Masih ingat lagi dengan si cantik manis, Hani Nazrina Hanizar yang merupakan finalis Clever Girl Malaysia musim ke-2? Selain senyuman, renungan tajam dari sepasang matanya yang mempesona menjadikan graduan Sains Aktuari ini antara finalis yang memiliki keunikannya yang tersendiri.
IKLAN
Hani Nazrina Hanizar, finalis program realiti televisyen ‘CLever Girl’ musim ke-2.
Mesra disapa sebagai Hani, anak kedua daripada 4 beradik ini seorang yang mudah mesra. Setiap kata-kata yang dilontarkan juga menunjukkan dirinya yang kian matang di usia 26 tahun. Hani bertugas sebagai Eksekutif Perbankan di Maybank.
“Buat masa ini saya perlu memberikan komitmen sepenuhnya terhadap kerjaya, sementara bidang lakonan sebagai sambilan sahaja,” kongsi Hani yang memiliki darah campuran Melayu, India dan Parsi. Berketinggian 159cm serta punya wajah yang komersil sedikit sebanyak membuka ruang rezeki buat anak jati Perlis ini dalam bidang seni khususnya lakonan.
“Saya tak pernah terfikir pun untuk berada di spotlight umum seperti sekarang. Segalanya bermula ketika saya sedang menunggu peluang kerjaya sebaik tamat graduasi. Pergi ke sesi ujibakat lakonan pun sekadar mencuba nasib. Alhamdulillah drama pertama saya “Shh… I Love You” membuka ruang untuk saya terus menceburi bidang lakonan dan iklan komersil,” ujar Hani yang gemar melancong, berenang dan memasak.
Antara hasil air tangan Hani Nazrina.Salah satu kepakaran Hani Nazrina ialah menghasilkan kuih atau manisan seperti donut serta biskut.Seorang selebriti muda yang sangat berbakat dalam bidang seni.Cantik, bijak dan pandai memasak.
KAGUMI NEELOFA
“Saya amat mengagumi Neelofa kerana beliau seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan berani mencuba sesuatu yang baru. Beliau pernah berkongsi dengan saya tentang perancangan masa depannya untuk 10 tahun akan datang yang ditulis dalam satu helaian kertas. Ketika itu kami sama-sama berada di set penggambaran drama. Melihat kepada apa yang ditulis, beliau memberikan inspirasi buat saya agar sentiasa merancang masa depan dan meletakkan target pada diri sendiri.
IKLAN
Noor Neelofa Mohd Noor.
Maka, saya terinspirasi dengan cara Neelofa. Saya merancang untuk mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi di samping melanjutkan pengajian dalam bidang PhD agar dapat menjadi seorang selebriti yang berilmu,” ungkap Hani besungguh-sungguh.
IKLAN
Dari sudut penampilan, Hani seorang yang amat cerewet dalam memilih pakaian kerana setiap hari dia inginkan kelainan dalam penampilan. Hani sering mendapatkan pandangan daripada kakaknya berkenaan dengan gaya yang sesuai. Satu lagi perkara yang jarang orang nak buat tetapi Hani pasti akan buat ialah menyiapkan 7 set pakaian siap-siap berserta aksesori dan kasut untuk seminggu.
Suara penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma begitu lantang dan besar. Bila dengar alunan suaranya, membuatkan kita teringat pada penyanyi Anggun, yang juga kelahiran Indonesia. Rupa-rupanya ibu kepada Ahmad Avisenna ini bukan calang-calang orangnya. Kehidupannya yang sering berpindah-randah dek kerana mengikut ayah telah menonjolkan bakat lain Yuka sehingga menjadi johan tilawah al-Quran!
