Sebut sahaja Wondermilk, pasti ramai yang menggambarkan kemanisan kek cawannya. Sejak diperkenalkan pada tahun 2000, Wondermilk pernah mencetuskan fenomena kek cawan di Lembah Klang dan melabelkan produknya sebagai Cuppacakes.
Oleh sebab sambutan menggalakkan daripada pelanggan, Wondermilk membuka sebuah kafe moden pertamanya di Damansara Uptown yang dikenali sebagai Wondermilk Café. Selepas hampir 17 tahun, kini Wondermilk memiliki tiga cawangan kafe iaitu di Publika, Citta Mall dan IOI Mall.
Di samping memiliki lebih 10 perisa kek cawan, pelanggan turut berpeluang menghasilkan sendiri kek cawan mereka mengikut kreativiti. Menarik bukan?
So lepas ini, ibu bapa atau suami isteri boleh ambil peluang untuk tunjukkan rasa kasih terhadap orang tersayang bila singgah ke mana-mana cawangan Wondermilk ya.
Setiap kek cawan yang ada di sini juga dijual dengan harga berpatutan. Yang pasti, anda tidak akan berasa rugi menikmati kek-kek tersebut kerana ia diperbuat daripada produk tenusu berkualiti dan dijamin halal.
Ads
Biarpun tarikan utama di kafe ini adalah kek cawan, namun Wondermilk sebenarnya turut menyediakan aneka pilihan makanan lain termasuk sandwic, burger, salad dan pasta.
Pelanggan yang inginkan sesuatu yang manis pula boleh mencuba seleksi kek Oh Lola Cakes, La Belle Lola Buttercream dan Lola Figurines. Tidak cukup dengan itu, ditawarkan juga cake in jar dan biskut dengan harga di antara RM15 ke RM30.
Ads
Mengintai menu minumannya pula terdapat pelbagai variasi yang dijual di sini. Daripada hidangan kopi dan teh panas mahupun sejuk sehingga jus segar Blackcurrant, Lemon Crush dan Minty Lime Chiller.
Antara sajian kegemaran ramai di kafe ini ialah kek cawan Foxy Red Velvet, Bing Bong Burger, King Aglio Olio pasta dan biskut Salted Caramel Dark Chocolate.
Ads
Sambil-sambil menjamu selera di hujung minggu nanti boleh bawa anak-anak ke Wondermilk Publika. Pemilihan palet-palet kayu yang disusun untuk menggantikan dinding kafe dan diserikan dengan perhiasan minimalis menghidupkan suasana.
Ditambah pula perabot dan aksesori hiasan yang diatur kemas menyerlahkan lagi gaya moden yang ingin diketengahkan.
Pembahagian ruang mainan kanak-kanak yang disediakan di kafe ini juga nyata memberi kelegaan kepada ibu bapa untuk menikmati setiap hidangan. Anda bukan hanya dapat berehat dan menghirup minuman segar di sini malah dapat mengisi masa terluang bersama anak-anak.
Buat pelanggan yang gemar mengunjungi kafe moden dan merasai sajian ringan yang menyelerakan, Wondermilk adalah destinasi yang harus anda lawati. Suziana Abu Daud
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Pernah ke Restoran Sambal Hijau di Kampung Sungai Penchala? Hari ni bolehlah anda singgah berbuka puasa di sini, pasti tak menyesal. Macam-macam hidangan kampung boleh anda nikmati di restoran tersohor ni. Bukan saja lauk-pauk bahkan kuih-muih juga ada. Pilih saja yang mana membuka selera anda.
Pastikan datang awal kerana selalunya restoran ni cepat penuh. Terima kasih kepada pemilik restroran, Puan Noor Aini Abdul Majid kerana sudi berkongsi 4 resipi istimewa yang sering menjadi pilihan pengunjung.
KARI KEPALA IKAN JENAHAK
1 kepala ikan jenahak (dibelah dua)
Bahan-Bahan A:
2 biji bawang besar (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
1/2 inci halia
3 camca besar rempah kari ikan
Bahan-bahan B:
2 ulas bawang putih (dihiris halus)
4 biji bawang merah kecil (dihiris halus)
1 sudu halba campur
2 tangkai daun kari
2 biji tomato (dihiris halus)
Bahan-bahan C:
700 ml air asam jawa
1/2 cawan santan pekat
3 biji tomato (dibelah dua)
Bendi (jika suka)
1 biji terung panjang
Garam secukup rasa
Gula secukup rasa
Serbuk perasa (tambah jika perlu)
2 biji cili merah/hijau (dibelah dua, jangan putus)
1/2 kiub ikan bilis
Cara Membuat:
Bersihkan ikan dan panaskan 1/2 cawan minyak dalam periuk. Tumis bahan-bahan B sehingga wangi. Masukkan rempah yang dibancuh dan masak sehingga terbit minyak. Masukan ikan bersama 1 cawan air dan ½ cawan santan. Masak sehingga ikan setengah masak. Masukkan air asam jawa, bendi dan terung. Kacau, biarkan mendidih. Kemudian masukkan garam, gula dan kiub ikan bilis. Setelah sebati dan mendidih masukkan tomato dan belahan cili. Biarkan mendidih selama 2 minit, hidangkan.
