik ketika ini.
Tanpa berselindung tentang kepercayaan agama yang dianuti dan bulan Ramadan yang disambut seisi keluarganya saban tahun, pada 23 April lepas Huda memberitahu sudah tiba waktunya untuk dia memanfaatkan masa terluang di samping insan tersayang. “Keluarga ialah perkara paling penting dalam hidup saya. Kami melakukan segalanya bersama-sama, namun sempena Ramadan kami mengambil kesempatan ini untuk ‘berehat’ dan meluangkan lebih banyak masa untuk menghargai mereka yang kurang bernasib baik.
Salah satu perkara penting yang saya dan keluarga lakukan pada #MonthOfGood ini ialah dengan memberikan bantuan makanan kepada keluarga yang memerlukan. Ini adalah
perkara utama yang kami sekeluarga ketengahkan setiap kali Ramadan dan ia nyata ‘membuka mata’ ramai pihak. Kadang-kala kita tidak ambil kisah dengan keperluan
asas dalam hidup seperti makanan. Tapi bagi sesetengah orang, ia cukup berharga,” ujar Huda selaku Ketua Pegawai Eksekutif Huda Beauty yang kini menetap di Dubai.
Menelusuri kejayaan Huda Beauty dalam industri kosmetik dunia, Huda Kattan mengakui dia tidak melaburkan duit untuk tujuan pemasaran melalui iklan komersial di media cetak mahupun elektronik, billboard dan sebagainya. Sudah tertulis rezeki usahawan ini, walau tanpa strategi pemasaran pun bisnes mereka mampu ‘berdiri’ sendiri.
Mendekati wanita berjiwa besar di sebalik jenama bernilai jutaan dollar ini, Huda Kattan yang memiliki darah keturunan Iraq kini meniti usia 36 tahun. Keluarganya telah berpindah ke Boston ketika dia baru berumur dua tahun. Memetik laporan Vogue Arabia, Huda dilahirkan pada 2 Oktober 1983 di Oklahoma dan berketurunan Iraq daripada kedua
ibu bapanya yang berhijrah ke United Kingdom untuk mengajar subjek Biologi serta mendalami bidang kejuruteraan mekanikal.
Huda merupakan anak kedua daripada empat beradik. Kakaknya, Alya ialah 10 tahun berusia darinya dan Huda dikurniakan seorang adik perempuan dan lelaki masing-masing
bernama Mona dan Khalid. Semasa tinggal di kejiranan Boston, Huda dikenali dengan nama panggilan ‘Heidi’.
Merujuk kenyataan Huda bersama Vogue pada tahun 2015, “Saya suka dengan nama Huda tapi masyarakat di sana menganggap nama tersebut pelik. Bagaimanapun setelah berpindah ke Massachusetts, rakan-rakan menyambut baik nama Huda. Begitu juga bila mereka tahu saya berketurunan Iraq.”
Ketika melanjutkan pengajian dalam bidang kewangan di University of Michigan-Dearbon, Huda berkenalan dengan Chris Goncalo iaitu suaminya hari ini. Pasangan ini
dikatakan berhijrah ke Dubai pada tahun 2006 dan menyambut cahaya mata perempuan diberi nama Nour Gisele tidak lama kemudian.
Sebelum bergelar usahawan kosmetik berjaya, Huda pernah menjadi make up artist di Hollywood dan mula didedahkan dengan produk kecantikan melalui kakaknya sendiri, Alya.
Figura yang memiliki raut wajah cantik dan bibir mungil ini sudah menjadi blogger sejak tahun 2010 yang seterusnya mencipta populariti di alam maya selepas tip dan petua kecantikannya menjadi viral.
Berdasarkan laporan Vogue, ibu seorang anak ini pernah menjadi jurusolek di Revlon dan bekerja di beberapa syarikat jenama mewah seperti Cartier dan Mercedes. Mengikut laporan Forbes pula, Huda menceburi bidang solekan dan blog selepas dia rasa tidak puas bekerja dalam bidang kewangan.