Walaupun sibuk dengan perniagaan, karier nyanyian tetap menjadi keutamaan. Dari kecil lagi bakat nyanyian Yuka sudah dipertontonkan di hadapan orang ramai. Keretakan rumahtangga yang berlaku di antara ibu bapanya membuatkan Yuka terpaksa mengharungi hidup bersendirian.
https://www.instagram.com/p/CBk-uPGhKVJ/
“Di usia remaja lagi saya sudah tinggal sendirian. Saya menetap di sebuah rumah sewa di Jakarta manakala Mama dan Papa juga masing-masing di Bandung. Kami empat beradik tinggal di tempat yang berbeza dan ketika itu apa yang saya harapkan adalah untuk mencari rezeki demi menyekolahkan kedua-dua abang dan adik bongsu.
Ketika apa yang saya tahu hanya menyanyi. Dari jam lapan malam sehingga ke 12 tengah malam pada setiap hari Rabu hingga Ahad sehingga Isnin sudah tidak ada suara. Saya menyanyi di kafe dan hotel. Ada yang dibayar penuh, ada juga dibayar hanya RM70. Tapi saya tetap terima kerana tanggungan saya adalah adik-beradik lain yang ingin menyambung pengajian.
Mungkin Allah tahu saya malas belajar maka Allah beri saya kekuatan dan bakat untuk mencari rezeki demi keluarga. Akhirnya, abang sulung saya bergelar arkitek manakala arwah abang kedua dan adik bongsu saya bergelar jurutera. Kejayaan mereka adalah hasil usaha mereka yang rajin belajar,”ujarnya.
Pada awal pertemuan, Yuka tampak penuh keyakinan. Penulis sangkakan wanita beranak satu ini tegas dan mungkin bersifat garang. Namun, masing-masing tidak kering gusi tatkala Yuka berkongsi kisah zaman persekolahan.
https://www.instagram.com/p/B-zOlZyBDvl/
“Saya dulu malas sekolah. Sebaik tamat SPM, saya teruskan kerjaya menyanyi dan lebih menumpukan kepada matlamat utama saya iaitu membantu adik-beradik lain mencapai cita-cita mereka. Menyanyi pun hanyalah hobi, bukan satu impian yang saya idamkan.
Sewaktu mengikut Papa pindah atas urusan kerja, kami pernah menetap di Kedah. Bayangkan seorang gadis Indonesia mengambil SPM di sebuah negara asing, ditambah pula dengan loghat yang sukar difahami!
Saya pernah ponteng sekolah selama 30 hari tau kerana stres tak dapat memahami apa yang diajar di sekolah! Mungkin cikgu-cikgu memahami situasi saya dan mereka tidak pernah menghubungi keluarga ketika itu.
Paling kelakar, guru kaunseling beritahu cukuplah sekiranya saya lulus setiap subjek dalam SPM kerana saya lebih cenderung menjadi seorang penyanyi. Ya Allah, terkedu juga saya dan nyata kata-katanya jadi kenyataan!”tawa Yuka.
https://www.instagram.com/p/B70XPv5BdEU/
Walaupun sibuk dengan nyanyian dan bidang seni, Yuka pernah menjadi kebanggaan sekolah apabila dinobatkan sebagai juara qariah peringkat zon utara. Dia sendiri tidak menyangka mampu membawa nama sekolahnya ke peringkat zon kerana sebelum ini belum ada lagi kejuaraan qariah dari sekolah itu.
“Alhamdulilah dari kecil lagi saya sudah dididik mengaji al-Quran. Mama berasal dari Acheh dan sebagaimana kita tahu, Acheh cukup kuat dengan pegangan agamanya. Ketika itu kelas mengaji saya tidak pernah ponteng. Mungkin kerana didikan itu, salah seorang guru di sekolah pernah terdengar bacaan saya lantas dicadangkan agar saya menyertai pertandingan tersebut. Saya sendiri tidak sangka akan menang.
Walaupun dulu di sekolah saya sering ‘ghaib’, tetapi tiap kali ada acara seni, saya pasti menonjolkan diri. Bila ada lawatan dari Menteri atau sesiapa sahaja, pasti saya juga akan menjadi salah seorang pelajar yang akan membuat persembahan,” ujarnya lagi.
Syawal pertama disambut dengan penuh kesedihan dan kekecewaan oleh penduduk di Gaza. Pesawat tempur tidak berhenti-henti membedil tanah air mereka, seperti dendam, dengan sasaran rambang ke arah penduduk awam.