SAMBAL HIJAU
Bahan-bahan A:
1 kg cili api Siam
400 gm bawang besar (dikisar tidak terlalu halus & toskan airnya)
2 cawan minyak masak
Bahan-bahan B (jangan dikisar)
200 gm udang geragau
200 biji petai (dipotong halus)
2 helai daun kunyit (dihiris halus)
100 biji terung pipit
Garam secukup rasa
Cara Membuat:
Goreng semua bahan A sehingga cili betul-betul masak. Kemudian masukkan pula semua bahan B dan kacau sehingga masak dan sebati.
DAGING SALAI MASAK LEMAK CILI PADI
1 kg daging salai (disalai dan dipotong nipis-nipis)
Bahan-bahan A (dikisar halus)
2 biji bawang besar
1/2 inci halia
3 ulas bawang putih
15 biji cili api
Bahan-bahan B:
3 batang serai
1 helai daun kunyit
1 kg santan
2 biji kentang (dipotong 4)
Garam & gula secukup rasa
Cara Memasak:
Rebus daging salai bersama bahan-bahan A sehingga empuk. Kemudian masukan pula kentang. Setelah kentang setengah masak masukan santan dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya.
PULUT DURIAN
BAHAN-BAHAN:
10-15 ulas durian
3 cawan beras pulut (direndam 1-2 jam & ditanak)
2 cawan santan pekat
1 ½ cawan air
2 ketul gula melaka (diparut)
1 helai daun pandan (disimpul)
Garam secukupnya
Cara Membuat:
Campurkan santan pekat bersama air. Masukkan daun pandan dan garam untuk menambah lemak kuah santan. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih, tutup api. Makan bersama gula melaka yang diparut.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kari Kepala Ikan, Kuah Kacang Dal dan Masala Vadai kini bukan lagi hidangan asing buat masyarakat Malaysia. Bahkan bila sebut saja menu India, ramai yang terkenang rasa rempah-ratus yang pelbagai dan aromanya yang memikat.
Salah satu ‘rahsia’ besar yang digunakan untuk mendapatkan wangian dalam sajian India ialah dengan meletakkan daun kari. Sama ada dimasak bersama kuah atau digoreng begitu saja sebelum ditaburkan ke atas hidangan, ia adalah pelengkap masakan India.
Selain menerbitkan aroma semerbak, daun kari juga sebenarnya kaya dengan pelbagai khasiat untuk tubuh. Antaranya melancarkan pencernaan, melegakan keletihan dan mengawal kadar gula dalam darah sekali gus mengatasi penyakit diabetes.
Jadi, kepada anda yang mahu mendapatkan kembali tenaga yang hilang atau mengalami masalah pencernaan, malam ini mungkin boleh hidangkan dua menu India berikut untuk keluarga tersayang.
Kambing Varural
Bahan-bahan perapan:
500 gram daging kambing (dipotong kecil)
1 sudu besar serbuk kunyit diperap lebih kurang 15 minit
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu kecil serbuk jintan putih
Bahan-bahan utama:
2 sudu besar serbuk kari daging
1 biji bawang besar (dimayang)
1 inci halia (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
3 sudu besar cili giling
4 tangkai daun kari
Rempah 4 sekawan
Sedikit kicap manis
Garam
Gula
Air
Cara membuat:
Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk, daun kari, rempah 4 sekawan dan bawang besar hingga naik bau. Masukkan cili giling dan serbuk kari daging. Kacau dan biarkan sedikit garing. Masukkan pula daging kambing. Tambah sedikit air dan masak hingga mendidih. Seterusnya, masukkan kicap manis, garam dan gula. Sesuaikan rasa ikut selera. Masak dengan api sederhana hingga mendapat kepekatan yang diinginkan.