Tiga tahun bergelar blogger, Huda mendapat inspirasi menghasilkan bulu mata palsu selepas dia sukar mendapatkan produk berkenaan di pasaran. Bermula dari situlah, empayar Huda Beauty yang diterajui tiga beradik ini wujud dan terus berkembang hingga ke peringkat antarabangsa.
Hari ini, rangkaian kosmetik Huda Beauty mempunyai 140 produk yang terdiri daripada set pembayang mata, bedak asas, variasi gincu bibir, kuku palsu dan sebagainya yang dianggarkan mencecah jualan tahunan tidak kurang USD 250 juta. Melihat kejayaan itu, tidak hairanlah Forbes menyenaraikan Huda Kattan antara 2019 America’s Richest Self-Made Women berjumlah USD 610 juta.
Sumber: Forbes & Vogue Arabia
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Walaupun pernah melalui detik ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla, semangat Dr Fauziah Mohd Hasan tidak pernah goyah. Beliau terus berani melangkah menyertai sekali lagi usaha membawa harapan ke bumi Gaza.
Menariknya, kali ini wanita berusia 68 tahun ini disokong penuh oleh suaminya yang turut berada di belakang tabir perjuangan tersebut.
Siapakah sebenarnya wanita Malaysia hebat ini yang tidak gentar berada di barisan hadapan dalam setiap misi bantuan antarabangsa?
Berikut lima fakta menarik tentang Dr Fauziah Hasan. Srikandi ummah pencetus inspirasi.
Wanita Malaysia Pertama Belayar Ke Gaza
Sejak 1997, Dr Fauziah berkhidmat sebagai pakar Obstetrik dan Ginekologi di KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital, Kuala Lumpur.
Beliau mencatat sejarah sebagai satu-satunya wakil Malaysia dalam misi Women’s Boat to Gaza (WBG) pada September 2016. Beliau bertugas sebagai doktor di atas kapal.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan dari University of Tasmania, Australia (1982), Dr Fauziah aktif menyertai pelbagai misi kemanusiaan antarabangsa.
Beliau mula terlibat dalam misi kemanusiaan perubatan sejak 1999 di Kosovo, diikuti dengan misi ke Kepulauan Maluku (2000), Acheh pasca-tsunami (2005), Afghanistan (2001–2003) dan Gaza (2009).
Kini, beliau bersama tujuh lagi peserta dari Malaysia menyertai gelombang ketiga misi flotilla ke Gaza dengan menaiki kapal Conscience di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).
Ketika berusaha menghampiri Gaza, Dr Fauziah bersama pasukan misinya telah ditahan oleh tentera zionis hanya 35 batu nautika (sekitar 69 kilometer) dari pantai Gaza.
Dalam insiden tersebut, kapal mereka dipintas dan beliau dibawa ke tahanan sebelum akhirnya dihantar pulang.
Terima Banyak Pengiktirafan
Antara penghargaan yang diterima Dr Fauziah ialah Anugerah Khaulah Al Azwar daripada kerajaan Terengganu atas penglibatannya dalam misi WBG pada 2016.
Setahun kemudian, beliau dianugerahkan Tokoh NGO Islam (Kategori Wanita) 2017.
Selain itu, Dr Fauziah turut dilantik sebagai Penasihat Hormat bagi Malaysian Women Coalition for Al-Quds & Palestine (MWCQP), sebagai simbolik kepada peranannya yang signifikan dalam memperjuangkan isu Palestin dari perspektif wanita dan kemanusiaan.
Abadikan Pengalaman Dalam Buku
Pengalaman berharga wanita kelahiran Kuala Terengganu ini semasa menyertai misi kemanusiaan Women’s Boat to Gaza diabadikan dalam sebuah buku berjudul 35 Batu Nautika.