Sejak penghujung Ramadan lalu, masyarakat di seluruh dunia mula membuka mata terhadap tindakan tidak beradab ini. Bayangkan jemaah Masjid Al-Aqsa menjadi mangsa, sementara beratus-ratus yang lain bertempiaran lari dari peluru tak bermata.
Selebriti di Malaysia seperti Mizz Nina, Diana Danielle, Fedtri Yahya, Heliza Helmi, Farrah Adeeba, Datin Lisa Surihani serta ramai lagi nama-nama besar dengan pengikut media sosial yang ramai giat berkongsi perkembangan di sana.
Di peringkat antarabangsa, Nona tertarik berkongsi ikhtiar tiga selebriti ini yang sering memuat naik hantaran berkaitan soal kemanusiaan di Palestin.
(1) Bella Hadid
Supermodel antarabangsa, Bella Hadid merupakan salah seorang selebriti paling vokal menegakkan kebenaran. Dengan jumlah pengikut Instagram 41.6 juta, wanita ini berkali-kali menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap nasib rakyat di Palestin.
“Ini soal kebebasan dan kemanusiaan di Palestin, bukan soal kepentingan agama semata,” Bella Hadid
(2) Gigi Hadid
Sama seperti Bella, Gigi yang juga supermodel berdarah kacukan Palestin turut menyatakan sokongan beliau terhadap hak kemanusiaan di Palestin. Gigi yang mempunyai pengikut seramai 66.2 juta kini merupakan seorang ibu.
Beliau memilih untuk bersuara dan enggan berdiam diri melihat penindasan terhadap warga Palestin dengan mata terbuka.
(3) Dua Lipa
Selebriti jelita berdarah Albania dan menetap di United Kingdom ini juga lantang menyuarakan kebimbangannya terhadap krisis Asia Barat. Beliau menuntut agar pemimpin dunia campur tangan menyelesaikan kemelut Palestin dengan segera.
Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Levitating dan kini melonjak No. 1 di Billboard Hot 100 tersebut turut berkali-kali menyatakan pendiriannya iaitu ‘Free Palestine’.
Pengalaman 13 tahun menjadi Presiden MERCY Malaysia mengasuh jiwanya menjadi lebih sabar, lebih memahami dan bertolak ansur. Bersama Nona, Dato’ Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus mencurahkan pengalaman hidupnya sebagai seorang pakar perunding perubatan, pekerja kemanusiaan dan presiden sebuah badan amal kesukarelawanan.
Biar tanpa publisiti kencang, takwim kerja Dato’ Dr Ahmad Faizal, 54 tahun begitu padat sekali. Ada-ada sahaja komitmen yang menanti hinggakan sukar menetapkan temu janji dengan Pakar Perunding Perubatan (Respiratori) itu.
Mujurlah di sebalik kesibukan, pengurusan MERCY Malaysia memberi kepercayaan untuk kami menyelit masa, menyelami lebih dalam jiwa lelaki kelahiran Kuala Lumpur yang kedua ibu bapanya berasal dari Perak itu.
Petang Ahad usai mempengerusikan retreat fizikal pertama MERCY Malaysia sejak bermula pandemik COVID-19, bapa kepada tiga cahaya mata ini bergegas bertemu kami.
“Sejak saya mengambil alih jawatan Presiden MERCY Malaysia daripada Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pada tahun 2009, tugas saya sebagai Presiden lebih menuntut komitmen masa dan fokus yang tinggi sebenarnya. Percaya tidak, tanggungjawab yang digalas seperti orang bekerja sepenuh masa.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Dato’ Dr Ahmad Faizal kini masih berkhidmat di Hospital KPJ
Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MERCY Malaysia atau singkatan Malaysia Medical Relief Society ini telah ditubuhkan pada tahun 1999 untuk memberi bantuan kemanusiaan.
Banyak bantuan perubatan serta kemanusiaan telah disalurkan apabila berlaku krisis dan bencana di peringkat antarabangsa mahupun di dalam negara.