Ayam Peratal
Bahan-bahan untuk ayam:
1 ekor ayam (dipotong saiz sederhana)
4 sudu besar serbuk cili
4 sudu besar serbuk daging
1 sudu kecil serbuk ketumbar campurkan semua bahan & perap 20 minit
1 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk garam masala
1 sudu besar garam
Bahan-bahan lain:
1 inci kulit kayu manis
4 biji buah pelaga
2 biji bunga lawang
2 sudu kecil jintan manis
½ sudu kecil biji halba
3 biji bawang merah (dihiris)
3 biji tomato (dipotong dadu)
3 tangkai cili hijau (dihiris)
3 tangkai daun kari
2 sudu besar daun ketumbar (dicencang)
2 biji kentang (dipotong kiub)
1 cawan air
6 sudu besar minyak sapi
Garam
Cara membuat:
Panaskan minyak sapi dalam kuali. Tumis kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang, jintan manis dan biji halba sehingga naik bau. Masukkan bawang merah bersama cili hijau dan daun kari. Tumis selama tiga minit. Kemudian, masukkan pula kentang dan ayam yang telah diperap. Masak atas api perlahan selama 10 hingga 15 minit dengan periuk bertutup. Sesekali kacau perlahan-lahan dan biarkan mendidih. Masak selama 10 minit sehingga kuah pekat. Seterusnya, masukkan tomato. Gaul dan biarkan mereneh. Akhir sekali, tabur daun ketumbar dan kacau sebati. Perasakan dengan garam secukupnya. Sedia untuk dihidang. Suziana Abu Daud
Resipi: TERIMA KASIH PEGAWAI PERHUBUNGAN AWAM GRAND BLUEWAVE HOTEL SHAH ALAM, FAZLIAH NOOR MOHD FOUZI
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kalau mengikut rasa memang oat tidak sedap untuk dimakan. Namun, oat boleh diubah rasanya apabila ditambah buah-buahan dan manisan yang lain. Oat mempunyai dua jenis iaitu oat yang perlu direndam semalaman dan oat segera. Kedua-duanya mempunyai khasiat yang sama cuma cara penyediaan yang berbeza.
Oat adalah sumber karbohidrat kompleks yang sihat dan kaya dengan serat dan membuat perut kenyang lebih lama. Dalam sehari kita memerlukan serat sebanyak 25 gram. Kandungan serat semangkuk oat sama dengan kandungan serat pada semangkuk betik. Oat juga berupaya membantu kawalan kolesterol dalam darah dan menambah energi dalam tubuh.
Waktu yang terbaik untuk mengambil oat adalah sebagai sarapan pagi yang boleh membantu memberi tenaga untuk aktiviti seharian. Antara kebaikan oat untuk tubuh adalah:
(a) Mencegah Penyakit Kardiovaskular
Oat merupakan bijirin gandum yang boleh membantu menurunkan risiko penyakit seperti darah tinggi dan diabetes tahap dua. Dalam kajian mendapati oat mengandungi sebatian kimia yang dipanggil lignan untuk mencegah penyakit jantung. Malah bijirin oat kaya dengan sumber zat besi, magnesium dan vitamin.
(b) Menurunkan Kolesterol
Keupayaan oat menurunkan kadar kolesterol adalah kerana kandungan seratnya. Serat larut dihadam oleh bakteria normal dalam usus dan dapat mengurangkan penyerapan kolesterol oleh tubuh. Oat mengandungi serat yang dapat mengurangkan lipoprotein dengan kolesterol jahat (LDL) yang dapat meningkatkan risiko serangan jantung dan strok.
(c) Pilihan Pesakit Diabetes
Oat menjadi pilihan untuk pesakit diabetes kerana kandungan serat yang sangat tinggi dan membantu meningkatkan kadar metabolisme dan menyeimbangkan gula dalam darah. Pesakit diabetes boleh mengambil oat sebagai pengganti makanan utama. Pesakit diabetes sangat perlu mengambil makanan yang tinggi kandungan serat untuk menstabilkan gula di dalam darah.
(d) Kaya Dengan Antioksidan
Radikal bebas hanya boleh dimusnahkan dengan antioksidan. Oat mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi dan menentang radikal bebas yang boleh membantu menyerlahkan kecantikan dan kesihatan kulit.
(e) Mencegah Kanser
Fungsi serat dalam makanan tidak hanya untuk melancarkan sistem pencernaan. Kombinasi antioksidan yang tinggi dan memiliki metabolisme yang lancar menjadi jawapan untuk mencegah penyakit kanser. Antioksidan bertindak melindungi sel rosak yang berpunca daripada molekul yang tidak stabil, dikenali sebagai radikal bebas. Sel yang rosak ini boleh meningkatkan risiko kanser.
(f) Meningkatkan Sistem Imun Tubuh
Oat sememangnya kaya dengan nutrisi terutama antioksida yang penting untuk menjaga sistem imun tubuh. Bukan itu sahaja malah dapat menyihatkan tubuh dan kesihatan kulit dengan mencegah daripada pelbagai jenis penyakit. Hamizatul Maizan Mohamed
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ajal maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Tanggal 5 Disember 2025 pastinya menjadi tarikh yang tidak mungkin dilupakan Datin Seri Zizie Izette apabila suami tercinta dijemput ilahi. Tidak bersedia menerima pemergian insan kesayangan apatah lagi ketika itu dia berada di Semenanjung, figura popular ini bagaimana pun akur dengan takdir dan ketentuan ilahi.