Tajuk itu dipilih kerana menggambarkan jarak terakhir kapal mereka sebelum ditahan, iaitu 35 batu nautika dari pantai Gaza.
Buku tersebut diterbitkan pada 2016 hasil kerjasama organisasi seperti Rose2Rose, MyCARE, PenaWan, dan Iman Publication.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Setiap ibu bapa pasti ada cara didikan tersendiri buat anak-anak tersayang. Walau apa jua asuhan yang diterapkan kepada mereka, tujuan utamanya tetap sama.. Memohon keberkatan ilahi seterusnya memperoleh kesenangan dunia akhirat.
Dilahirkan sebagai anak selebriti sudah pasti mengundang cabaran buat Adam Eiman, satu-satunya cahaya mata tunggal Datin Arianie dan Dato’ Hattan. Sama seperti ibu bapa lain, baik Datin Arianie mahupun Dato’ Hattan kedua-duanya mengharapkan yang terbaik untuk Adam. Selain memberi penekanan dalam bidang akademik dan sahsiah diri, bekas ketua pramugari MAS ini turut tidak terkecuali membentuk peribadi Adam dengan ilmu agama.
Beliau percaya sejauh mana pun kesenangan yang diraih hari ini, agama tetap menjadi tunjang kehidupan. “Sehingga ke hari ini pun saya dan Dato’ Hattan masih minta Adam mengaji. Walau pun umur dia sudah 19 tahun sekarang, kami tetap panggil ustaz datang ke rumah untuk mengajar. Sebab kami rasa ia sangat perlu.
Iyalah, budak muda sekarang dugaan mereka macam-macam. Setiap kali kalau hendak keluar rumah saya akan pesan jangan balik lambat dan mesti tanya ke mana dia pergi. Bukan maksudnya tak percaya pada anak tapi penting untuk ibu bapa pantau. Dalam masa sama beri kebebasan dan tak lupa terapkan ilmu agama supaya dia tahu yang mana salah dan betul.
Sebagai emak, saya banyak nasihatkan Adam. Alhamdulillah, dia anak yang ikut cakap. Balik dari universiti pun, dia akan terus masuk bilik dan buat hal dia sendiri. Kalau keluar dengan kawan-kawan, dia akan maklumkan kepada saya dulu dan jenis yang suka bercerita tentang aktivitinya kepada kami berdua. Tapi biasalah, anak lelaki pasti ada sikap degil dan nakal. Paling penting jangan terlalu mengongkong anak,” terang Datin Arianie sambil mengakui kerap mengingatkan Adam tentang masa depan dan bijak mengatur hala tuju hidup.
Apabila ditanya tentang status VIP yang dibawanya hari ini dan isteri kepada selebriti, Datin Arianie nyata enggan menganggap pengiktirafan itu sebagai satu perbandingan dengan masyarakat sekeliling. Katanya, beliau dan Dato’ Hattan tetap selesa menjalani rutin hidup yang sama sebelum diberikan gelaran berkenaan.
“Jujurnya sama saja kehidupan kami dulu dan kini tak ada beza. Ia sesuatu yang subjektif dan bergantung pada individu berkenaan untuk bawa diri mereka sendiri. Ada yang selesa bawa body guard ke mana saja mereka pergi tapi untuk kami, tidak perlu. Memegang gelaran datin, saya pilih untuk tidak terlalu menjaga sampai timbul rasa kurang senang di kalangan orang sekeliling. Cara saya, biar orang yang ada di sekitar kita rasa selesa dan tak mahu buatkan diri kita berada terlalu di atas sangat.”
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Saban hari nama Engku Aleesya makin menjadi bualan. Bukan kerana statusnya sebagai anak kepada selebriti terkenal, Erra Fazira tetapi keupayaan gadis bijak yang juga puteri kesayangan Engku Emran ini dalam bidang akademik dan sahsiah diri.