Di bawah pimpinan Dato’ Dr Ahmad Faizal, pelbagai misi besar berjaya dilaksanakan antaranya yang terbaru, bantuan memerangi COVID-19 menggunakan kepakaran sedia ada.
Sejak pandemik melanda pada awal 2020, MERCY Malaysia tampil memberi bantuan kecemasan serta jangka panjang kepada Kementerian Kesihatan dalam pelbagai cabang untuk memudahkan operasi memerangi wabak COVID-19.
Tumpuan mereka jelas dalam menyediakan keperluan penting seperti katil, alat ventilator, pakaian perlindungan diri (PPE), ubat-ubatan dan sebagainya, serta meningkatkan aktiviti vaksinasi dan saringan.
Sebagai seorang mukmin, semua kerja yang dilakukan di dunia ini mestilah semuanya kerana Allah Taala. Tambah Dato’ Dr Ahmad Faizal, beliau juga memberi keutamaan kepada orang yang memerlukan tanpa mengira bangsa, warna kulit atau fahaman politik.
Kerja kemanusiaan harus ikhlas, bukan saja kerana Allah tapi kerana tanggungjawab sesama manusia.
“Walaupun organisasi ini mengalami banyak pertumbuhan dari segi kapasiti, keupayaan, kemampuan kewangan serta sumbangan staf sepenuh masa, tapi kami masih melakukan kerja-kerja secara sukarela.
Selain turun ke lapangan untuk beri bantuan, saya kira kerja-kerja merancang, membuat strategi dan menyelesaikan masalah yang timbul terutamanya yang melibatkan ramai pemegang taruh (stakeholders) amat mengambil masa yang banyak.
Dalam waktu yang sama, saya masih lagi berkhidmat sebagai pakar perunding di Hospital KPJ Damansara.
Dua tahun kebelakangan ini pula, saya terpaksa bergelut dengan wabak dan pesakit COVID-19 secara langsung.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Sambungnya, beliau kini turut terlibat menangani pandemik di Malaysia sebagai seorang frontliner merawat pesakit COVID-19 sesuai dengan kepakaran sebagai pakar perunding respiratori.
Sebagai pemimpin MERCY Malaysia yang bergerak secara aktif membantu usaha-usaha mencegah COVID-19 di kalangan masyarakat, badan amal kebajikan ini juga bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, tidak ketinggalan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan sebagainya.
Ketokohan Dato’ Dr Ahmad Faizal turut terlihat apabila beliau terlibat dengan jawatankuasa peringkat nasional untuk membantu kerajaan dalam memberikan nasihat, idea atau buah fikiran, terutama sekali kepada NADMA.
Selain menjadi pengerusi kluster kesihatan dan bahaya baru muncul (emerging hazard) yang sinonim dengan COVID-19, beliau juga menjadi ahli jawatankuasa berkenaan kerjasama hospital awam dan swasta (private-public partnership) dalam menangani isu yang sama.
“Saya juga salah seorang penyelaras yang terlibat dalam proses penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta di Lembah Klang.
Di sini kita bernasib baik kerana ada banyak hospital swasta yang sudi membantu di peringkat operasi. Jadi saya kira tak ramai orang di negara ini seperti saya yang mempunyai pengalaman serupa di semua peringkat.”
AKTIVITI
Jasa beliau yang sangat besar dalam dunia kesukarelawanan dan kebajikan Malaysia membuatkan lelaki ini diiktiraf sebagai penerima Nona Men’s Charity Award di acara Nona Superhero.
Tonton video ini saat beliau mengimbau kembali pengalamannya dalam dunia kebajikan sejak 18 tahun lalu…
“Saya bermula sebagai ahli sukarelawan biasa pada 4 Januari 2003. Masa tu saya baru menjadi pakar perubatan, setepatnya selepas menamatkan latihan kepakaran sebagai pakar perubatan dalam sub-bidang respiratori.
Tiada siapa daripada MERCY Malaysia yang mengajak saya secara formal. Tapi kerana minat yang mendalam, mungkin sayalah yang mengajak kawan-kawan saya masa tu di HUKM.
Kebetulan ada program induksi untuk ahli sukarelawan baru, jadi saya pun masuk sebab jauh di sudut hati, saya yakin sudah masanya orang Malaysia buat kerja kemanusiaan secara terurus dan sistematik sebegini.”
Aktiviti kemanusiaan banyak membawa Dato’ Dr Ahmad Faizal ke serata ceruk dunia. Antaranya ke Sri Lanka sewaktu banjir besar, ke Iran membantu mangsa gempa bumi, ke Sudan ketika konflik Darfur, ke Aceh semasa tsunami, Pakistan, Myanmar, Filipina, sempadan Turki-Syria, Syria, serta banyak lagi.
Timbul pertanyaan, sepanjang beliau bergiat aktif dengan aktiviti MERCY Malaysia, bagaimanakah penerimaan isteri dan anak-anak, tidakkah terhalang masa berkualiti dengan mereka?
“Sebenarnya isteri juga adalah ahli sukarelawan MERCY Malaysia dan kini masih berkhidmat sebagai seorang doktor perubatan am swasta.
Anak-anak saya sejak kecil lagi, mereka selalu ikut beri bantuan kepada warga emas, fakir miskin atau mangsa banjir. Saya kira jiwa kemanusiaan sudah disemai sejak dulu dan mereka pun memahami minat kami dalam bidang kebajikan.”
Dato’ Dr Faizal diwakili Timbalan Presiden MERCY Malaysia, Datin Raja Riza menerima anugerah
Tidak mahu meletakkan sebarang garis akhir dalam kerjaya kemanusiaannya, Dato’ Dr Ahmad Faizal menyerahkan segala ketentuan masa depan di tangan Yang Maha Kuasa.
“Sehingga kini saya sangat suka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kebolehan yang saya ada dalam bidang kemanusiaan.
Cuma di MERCY Malaysia, mungkin akan tiba masanya nanti saya lepaskan jawatan ini supaya ada kesinambungan kepimpinan yang baru.
Menjadi harapan kami sejak 22 tahun usia MERCY Malaysia ditubuhkan, kami bukan saja mahu badan NGO ini berjaya di Malaysia tapi di peringkat serantau dan antarabangsa.”
IDOLA
Majoriti kerja kemanusiaan di luar negara bukan dilakukan secara sukarela, sebaliknya diuruskan secara profesional, umpamanya di Afrika dan Eropah.
Terdapat organisasi tertentu yang mendapat bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Persatuan Palang Merah Antarabangsa atau badan-badan NGO besar dari Barat untuk menjalankan misi-misi tertentu.
“Terdapat seorang tokoh yang saya kagumi iaitu mendiang William L. Swing yang merupakan seorang diplomat Amerika Syarikat.
Mendiang sampai ke umur 80 tahun pun masih berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di International Organization for Migration (IOM), sebuah agensi migrasi yang diletakkan di bawah PBB.
Mendiang William L. Swing
Mendiang menghabiskan sisa-sisa hidupnya di Malaysia dan baru saja menghembuskan nafas terakhir pada Jun 2021 lalu akibat komplikasi COVID-19.
Apa yang saya kagumi, jiwa kemanusiaan itu begitu besar dalam dirinya sehinggakan mendiang menolak untuk menggunakan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan menyuruh ia diberikan kepada pesakit lain yang lebih muda dan memerlukan, walaupun beliau orang kenamaan.” Dato’ Dr Ahmad Faizal
Percaya bahawa kerja-kerja kemanusiaan mampu mengasuh nilai-nilai murni dalam jiwa manusia, Dato’ Dr Ahmad Faizal berpegang teguh kepada ajaran Islam bahawa setiap yang baik itu akan mendapat pembalasan yang baik juga di pengakhirannya.
Penulis & Penyelaras: Norzalina Mohd Alias
Arahan Seni: Kiffy Razak
Foto: Natrah Mat Jan
Solekan: Che Wann